Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 8

SAYUP-SAYUP, alunan Al Quran kedengaran di ruangan bilik solat yang terletak di sebelah kamarnya. Sejak kebelakangan ini, sering kali Datuk Sulaiman menjemput seorang guru untuk belajar mengaji sekali gus menjadi penggera jam untuk Hayla bangun.

Hayla terpisat-pisat seraya meraba-raba telefon pintar yang terletak di atas meja sisi katil. Keluhan berat terlepas daripada bibir tatkala melihat jam yang sudah menginjak ke pukul 1 tengah hari.

Bahkan, sebanyak 100 panggilan tak dijawab daripada Marzuki. Biarlah! Hayla masih dibakar amarah tatkala Marzuki mengabaikannya yang baru saja ditimpa kemalangan.

Pandangan Hayla tertancap ke arah meja solek yang terletak setentang dengan katil. Merenung raut wajahnya yang kusut masai sambil mendengar bait-bait suci yang sedang dilafazkan di bilik solat.

Entah mengapa, Hayla rasa tenang setiap kali mendengar kalimah Allah. Seakan-akan amarahnya sirna sekelip mata. Serentak dengan itu, melihat ada parut kecil di dahinya membuatkan Hayla tenggelam dengan peristiwa 10 tahun yang lalu. Kerana parut itu, dia kehilangan kasih seorang ibu yang sudah berjuang melahirkannya.

"Mak Jah tak akan ada untuk Hayla lagi."

Tika kata-kata keramat itu pula menyelak langsir ingatan, jiwa Hayla mula sebu. Dia akan kehilangan kasih seorang ibu buat kali kedua. Hayla menggelengkan kepalanya. Mengusir kesedihan yang mula mengasak relung hati.

"Kau tak boleh menangis. Kau dah janji dengan diri kau, Hayla!"

Hayla bingkas bangun untuk membersihkan diri. Tak mahu lagi hanyut mengenangkan nasib bahawa Mak Jah akan meninggalkannya atas dasar yang Hayla sendiri tak pasti.

Petang ini dia perlu menghadiri reherseal untuk pertunjukan fesyen yang akan datang. Walau apa pun yang berlaku Hayla mahu jadi seorang gadis yang kuat.

"Terima kasih sebab sudi ajar pak cik. Maaflah pak cik banyak susahkan kau sejak akhir-akhir ni."

Belum sempat Hayla melangkah masuk ke dalam tandas, suara Datuk Sulaiman kedengaran di luar kamar.

'Pak cik'

Jadi, si ustaz yang sedang mengajar ayahnya mengaji itu pasti muda orangnya. Mula sudah timbul rasa sangsi di lubuk hati Hayla. Lantas, Hayla melangkah keluar dari bilik tanpa mengendahkan keadaannya yang kusut masai selepas bangun daripada tidur.

"Tak apa, pak cik. Tugas saya sebagai seorang Islam... membantu saudaranya yang berada dalam kesusahan. Lagi pun, pak cik dah banyak tolong keluarga saya. Tak terhitung kebaikan yang pak cik hulurkan untuk Madrasah Ubadah dulu," tutur si pemuda berkopiah putih itu.

Mana mungkin dia lupa kebaikan Datuk Sulaiman yang sudah menyelamatkan Madrasah Ubadah daripada ditutup ketika keluarga Ustaz Sorban mempunyai masalah kewangan.

"Pak cik..."

"Oh! Inilah dia ustaz yang daddy sanjung tinggi sangat tu? Patutlah daddy beria back up dia lepas dia langgar Hayla. Rupa-rupanya, daddy memang dah jadi best friend forever dengan ustaz ni ya. Dahlah selalu sangat daddy jemput dia datang rumah. Ada bawa tuah ke kalau dia datang rumah kita ni?"

Suara lantang Hayla membuatkan suasana mula dingin. Seketika, Hayla bertaut pandangan dengan Hanzalah. Namun, Hanzalah mengalihkan pandangannya daripada menatap wajah Hayla yang bergaun satin tanpa lengan itu.

"Hayla... masuk bilik..." Nada autoriti Datuk Sulaiman sudah kedengaran. Panas hati melihat penampilan Hayla yang seakan-akan tak mempedulikan air mukanya.

Hayla tertawa kecil. Dia tahu Datuk Sulaiman malu dengan Hanzalah tatkala melihat pakaiannya yang terdedah. Hayla peduli apa. Dia memang sengaja mahu menggugat keimanan ustaz muda di hadapannya itu.

"Apa? Hayla cuma nak berkenalan dengan ustaz kesayangan daddy ni je. Salah ke?"

"Hayla... masuk! Tak payah sibuk..."

Belum sempat Datuk Sulaiman menamatkan bicara, tubuhnya semakin menggigil tatkala dengan berani, Hayla menghampiri Hanzalah sehingga tubuh dua figura itu hanya sejengkal.

"Tak salah kan kalau kita nak mulakan salam perkenalan... ustaz?" tutur Hayla seraya membetulkan kolar baju Melayu Hanzalah yang sedikit kusut.

Sontak, Hanzalah terkebelakang dengan sentuhan Hayla. Ya Tuhan, dia tahu gadis di hadapannya ini mahu menggugat kesabarannya yang ikhlas mahu membantu Datuk Sulaiman.

"Kalau Cik Hayla nak belajar pasal agama, saya boleh bawakan ustazah dari madrasah..."

Hayla tertawa sinis lagi. Bebola matanya diputar ke atas tatkala telinganya bingit mendengar bicara Hanzalah. Tubuhnya dipeluk erat. Masih ada sisa tak puas hati tatkala Hanzalah masih belum membayar lima ribu ringgit kepadanya.

Apatah lagi Datuk Sulaiman tak henti-henti mempertahankan Hanzalah seolah-olah pemuda itu lebih penting daripada anak sendiri.

"Siapa cakap aku nak belajar pasal agama? Aku muda lagi kut. Lama lagi nak mampus. Ustaz, orang muda macam kita ni sepatutnya kena enjoy dulu dengan hidup. Kalau dah tua macam daddy, barulah kita belajar macam mana nak jadi orang Islam."

Hanzalah menarik nafas panjang seraya dihembuskan perlahan-lahan. Dia terangguk-angguk dengan pendirian Hayla. Mengerti bahawa gadis ini sukakan kebebasan. Senyuman nipis terukir di bibir si pemuda sambil menyusun kata untuk memberikan teguran kepada gadis itu.

"Betul. Saya setuju dengan Cik Hayla. Orang muda macam kita masih banyak masa untuk enjoy dalam hidup. Tapi... masa tu selalu cepat. Mati itu tak pernah pilih umur. Kita tak tahu apa yang akan berlaku dalam hidup kita dan hanya Allah yang tahu takdir setiap hambaNya. Muda atau tua kita sama-sama akan merasai kematian. Jadi, selagi kita diberikan hayat, selagi tu kita masih ada peluang untuk utamakan Islam sebagai pegangan dengan amalkan perintah daripada Allah dan meninggalkan kemungakaran."

Teguran Hanzalah yang penuh kelembutan membuatkan Datuk Sulaiman tersenyum sendiri. Dia berpuas hati melihat riak wajah Hayla yang sedikit kaget. Dia sukakan perwatakan anak muda ini. Tak semua anak muda seperti Hanzalah lebih memilih mendekatkan diri kepada Allah. Rasional dalam membidas hujah.

"Pak cik, saya minta diri dulu. Assalamualaikum."

Tanpa berlengah, Hanzalah berpamitan. Tak mahu berlama-lamaan lagi tatkala dia merasakan kehadirannya membibitkan amarah di hati Hayla.

"Hayla. Kenapa cakap macam tu dekat Ustaz Hanzalah? Cuba jaga percakapan kamu tu sebagai seorang perempuan. Ustaz tu datang rumah kita sebab nak ajar daddy mengaji. Bukan nak cari masalah pun. Kamu jangan nak buat macam-macam depan dia pula!"

Hayla mencebik. Dia berpaling memandang wajah si ayah yang sedang mengemas ruangan solat. Sesekali, kedengaran batuk kering si ayah yang sudah mengusap-ngusap dadanya.

"Yalah tu nak ajar mengaji. Entah-entah saja nak kikis duit daddy sebab dia tahu daddy tu berharta!"

Ada nada tak puas hati di sebalik bicara Hayla. Sangsinya terhadap Hanzalah sudah sedalam samudera.

"Mesti nak mengelat sebab Hayla minta lima ribu ringgit. Nampak sangat sengkek!" hina Hayla lagi.

"Kenapa kamu asyik  fikir yang bukan-bukan pasal dia? Dia dah minta maaf sebab kemalangan tu. Kecederaan Hayla pun tak adalah teruk mana daddy tengok. Masih boleh berjalan. Keluar sampai lewat malam. Tak payah nak jadi mata duitan sangatlah, Hayla!"

Mendengar sindiran si ayah, amarah Hayla kembali marak. Wajahnya terasa bahang. Mahu meletup saja hatinya yang sudah panas bagai berada di kawah api ini. Mana mungkin Hayla membiarkan Datuk Sulaiman mempertahankan Hanzalah.

"Daddy! Dia langgar anak daddy..."

"Ya. Daddy tahu! Tapi, dia dah minta maaf sebab tak sengaja langgar Hayla. Sudahlah. Maafkan dia. Satu lagi, Hayla kena tahu kesihatan daddy makin merosot. Daddy dah tak kuat nak berjalan jauh macam dulu. Madrasah diorang tu masuk dalam kawasan perkampungan. Sebab tulah Ustaz Hanzalah datang ke rumah kita untuk jadi guru daddy. Kalau boleh, daddy nak Hayla ikut kelas ustaz sekali."

Penjelasan daripada Datuk Sulaiman benar-benar membuatkan Hayla terkelu. Wajahnya diraup kasar. Langkah terus diatur masuk ke dalam kamar. Tak betah lagi berhadapan dengan si ayah tika Datuk Sulaiman mula membangkitkan tentang kondisi kesihatannya. Sesekali, kedengaran lagi batuk si ayah yang kedengaran kronik.

Hayla jadi bingung. Penyakit apa yang sedang dihidapi oleh Datuk Sulaiman sebenarnya?

✨️✨️✨️

"APA masalah van madrasah ni? Setahu aku, baru je aku services dua bulan lepas. Meragam lagi dah kenapa?"

Ulwan mengurut pelipisnya. Bingung tatkala van yang sedang dibaiki oleh Hanzalah menganggu jadualnya yang ingin menghantar rombongan anak-anak murid di Madrasah Ubadah ke Sekolah Agama Al Hafiz bagi pertandingan Tilawah Al Quran.

"Tali sawat enjin van ni ada masalah. Dah rosak. Kalau retak sikit je memanglah meragam. Tu yang enjin dia selalu bermasalah," tutur Hanzalah seraya menutup bonet hadapan van.

"Habis tu kena tukarlah ni?"

Hanzalah menanggalkan sarung tangannya yang berminyak seraya mencuci tangan di bawah pili air. "Tak apa. Aku dah tukarkan tali sawat yang baru."

"Berapa semuanya?" Ulwan menghidupkan enjin van. Senyumannya melebar melihat kenderaan itu berjaya dibaiki oleh si adik. Dia tak nafikan, Hanzalah memang berkemahiran dalam membaiki kenderaan yang rosak. Tak sia-sia keluar modal wujudkan sebuah bengkel kereta.

"Tak payahlah bayar."

"Apa pula tak payah! Kau berniaga. Takkan aku dapat free lepas kau susah payah baiki van ni."

"Adik beradik tak payah bayarlah. Lagi pun, van tu madrasah yang punya. Keperluan anak-anak murid juga." Hanzalah masih menolak seraya membaiki sebuah lagi kenderaan yang baru saja terlibat dalam kemalangan sehingga bonet hadapan remuk.

"Betul tu bang! Madrasah punya keperluan tak payah bayar. Tapi imbalannya abang kena carikan calon isteri untuk adik kesayangan abang ni. Hah! Tak adalah dia sibuk semedang dengan enjin kereta ni semua."

Mendengar lelucon Ibnu membuatkan Ulwan tertawa kecil. Tercuit hati mendengar usikan sahabat mereka itu. Benar. Hanzalah itu hidupnya lebih banyak dihabiskan di bengkel kereta. Hanya sesekali Hanzalah ke madrasah jika mereka kekurangan tenaga pengajar atas urusan yang tak dapat dielakkan.

"Jadi macam mana Hanz?"

"Macam mana apa?" Soalan dibalas dengan soalan. Buat seketika, pekerjaan Hanzalah tergendala. Dia bertaut pandangan dengan si abang yang sudah melabuhkan duduk di sebuah kerusi yang terletak di luar bengkel.

"Jadi guru mengaji datuk. Okey tak?"

"Alhamdulillah. Semuanya okey."

"Aku dengar datuk ada anak perempuan. Model terkenal sampai ke luar negara. Boleh tahan famous juga anak dia tu. Mesti cun kan. Cuba kau bayangkan kalau datuk berkenan dengan kau, jadikan kau menantu dia..."

"Kau tak payah nak merepeklah, Ibnu! Baik kau fokus dengan kerja. Lagi banyak kau mengular, makin lambat kita siap," pintas Hanzalah seraya mencampakkan kain kotor ke arah sahabatnya. Bingit pula telinganya mendengar kata-kata Ibnu yang mengarut.

Tawa Ibnu terletus jua tatkala Hanzalah sudah dalam mood tegas. Bukan selalu dia mengusik sahabatnya yang sentiasa serius dalam bekerja itu.

"Kau ni pun Ibnu. Adik aku ni dia suka yang stok macam Ustazah Rafiah. Pendirian Hanz dia nak wanita yang taat beragama. Lemah lembut. Menjaga mahkotanya sebagai seorang wanita. Tapi tulah... aku tak nampak pula kau tertarik dengan Ustazah Rafia. Apa kata, aku minta umi taarufkan dengan kau je. Elok tu."

Hanzalah menggelengkan kepalanya. Ada-ada saja Ibnu dan Ulwan mahu mengenakannya saat ini. Walhal, kedua-dua mereka sudah jadi bujang terlajak!

"Korang sibuk fikir jodoh aku... baik korang berdua cari jodoh sendiri."

"Uish! Menusuk betul kata-kata Ustaz Hanzalah ni. Rasa kena tikam dengan lembing!" usik Ibnu lagi sambil menepuk dadanya.

Hanzalah mencebik geram. Langkah diatur masuk ke dalam bengkel. Mahu mencari pengganti cermin yang baru dan sesuai untuk kenderaan yang remuk itu.

"Aku rasa... dia masih tak boleh lupakan apa yang dah pernah jadi dulu sampai tak nak jadi pengajar kat madrasah."

"Tapi benda tu kan dah lama. Dia pun dah banyak berubah. Aku rasa depan aku sekarang ni Taufiq Hanzalah yang baru dilahirkan. Seratus peratus berubah!" Ibnu memerhatikan saja tingkah Hanzalah yang sedang melayan pelanggan yang baru datang.

"Memang benda tu dah lama. Tapi, benda tu dah jadi parut kekal dalam memori dia. Kau rasa... kenapa dia asyik menolak nak jadi pengajar kat madrasah? Padahal, dia ada ilmu. Dah banyak yang dia belajar daripada aku dengan abi. Apa lagi yang tak cukupnya?"

Buat seketika, Ibnu dan Ulwan saling bertaut pandangan. Masing-masing semakin dihentam dengan persoalan tentang Hanzalah yang sering menolak menjadi pengajar sepenuh masa di Madrasah Ubadah.

Walhal, Hanzalah itu lembut tutur bicaranya. Penuh dengan tatasusila jikalau menegur. Hanzalah juga ada ilmu agama yang sudah tersemat di dalam jiwa dan boleh disebarkan kepada orang sekeliling.

✨️✨️✨️

D

ENTUMAN muzik bersama lampu berwarna-warni yang menyuluh kelab malam itu seakan-akan menghanyutkan lautan manusia yang sedang berdansa sambil meneguk wain. Masing-masing asyik melayani kenikmatan dunia yang fana. Hanyut dengan kemaksiatan seakan-akan tiada dosa yang tercatat buat mereka.

Di satu penjuru, melihat si gadis yang sedang meneguk segelas wain sambil diapit oleh sekumpulan gadis membuatkan Marzuki serba salah. Dia menggaru pelipis seraya melabuhkan duduk bersebelahan Hayla.

Ruang fikiran mula menyusun kata untuk memujuk si gadis. Masih jelas amarah yang terpancar di wajah teman wanitanya itu. Marzuki mengerti Hayla masih tak mahu memaafkannya.

"Tahu pula nak cari I kalau bosan. Bukan you lebih pentingkan kerja ke berbanding I sampai I accident you langsung tak ada untuk I!" Bertubi-tubi amarah Hayla lontarkan tatkala dinding hatinya terasa panas. Tangan Marzuki yang mahu mengenggam tangannya ditepis kasar. Benci!

"I minta maaf, D. I rindukan you. Dah seminggu kita berperang macam ni dan selama seminggu ni juga you asyik mengelak daripada I. Okey, I janji lepas ni walau apa pun yang berlaku I akan pentingkan you seorang aje."

Hayla mengeluh panjang tatkala Marzuki mula memujuk. Sejujurnya, Hayla juga rindukan teman lelakinya itu. Tapi, rajuknya masih belum reda. Hayla berpeluk tubuh seraya bangun mahu menambah wain lagi.

Dia masih tertekan atas insiden yang berlaku di antara dia dan Hanzalah. Pergaduhannya bersama Datuk Sulaiman. Saat ini, Marzuki pula buat dia terasa hati.

"Hayla... janganlah merajuk lagi. Kalau kita macam ni lama-lama, I rasa boleh gila kut rindukan you. I minta maaf, okey." Marzuki melabuhkan duduk di sisi Hayla. Tangan Hayla dicapai sebelum dia mengeluarkan kotak baldu berwarna merah. Pandangannya tunak memerhatikan gadis yang ralit meneguk wain itu.

"Hayla..."

Tak semena-mena, Hayla tersentak tatkala Marzuki menyarungkan cincin emas di jari manisnya. Terasa kelat liur di rangkungan tatkala tatapan romantis Marzuki meresap ke relung hati. Apatah lagi tatkala kucupan hangat diberikan di kura tangannya.

Ya Tuhan, Marzuki memang romantis orangnya. Pandai memujuk!

"Hadiah untuk you. Sebagai tanda permohonan maaf I sebab buat you merajuk."

Marzuki meleretkan suaranya. Pipi mulus Hayla diusap lembut tatkala tatapan gadis itu berubah redup. Tiada lagi amarah. Mudah benar mahu memujuk gadis yang mementingkan kemewahan ini. Berikan saja barang kemas, hatinya pasti terpujuk.

"Haih! Bilalah korang berdua ni nak kahwin? Couple goals betul korangni."

Zabar yang sedang menghidangkan minuman keras kepada pelanggan menghampiri pasangan itu. Seolah-olah melihat drama sebabak saja dengan tingkah si dara dan si teruna. Kadang-kadang, dia lali menjadi saksi sesi pujuk-memujuk itu.

"Kahwin? Kau jangan nak merepeklah Zab! Kitorang muda lagi kut nak kahwin. Kan D?"

Entah mengapa, kata-kata sinis Marzuki buat hati Hayla sedikit terguris. Jelas Marzuki masih tidak bersedia untuk menikahinya. Aneh benar perasaan yang bermain di tangkai hati.

Walhal, mereka sama-sama belum bersedia untuk menjadi pasangan suami isteri. Hayla merasakan bahawa Marzuki hanya mahu menjadikannya sebagai teman wanita dan tak lebih daripada itu.

"Hayla ni cantik! Model terkenal tu. Karang ada yang rembat jadikan dia isteri baru kau tahu langit tu tinggi ke rendah!"

Tawa sinis Marzuki meletus tatkala Zabar seolah-olah memprovokasi. Dia tercabar. Sememangnya, dia belum bersedia untuk menikahi Hayla. Dia mahu bebas tanpa komitmen.

Apatah lagi Marzuki tiada niat mahu meneruskan hubungan mereka sebagai suami isteri melainkan hanya pasangan kekasih semata-mata. Dalam erti kata lain, Marzuki tak pernah mengimpikan membina sebuah keluarga bersama Hayla.

"I pun belum bersedia nak kahwin lagi. Relakslah."

"Hah! Kau tengok apa awek aku cakap... dia pun tak bersedia lagi nak jadi Cik Puan aku!" Marzuki memaut pinggang Hayla. Bangga benar mendengar bicara gadis yang kelihatan masam mencuka itu. Aneh. Masih merajuk lagikah pujaan hatinya ini?

"D... you marah lagi ke?"

Hayla menggeleng. Pandangannya bertaut dengan Marzuki. Membiarkan saja Marzuki memaut pinggangnya dan beriringan ke penjuru meja yang kosong. Mahukan privasi di antara mereka berdua untuk menyelesaikan masalah.

"I minta maaf..."

"I dah maafkan! Tak payahlah ulang ayat sama lagi. Rimaslah!"

Marzuki mengangkat kedua-dua belah tangannya paras bahu. Mengerti bahawa Hayla sudah memaafkan. Lantas, dia membiarkan saja Hayla melabuhkan kepala di atas bahunya. Melebar senyuman Marzuki tatkala gadis itu menjadikan tubuhnya sebagai sandaran. Hilang sudah amarah Hayla jikalau gadis itu dalam mood bermanja.

"Kenapa ni D? You nampak tak bermaya je."

Keluhan kecil dilepaskan. Hayla memang perlukan pendengar masalah saat ini.

"Hayla?"

"Mak Jah nak berhenti. Daddy makin hari makin pelik. I tak fahamlah, bie. Macam ada benda yang tak kena je dalam family I. Lagi satu, sejak akhir-akhir ni daddy rapat semacam aje dengan jantan keparat yang langgar I tu."

Mendengar hal itu, Marzuki jadi tergugat buat seketika. "Jantan keparat yang langgar you?"

Hayla mengangguk lemah. Dia berpandangan dengan Marzuki yang sudah berwajah tegang. Jelas, ada riak tak puas hati terpancar di laman wajah Marzuki.

"Kalau you nak tahu, jantan keparat tu anak kawan daddy. Mamat tu selalu datang rumah ajar daddy mengaji. Dahlah sejak dua menjak ni daddy dah berubah. Kalau dulu elok je dia biarkan kita keluar sampai mabuk. Sekarang, asyik nak kongkong I je lepas dia bergaul dengan pak lebai tu."

Keluhan Hayla membuatkan akal Marzuki sudah merencanakan sesuatu. Dia mengerti kemelut di jiwa Hayla. Benar. Semenjak kebelakangan ini sering saja Datuk Sulaiman mengongkong mereka sehingga Marzuki rasa tergugat tatkala kemahuannya ingin memiliki Hayla sentiasa dihalang.

"You nak I buat apa-apa tak dekat pak lebai tu?"

"Maksud you?"

Marzuki tersenyum sinis. Bahunya dijungkitkan. Segelas wain diteguk rakus sebelum dihulurkan segelas lagi kepada Hayla. Ruang fikirannya mula memikirkan idea untuk membantu si teman wanita yang kelihatan tak senang dengan kehadiran Hanzalah.

"Halau dia daripada hidup keluarga you."

Bersambung...
9.1.2025

30 vote, 10 komen unlock new chapter ✨️

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro