Bab 2
KAKI Aki terkaku di hadapan gerai akhbar itu. Terpandang olehnya sebuah tajuk utama yang dicetak tebal di muka hadapan senaskhah akhbar harian. Berita tumpasnya sebuah sindiket dadah yang berpangkalan di ibu negara. Sebelum kepingan terakhir naskhah akhbar bernama Jurnal Sentral itu direntap oleh seorang pembeli jalanan. Aki melirik kepingan akhbar yang berakhir di celahan ketiak seorang pekerja swasta yang kemas berkot hitam. Sempat ditilik nama Khalid yang terpampang sebagai penulis berita gempar itu.
Berlalunya naskhah terakhir yang dibawa pergi sebelum dapat dia baca dengan lebih teliti. Begitu juga berlalu perginya seorang teman yang sama-sama membina nama dan kerjaya. Khalid pergi bak dedaun yang dibawa angin. Dia mengeluh sendirian saat menatang dua cawan kopi panas untuk disua kepada ketua editor dan pembantunya. Saat teman-teman mencipta nama, dia masih terperuk di syarikat penulisan ini. Tukang membeli kopi pagi, kadang-kadang juga tukang menyalin dokumen di mesin fotokopi.
"Terima kasih, Khalid."
Dia tersenyum mengucapkan penghargaan kepada si teman yang telah tiada saat butang 'hantar' pada kotak e-mel ditekan. Dia mampu bernafas lega setelah artikel itu disiapkan jua akhirnya. Sebuah artikel berkaitan dengan emosi dan kekangan kerja hasil meredah lorong gelap bersama Khalid.
Terngiang-ngiang nasihat percuma yang diutarakan Khalid buatnya. Agar Aki seharusnya berwaspada, tidak membiarkan diri ditindas dan dibuli orang atasan. Terutamanya si Harun itu. Dia naif, baru setahun jagung menyelusuri dunia penulisan. Sebelum itu Khalid yang banyak memandu arah dan memberi tunjuk ajar demi melayari arus dunia penulisan.
Sepicing mata Aki memandang ke bilik Harun. Pandangan mata mereka bertemu seketika di cermin kaca yang memisahkan.
"Kau pasti dia penulisnya, Harun?"
Harun mengangguk pantas mengiakan walhal perbualan itu hanya melalui talian telefon.
"Iya Nordin. Aku pasti."
"Jika begitu, aku serahkan sepenuhnya kepada kau."
Suara itu lenyap di hujung talian. Dia harus menurut kehendak seorang pengarah. Kehendak Tuan Nordin merangkap pengarah syarikat penerbitan itu tidak wajar ditampik. Harun meneliti anak buahnya itu dari kejauhan. Dia bangkit lalu mengetuk jemari di cermin tingkap. Seraya memberi isyarat dengan tangan kepada seorang penulis yang menjadi sasaran, Aki Maylea.
Sebaik sahaja Aki melabuhkan duduk, dua naskhah majalah antarabangsa menggelongsor ke arahnya di permukaan meja.
"Kamu kenal siapa di muka hadapan?"
Majalah Time dan Forbes itu keduanya memaparkan dua wajah lelaki yang sama. Aki meneliti dan termangu untuk seketika sebelum tergeleng lemah.
"Anak muda ini berjaya menempa nama di Malaysia dan luar negara. Sehingga namanya diangkat Forbes dan Time. Anak muda yang paling berjaya, unggul dalam kelasnya yang tersendiri. Dia ibarat Elon Musk Malaysia."
Lantas Aki merapatkan naskhah itu ke wajah. Seorang pemuda yang begitu gah dipaparkan di muka hadapan. Umpama sebuah persona dari ceritera khayalan, begitulah figura jejaka itu menyihir keperempuanan Aki. Tampan, berkaliber dan bijaksana.
"Maaf, saya tidak kenal. Siapa dia Encik Harun?" kata Aki merendah diri demi menyamari kealpaannya.
"Dhul Fiqar. Usahawan, dermawan, jutawan, namakan sahaja. Dialah semuanya."
Rupanya seorang sugih yang menjejak awan.
"Oh!" balas Aki sambil jari-jemarinya merayapi kulit muka majalah itu.
Sepasang mata yang berwarna kecoklatan menjerat pandangan pertama Aki. Nama Dhul Fiqar terpampang hebat di kulit itu. Pertama kali mendengar nama sebegitu, roma Aki bercerancang.
"Syarikat mahu mengikat pembaca daripada kalangan generasi muda. Impian kita untuk mendidik generasi ini ke arah pintar teknologi, lestari alam dan kecerdasan buatan. Justeru, telah diputuskan untuk menerbitkan sebuah biografi tentang seorang ikon generasi kini. Dhul Fiqar telah menjadi pilihan. Kaji siapa dia Aki! Segala yang berkaitan dengan pemuda ini."
Aki memandang Harun tanpa memahami apa untungnya dia mendengar bebelan ketua editor itu tentang menjerat pembaca muda. Tangan kirinya menyentuh ke tangan kanan yang bersarung hitam. Fikirannya menerawang. Dia sukar menumpukan perhatian kepada Harun seorang. Sedangkan yang berlegar di pemikiran Aki perihal kemampuannya sendiri. Bebelan Harun kedengaran sayup di telinga. Natijahnya, apa jua niat Harun tidak dapat ditelah.
"Kenapa Encik Harun?"
Bibirnya menutur kata dengan gentar yang ketara. Entah mengapa tiba-tiba sahaja jantungnya seperti diketuk tidak keruan. Dia yang mengesani curiga.
"Kamu bertanggungjawab untuk menulis biografi Dhul Fiqar."
Hampir bergegar kerusi yang diduduki Aki saat itu. Berkocak pendengarannya. Apa yang dilakukan Harun itu tidak lebih sekadar memancing kekerdilan Aki. Orang suruhan yang dikerah membawa cawan kopi setiap pagi.
"Tapi Encik, saya penulis kolum saja. Penulisan biografi adalah di luar bidang saya."
Sebetulnya, di luar kemampuan. Tiadalah dia merendahkan diri sendiri. Namun biar berpijak di tanah daripada ditempelak di langit tinggi. Tidak keruan dia menerima tugasan sebesar itu. Sementelah dia menyimpan rasa terhadap perlakuan Harun selama ini.
"Penulisan mencakupi banyak aspek dan subjek. Hari ini kamu mungkin penulis kolum, esok lusa siapa tahu menjadi wartawan lokasi pula. Inilah masanya kamu berkembang sebagai seorang penulis. Nah, peluang itu saya berikan kepada kamu!"
Kata-kata Harun itu andai diangguk bak seorang pak turut, begitu indah sekali disambut. Namun mengingati pesanan Khalid, Aki bagaikan tersentak. Entah-entah, ini salah satu perancangan Harun demi menjahanamkan karier penulisan seorang penulis tidak terbilang seperti dirinya.
"Maksud saya, bidang penulisan kolum Encik Harun. Biografi memerlukan ketelitian dan pengisian yang tidak boleh dipandang enteng."
Melihatkan Harun yang terdiam seketika dia menyambung, "Dan tentang manuskrip saya yang tidak pernah Encik Harun periksa itu? Nyata saya kurang layak."
Terkenang pula akan sebuah manuskrip yang disiapkan sejak berbulan lalu. Manuskrip novel berkisar kekeluargaan yang dihantar kepada Harun untuk pemerhatian. Namun beberapa bulan berlalu, tiada berita tentang manuskrip itu. Didiamkan seperti nisan di tanah yang tidak akan digali kembali.
Harun tersenyum sinis.
"Ya Aki. Saya menilai kamu berdasarkan manuskrip itu. Memang saya tidak pernah memberitahu kamu sendiri, tapi manuskrip itu sangat bagus. Melambangkan idealis seorang penulis. Tapi sebagai seorang ketua editor, saya mahu mengekalkan kamu di ruangan majalah. Jujur Aki Maylea, kamu antara penulis terhebat yang saya miliki," terbit kata-kata itu dari bibir Harun.
Keresahan, seperti ada suara halus yang membisik kata waspada ke telinganya. Ini mungkin satu jerangkap samar yang tidak terlihat dek mata kasar. Aki berkira-kira sendiri. Tidak mungkin Harun begitu mengagumi setiap tulisannya selama ini. Entah mengapa begitu sukar sekali untuk Aki serap setiap butir pujian yang sekadar mahu mengambil hatinya tatkala itu. Walhal setiap idea dan buah fikiran yang dia utarakan melalui penulisan juga kerap kali dibantah oleh Harun. Manuskrip itu pula merupakan buah fikirannya sendiri. Tega Harun sekadar mendiamkan perkara itu.
"Tapi Encik Harun, selama ini..."
"Saya banyak mengkritik kerja kamu? Banyak membangkang daripada menyokong setiap idea yang kamu usulkan? Itu caranya saya mendidik kamu Aki. Secara halusnya walaupun kelihatan kasar, namun berhasil."
Aki terdiam. Ada betulnya apa yang diperkatakan Harun. Mungkin caranya agak keterlaluan dan kadangkala merundumkan motivasi, namun kesan sampingannya membuatkan Aki lebih berkerja keras demi menghasilkan penulisan yang matang.
"Tapi, penulisan kolum saya baru setahun jagung..."
"Ini masanya saya mencabar kamu. Seorang penulis bersenjatakan kata, buah fikiran. Harus tajam dan kukuh untuk dipaparkan ke dada kertas. Itulah keberanian seorang penulis. Jika tidak seberani itu, usah bergelar penulis."
Aki menyumpah diri sendiri dalam hati. Kata-kata Harun tampak menghiris. Menyakiti pendengarannya namun membuat hati dan kemahuannya berkobar pada masa yang sama.
"Ini tugasan yang berat sekali Encik Harun. Saya sendiri tidak pernah menghasilkan novel sekalipun," ujar Aki lagi.
Betapa tugasan itu meragukan. Tidak sahaja dia meragui kebolehan diri, malah dia sangsi. Niat apa yang dipendam si Harun di sebalik pelawaan sebesar ini. Sesuatu yang tidak dapat diketahui dan ditelah hanya melalui pandangan mata dan tekaan naluri.
"Bukan tidak pernah, tapi belum diterbitkan. Tumpukan pada biografi ini. Jika ia berjaya, saya janjikan penerbitan manuskrip novel itu."
Saat itu mata Aki mengecil. Segala salah dia rasakan. Terpaksa, kepalanya mengangguk berat.
"Dan Aki, ini bukan tugasan. Ia permintaan," sambung Harun lagi.
Pandangan matanya mendalam menyoroti keresahan yang ibarat membarah di wajah Aki.
"Permintaan?"
"Tuan empunya badan sendiri yang memilih kamu."
Tatkala itu hati Aki kian kecut. Fikirannya kembali kabur. Jerangkap sudah mengena.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro