Bab 3
BUAIAN itu berpilin di talinya. Berputar laju sehingga menujah rasa. Rasa tidak ingin bercacang di halaman yang berduka itu. Seseorang muncul dari batang pohon hujan-hujan. Menyentuh dia di kepala, mengurap lembut rambutnya. Menyatakan sayang buat seketika sebelum menghilang membawa wajah bermuram durja. Tangannya ditatap. Darah merah membuak membauri rasa-rasa yang buram di telapak itu.
"Anmar!"
Suara raungan itu akhirnya lipur ditenggelami bunyian yang berkumpul di telinga.
Matanya terbuntang. Dadanya sesak. Berpaling dia ke tingkap bilik yang terhentak sesama seakan bertempik menggesa ditutup segera. Jendela yang dirempuh angin kencang dari luar. Ada ribut yang bakal melanda. Aki menghela nafas panjang. Mimpi aneh itu tidak segan bertandang. Acap kali memburukkan jendera tidurnya.
Dahi berintik dengan peluh dingin. Pukul 1.00 pagi, jam di meja menunjukkan masa. Dia mengeluh seraya terduduk di katil. Cabaran gila daripada Harun menerpa. Wajah seorang jejaka membangkitkan rasa. Dia yang curiga dan sengsara pada masa yang sama. Curiga kerana tugasan itu seperti jerangkap untuk menjahanamkan dirinya. Sengsara hanya kerana subjek itu terlalu gah buatnya. Bukan tidak pernah dia menguruskan subjek yang hebat lagi tampan. Malah jauh lebih kacak daripada jejaka itu juga belanar. Sudahnya dia sendiri menggaru kepala.
"Aki... Apa yang tak kena dengan kau? Gila!" dia menghamun diri sendiri.
Lantas komputer riba di meja tulis dibuka. Nama Dhul Fiqar ditaip pada enjin carian. Demi tugasan ini, dia harus mengisi pengetahuan seadanya. Andai benar ia sebuah peluang keemasan, tidak harus Aki persiakan terlepas di celahan jemarinya.
"Dhul Fiqar, CEO sebuah syarikat berteraskan artificial intelligence RHEA, perintis kehebatan kejuruteraan alatan di Malaysia dan luar negara. CEO syarikat dermawan berteraskan komuniti dan masyarakat." Demikian Aki membaca perincian yang terpapar pada sebuah laman sesawang.
Berjela penerangan tentang kerjaya dan keunggulan seorang pemuda yang tidak pernah Aki kenali. Dia terlalu hebat, seagung namanya. Tidak terbandingkan pada pandangan Aki. Itu mendatangkan gentar, membuatkan perasaannya goyang akan kebolehan diri sendiri.
"Apa ada pada wang ringgit dan paras rupa?"
Wajah itu menggamit rasa. Kian ditatap kian membuatkan hatinya direntap. Ada sebuah perasaan aneh yang menyusup jalannya ke hati Aki. Perasaan ketidaktahuan yang muncul tatkala wajah itu menjelma di fikiran.
Sebetulnya, perihal itu membebani hatinya. Rasa yang tidak enak itu bakal mengekang tindak-tanduknya.
"Matilah aku. Pftttt!" bisiknya.
Aki kembali ke katil. Tubuhnya terbentang di tilam dengan kedua mata yang membuntang memanahi siling tinggi. Dia memejamkan mata buat seketika. Rintik hujan mulai bertaburan di luar jendela. Sepertinya membasuh kecelaruan yang melanda sejurus mengamankan perasaan. Rintik-rintik yang bergenderang itu sebetulnya penawar. Buat sekalian kalinya dia tenang. Saat aman begitu, ingatan terhadap daerah itu menerpa. Daerah diam yang tersemat di hatinya sekian lama.
Sudah berapa lama daerah itu diasingkan daripada ingatan. Namun ia kerap kali kembali menuntun wajah-wajah nan sepi, wajah yang sudah tiada di dunia ini. Tatkala itu wajah seorang pemuda mendatanginya. Persis sebuah impian indah, pemuda itu dilihat menghulurkan tangan, membuka hatinya perlahan-lahan dengan senyuman manis dan ucapan mengasyikkan. Hatinya terusik. Namun perlahan-lahan juga dia menutup kembali pintu hati.
Jejaka manis itu, Penin. Tidak sanggup dia khianati hati yang begitu dikasihi. Namun rindu di hatinya kian menebak rasa. Ingatannya kepada Penin tidak sekali luntur. Malah setiap kali dia menerima pertanyaan khabar daripada Penin, jantungnya mekar kegirangan. Meskipun setiap kali itu jua dia akan mengabaikan Penin. Membiarkan jejaka itu tenggelam disenyapkan rindu yang tidak disampaikan.
Ruyup, matanya mulai kelayuan. Wajah pemuda perkasa yang bernama luar biasa menepis Penin daripada ingatan. Apa yang perlu dia lakukan dengan si luar biasa ini? Ah, Harun pastinya mempunyai corak penaklukannya tersendiri dalam mendidik penulis-penulis asuhannya! Tidak begitu, mengapa begitu tegar dia menyampaikan kekaguman terhadap hasil penulisan Aki selama ini? Manakala janji Harun untuk menerbitkan manuskrip itu yang menjerat kenaifan Aki. Persetankan Harun dan apa jua yang tersisip di sebalik cermin matanya itu. Akan dia jadikan penulisan ini titik lonjakan kerjayanya sebagai seorang penulis picisan.
"Dhul Fiqar..." bisiknya perlahan.
Seakan menyeru empunya nama. Sebelum matanya terus lena dibelit ingatan terhadap si penama perkasa.
BERIBU batu di sebuah kepulauan Maldives, berkongsi garis masa yang sama, jantung Dhul Fiqar berdetak kuat secara tiba-tiba. Berdegup menggoncang rasa ketakutan yang menjalar dalam diri. Sebetulnya dia dibangkitkan dengan satu seruan. Mimpi itu menggertak naluri kelakian. Mimpi tentang seorang gadis tidak bermuka. Gadis misteri yang menyoroti hatinya bak mentari temerang. Matanya yang kegelapan kini menyala. Seakan namanya diseru satu suara tidak bertuan. Debaran itu tidak menyenangkan. Terkenang akan satu nama yang kebelakangan ini menjalari hidupnya. Nama yang dia tuntut demi satu tugasan. Nama gadis itu dituding pada sekeping lembaran majalah. Tanpa wajah, tidak bermuka, penulis itu menjerat kelakiannya berbekalkan barisan kata. Hanya kerana sebuah nama. Nama bunga.
"Aki Maylea...."
Terbit nama itu di bibirnya. Ingatannya menjalar kepada Aki Maylea. Dhul Fiqar sukar memikirkan penulis itu. Mengapa ada sahaja getaran yang membelit dirinya tatkala ingatan kepada si dia menerpa.
Nama penulis yang tidak pula tersohor mana. Namun saat ternampak sahaja nama itu, ia membangkitkan ingatan Dhul Fiqar tentang sesuatu.
"Bunga," bisiknya perlahan.
Perihal Aki Maylea itu telah dia soroti. Seorang penulis tidak ternama dari syarikat Epigoni. Entahkan apa yang merasuki Dhul Fiqar itu sedangkan tidur juga tidak lena. Nama tidak berwajah itu bermain di fikirannya semenjak idea penulisan biografi itu dilancarkan. Dia kini dikepung kegusaran. Sepertinya dia menyesali tingkah sendiri yang menyatakan persetujuan atas projek penulisan itu. Maka dia mengingati dengan jelas kisah seorang Aki Maylea.
"Kematian misteri seorang anak ternama di kediaman kampung..."
Bacaan itu mendera di ingatan. Hanya butiran itu yang dapat dikaitkan dengan penulis itu.
Rupanya Aki Maylea itu sekuntum bunga yang terluka.
KERUSI yang disua seorang pekerja lelaki itu tidak terus diduduki. Malahan matanya melilau meneliti sekeliling. Ruang pejabat di menara tinggi itu seulung namanya. Aki menarik nafas mencuba mencari ketenangan. Ada gentar yang berdetak di dada. Ada sesuatu yang canggung mulai bertumbuh di jiwa. Perasaan yang dia kurang gemar tatkala terhidu sesuatu diluar jangkaan. Ketidaktahuan.
Pekerja lelaki itu memberi isyarat agar Aki tampil ke pantri selepas dia diberi pilihan antara teh dan kopi. Keduanya tidak pernah menjadi kegemaran Aki. Lalu dia dipelawa ke sebuah pantri terbuka.
Seorang pekerja yang sedang leka membersihkan kaunter menyapanya dengan senyuman. Sebuah peti ais besar tersergam di hadapan mata. Aki membuka pintu gedang itu. Pelbagai jenis jus dan minuman terpapar. Sambalewa sahaja dia menggapai botol air berwarna kemerahan yang tertera pomegranate pada paparannya.
"Kebanyakan orang tidak suka minuman itu."
Pandangan Aki melilau mencari punca suara. Sebatang tubuh kedapatan di penjuru bilik, berhadapan dengan tingkap kaca yang besar. Hampir sahaja tidak terlihat dek matanya. Bercekak pinggang, tangannya menatang secangkir kopi pagi. Asap berkepul di muka cawan itu menandakan minuman itu masih belum disentuh. Sesekali dia mengganggukkan kepala, bereaksi saat lembaran akhbar di hadapan mata diselak.
"Hmmm..." Terdengar jelas bunyi mengumam, walhal mulutnya kejap tertutup rapat.
Aki berpaling wajah. Lelaki yang membelakangi dirinya dengan kopi di cawan itu tidak bertingkah. Hanya suara sahaja yang berbunyi megah. Seraya botol minuman itu ditatap. Dia tidak banyak berfikir. Sedangkan yang mengaburi pemikirannya kini adalah soal temu ramah bersama seorang jutawan ulung. Maka harus dia merasakan gemuruh.
"Nasib baiklah aku bukan orang kebanyakan."
Sengaja dia bercura. Lelaki itu tidak berpaling. Masih menatap dada akhbar sambil menghirup kopi di cawan. Aki tidak lagi memandang. Dia harus kembali ke bilik temu ramah sebelum orang besar itu tiba.
"Urusan apa ke sini?"
Langkahnya terhenti di muka pintu.
"Untuk menemu bual Dhul Fiqar... Tuan Dhul Fiqar."
Dia menutup mulut saat tersasul. Nama itu sebuah nama besar. Harus dia menjaga butir bicara demi menghormati jutawan itu.
"Ah, Dhul Fiqar! Leceh."
Aki terkesima. Kerap kali dia berpaling muka ke luar. Meneliti andai ada sesiapa yang memasang telinga. Dhul Fiqar itu bakal menjadi tuannya juga. Dia yang akan menulis biografi tentang jutawan itu.
"Maksud encik...?"
Aki memberanikan diri bertanya. Walhal boleh sahaja jika dia tidak endah, beredar dari situ tanpa memikirkan apa kepentingan lelaki itu untuk berkata demikian. Cangkir kopi di tangan dikembalikan ke piring. Lembaran akhbar diselak lagi. Yang berbicara dengan Aki Maylea itu hanya sebatang tubuh tidak berwajah.
Kaku kaki Aki di pintu itu menantikan bicara seterusnya.
"Angkuh, tidak mesra! Kau akan tahu."
Terdiam Aki di bukaan pintu itu.
"Aku masih tidak kenal dia siapa. Tidak molek jika berprasangka buruk kepada orang sehingga bersemuka sendiri dengannya."
Pantas dia meninggalkan ruang pantri. Lelaki asing dan pendapat liarnya itu tidak wajar diberi perhatian lebih lama. Nama segah Dhul Fiqar pasti ada yang membenci, menyimpan iri.
Kerusi di bilik temu ramah itu dia duduki buat pertama kali. Sebuah pintu yang menghubungkan bilik itu dengan sebuah bilik lain sekadar diperhatikan sepi. Dadanya kembali berdetar, memainkan lagu gundah. Menanti dan terus menanti saat kemunculan gerangan yang menerbitkan sebuah rasa aneh dari sebalik pintu.
Akhirnya pintu itu terkuak. Sepenuh perhatian dihalakan kepada gerangan yang muncul itu. Seorang jejaka berpakaian kemas menampilkan diri. Berkot, tali lehernya dirapikan dengan jemari saat dia tersenyum di hadapan Aki. Saat itulah jantung Aki yang sedari tadi berlarian deras kini tidak lagi berdetak kasar. Salangkan perasaannya itu mulai dibauri kehairanan.
Yang muncul di hadapannya itu bukan Dhul Fiqar yang dinantikan.
"Cik Aki. Terlebih dahulu saya ingin meminta maaf. Tuan Dhul Fiqar digesa untuk menghadiri sebuah persidangan secara tiba-tiba. Jadi dia tidak dapat menemui Cik Aki pada hari ini. Tidak perlu risau. Saya yang akan menjawab segala pertanyaan Cik Aki pada hari ini."
Di fikirannya Aki melihat diri sendiri terperenyak ke kerusi. Air di botol yang tidak bersentuh itu dipandang sekilas. Kepalanya seakan berpusing secara tiba-tiba. Saat di mana dia menaruh harapan besar untuk bersemuka dengan jutawan itu, kehampaan yang menerpa. Kecewa dan terasing. Temu ramah itu tiada gunanya tanpa tuan empunya badan. Matanya meliar, membuntang seketika sebelum memicing. Tumpuannya hanya satu, seorang lelaki berpakaian kemas di hadapan mata. Lalu berlegar sepasang mata seakan sebuah lensa kamera, membesar dan mengecil memanah sasaran.
Kedua tangan erat berpaut. Rapat ke tubuh. Menyembunyikan sesuatu. Pandangan mata tidak tetap. Liar, seperti sedang memeriksa dirinya.
Ragu. Tidak percaya malah curiga.
Pakaian yang tersarung di tubuh tegap itu menempikkan satu perkara, cita rasa. Air muka nan bersih. Jam mewah di pergelangan tangan itu menjadi perhatian Aki sedari lelaki itu pertama kali menonjolkan rupa. Gerak hati Aki mula melaungkan cerita.
Patek Phillippe.
Aki Maylea mulai berdiri. Beg sandangnya ditempatkan ke bahu.
"Errr... Cik Aki!"
Lelaki itu mulai terpinga-pinga tatkala menyedari tingkah Aki yang mahu beredar.
"Ada baiknya kita batalkan pertemuan ini Encik...?"
"Hambali. Pembantu kanan Tuan Dhul Fiqar."
Terkesima mungkin, wajah yang berselirat dengan ketenangan tadi akhirnya bersembul dengan tanda tanya. Wajah Hambali berkerut seribu.
"Tapi Cik Aki boleh teruskan temu ramah ini tanpa Tuan Dhul Fiqar. Segalanya telah saya sediakan atas arahan tuan."
Lelaki itu cuba untuk senyum. Namun garisan yang memeri di wajahnya hanya menambah perisa curiga. Curiga terhadap seorang penulis. Lantas, Aki menggenggam kedua tangan.
"Maaf Encik Hambali. Aku menulis tentang Tuan Dhul Fiqar, bukan kamu! Tanpanya, penulisan ini tak akan ke mana."
Langkah kaki diatur.
"Sebab itu telah saya sediakan semuanya tentang Tuan Dhul Fiqar."
Fail-fail yang bertindan antara satu sama lain di atas meja di penjuru bilik itu menjadi bidikan telunjuk Hambali.
Aki melepaskan sebuah keluhan kasar. Tidak, itu bukan satu persediaan. Strategi menampilkan orang suruhan yang paling rapat itu adalah satu permainan yang tidak dapat Aki baca. Ada sesuatu tentang perencanaan itu. Hambali dan tuannya. Nyata, mereka menyorok sesuatu. Tidak hanya curiga, malah menyelit ketidakpercayaan terhadap seorang penulis. Itu yang dapat ditelah oleh Aki Maylea. Rasa aneh yang bergelumang dari mula itu seakan memberi satu petanda.
"Kamu tak percayakan aku, Encik Hambali. Jadi lebih baik aku pergi!"
Hambali tertagak.
"Ahh... rasanya Cik Aki sudah salah faham."
Langkah kaki Aki terhenti. Matanya yang melirik itu tidak sekadar meneliti, malah menyampaikan apa yang tidak ingin diketahui.
"Kamu di sini bukan untuk menjawab pertanyaan aku. Beritahu aku Encik Hambali, jenis kepercayaan yang macam mana diperlukan oleh Tuan Dhul Fiqar? Kepercayaan tanpa batas, percaya membabi buta atau percaya sehingga sanggup mengorbankan apa saja sekalipun nyawa?"
Kekakuan Hambali seakan tidak reti untuk beraksi. Apa yang terhambur dari bibir penulis itu dilayangkan umpama satu tamparan kasar.
"Please Encik Hambali... Tidak perlu sembunyikan perasaan kamu."
Yang terpapar umpama santapan buat mindanya tentang perasaan curiga dan kegusaran.
"Cik Aki, saya tak sembunyikan apa-apa..."
"Jam kamu itu Encik Hambali. Tanda satu kepercayaan ulung. Kepercayaaan luar biasa seorang pekerja. Hadiah seorang tuan kepada pembantu kesayangannya, Patek Phillippe."
Berdetar bibir Aki menyatakan apa sahaja yang menjadi habuan di fikirannya tentang lelaki itu. Bercahaya matanya saat rahsia perihal seutas jam mewah yang menjadi lambang kepercayaan antara dua manusia itu terlerai begitu sahaja. Betapa dia kepuasan tatkala menghurai perihal rahsia yang tidak pula diketahui sesiapa itu. Hambali kembali tertanya-tanya.
"Jemarimu keras, bahumu tegang. Pandangan mata yang berkeliaran. Kamu tertanya-tanya sama ada aku ini kawan atau lawan. Itu yang ditugaskan oleh tuan kamu pada hari ini, untuk meneliti siapa aku. Just tell him, I am no one. Hanya seorang penulis picisan."
Terungkap perencanaan yang didiamkan mereka. Hasil daripada telahan yang tercetus umpama kesaktian buat Aki Maylea. Tangan kanannya yang bersarung hitam itu dikemaskan sebelum berlalu meninggalkan Hambali dalam nanar.
Dari bidai yang tertutup di sebalik jendela, tingkah Aki Maylea menjadi jamuan sepasang mata. Mata yang kegusaran.
Hambali memasuki kamar pejabat itu. Seorang lelaki berdiri tenang menghadap tingkap yang bersimbah dengan cahaya dari luar.
"Aku kira perjumpaan itu tidak berjalan lancar," telahnya tanpa berpaling muka.
Hambali menghampirinya dari belakang. Lalu berdiri di sisinya umpama seorang teman baik.
"Aku cadangkan kita tidak meneruskan urusan ini dengan penulis seperti dia, Fiqar."
Dhul Fiqar memalingkan wajah. Dia terkesima. Namun kemudiannya sekuntum senyuman memeri di bibir.
"Kenapa? Apa yang kau ketahui tentang penulis itu?"
Hambali mengingati kembali apa yang terjadi sebentar tadi. Tidak dia khuatir tentang siapa gerangan gadis itu, namun tentang kemampuannya. Pada pengamatan Hambali, ada sesuatu yang mencengangkan tentang penulis itu.
"Dia... Aneh sekali Fiqar. Aku tidak percayakannya."
"Apa yang buat kau berfikir begitu?" duga Dhul Fiqar lagi.
Dia hanya mengikut rentak pihak penerbitan demi memenangi hati pembaca muda. Lalu dia yang dijadikan tagan sebagai pahlawan muda. Tidak harus penulisan itu terhalang. Melainkan kegusaran dan ketakutan yang menjalari kelakiannya. Ketakutan, sebuah gambaran hitam masa silam.
"Ada sesuatu tentang dirinya yang tak dapat aku gambarkan," terang Hambali.
Fikirannya masih dibelit sensasi bersemuka dengan gadis aneh itu sebentar tadi. Tidak semena-mena Hambali merinding sendiri. Bagaimana gadis penulis itu mencobek perihal peribadinya semudah memetik jari sahaja. Itu yang menjadi kebingungan buat Hambali.
"Aku tidak fikir penulis lain sesuai untuk penulisan ini."
Dia melangkah menghampiri kerusi lalu melabuhkan duduk. Jemarinya mengurap kepala sendiri. Perkataan yang keluar dari mulut Hambali tentang penulis itu kian memencilkan kelakiannya.
"Akan aku uruskan. Mungkin penulis lelaki?"
Mata Dhul Fiqar memancar ke arah Hambali. Berkerut kedua keningnya.
"Kau merendahkan kebolehan aku, Hambali?"
"Tidak begitu, tuan."
"Jangan panggil aku tuan. Aku tidak minta begini Hambali. Rasa ini, kesakitan ini..." ujar Dhul Fiqar.
Matanya memerah. Tangannya meraup ke wajah.
"Maaf... Maafkan aku Fiqar. Bukan niat aku merendahkan. Aku bimbang. Seperti ada sesuatu yang dia sembunyikan," ujar Hambali.
Dia menyedari kelantangan katanya sebentar tadi tidak begitu dirai oleh Dhul Fiqar. Lelaki itu umpama saudaranya sendiri. Apa yang terbuku dalam suratan kisah hidupnya, sudah menjadi kefahaman Hambali sekian lama. Dia begitu memahami kesakitan yang ditanggung Dhul Fiqar. Sakit yang tiada ubatnya.
"Tidak mengapa. Aku akan aturkan kembali pertemuan dengan Aki Maylea pada Sabtu hadapan."
"Tapi... Fiqar. Kalau belum bersedia, ada baiknya kau tangguh dahulu."
Dhul Fiqar memandang ke arah Hambali. Dia pasrah dengan kegilaan itu yang sekian lama menghukum kelakiannya.
"Tidak perlu! Biar ketakutan ini datang, akan aku lawan!"
Matanya tepat memandang ke sebuah lukisan di dinding kamar pejabat.
"Lagipun, tiada apa-apa dengan penulis itu. Dia... hanya terluka," sambung Dhul Fiqar.
Entahkan dia sendiri juga tidak pasti. Hambali mengangguk, menuruti.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro