Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

JARI Aki menekan butang 'berhenti' pada rakaman di telefon tangan. Wajah si teman di hadapannya ditatap. Tatkala itu tersembur hilai tawa daripada Khalid sehingga mengejutkan pelanggan di meja sebelah. Aki memberi isyarat dengan jari telunjuk ke bibir agar Khalid tidak terlalu lantang.

"Aki, habislah kau! Kau diperangkap orang..."

"Mengarutlah."

Aki memejam kedua mata rapat. Terngiang-ngiang di telinga suara Dhul Fiqar bersama desiran nafas yang menderu ke hadapan wajahnya.

"Nasib baik aku ini lelaki. Kalau aku perempuan, sudah lama jatuh cinta."

Khalid mencebik bibir memandang ke arah Aki yang matanya seakan-akan terpacak pada rakaman temu bual di telefon. Tanpa prejudis lagi Khalid membuat kesimpulan, Aki itu sedang tidak tentu arah berhadapan dengan lagak seseorang seperti Dhul Fiqar.

"Ini tugasan penulisan bukannya rancangan pencarian The Bachelor of The Year."

Laju dia menepis dugaan Khalid sebentar tadi. Tidak begitu, si teman itu pasti membuat andaian bukan-bukan terhadapnya. Kini Aki seperti terperangkap pula. Diluah salah, ditelan seorang diri tentang kejadian berdepan dengan jutawan itu juga menambah resah.

Aki seperti hilang akal. Semenjak pertemuan pertama itu, tiada sebarang khabar daripada Dhul Fiqar. Dia menunggu umpama mengharapkan rombongan risikan dari kayangan, namun hampa. Tiada berita, tiada e-mel atau panggilan telefon diterima.

"Habis tu kenapa aku lihat kau tak tentu arah, angau?"

Kepala Aki terlangkup ke muka meja. Membenam gundah yang menjalar menyeksa.

"Kau gila. Macam mana aku tak tentu arah. Hampir dua minggu, dia senyap saja. Bahan untuk biografi kosong, tiada perkembangan. Apa aku mahu jawab kalau tiba-tiba Harun tanya? Mati?"

Aki menggigit bibir sendiri. Harus dia kebimbangan dengan situasi itu.

"Tenang saja Aki. Bukan masalah kau. Lagipun, kenapa tidak kau saja yang hubungi dia?"

Kedinginan yang janggal antara mereka itu yang menyebabkan Aki kaku. Sebetulnya berdepan dengan Dhul Fiqar, dia seakan-akan baru bertatih dan menjadi tidak reti. Salangkan Aki masih menaruh rasa tentang perlakuan Dhul Fiqar yang sengaja menguji kepercayaannya. Tingkahnya yang menyamari diri di pantri itu masih mencabar perasaannya. Geram juga dipermainkan sedemikian. Manakala pertemuan kali kedua yang berlangsung sebagai satu sesi perkenalan itu nyata tidak membuahkan hasil. Meninggalkan Aki tertanya-tanya.

"Nampaknya biografi ini akan menjadi satu penulisan yang panjang."

Dalam diam Aki mempersoalkan kemahuan sebenar Dhul Fiqar. Apa yang benar-benar dia mahukan? Berkali-kali persoalan itu menghunjang dirinya. Dia yang tersinggung dalam satu pengharapan akan sebuah temu janji yang tidak kunjung tiba. Natijahnya Aki terpuruk semalaman mendengar rakaman suara berkali-kali dimainkan, berulang-ulang juga suara itu berdendang sepertinya mengharapkan terbit jawapan yang tidak terungkap daripadanya. Suara Dhul Fiqar membuatkan dia meremang sendiri. Aki seperti disihir kali ini.

Dhul Fiqar merua tangan kanan ke arah simbahan cahaya matahari yang memancar terang. Sepertinya dia mahu menjala matahari yang menusuk ke segenap ruang itu dengan jemari. Helaian langsir yang terselak memberi ruang cahaya merebak ke sekitar. Tangan yang merua cahaya itu dia perhatikan. Tiada lagi getaran. Dadanya yang kebiasaan sesak dilurut perlahan.

Semenjak pertemuan dengan gadis penulis itu, dia senang bersendirian. Terkenangkan sahaja si penulis itu, badannya diselimuti peluh dingin. Kedua tangan bergetaran. Detak di dada memainkan genderang. Selepas pertemuan terakhir dua minggu lalu, Dhul Fiqar menjarangkan diri sendiri.

Dia ketakutan, gentar menyelinap rasa. Setiap kali perasaan itu menjalari diri, Dhul Fiqar merintih. Merintih akan sebuah kehilangan. Ingatan terhadap si dia akhir-akhir ini kerap pula mendatangi dirinya. Dhul Fiqar rimpuh seorang diri memikirkan si dia. Apatah lagi kenangan lalu itu begitu meruntun hati.

"Ingatlah kepadaku. Maka aku akan ingat pula kepadamu."

Sejurus itu bibirnya menyebut Allahuakbar, kedua tangan meraup ke wajah kemudian tangan kanan itu bergerak ke dada. Ke satu bahagian di kiri badan yang menyimpan organ insani. Jiwa itu dimiliki seorang teman. Teman yang lebih layak dimiliki oleh Tuhan. Tatkala itu dia menyatakan syukur. Andai Khadijah isterinya itu masih hidup, entahkan penderitaan yang ditanggungnya tidak terperikan. Oleh kerana itu, Allah menuntutnya daripada Dhul Fiqar. Namun hati Dhul Fiqar seakan-akan mati. Jantung yang berdegup itu tidak lagi menyatakan seri hidup. Dia melayang, menebar kehidupan namun jiwanya kekosongan.

Air matanya mengalir perlahan. Dadanya kencang, jemarinya menggeletar menepis ketakutan. Dia teresak-esak ditumpaskan kehampaan. Pada siang hari bolong begitu, Dhul Fiqar merintih memanggil nama yang tidak pernah menyahut panggilan. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro