SESEKALI, Datuk Sulaiman yang sedang menjamah sarapan pagi mengerling tingkat atas menanti Hayla keluar dari kamar. Teguran Hanzalah malam semalam masih melekat di ruang fikiran.
Ada rasa bersalah menjentik tangkai hati lelaki tua berkaca mata itu tatkala berkasar dengan si anak gadis. Hanya disebabkan dia malu, laju saja Datuk Sulaiman menampar Hayla sehingga gadis itu kesakitan. Walhal, dia sebagai seorang ayah sekali gus ketua keluarga tak pernah memberikan didikan agama seutuhnya kepada Hidayah Hayla.
Bukan salah Hayla jikalau anak gadisnya tak tahu menjaga batas pergaulan.
"Daddy... Hayla tak balik seminggu ni. Hayla ada show dekat Paris.
Mendengar hal itu, Datuk Sulaiman bangun seraya membuntuti Hayla yang sedang mengheret bagasi keluar ke pintu rumah. Masih jelas kesan merah di pipi Hayla dek penangan tamparan si ayah.
"Hayla tak bagi tahu daddy pun Hayla outstation kali ni. Jauh tu Hayla. Nak daddy teman? Daddy beli tiket..."
Hayla mendengus. Langkahnya terhenti di muka pintu rumah. Meluat pula tatkala Datuk Sulaiman tiba-tiba mahu berbaik dengannya.
"Tak perlu teman. Marzuki dengan Zira ada sekali dengan Hayla. Lagi pun, daddy kan sibuk uruskan company daddy tu. Selama ni pun kalau daddy outstation, daddy tak pernah bagi tahu Hayla. Daddy tinggalkan je Hayla dengan Mak Jah kat rumah. Jadi, lebih baik daddy uruskan diri daddy daripada sibuk urusan Hayla."
Datuk Sulaiman menghela nafas berat tatkala ada nada rajuk di sebalik bicara Hayla. Apatah lagi riak wajah gadis itu masih masam mencuka. "Hayla marahkan daddy?"
"Buat apa Hayla marah? Hayla cuma cakap benda yang betul. Salah ke?"
Hayla tersenyum sinis. Duduk dilabuhkan di gazebo rumah sambil menanti kehadiran Marzuki. Sungguh, hatinya masih terhiris dengan pertelingkahannya bersama Datuk Sulaiman. Entah mengapa sejak kebelakangan ini ayahnya sering saja berkasar. Mengongkong gerak gerinya terutama jika dia ingin keluar bersama Marzuki.
"Daddy minta maaf. Daddy cuma nak Hayla jaga batas dengan Marzuki. Jaga maruah sebagai seorang wanita. Kalau Marzuki cintakan Hayla, kau orang kahwin ajelah senang. Daddy tak akan kongkong Hayla lagi kalau Hayla kahwin dengan Marzuki. Malu kalau jiran-jiran tengok apa yang Hayla buat kat luar rumah macam semalam." Lembut saja tutur bicara Datuk Sulaiman menegur Hayla. Duduk dilabuhkan di sisi anak gadisnya yang ralit bermain telefon pintar. Tak mahu lagi anaknya itu berjauh hati jika dia berkasar.
"Kahwin?" Hayla menjungkitkan kening kirinya. Kaget dengan cadangan mendadak Datuk Sulaiman.
"Ya. Kahwin. Daddy tengok kau orang ni intim sangat sampai..."
Hayla tertawa. Dia memeluk tubuhnya sambil bertaut pandangan dengan Datuk Sulaiman. "Daddy mengarut apa suruh Hayla kahwin dengan Marzuki? Kitorang muda lagi. Baru 28 tahun. Banyak lagi benda yang Hayla nak buat selain urus rumah tangga. Mengarutlah!"
"Hayla... daripada kau orang buat maksiat..."
"Maksiat apanya? Kita orang tak pernah tidur sama-sama pun. Ala setakat cium...."
"Jangan melampau Hidayah Hayla! Dengar cakap daddy. Boleh tak sekali ni je Hayla jangan dengar hasutan syaitan yang nak rosakkan Hayla tu! Haram hukumnya lelaki dengan perempuan yang bukan mahram berduaan apatah lagi bersentuhan! Berdosa besar kalau daddy terus biarkan Hayla hanyut dengan kemaksiatan tu. Kenapalah Hayla ni degil sangat?"
Tak semena-mena, nada suara Datuk Sulaiman naik seoktaf. Dadanya berombak kencang tatkala Hayla semakin angkuh melakukan perbuatan terkutuknya. Kesabaran Datuk Sulaiman sirna.
"Daddy ni peliklah! Selama ni... daddy biar je Hayla keluar dengan Marzuki. Kenapa tiba-tiba nak overprotective..."
"Daddy dah tua Hayla. Bila-bila masa je daddy boleh mati tinggalkan Hayla. Jadi, sebelum daddy mati... daddy nak Hayla berubah. Tolonglah belajar jaga maruah diri. Esok-esok kalau daddy mati siapa lagi yang nak tegur Hayla? Siapa lagi yang akan jaga Hayla kalau bukan diri Hayla sendiri?"
Suasana hening buat seketika. Hayla terkesima tatkala ayahnya mula mengungkit soal mati. Intuisinya mula negatif dengan setiap tutur bicara Datuk Sulaiman.
Kenapa ya sejak kebelakangan ini perilaku Datuk Sulaiman semakin aneh? Hayla tak mengerti. Apatah lagi dia jarang berada di rumah. Tak tahu apa yang berlaku kepada Datuk Sulaiman.
Bunyi hon di pekarangan rumah mematikan bicara dua beranak itu. Tanpa berlengah, Hayla bangun menghampiri Marzuki yang sudah keluar dari perut kenderaan. Nasihat Datuk Sulaiman seakan-akan masuk telinga kanan keluar telinga kiri saja. Hayla tak perlukan sebarang nasihat yang hanya menyakitkan hati semata-mata. Dia masih perlukan kebebasan!
"Assalamualaikum."
Langkah Hayla mula perlahan tatkala dia berpapasan dengan seorang pemuda yang mengenakan kurta berwarna kelabu. Hayla berkerut dengan kehadiran lelaki muda yang hanya menundukkan pandangan seraya menghampiri Datuk Sulaiman itu. Siapa ya gerangan lelaki yang menjadi tetamu ayahnya pagi-pagi ini?
✨️✨️✨️
"SEBUTAN huruf nun perlu didengungkan dengan huruf yang digabungkan selepasnya. Tiada tanda sukun di atas nun sakinah dan tanda tanwin tidak selari. Ini salah satu idgham ma'al ghunnah yang perlu datuk tahu."
Datuk Sulaiman mengangguk tatkala Hanzalah membetulkan bacaannya. Wajahnya sedikit membahang tatkala rasa segan mencengkam sanubari. Dia sudah berumur namun bacaan Al-Qurannya masih tidak lancar.
"Semula ya. Huruf lam pula idgham bila ghunnah. Apabila nun mati dan tanwin bertemu dengan huruf lam dan ra, jadi wajib dimasukkan nun mati dan tanwin mati. Perlu disebut tanpa dengung. Berbeza dengan idgham ma'al ghunnah tadi."
Keluhan yang dilepaskan oleh Datuk Sulaiman membuatkan Hanzalah tersentak. Ada tekanan di wajah lelaki yang sedang membetulkan bacaannya itu.
"Tak apa, datuk. Kita belajar sama-sama. Setiap ilmu yang kita belajar ni ada ganjaran pahalanya. Ilmu itu satu jihad dalam membawa kita ke arah kebaikan. Datuk perlahan-lahan ya. Jangan terlalu terburu-buru nak belajar sesuatu yang baru."
"Aku tak terburu-buru. Aku cuma takut... tak sempat nak khatam Al Quran sebelum aku mati."
Pandangan dua figura itu bertaut buat seketika. Hanzalah kaget tatkala air muka Datuk Sulaiman berubah sayu. Kenapa aneh benar percakapan lelaki tua ini? Apa sebenarnya yang mengasak fikiran Datuk Sulaiman sehingga tak henti-henti mengucap tentang kematian?
Memanglah mengingati kematian itu perlu namun terlalu kerap Datuk Sulaiman mengulangi perkataan yang sama.
"Datuk ada masalah?"
"Tak payahlah panggil aku datuk. Kau guru aku. Panggil pak cik lebih sesuai. Lebih mesra daripada gelaran tu." Datuk Sulaiman tersenyum pahit. Dia terbatuk-batuk sambil mengusap dadanya yang tiba-tiba terasa nyeri.
"Pak cik nampak tak sihat. Kalau macam tu, sesi pengajian kita sampat kat sini untuk hari ini. Esok kalau abi sibuk, saya akan datang lagi ajar pak cik mengaji." Hanzalah menutup Al Quran. Gerak hatinya kuat mengatakan sesuatu yang berat sedang menjadi beban Datuk Sulaiman tika ini. Wajahnya benar-benar kelihatan tak berseri lagi.
"Aku minta maaf sebab kesihatan aku, korang kena datang rumah. Aku..."
"Tak apa, pak cik. Saya dengan abi faham jarak rumah pak cik nak ke madrasah jauh. Biar kitorang pula balas jasa baik pak cik yang dah banyak tolong madrasah dengan cara begini. Saya tengok pak cik macam tak sihat. Nak saya hantarkan ke klinik?"
Datuk Sulaiman mengucup Al Quran seraya bangun dari duduknya. Songkoknya ditanggalkan. Sayu benar hatinya dengan keprihatinan Hanzalah walhal pemuda itu bukanlah anaknya. Berbeza dengan Hayla yang hanya melayaninya dengan kekasaran.
"Berapa umur kau sekarang ni?"
Soalan mengejut itu buat Hanzalah sedikit kaget. "31 tahun."
Datuk Sulaiman terangguk-angguk. Dia menepuk-nepuk bahu Hanzalah yang berdiri di sisinya.
"Hanzalah... terus sebarkan kebaikan kepada orang dalam usia kau yang masih muda. Pendosa macam pak cik... yang dah di hujung usia ni perlukan anak muda yang sudi mengajar dan membawa kami semula ke arah keredaan Allah. Aku dah sia-siakan waktu muda aku dengan cintakan dunia. Kalau masa tu boleh diundur, aku nak sangat jadi macam kau. Sisa hidup hanya diabadikan mencari reda Ilahi."
Hanzalah terkelu tatkala kata-kata Datuk Sulaiman meresap ke relung hatinya. Ada satu suntikan yang memberikan semangat baharu kepada Hanzalah untuk meneruskan hijrahnya.
"Jadi ustaz, hari ni ustaz nak kongsi tazkirah pasal apa? Maaflah, pak cik sensitif pagi-pagi ni. Dah tua. Mood pun tunggang terbalik." Datuk Sulaiman tertawa dengan leluconnya sendiri. Menjernihkan semula suasana yang hening dengan luahan hatinya yang kesal terlalu hanyut dengan duniawi saja.
"Saya nak berkongsi tentang taubat yang diterima Allah dengan pak cik hari ini." Hanzalah mengulum senyum tatkala wajah Datuk Sulaiman kembali ceria. Mereka beriringan keluar dari ruangan solat. Tercuit hatinya tatkala Datuk Sulaiman sudah memanggil Pak Mat si tukang kebun dan Mak Jah yang sibuk di dapur. Orang tua itu kelihatan kembali bersemangat.
"Hah! Hari ni Ustaz Hanzalah nak bagi kita satu perkongsian lagi. Mari kita sama-sama dengar. Bolehlah dijadikan sebagai peringatan untuk kita yang dah tua ni."
"Lama Pak Mat tunggu tazkirah hari ni, ustaz. Dah lama bersedia!"
"Mak Jah nak buatkan air dulu. Ada juga kudap-kudapan kita sambil dengar ustaz muda bagi tazkirah."
Melihat semangat pekerja-pekerja di rumahnya, Datuk Sulaiman melebarkan senyuman. Dadanya diusap-usap tatkala rasa nyeri itu semakin mencucuk.
Sekurang-kurangnya, dia dapat membawa pekerja-pekerjanya mendengar pengajian walaupun jauh di sudut hati ingin sekali Datuk Sulaiman membawa Hayla sama-sama mendengar sesi tazkirah ini.
Bersambung...
1.1.2025
20 vote, 5 komen unlock new chapter ✨️
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro