01
Sᴜᴍᴘᴀʜ Sᴇᴛɪᴀ Gʏᴢᴇᴇᴍ Eᴢʟʏɴ
_______________________________________
"...dengan ini, gelaran Kepala Pendeta saya serahkan kepada Gyzeem Ezyln. Sila berlutut dan terima berkah ini daripada Dewi Anahita dan melafazkan sumpah setia kepada Penguasa Air kita."
Gyzeem berlutut mengikut yang diarahkan oleh Maiden. Gyzeem pun mula melafazkan sumpah setia yang sudah dihafalnya sebulan yang lalu sebelum hari kenaikan pangkatnya menjadi Kepala Pendeta. Dia sesungguhnya tidak menyangka begitu cepat dia mendapat gelaran Kepala Pendeta sedangkan untuk mendapatkan gelaran itu tidak mudah.
Perlu sepuluh atau lima belas tahun dari mereka mulai berkhidmat di Kuil Aruba, yang terletak di kota bangsa Odan yang diberi nama Kota Apia. Bangsa ini sangat menyanjung tinggi Dewi Anahita, sang Penguasa Air pada zaman pemerintahannya.
"Saya, Gyzeem Ezlyn bersumpah akan mengabdikan hidup ini kepada Yang Mulia, Dewi Anahita, Penguasa Air di Kota Apia..."
Sewaktu semua orang sedang melihat Gyzeem melafazkan sumpah setianya kepada Dewi Anahita, Doria sempat berbisik ke arah Anthia.
"Sepatutnya Sedna yang dapat gelaran itu. Mengapa Maiden lebih memilih Gyzeem sedangkan Sedna lebih berpengalaman dan sudah lama berkhidmat di kuil ini?" bisik Doria dengan tatapan yang tidak berpuas hati terhadap Gyzeem yang lebih mendapat tempat di hati Maiden.
"Saya juga hairan dengan Maiden. Perempuan itu baru dua tahun berkhidmat di kuil ini. Pengalamannya sebagai orang suci di kuil ini belum cukup matang. Apa yang istimewanya perempuan itu hingga mendapat perhatian Maiden? Gelaran itu lebih sesuai diberikan kepada Sedna bukannya Gyzeem." Anthia membalas bisikan Doria itu. Dia juga berasa tidak berpuas hati.
"Kasihan, Sedna. Mesti dia sangat sedih bila gelaran itu diberikan kepada Gyzeem." balas Doria sambil matanya dialihkan ke arah Sedna yang berdiri paling hadapan.
"Siapa juga tidak sedih. Dia sudah lama berkhidmat di kuil ini. Dia merupakan orang lama yang sudah banyak pengalaman." ujar Anthia. Dia tidak pandang ke arah Gyzeem lagi tetapi melihat ke arah Sedna yang berdiri di hadapannya.
_______
Sudah seminggu berlalu...
Memoriku sepertinya masih belum kembali sepenuhnya.
Yang aku cuma ingat...namaku Gyzeem. Gyzeem Ezlyn.
_______
"Yang Mulia, saya datang menghadap."
Raja Una yang sedang melihat pemandangan kota di tempat peristirahatannya itu lantas berpaling apabila Kanebti datang menghadap. Dia melihat Kanebti sedang berlutut tidak memandangnya.
"Bagaimana khabar wanita itu? Adakah ingatannya sudah pulih?" soal Raja Una langsung ke intinya.
Sudah lama sejak kali terakhir dia melihat wanita itu setelah membawanya kembali ke Kota Emas. Dia memberikan wanita itu tempat tinggal yang berdekatan dengan Taman Oasis memandangkan tempat itu sudah lama tidak dihuni orang.
Dulunya, tempat itu merupakan tempat tinggal Ibunda Ratu yang dipanggil Subira, ibu kepada Raja Una. Malangnya, Ibunda Ratu sudah lama mangkat akibat sakit berpanjangan. Disebabkan tempat itu sudah lama tidak berpenghuni, Raja Una meminta Kanebti untuk membawa sebahagian pelayan baru untuk bekerja di Taman Oasis.
"Jnari berkata, wanita itu baik-baik sahaja dan dia sudah boleh mengingati namanya. Wanita itu cuma memerlukan waktu untuk memulihkan ingatannya kembali." kata Kanebti kepada Raja Una.
Raja Una menghembus nafas lega. Dia pun mengarahkan Kanebti bangkit dari berlutut.
"Baguslah. Beta berasa lega setelah dapat tahu dia sudah mengingati dirinya. Kamu boleh bangkit dan sampaikan perintah ini kepada Scha-rei. Pilihkan pakaian yang paling indah untuk dihadiahkan kepada wanita itu. Sampaikan juga permintaan maaf beta kepada wanita itu kerana tidak dapat melawatnya di Taman Oasis. Beta terlalu sibuk dengan pekerjaan beta hingga tidak ada masa untuk melihatnya di sana dan bertanya khabar." kata Raja Una sekaligus memberikan perintah kepada Kanebti.
Kanebti terus bangkit dan dia akur akan perintah Raja Una.
"Baik, Yang Mulia. Perintah ini akan segera saya sampaikan kepada Scha-rei. Permintaan maaf tuanku juga saya sampaikan kepada wanita itu." ujar Kanebti.
"Kamu boleh beredar sekarang. Beta hendak berehat."
_______
"Tidakkah ini terlalu berlebihan hingga Yang Mulia, Raja Una menghadiahkan saya sejumlah pakaian indah dan mahal? Saya cuma seorang wanita biasa yang tidak punya apa-apa pegangan status tinggi. Saya terpaksa menolaknya, Kanebti." Gyzeem berasa kurang selesa apabila dia dilayan begitu istimewa oleh Raja Una yang sudah menyelamatkannya.
Sudah sebulan berlalu, Gyzeem tidak pernah tidak terlepas dari layanan istimewa yang diberikan oleh Raja Una. Dia sangat hargai kebaikan hati Raja Una yang sudah menyediakan semuanya sewaktu dia menetap di Taman Oasis sementara menunggu pulihnya ingatan dia yang hilang.
"Anggap sahaja ini adalah hadiah untuk merayakan kesembuhan kamu. Tolong terima pemberian Yang Mulia. Raja Una pasti sedih jika kamu menolak hadiahnya. Baginda sudah cukup lega mendengar khabar yang kamu sudah mengingati nama kamu." ujar Kanebti. Dia berharap wanita di hadapannya itu menerima hadiah ikhlas daripada Raja Una.
Gyzeem mengeluh. Dia melihat ke arah beberapa orang pelayan Raja Una yang datang membawa hadiah pemberian baginda. Dengan rasa berat hati, dia menerima hadiah itu.
"Baiklah, kalau sudah kamu berkata begitu. Sampaikan ucapan terima kasih saya kepada Yang Mulia. Semoga hari-hari baginda sentiasa diisi dengan keberuntungan yang berpanjangan." ujar Gyzeem.
Kanebti tersenyum gembira apabila hadiah itu diterima oleh Gyzeem.
"Akan saya sampaikan ucapan itu kepada Yang Mulia. Kalau begitu, saya mengundur diri dahulu. Beristirahatlah." kata Kanebti lalu dia pun beredar dari situ dengan diikuti oleh pelayan-pelayan Raja Una.
_______________________________________
Thanks For Reading
Keep Voted + Comment
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro