Bab 6
Tahun 2000.
IDRIS menyinga di suatu sudut. Bergumpalan tangannya sedari tadi. Perjalanan hidup keluarga kecilnya itu berpindah randah sejak dari dahulu. Kenangan di rumah kolonial di mana tempat dia dilahirkan bermain di fikiran.
"Aku membela kamu Dayang. Tapi ini yang kau balas."
Dayang itu berduri dalam diam. Sudah lelah Idris menuruti kemahuan seorang isteri selama ini. Demi mengubati apa sahaja yang mendatangkan kesakitan kepada Dayang. Namun yang mendatangkan rengsa ke hati isteri itu rupanya Idris dan seorang anak yang masih kebudakan. Demikianlah Dayang, seorang isteri yang tidak bertaut pada sebarang ikatan. Tidak berperasaan seperti orang kebanyakan.
"Aku juga mangsa keadaan."
Idris tertawa.
"Hai perempuan! Dia yang bermain api, dialah jua yang mengadu terbakar."
Tubuh isterinya meringkuk dalam kesayuan.
"Aku bukan berdarah kayangan seperti kamu..."
"Sudah!"
Begitu jua alasan yang diberikan setiap kali Idris disalang oleh seorang isteri yang tega bermain kayu tiga. Sesudah itu seharian Dayang akan mengunci diri di kamar. Bermenung dan berduka mengenangkan rompang hatinya yang tidak terisi dengan kasih orang. Tidak dengan kasih Idris mahupun anaknya Urwah. Salangkan anak itu puas mengemis demi memenangi kasih bondanya. Urwah yang dahagakan perhatian dan cinta daripada air tangan seorang ibu.
"Bonda, jangan tinggalkan Urwah."
Sekuntum bunga yang diragut dari jalanan kini tergenggam di tangan Urwah. Dayang mengerling dengan ekor mata. Bunga itu disambut, dicium pada mula.
"Bunga ini tidak akan mengubati aku Urwah. Kau ada kucingmu. Anggap sahaja dia penggantiku."
Betapa pedih hati Urwah seakan-akan dipipih. Petang itu Urwah berbasahan di halaman belakang rumah. Hujan dan petir yang menimpanya langsung tidak diendah. Pembantu rumah berpekik melolong memanggil Dayang mengenangkan anaknya yang seperti dirasuk kehampaan.
"Urwah! Masuklah, nak. Apa yang kau mahu lakukan?" tempik Dayang.
Air hujan yang bercucuran menimpa ke wajah tidak pula membasuh duka yang bergenderang di hati sang anak.
"Jika sekuntum bunga tidak cukup untuk menggembirakan hati bonda, akan aku tanam sekebun bunga."
Tatkala itu hati Dayang terbidik keras. Melungsur tubuh si ibu ke bawah, terjelepok ke lantai nan basah.
Dia masih kembali ke tahun itu. Ingatan yang mengembalikan tirisan kenangan tentang bonda. Yang mengoyak jatinya, yang menjadi acuan insani seorang anak perindu.
Titisan itu bak hujan. Mencurah ke wajahnya. Lencun segala umpama ditimpa hujan di laman bunga. Saat namanya bergema di fikiran, dia melepaskan raungan hiba. Ya, dia mengingati nama itu. Nama ulung yang terbit megah di bibir bonda.
Sepantas dia menyaksikan wajah yang kuyup di cermin. Pantulan wajahnya itu terburai dengan leretan senyuman. Jemarinya yang basah dilumur ke wajah. Lalu berlemur wajahnya dengan warna merah, darah.
Matanya menjalar ke tubuh nan kaku di lantai kamar. Tubuh yang tidak lagi bernyawa. Demi terpandangkan sahaja wajah di lantai itu, dia mengongoi. Kesayuan, tangisan itu menjadi lagu kesedihan yang tidak terperikan. Tubuhnya mengerekot. Wajah di lantai yang berlumuran darah itu umpama wajah bonda.
Tanpa silu dia menyeru nama itu. Seorang lelaki tawanan yang sekian lama menjadi pendampingnya. Di sebalik dinding yang kedinginan, perlahan muncul seorang lelaki yang kelemahan. Tawanan yang sekian lama menjadi hamba abdi. Yang berkongsi kesakitan dan kegilaan di kamar rahsia itu bersama seorang manusia durjana.
"Aku... Bonda, aku minta maaf."
Lelaki lemah itu menghampiri si durjana yang bergerunyut mengerekot di lantai.
"Lihatlah. Apa yang telah kau buat?"
Terketar-ketar suara lelaki tawanan itu membentaknya. Walau gentar, dia juga tidak sudi menghalang si durjana yang tidak betah ditentang itu. Setiap kelakuan kejinya di kamar rahsia itu menjadi tontonan si lelaki tawanan. Bukan tidak ditentang, sekian lama dia berperang demi meloloskan diri daripada pegangan si durjana itu walhal gagal. Sekian lama dia juga tiada henti menjadi bahan seksaan. Wajahnya dirembas ke dinding, tubuhnya dilantun. Adakalanya butir matanya seperti mahu dicungkil andai dia berani menyanggah. Sudahnya dia hanya mampu bergantung harap pada doa. Bahawa suatu hari nanti, saat si durjana itu kelelahan, akan dia lari menyepikan diri.
"Kau bunuh dia. Kau tak boleh berterusan begini," sambung si lelaki tawanan lagi.
Cukuplah kekejian yang menjadi bahan cendera buat si durjana itu merejam emosinya di kamar itu.
Tidak semena-mena si durjana itu bangkit sepantasnya. Ibarat bergerak menyaingi cahaya, ketangkasan lelaki gagah itu tidak terbandingkan. Tiada siapa yang menjadi saingannya. Bahawa dia itu seorang yang bijaksana dan tangkas juga.
"Kau lupa? Apa yang bonda lakukan kepada kita? Jangan kau lupa. Itu habuan buatnya."
Kedua tangannya mencengkam ke leher si tawanan. Wajah lelaki lemah itu berkalih gerun.
"Kau gila! Lepaskan aku. Apa yang kau mahu daripada aku?"
Terkurung di kamar rahsia itu ibarat dikuburkan masih bernyawa. Menyaksikan segala tingkah jelik dan keji seorang manusia pemangsa sedemikian, dia bakal kehilangan jiwa.
"Stick with me! We are in this together."
"Berapa ramai lagi yang akan jadi mangsa?"
Lelaki lemah itu menggelengkan kepala perlahan. Tubuhnya tersadai, nyata dia ketakutan. Lantas tubuh itu dijulang dengan sepasang tangan perkasa. Giginya yang tajam tampak menyeringai seakan-akan serigala yang mahu melapah mangsa.
"You can't run. Kau dan aku!" bisik si durjana itu ke telinga tawanannya.
Tubuh lelaki tawanan itu jatuh dalam dakapannya.
Bahawasanya si durjana itu bergantung harap kepada si lelaki tawanan. Betapa dia telah menganggap si tawanan itu adalah sebahagian daripada keterujaan. Kekejian yang bersarang, kegilaan yang menyelubungi dirinya itu harus dinikmati bersama. Ibarat sudah terpateri lama, si tawanan itu jua miliknya.
Sebetulnya Megat itu tertawan. Kes yang membunuh. Sepanjang lima tahun sudah berlangsungnya jalanan karier Megat yang ditawan kegelitaan. Fail-fail di muka meja yang berserakan itu tidak tentu letak duduknya. Hari ini berada di atas meja, esok hari di tepian dinding. Kini mata Megat tercacak dipengaruhi fail-fail lama yang bertempik meminta dibelek. Sebelum dia tercegat di tepian pintu.
Betapa dua orang tua itu tidak menyedari bahawa tingkah mereka diperhati. Sedari tadi, dua pasang mata menggerdip dari rekahan pintu yang ternganga. Keduanya tercegat dengan tangan di pinggang.
Dani mengeluh kasar. Megat dilihatnya berpatah ke kerusi di meja. Sebuah fail yang terbentang di hadapan mata diangkat. Sekeping foto terkepil di jemarinya.
"Setiap hari mereka ke mari," ucap Dani.
Megat menggaru kepala yang tidak gatal. Fail itu dibuka entah buat kali ke berapa. Tidak terhitung, namun situasinya masih tidak berganjak. Kes itu mustahil untuk dimajukan. Kekurangan bukti, kekurangan petunjuk malah kekurangan hati untuk Megat kendali. Matanya terbungkam sekadar melepaskan rasa yang tidak pula difahami sesiapa. Semenjak berlalunya kes jahanam itu, hati Megat membeku.
"Apa lagi yang harus kita lakukan Dani?"
Dani mengurap kedua tangan ke kepala. Tiada petunjuk yang menunjukkan kehilangan perempuan itu melibatkan sebarang kelakuan jenayah.
"Tunggu dan lihat saja."
Mulut Megat terjuih dengan sebuah senyuman kelat. Sudah beberapa bulan kes perempuan yang hilang itu berlanjutan. Yang menuntut kepulangannya adalah dua orang datuk dan nenek. Bukanlah Megat tidak bersimpati, namun kes sebegitu sekian lama membuatkan hatinya mati. Lima tahun lamanya dia memeram perasaan dendam akan kes jahanam. Lima tahun dia terpuruk sengsara, menyimpan kuku patah yang tidak lagi berbisa. Andai selamanya dia begitu, maka molek sahaja dia berterusan menyembunyikan diri. Agar tidak pula dilihat orang bahawa Megat, seorang detektif ulung kini hanya helang yang tidak berparuh.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro