Bab 4
NOTA-NOTA pesanan bertempelan di muka komputer. Tertera nama pemanggil berserta pesanan ringkas pada nota berkenaan.
'Dhul Fiqar, appointment date yet to be confirmed.'
'Dhul Fiqar, expecting return call.'
'Dhul Fiqar, new appointment date is ready to be viewed via e-mail.'
Aki Maylea itu seorang pemberontak tekal. Darah penderhaka segar mengalir dalam diri. Kejadian di pejabat jutawan itu tempoh hari nyata menjentik rasa. Perasaan seorang penulis tidak terbilang sepertinya yang menggayut harap kepada kejayaan orang. Penulisan biografi itu tidak hanya sebuah projek mega bahkan satu cerlak keemasan buat Aki. Maka harus dia berasa hati dengan tingkah jejaka itu. Andai menaruh curiga, penulisan biografi itu tidak harus dipersetujui pada mula.
"Dasar goblok," bebelnya sendirian.
Natijahnya pesanan-pesanan itu tidak dia hiraukan lagi. Direntap sahaja nota-nota nipis itu sebelum dilantun ke tong sampah. Sebetulnya tiadalah dia guram akan kelakuan Dhul Fiqar yang gusar bertentang mata dek taraf dirinya. Taraf mereka yang tidak setara. Dia tidak kaya. Walhal yang membelungsing hatinya hanya kelakuan itu seperti mahu mengosek kredibilitinya sebagai seorang penulis. Selama Aki berkerja sebagai seorang penulis kolum, kredibiliti sebagai seorang pendukung kerjaya profesional tidak pernah dibelakangkan. Betapa dia itu seorang yang berpendirian.
Untuk seketika, skrin komputer itu sekadar diperhatikan. Matanya terpejam kemudian pandangan itu terbenam ke kedalaman yang membutakan. Tiada terlihat apa-apa melainkan kegelisahan yang kian dirasakan.
Pertama, dia gusar akan keupayaan diri sendiri. Masakan tidak, penulisan ini terlalu gah buat seseorang sekecil dia. Kedua, ada perasaan curiga menjalari hati. Perihal tugasan itu dan semua yang bersangkutan dengannya. Ketiga, persona seorang jejaka bergelar Dhul Fiqar. Aneh sekali, Aki Maylea merasakan dedar di hati.
Maka itulah alasan yang menjadikan dia tidak keruan. Mungkinkah dia sedang terjunam ke lembah perasaan sendiri?
"Oh Tuhan, apa yang tak kena dengan aku?"
Tangannya beberapa kali mengurap ke kepala.
"Tolonglah! Please, please... subjek ini biarlah baik-baik saja."
Dia melayangkan doa dengan kedua mata terpejam rapat. Saat itu satu notifikasi berdenting di telefon tangan. Bunyi kotak e-mel yang terisi dengan satu pesanan baru.
"Hey! Dari tadi sekejap kepala ke meja, sekejap mata terpejam. Bertafakur ke? Ini, siapkan 50 salinan. Segera ya!"
Suara Rubi bergema sejurus menghambat seketika kegusaran yang melanda. Terpana, matanya tidak berkelip. Paparan e-mel di telefon itu dilirik seketika. Yang disentuh penglihatannya hanya nama pautan e-mel yang ketara.
"Rhea."
Langsung dia mendengus. Dokumen yang disua oleh Rubi itu pantas dikelek. Layangan e-mel penting itu tidak diendahkan. Diseret, diketepikan ke kotak arkib tanpa dia sedari.
Sabtu. 3:00pm. Akan dijemput.
Tanpa dia membaca apa yang tertulis buatnya.
Sudahnya minggu itu berlalu seperti magis. Jumaat diakhiri dengan kelelahan. Sabtu dan Ahad tidak dirasakan nikmatnya. Pergi tanpa dirintih. Pagi Isnin itu dia muncul bersama dua cawan kopi panas buat Rubi dan Harun.
Pukul 9.00 pagi pada setiap hari Isnin, sesi pertemuan di kamar mesyuarat menjadi rutin kebiasaan. Tajuk artikel dan draf penulisan dipersembahkan sebelum diterbitkan. Suara Harun kedengaran bersilih ganti bersama kegusaran saat ketua editor itu memberikan ucapan. Malahan fikiran Aki banyak melayang. Kegusaran perihal penulisan biografi itu nyata telah merasuk dirinya. Sekembalinya ke meja selepas rutin pertemuan itu, dia melekapkan sepasang fon telinga ke kepala. Lagu Serial Killer nyanyian Lana Del Rey berputar sepertinya mahu mengait rasa. Buat sekalian kalinya, dia ingin tenang. Tugasan bertimbun yang belum dilangsaikan mulai menerpa mengerah perhatian.
Tampaknya ketenangan itu tidak lama diraih. Deringan telefon meja menjerit menghambat keamanan yang dinikmati sesaat cuma. Suara Harun bergema di hujung talian menyerunya ke bilik ketua editor. Dia akur.
Saat daun pintu terkuak, wajah Harun tersengih kerang menantinya di belakang meja. Aneh. Bibirnya melebar ke seluruh wajah menampakkan barisan gigi yang kian menguning. Seorang lelaki tidak dikenali duduk di kerusi di hadapan meja Harun. Yang terlihat dek Aki, hanya belakang kepala sahaja.
"Aki..."
"Ya, Encik Harun."
Harun memberi isyarat dengan menggerakkan kepala. Tanpa dapat menangkap maknanya, Aki bingung. Belakang kepala itu dipandang, kali ini diperiksa. Lalu terdetik kejadian seakan-akan serupa beberapa hari sudah. Belakang kepala itu seperti pernah dilihatnya. Tapi di mana?
"Siapa Encik Harun?"
"Ehem..." suaranya berdehem sebelum bangkit memalingkan wajah.
Sepasang cermin mata hitam tersemat menyembunyikan riak yang tidak dapat diteka.
Tatkala itu lutut Aki Maylea melurut. Hatinya bergenderang dengan makian. Wajahnya membera kemerahan.
"Tuan Dhul Fiqar menunggu kamu. Katanya ada temu janji."
Mulut Harun yang melebar itu mahu sahaja dirabiknya dengan kedua tangan. Dia cemas, gemuruh mendatang.
"Seperti yang diberitahu dalam e-mel tempoh hari. Temu janji kita pada hari ini, Isnin."
Aki terpempan. Oh, Tuhan! E-mel itu. Ya, e-mel yang tidak diendah secara tidak sengaja. Atau sengaja? Dek terlalu ikutkan perasaan perlakuannya itu nyata menjahanamkan. Fikiran Aki berkecamuk hebat.
"Oh, ya. E-mel itu."
Sepertinya sudah terlambat untuk dia mengorek kotak e-mel dan memeriksa isinya.
Jejaka di hadapannya itu membetulkan kaca mata seraya memandang ke bawah. Jantung Aki seperti mahu luruh.
Rona wajahnya mulai berkait reba. Berwarna kemerahan menggambarkan silu yang tidak terperikan. Lagu Serial Killer kedengaran menggegar benaknya. Langsung perlahan-lahan membunuh semangatnya yang sedia kala rebeh.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro