Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

EPISOD 1

"DOSA terbahagi kepada dua iaitu dosa kecil dan dosa besar. Dosa kecil akan diampuni oleh Allah dengan membuat amal kebaikan yang dapat mendekatkan diri kita kepada Allah. Misalnya seperti menunaikan solat fardu, membaca Al-Quran, beristighfar. Manakala dosa besar pula..."

Si pemuda yang mengenakan kurta berwarna hitam itu jeda. Dia memandang wajah pelajar-pelajar yang sedang khusyuk mendengar pengajarannya pada pagi itu.

"Hanya akan diampuni oleh Allah dengan melakukan taubat nasuha dan disebabkan itulah sebagai seorang Muslim, kita kena tahu dosa-dosa yang kita dah buat selama hayat kita. Jangan terlalu lalai dengan semua nikmat yang Allah anugerahkan kepada kita. Ingat, semua ini hanya pinjaman daripada yang Maha Kuasa."

"Ustaz Hanzalah, saya ada soalan." Seorang pelajar lelaki mengangkat tangannya.

"Ya, silakan."

Pelajar lelaki itu menghela nafas berat. Sesak benar dadanya mahu mengemukakan soalan ini. Namun, dia juga tak mahu terus-menerus hidup dalam kenikmatan dunia tanpa tahu perbuatan yang dilakukan itu mencatatkan dosa buatnya.

"Macam mana kita nak tahu perkara yang kita buat tu mendatangkan dosa atau tidak?"

Mendengar soalan itu, Hanzalah mematikan langkahnya di hadapan kelas. Senyuman terukir di bibir. "Menarik soalan tu. Kita ni sebagai manusia, bila terlalu hanyut dengan dunia, kita lupa segala dosa yang kita dah buat selama menjadi hamba Allah. Begini..."

Hanzalah mencapai sebuah buku bertajuk '76 dosa besar yang dianggap biasa' lalu diunjuk di hadapan pelajar-pelajarnya.

"Dalam kitab karya Imam Al-Zahabi ini, ada tertulis lebih daripada 70 dosa besar yang kita tak sedari. Korang boleh baca buku ni kalau ada kelapangan nanti. Selebihnya, kita sebagai umat Islam yang kena sedar dengan setiap dosa yang kita lakukan. Bila kita sedar dosa yang dibuat, dah tentunya kita akan rasa menyesal dan tak akan ulangi lagi perbuatan itu. Masa nilah, kita akan bertaubat kepada Allah."

Suasana hening buat seketika. Hanya bunyi mesin rumput di luar bilik darjah bersama kipas yang ligat berputar kedengaran. Masing-masing terkelu seakan mengingati semula setiap hal yang mereka lakukan sepanjang hayat. Sama ada ia menempah kepada dosa atau sebaliknya.

"Syarat taubat pula ada tiga. Pertama, setiap individu mesti rasa bersalah dan tinggalkan dosa yang dilakukan. Kedua, menyesal melakukan maksiat dan ketiga, berniat tak akan ulangi dosa itu lagi. Dalam surah At Tahrim ayat 8 Allah SWT berfirman bahawa wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan melakukan taubat nasuha."

"Macam mana kita nak tahu kalau taubat kita diterima oleh Allah?"

Soalan daripada seorang pelajar perempuan membuatkan Hanzalah terkelu buat seketika. Sorotan matanya memandang dinding kayu madrasah bercat hijau itu. Entah mengapa, degupan jantungnya tiba-tiba kencang dengan soalan maut itu.

Ya Tuhan, soalan ini sangat berat untuk Hanzalah...

"Ustaz?"

Hanzalah tersentak. Kembali dengan perkongsiannya di dalam kelas tatkala disergah oleh pelajar di hadapan. Hanzalah berdeham seraya menegakkan posisi.

"Maafkan saya. Boleh ulang soalan awak tadi?"

"Macam mana kita nak tahu Allah dah terima taubat kita?"

Sekali lagi, soalan itu seakan merentap tangkai hati Hanzalah sekelip mata. Nafas panjang dihela. Cuba mengusir anasir negatif yang menggugat fokus pengajarannya pada pagi itu.

"Salah satu tanda taubat kita diterima apabila hati kita lembut dan terbuka untuk beribadat. Kita mudah tersentuh apabila buat maksiat sekali gus kita akan menyesali perbuatan yang boleh membawa kita kepada dosa. Paling utama, kita akan rasa bersalah untuk melakukan dosa dan semuanya tanda Allah nak selamatkan kita daripada terus berpaut dengan kemaksiatan."

Lembut saja tutur bicara Hanzalah tika menjawab persoalan yang dikemukakan oleh anak muridnya. Dengan harapan, perkongsiannya pada pagi itu dapat dijadikan sebagai pedoman dalam hidup mereka.

✨️✨️✨️

"USTAZ HANZALAH!"

Sebaik saja Hanzalah keluar dari surau, suara garau yang menyergahnya dari belakang mematikan langkah si pemuda bersongkok itu. Hanzalah kalih. Terpampang figura Ulwan bersama rotan panjangnya. Pasti baru saja selesai menghukum pelajar yang membuat onar.

"Tak payahlah panggil aku ustaz. Aku tak suka."

"Kau sebahagian daripada orang kuat madrasah ni. Mestilah aku kena panggil kau ustaz juga."

Hanzalah mengherot senyum sinis. Pelipis yang tak gatal digaru. Langkah diatur menuju ke pejabat Ustaz Sorban yang terletak di bangunan bersebelahan dengan surau. Entah apa yang mahu dibincangkan oleh ayahnya pun Hanzalah tak tahu.

"Aku cuma ganti kau je. Mana-mana topik yang aku tahu, aku kongsilah dengan pelajar-pelajar kau. Selebihnya, aku tak layak nak jadi ustaz kat sini."

"Haih! Kau ni ada pula cakap macam tu. Kat madrasah ni kurang tenaga pengajar. Alang-alang tu, kau jadilah sebahagian daripada kitorang..."

"Aku dah cakap kan aku tak layak dengan semua ni. Aku lebih selesa uruskan bengkel. Baiki kenderaan rosak aje yang aku mampu buat. Tak macam kau yang tinggi ilmu agamanya," pintas Hanzalah.

Ulwan menghela nafas panjang. Bahu kekar Hanzalah ditepuk kasar. "Tapi semua orang kat madrasah perlukan kau. Kau pun dah ada ilmu. Sayang kalau kau tak gunakan ilmu yang kau ada untuk disebarkan kepada pelajar-pelajar."

Seketika, Hanzalah kematian langkah. Dia berpandangan dengan si abang dengan tekadnya yang mahu Hanzalah menjadi tenaga pengajar di Madrasah Ubadah itu. Sungguh, bukan Hanzalah mahu menolak. Tapi, Hanzalah merasakan tempat ini tak sesuai untuk orang sepertinya. Terlalu banyak khilaf dan kekurangan dalam dirinya yang perlu diperbaki lagi.

"Pendosa macam aku... tak layak nak bagi didikan agama dekat anak-anak dalam madrasah ni. Kau, abi dengan pengajar-pengajar kat madrasah ni lebih tinggi ilmunya. Kalau setakat nak ganti korang buat sementara, aku tak kisah. Tapi, bukan jadi pengajar sepenuh masa."

"Kenapa? Cuba bagi tahu aku kenapa kau rasa kau tak layak? Kau nak cakap kau pendosa... semua orang ada dosanya masing-masing, Hanz."

Hanzalah menggelengkan kepalanya. Tak mahu lagi berdiskusi tentang hal ini. "Nantilah kita sembang. Aku nak jumpa abi. Ada benda dia nak bincang dengan aku."

Tika itu, Ulwan hanya menghantar langkah si adik melalui pandangan sehingga kelibat Hanzalah hilang daripada pandangan. Keluhan kecil dilepaskan. Seakan-akan melepaskan beban di bahunya.

Bagaimana ya dia mahu membantu Hanzalah agar adiknya itu tak lagi menghukum diri sendiri dengan setiap perkara yang sudah menjadi kenangan silam dalam hidup?

✨️✨️✨️

SEBAIK saja kenderaan berjenama Porsche diparkir di halaman rumah, seorang gadis bergaun pendek berwarna merah terburu-buru keluar dari kenderaan. Dia mencangkung memuntahkan isi perutnya yang memulas di bahu jalan. Sesekali, gadis berkulit kuning langsat itu terbatuk-batuk. Tubuhnya rengsa. Kepalanya semakin pusing sehingga pandangannya berpinar-pinar.

"Kan I dah cakap jangan minum banyak sangat."

Si gadis tertawa kecil tatkala si teman lelaki menghampirinya. Membiarkan saja lelaki itu mengusap lembut bibirnya yang basah dengan sapu tangan. Tatapan redup pemuda berpakaian tuxedo hitam itu benar-benar buat dia hanyut dengan asmara cinta yang semakin berputik di relung hati.

"Esok ada shooting. Macam mana nak shooting kalau you mabuk teruk ni, Hayla? Tak pasal..."

"Bie... janganlah bising!"

Jari telunjuk dihalakan di depan bibir Marzuki. Hayla bangun dalam keadaan terhuyung-hayang. Namun, baru saja selangkah dia menapak, kakinya yang longlai membuatkan Hayla hampir rebah. Mujur saja Marzuki tangkas memaut pinggang ramping Hayla sehingga tubuh mereka saling berlaga.

Wangian di tubuh Hayla benar-benar membuatkan degupan jantung Marzuki jadi kencang. Wajah cantik itu ditatap dengan penuh kasih. Wajah si gadis berbentuk bujur sirih. Hidungnya mancung. Matanya tajam. Dagu yang tirus dengan wajah campuran Pan Asia itu benar-benar kelihatan indah di bawah kejora dan purnama.

Hanya dalam beberapa detik saja, syaitan mengasak fikiran pasangan itu. Hayla menerima saja tindakan Marzuki mengucup bibirnya. Mengelus leher jinjangnya. Debunga bahagia semakin mekar di hati kedua-duanya tatkala masing-masing terlalu leka dengan kemaksiatan tanpa menjaga batas.

"Astaghfirullahalazim, Hidayah Hayla!"

Tak semena-mena, kenikmatan itu direnggut tatkala lengan Hayla direntap kasar oleh seseorang dari belakang. Baik Hayla mahupun Marzuki, kedua-duanya kaget dengan kejutan itu.

"Apa kau buat dengan anak aku ni hah!" Datuk Sulaiman mencekak kolar baju Marzuki. Wajahnya membahang. Matanya membuntang tatkala amarah menguasai fikiran. Mana mungkin dia terima maruah anak gadisnya dipijak-pijak oleh lelaki asing itu.

"Maaf... maaf uncle. I tak sengaja..."

"Tak sengaja kepala otak kau!" Tak semena-mena, tumbukan dihenyak ke wajah Marzuki sehingga pemuda itu hampir tersungkur. Jeritan kecil Hayla kedengaran tatkala dia kaget dengan kekasaran si ayah.

"Daddy! Apa yang daddy buat..."

Hayla kematian bicara tatkala pipinya pula ditampar kuat sehingga telinganya berdesing. Wajahnya terteleng ke kanan. Hampir saja gadis itu terpelongo dengan penangan si ayah. Sakit! Tatkala dia mengangkat pandangannya, terpampang figura dua orang lelaki berbaju Melayu yang begitu asing berdiri di sisi Datuk Sulaiman.

"Memalukan! Kau pergi balik!"

Sungguh, betapa malunya Datuk Sulaiman tatkala tetamu-tetamunya harus dihadapkan dengan aksi Hayla dan Marzuki yang bercumbuan di hadapan rumah. Seakan-akan, maruah Hayla begitu murah sehingga semudah itu sahaja tubuh anak gadisnya disentuh oleh lelaki yang bukan mahram.

"Daddy..."

"Pergi masuk, Hayla! Tak payah nak malukan daddy depan ustaz!"

Hayla mendengus. Dengan langkah terhuyung-hayang, dia masuk ke dalam rumah. Panas benar hatinya tatkala hubungan asmaranya bersama Marzuki diganggu oleh si ayah.

Tatkala dia berpapasan dengan seorang pemuda bermata redup, entah mengapa Hayla rasa dejavu. Seakan-akan dia pernah melihat wajah lelaki itu sehingga menimbulkan tanda tanya di benak fikiran Hayla.

"Maaf ustaz. Kalau aku tahu anak aku buat hal macam ni, aku tak patut jemput kau dengan Hanzalah ke rumah. Buang masa je tengok kemaksiatan ada dalam rumah aku ni." Datuk Sulaiman mengusap tengkuknya. Wajah Ustaz Sorban dan Hanzalah dipandang silih berganti. Malunya sudah seluas samudera!

"Tak apa, Sul. Kami faham masalah yang kau tengah hadap sekarang ni. Bawakan bersabar ya. Nak didik anak gadis ni memang perlukan kesabaran. Kalau ada apa-apa masalah, kau bagi tahu je aku. Mana-mana aku boleh bantu, aku bantu. Kau kena jaga kesihatan kau juga, Sul. Jangan lupa makan ubat."

Ustaz Sorban menepuk lembut bahu Datuk Sulaiman yang kelihatan pucat. Kasihan dengan sahabatnya yang ditimpa musibah tanpa henti.

"Terima kasih ambil berat pasal aku. Sudi datang sini untuk kelas mengaji hari ini. Kalau boleh... aku nak Hayla ikut sekali untuk setiap sesi pengajian kita. Tapi... anak aku tu keras kepala sangat. Susah nak dibentuk bila dah terlalu hanyut dengan dunia sosialnya tu."

Sungguh, Datuk Sulaiman semakin lelah mahu membentuk Hayla menjadi muslimah sejati. Semenjak anak gadisnya menjadi peragawati sehingga namanya dijulang tinggi ke peringkat antarabangsa, tiada lagi nilai muslimah dalam diri Hayla.

Gadis itu terlalu hanyut tanpa mempedulikan maruahnya yang sering saja dipertonton di khalayak. Ya Tuhan, Datuk Sulaiman merasakan dia gagal membimbing anaknya dengan nilai Islam.

"Salah aku juga... terlalu manjakan Hayla. Apa yang Hayla buat selama ni, aku tak pernah halang walaupun tu melibatkan maruah dia. Kalau aku mati nanti... aku risau je dia makin sesat..."

"Datuk... saya tak ada kat tempat datuk yang kena lalui ujian dalam membentuk anak datuk menjadi seorang muslimah. Tapi, perlahan-lahan cuba pujuk dan selami hati anak datuk kenapa dia lebih sukakan kebebasan."

"Jangan gunakan kekerasan dalam membimbing dia. Rasulullah SAW sendiri menasihati umatNya agar menggunakan kelembutan dalam menegur dan menasihati seseorang. Semuanya perlukan kesabaran. Tak salahkan kalau kita ikut cara Rasulullah SAW?"

Kata-kata Hanzalah mematikan bicara Datuk Sulaiman. Pandangannya bertaut dengan pemuda yang sudah tersenyum simpul itu. Tenang saja air muka anak bongsunya Ustaz Sorban. Tutur bicaranya juga lembut dan begitu teratur. Membuatkan hati Datuk Sulaiman jadi sejuk serta-merta.

Benar kata Hanzalah, seharusnya dia menggunakan kelembutan untuk menegur Hayla. Bukannya kekerasan sehingga hubungan mereka dua beranak semakin dingin.

"Terima kasih ustaz. Ingatkan pak cik tentang cara mendidik anak pak cik tu."

"Tak payahlah panggil saya ustaz. Saya bukan ustaz macam abi dengan abang saya. Kerja saya kat bengkel uruskan kereta-kereta rosak aje, datuk."

Ustaz Sorban tertawa kecil. Dia menggelengkan kepalanya tatkala Hanzalah tak gemar dipanggil ustaz. Dia mengerti. Anaknya ini terlalu merendah diri dan sering saja menganggap bahawa ilmunya tak tinggi dalam mendidik orang sekeliling. 

Bersambung...
1.1.2025

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro