Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Sabtu. 3:00pm. Akan dijemput.

TULISAN itu seperti menempelaknya. Dibaca setelah terlambat begitu membuatkan dia menanggung malu. Pertemuan yang mengharukan. Satu permulaan yang janggal. Mahu saja Aki Maylea menyorongkan wajah ke bawah meja. Dia dijejak sendiri oleh jutawan itu sehingga ke pejabat.

Natijah kebodohan kerana berusuh hati dan menjadi hamba perasaan. Aki menepuk dahi. Andai tidak terlalu ikutkan perasaan, perkara itu tidak mungkin terjadi. Temu ramah itu pasti berlangsung lancar pada Sabtu, jam 3.00 petang yang kini berlalu. Sejurus kejadian janggal pada hari Isnin itu dapat dihindar.

Dia berkira-kira tentang perkara yang tidak mungkin diundur masa.

"Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak bodoh...Mundur pun masih tersungkur," bisiknya sendirian.

Sedar sahaja dirinya kini berada di sebuah balkoni di bangunan tinggi. Dari ketinggian 20 tingkat, angin pagi menderu aman. Sebuah meja putih siap tersedia. Beberapa tumbuhan hijau berpasu melata dengan daunnya yang terbuai ditiup angin. Nafasnya ditarik sedalam mungkin. Dia cuba bertenang. Kelibat Dhul Fiqar masih hilang sejak mereka keluar dari perut kereta. Malahan Dhul Fiqar itu langsung tidak bersuara. Sepertinya Aki itu tidak wujud, seperti dia halimunan. Itu menambahkan kucam dan gemuruh yang sedia membarah.

Setidaknya Dhul Fiqar tidak mengesan roman wajahnya yang berintik keresahan. Dia menunggu di balkoni itu. Didendangi ciapan sekawan merpati kecil yang kedengaran seperti mengecam kebodohan dirinya. Gementar, sebuah buku nota berserta pena dia keluarkan. Dia mahu tampil bersedia.

"Come on, Aki! You can do this."

Perasaannya terhadap si juwatan itu masih sama. Menaruh sangsi terhadap pertemuan mereka yang tidak berhasil pada pertama kali itu. Hatinya malah tercucuh mengenangkan sandiwara tidak bernama yang dimainkan jutawan itu. Jejaka yang tega memberi komentar buruk tentang Dhul Fiqar di pantri itu berlegar di benaknya. Ya, jejaka yang membelakangi dirinya. Pada hari Isnin itu, bercermin mata hitam, jejaka yang sama muncul di bilik Harun. Itulah Dhul Fiqar. Dek kerana kejadian itu juga, Aki seperti menaruh dendam.

Aki memejam mata. Menarik nafas sedalamnya. Membentuk cakra semangat yang terpelanting dek kelemahan diri.

"Dia manusia biasa. Anggap saja dia bunga, seperti bunga bonda. Bunga tiga bulan..."

"Hydrangea."

Terpana, sebelum sempat pula Aki bertingkah, Dhul Fiqar telah sedia melabuhkan duduk di hadapannya. Aki memberikan sebuah senyuman kelat. Tertanya-tanya sama ada jutawan itu memasang telinga mendengar celotehan resah daripadanya.

"Hydrangea senang ditanam. Elegan. Lebih senang ditanam pada musim luruh," menurutnya lagi.

Aki kembali gamam. Tidak tahu bagaimana harus memberi tindak balas kepada penyataan Dhul Fiqar itu. Dia menganggukkan kepala sahaja sambil terkenangkan pula kesalahan yang telah dia lakukan perihal temu janji itu.

"Tuan Dhul Fiqar sukakan bunga?"

Tiada respon. Melalui sepasang kaca mata hitam yang tidak memperlihatkan sebarang emosi itu, Aki dikerah meneka.

"Not really my thing."

Dingin. Justeru Aki mengepit pena di tangan. Kemas. Sebelum mengumpul kekuatan yang tidak dia punyai pada waktu itu.

"Aku minta maaf. Temu janji pada hari Sabtu itu dan terima kasih kerana tidak memberitahu Encik Harun tentang itu."

Andai Dhul Fiqar tersasul tentang pertemuan yang tidak berlaku pada hari Sabtu, dia bakal hancur. Betapa malu. Tidak seharusnya terjadi. Adakala dia mahu sahaja mencabut lari dan menggugurkan diri sendiri daripada cabaran biografi ini. Mungkin nanti dia akan menulis tentang Biografi Kebodohan Seorang Aki Maylea. Perihal bagaimana tugasan ini yang dikira mahu menjahanamkan karier penulisannya. Namun nyata dia sendiri yang menjunamkan diri ke gaung jahanam itu.

"I don't care, really."

Pandangan yang tidak dapat diteliti itu benar-benar meresahkan Aki. Kelebihannya menelah kelakuan orang kini tiada lagi berguna. Berdepan dengan seseorang seperti Dhul Fiqar, Aki seperti lumpuh. Yang terserlah hanyalah kedangkalan diri. Dingin, kaku dan tiada sebarang perasaan untuk ditakluk, jutawan di hadapannya itu bertukar menjadi sehelai kertas hitam. Kosong lagi menyangsikan.

Kedinginan Dhul Fiqar itu menyebabkan fikirannya tumpul. Lalu bercempera di benaknya perihal yang bukan-bukan. Gundah bercampur gelisah, membuatkan Aki kurang selesa. Fikirannya diusik sebuah persona. Entahkan mengapa, yang tercucuh tatkala itu adalah hatinya. Menyedari keadaan itu bakal memburuk, Aki mengurap tangan kanan yang bersarung hitam itu, seakan-akan menggapai kekuatan. Maka menderu ingatan yang cuba dilupakan pada kotak memori silam. Jelas di matanya darah yang membuak. Pergelangan lengan rabik seorang abang yang kejang di perbaringan. Pantas Aki melarikan pandangannya yang mulai kabur. Pena di genggaman kian kemas sepertinya mahu terbenam di telapak tangan. Cubaan memori hitam untuk menjengah dan melorek harinya itu wajar ditentang.

"Are you okay?"

Suara itu bergema di pendengaran. Merenjatkan kembali fikirannya agar berlaku tenang. Dhul Fiqar mengunjukkan sebotol minuman.

"Pomegranate. Untuk orang bukan kebanyakan...seperti kamu."

Merinding, Aki mencapai minuman itu dalam keberatan. Menyumpah pula dia kepada diri sendiri setelah disindir secara halus begitu. Air di botol diteguk demi menyamari keresahan.

"Aku rasa kita bermula dengan cara yang salah tempoh hari..."

Aki hanya berdiam diri. Seperti si pandir dia merasakan dirinya kini. Yang tidak mengerti apa-apa. Yang ditimbun persoalan berjela tentang Dhul Fiqar. Dia memandang sahaja ke tangan yang bersarung hitam. Tangan yang akan bergegar tatkala dia keresahan. Tangan yang akan mencampakkan dirinya kembali ke pangkal pohon hujan-hujan.

Sekonyong-konyong seperti dapat pula membaca apa yang bermain di fikirannya, Dhul Fiqar menghulurkan genggaman.

"Kita bermula semula. Aku Dhul Fiqar."

Pertama kali dia mendengar Dhul Fiqar menyebut namanya sendiri, barulah Aki pasti. Walhal mata itu tidak dapat dia tentang, dari suara dan kelakuannya, Aki membuat kesimpulan mudah. Bahawa huluran itu ikhlas.

Tangan kanan diangkat seraya menganggukkan kepala sebelum ditekapkan ke dada kiri demi menghormati.

"Aki Maylea. Aku tak berjabat tangan dengan orang. Maaf."

Dhul Fiqar menundukkan kepala, menghormati.

Aki mendongak mata ke langit yang terhampar. Biru dan tenang. Buat seketika dia menatap ke langit biru. Mengampu si langit tinggi agar disalurkan ketenangan buat dirinya.

"Kenapa tempoh hari tuan mengelak?" tanya Aki.

Benar, sedangkan mereka sudah bertembung walau tidak bersemuka. Tanpa bertangguh Aki melancarkan perang. Taring dendam berkilau terang, bersedia untuk dibenam. Dia tidak betah menahan rasa. Ketidaktahuan menjadi duri di hatinya.

Dhul Fiqar tampak tersenyum sinis. Aki menyimpan soalan itu sejak kali pertama dia menjejak kaki ke balkoni itu. Malahan kejadian di pantri itu sepertinya membelungsing dirinya.

"Kamu rasa kenapa?"

Aki membetulkan duduk. Pandangan Dhul Fiqar yang tidak terlihat itu seperti ingin dicekahnya.

"Aku tidak tahu Tuan Dhul Fiqar. Aku fikir, mungkin kau tidak sukakan penulisan aku atau kurang yakin dengan kemampuan aku."

Walhal dia sendiri yang merasakan demikian.

"Ini sebabnya aku tidak membuat temu ramah begini di pejabat kerana aku kurang gemar apabila orang menggelar aku 'tuan', dan sebagainya. Pertemuan tempoh hari, itu isu keselamatan."

Dahi Aki berkerut. Riak wajah jutawan yang sukar diteka itu cuba diselami sebaik mungkin. Dari sebalik cermin mata hitam itu kebolehannya tercabar jua. Setiap gerak geri batang tubuh dan tindakan Dhul Fiqar itu dilirik melalui ekor mata. Hampa, dia sukar meneka dan membuat analisis.

"Maksudnya isu kepercayaan."

Lebih tepat lagi, Dhul Fiqar tidak mahu bertaruh dengan siapa dia berurusan. Dia mahukan ketelusan dan kepercayaan.

Dhul Fiqar memandang ke bawah.

"Tepat sekali!"

Aki akur. Usai isu ketidaktahuan pertama yang menggagalkan pertemuan awal mereka.

Pena di tangan mula dilarikan ke muka kertas. Tepat pada masanya untuk Aki memulakan temu ramah ini. Sama ada dia bersedia atau tidak, harus juga dia menekan butang mula.

Angkuh. Bijak. Keangkuhan yang sukar diteka.

"Boleh kita mulakan sekarang? Isnin, April 18."

Perakam suara di telefon tangan diaktifkan.

"Siapa sebenarnya jutawan yang bernama Dhul Fiqar?"

Aki bermula tenang.

Jutawan itu yang pada mula duduk sahaja di kerusi kini berdiri. Langkahnya mendekati Aki. Sasa dan tinggi. Di mana tempat Dhul Fiqar berdiri itu, sinar matahari juga terhalang dek batang tubuhnya. Sehingga wajah Aki itu umpama dinaungi awan mendung, dilindungi tubuh Dhul Fiqar yang tercacang megah.

Perlahan-lahan tubuh itu menjunam ke hadapan. Wajahnya merapati ke wajah Aki. Kedua tangan bertongkat di meja. Tepat di hadapan mata Aki.

"Cukup untuk hari ini. Hari ini kita berkenalan sahaja."

Tippp!

Bunyi perakam di telefon tangan Aki ditutup. Aki mengerling ke telefon tangan yang terdampar di meja. Jemari Dhul Fiqar yang serba runcing itu tampak menjalar di skrin telefon milik Aki. Aki menelan liur. Kaget. Bertambah gila. Semudah itu pertemuan mereka dinoktahkan.

Saat kereta itu meluncur meninggalkan bangunan pejabat Dhul Fiqar, Aki tidak melihat jejaka itu di mana-mana. Pemandu yang menghantarnya pulang pula adalah seorang lelaki yang tidak pernah bersua muka dengannya. Nyata bukan Hambali. Dia terdiam. Umpama ayam berak kapur, mulutnya seakan-akan terkunci. Apa yang baru sahaja berlaku itu telah menyihir diri Aki sepenuhnya. Sedar tidak sedar, dia menggigit bibir sendiri. Mempersoalkan tindakan Dhul Fiqar yang mustahil dibaca. Berbicara dengannya umpama bercakap dengan hantu. Itu tanggapan liarnya yang pertama. yang membuatkan Aki Maylea terawang-awangan. Di awangan fikirannya meniti perihal seseorang.

"Aki Maylea, tolong jangan gila."

Kata-kata itu terlafaz bak mentera di bibirnya. Bibit-bibit kegusaran menjengah, menghimpitnya dengan ketakutan. Dhul Fiqar yang megah itu seakan-akan satu cabaran. Mencabar keperempuanannya yang tidak kebal dengan kirana seorang jejaka. Luar biasa sekali, Aki Maylea sepertinya disihir. Sesungguhnya Dhul Fiqar itu lebih gah di luar daripada apa yang diteliti pada muka hadapan majalah tempoh hari.

Menghilang sahaja kelibat penulis bersarung tangan hitam itu dari balkoni, mata Dhul Fiqar itu tidak lagi terbuka malahan terpejam rapat. Cermin mata hitam yang menyamari kegelisahan itu entah tercampak ke mana. Badannya bergetaran. Dia menahan gigil di badan. Tangannya tidak lagi gagah. Tubuh yang sasa itu mula meruyup mahu rebah. Dia tercungap-cungap.

"Fiqar! Fiqar..."

Hambali meraung mendapatkan Dhul Fiqar yang kini terjelepok ke tepian kerusi. Setelah itu hanya kegelapan hitam yang didiaminya.

Dua jam tubuhnya kejung di perbaringan di kerusi panjang. Jemari yang kaku itu mulai bergerak perlahan-lahan. Pandangannya masih berpinar. Dhul Fiqar bangkit dalam kelelahan. Segelas air putih yang disediakan Hambali diteguk tidak bersisa. Sehingga matanya menjeling ke muka pintu hanya kerana dia rasa seperti diperhatikan. Berdiri tenang di muka pintu itu ialah Hambali. Kedua tangan orang kanannya tersemat di saku. Wajahnya penuh kelat, menggambarkan sesuatu yang akan dihambur keluar sedikit masa nanti.

"Sudah aku katakan. Kita harus lakukan sesuatu, Fiqar."

"Ah, Hambali!"

Dhul Fiqar memberi isyarat tangan ke atas. Dia tidak betah ditebak, diingatkan tentang kelemahan diri sendiri lagi. Untung dia bertindak pantas mengakhiri pertemuan bersama Aki Maylea. Tidak begitu, pasti si penulis itu akan menyaksikan kelompangan diri yang cuba disorok tenang. Tubuh Hambali merapati kerusi. Tuannya itu tampak begitu terdera sekali.

"Bagi aku penyelesaian Hambali. Pertemuan seterusnya dengan penulis itu."

Betapa si tuan itu kedengaran mahu mengalah dan lelah.

"Coffee House di kelab."

Dhul Fiqar pantas menggelengkan kepala. Cadangan Hambali itu sukar diterima. Namun hatinya tidak bersedia untuk ditemuramah dan berbicara tentang diri sendiri di tempat yang begitu terbuka. Walhal di sebuah bilik privasi juga tidak akan membantu dalam usahanya menentang kesakitan yang dimiliki.

Demi temu bual itu, dia harus kekal tenang, aman tanpa ada mata-mata yang menyorot ke wajahnya.

"Tiada tempat lain lagi Fiqar, melainkan di rumah..."

Hanya tempat itu yang dapat menenangkan hatinya. Hanya di situ dia rasakan kesakitannya tidak terpampang. Berhadapan dengan seseorang seumpama Aki Maylea, Dhul Fiqar deras keresahan. Jantungnya berdegup pantas seakan-akan dia sedang menghabiskan satu pusingan larian. Walhal dia hanya duduk-duduk di kerusi, berbicara tentang diri sendiri. Namun air muka dan renungan mata si gadis itu akan memporak-perandakan kelakiannya.

Berdepan dengan seseorang yang tidak dikenali bakal mencetuskan keresahan buat Dhul Fiqar. Tubuhnya pasti melayu umpama usai bertarung hayat di medan perang. Paling tidak dia akan pengsan. Kesakitan yang tidak mahu diperlihatkan kepada Aki Maylea atau menjadi bacaan dunia dalam biografi ulungnya. Andai pertemuan itu diadakan di sebuah tempat terbuka, hayatnya tidak panjang. Dia runsing akan keresahan sepanjang masa. Khuatir si penulis bakal menyedari betapa tempangnya seorang Dhul Fiqar yang tampil gah hanya luarannya sahaja.

"Aku perlukan masa..."

"Masa untuk apa?"

"Entahlah Hambali. Mungkin aku perlukan penulis lain," katanya bersahaja. Hambali akur dengan kemahuan tuannya.

Sedangkan Dhul Fiqar yang pada mula menurut kehendak sendiri dengan memilih penulis itu.

"Mungkin aku perlukan masa untuk mengenali dia," sambungnya lagi.

"Tidakkah kau takut?"

"Takut? Kenapa?" soal Dhul Fiqar seraya berkerut seribu keningnya dengan persoalan yang dibangkirkan Hambali.

"Dia seorang penyihir Fiqar. Itu kebolehannya yang dapat aku baca setakat ini. Lihat sahaja kebolehannya menduga kau dan aku, seperti seorang mentalist."

"Maksud kau, dia berupaya mengubah dan menentukan apa yang kita fikirkan?" Hambali menganggukkan kepalanya lagi.

"Kuasa untuk mengawal pemikiran seseorang. Lihat bagaimana dia begitu bersahaja mengawal pemikirannya sendiri."

Seorang mentalist berupaya mempamerkan kawalan pemikiran yang baik sejurus membaca apa yang tersirat di fikiran orang lain.

"Penyihir..." tutur Dhul Fiqar.

Ingatan tentang Aki Maylea melewati fikiran. Berkabut dibuatnya, sepertinya dia sedang disihir dek seorang penulis yang bersarung hitam di tangan. Ya, sarung hitam di tangan itu juga menjadi perhatian dan tanda tanya buat Dhul Fiqar.

"Aku juga perasan, pandangannya akan difokuskan kepada gerak-geri dan tingkah laku kita."

Hambali di hadapannya menyalakan api rokok. Fikiran Dhul Fiqar menerawang mengingati sepasang mata bundar. Diperhatikan sahaja api di puntung rokok yang kian malap bertukar menjadi bara. Salangkan ada bara kehangatan yang mencucuh hatinya. Semakin membara, membangkitkan rasa. Penulis bersarung tangan hitam itu bakal mendatangkan parah buat dirinya. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro