Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

LAMA Aki menatap air tenang di dasar gelas itu sehingga matanya juling. Dagunya rapat menyentuh muka meja.

"Aku mahu berhenti," semburnya kehampaan.

Mata si teman menjegil memandang ke arahnya dengan penuh kehairanan. Kepingan sandwic yang separa dikunyah diletakkan kembali ke piring. Selera rakannya itu tiba-tiba dimatikan dengan perkataan yang terpacul dari bibir Aki.

"Kau gila!"

Aki menganggukkan kepala, langsung tidak menafikan dakwaan si teman.

"Kau bukan orang pertama yang memanggil aku gila."

Seakan dia menerima gelaran itu dengan penuh kebanggaan. Bibirnya sedari tadi tidak lekang dengan senyuman walhal hatinya membusung keresahan.

"Sama ada kau ini bodoh atau penakut Aki. Ini masanya untuk kau bersinar."

Dia harus menasihati rakannya yang tampak kebingungan saat ini.

"Bukan aku tidak mahukan tugasan ini Khalid. Bingung..."

Seharian dia gusar. Seharian dia tidak melakukan apa-apa. Pertemuan tempoh hari dengan Dhul Fiqar seakan-akan memenjarakan dirinya ke satu sudut gila.

"Sekarang, cuba kau beritahu aku. Apa yang buat kau mahu berputus asa?"

Sandwic di pinggan kembali dikunyah. Herot-berot segala mulut Khalid saat berbicara pada masa yang sama.

Aki bermenung seketika. Ada sesuatu tentang jejaka itu. Sesuatu yang bukan untuk diteka. Hanya dengan gerak hatinya baru dia dapat mengetahui rahsia gelap Dhul Fiqar. Tiada tangan yang bergegar, tiada perasaan untuk ditelah dan dibaca.

Langkah Aki pincang. Pertemuan pertama kali saat dia diuji. Pertemuan kali kedua, saat dia diteliti. Setiap peringkat pertemuan itu ada maksud tersendiri. Malah jika diperhalusi, Dhul Fiqar akan mengambil masa selama dua minggu sebelum berkeputusan untuk bertemu dengannya kembali. Manakala setiap kali dia berurusan dengan Dhul Fiqar, dia sukar mengawal perasaan.

Itu yang tidak diberitakan kepada teman rapatnya, Khalid. Namun selepas dia dan subjek itu memeterai kepercayaan pada pertemuan yang lalu, perasaannya terhadap Dhul Fiqar mula berkalih. Jika diteliti, Dhul Fiqar tidak seperti yang disangka. Ada kelembutan yang disorok rapi. Yang tidak terjumpa dek Aki akan kuncinya. Aki mahu terus berhati-hati. Gusar andai kehilangan hati.

Dua minggu sudah semenjak pertemuan terakhir mereka. Aki menatap kotak e-mel yang kosong, menanti menerima pesanan baru. E-melnya tidak berbalas sejak kali terakhir dia mengutusnya pada minggu lalu. Cubaannya untuk mendesak Dhul Fiqar demi mempercepatkan waktu tampak tiada hasil. Malah dia sendiri sudah melapangkan jadual dan tugasan hakiki demi memberi ruang kepada tugasan temu bual itu.

"Agaknya dia bencikan aku. Setiap kali berjumpa mesti dipakainya cermin mata hitam."

Itu juga tidak dia ketahui. Apa benar Dhul Fiqar itu menaruh rasa benci terhadapnya? Atau masih menyisip perasaan curiga. Benar, dia tidak dapat lagi meneka. Sihirnya sebagai seorang penulis yang pantas mengetahui segalanya seakan-akan sirna.

Menunggu kemunculan Dhul Fiqar seperti menunggu bulan jatuh ke riba. Seperti dia dihukum pula. Fikirannya bercelaru dengan usikan perasaan yang bercampur baur perihal tugasan itu. Sudahnya dia berbicara seorang diri. Saban waktu dia mengisi hari di pejabat itu dengan berteleku di meja. Isu kepercayaan yang ditekankan oleh Dhul Fiqar pasti berkait rapat dengan polisi syarikat gergasi miliknya. Seorang jutawan ulung seperti itu harus memiliki kepentingan sendiri demi melindungi empayarnya. Bak seorang raja yang menaungi takhta. Tampuknya harus kebal daripada ketirisan cubaan asing yang dapat menggugat kuasa. Maka Aki berkesimpulan, kepercayaan itu harus demi melindungi kredibiliti seorang Dhul Fiqar. Manalah tahu, seorang penulis sepertinya bertindak liar mencobek rahsia syarikat. Kepalanya tergeleng sendirian saat memikirkan kemungkinan itu.

"Aku akan gila dalam masa dua bulan lagi."

Langsung kepalanya terlangkup ke meja. menghitung jati diri yang kian terhakis atas nama satu penulisan.

"Apa kena dengan kamu?" terdengar satu suara menegurnya dari belakang.

Aki pantas bingkas. Rambutnya yang mengurai menutupi muka tidak ubah seperti orang kurang siuman itu dirapikan.

"Tiada apa Encik Harun," balasnya tersengih-sengih. Seperti kerang busuk, dia menyamari tingkahnya lagi.

"Nampaknya tugasan ini betul-betul membuatkan kamu berkerja keras, Aki," ulas Harun.

"Ah, tuan ketua editor! Kau takkan pernah tahu apa yang bakal aku hadapi," bisik Aki sendirian.

"Ya, Encik Harun."

Dia tidak keruan diserbu sebegitu rupa. Tabiat Harun, gemar sekali menyergah pekerja dari belakang.

"Saya yakin kamu boleh lakukannya."

Kata-kata Harun itu bukan sahaja mendatangkan gerun kepada dirinya. Malah umpama satu ucapan yang mencampakkan dirinya ke cenuram dalam.

"Setakat ini, semua berjalan lancar," terang Aki.

Berbohong lagi.

Walhal dirinya tidak keruan sejak ditugaskan dalam penulisan biografi mustahil ini. Subjek yang tidak kunjung tiba dan masa yang berlalu seperti air di terusan. Walau berat untuk diakui bahawasanya dia kesal menerima tugasan biografi itu.

"Bagus kalau begitu Aki. Jangan kamu jatuh cinta dengan dia pula. Dia itu seorang duda."

Mendengarkan sahaja kata-kata Harun itu, tubuh Aki terdampar di kerusi. Ibarat dipanah halilintar, dia kaku pada mula. Sejurus Harun beredar, tangannya berderapan di kekunci. Paparan enjin carian bergemerlapan di hadapan mata. Perkataan 'duda' itu secara halus telah merasukinya. Status Dhul Fiqar yang gah itu tidak pernah melintasi pemikirannya. Mengapa agaknya? Dia tertanya sendiri. Pembacaannya tentang penakluk empayar RHEA itu dalam Majalah Times dan Forbes tiada menemukan soal status.

Perihal Dhul Fiqar dan RHEA menjelma di skrin komputer umpama diseru. Laman sosial X menonjolkan satu pautan nama yang menarik perhatiannya. Saat sahaja ruang media itu menjamahi mata, Aki dibauri persepsi. Gambar hutan, gunung-ganang, pepohon liar dan rangkaian projek mega yang melibatkan kecerdikan buatan. Beberapa foto siri jajahan kemanusiaan di luar negara terutamanya di Timur Tengah dan Afrika juga terbentang megah.

Nihil. Kenihilan kekosongan tentang perihal statusnya. Tiada sebarang foto si rupawan yang menjadi milikan seorang jutawan.

Melihatkan laman itu sahaja, fikiran Aki berpesta dengan andaian. Tampaknya jolokan yang dijulang Dhul Fiqar itu wajar sekali. Menjadi pempengaruh dan teladan kepada golongan muda dengan caranya tersendiri. Maka bertepatan dengan itu, baru dia akur dengan hajat penerbitan biografi Dhul Fiqar itu. Satu foto Dhul Fiqar yang bercermin mata hitam memaparkan separuh wajahnya seakan-akan mengusik andaian Aki. Dia merenung foto di skrin itu. Tiada apa yang terlihat pada 'kekosongan' Dhul Fiqar. Aki Maylea mengigit bibir. Dia yang tidak betah dihampakan ketidaktahuan.  

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro