Bab 15
IA seperti sebuah tragedi, sekali lagi.
Nama itu berdesing mendatangkan igau setelah kepulangannya dari kediaman agam itu. Nama Taman Rahsia Khadijah hanya menandakan satu perkara. Nama seorang perempuan yang mendera pengetahuannya semenjak dia ditugaskan menulis biografi ini.
"Itulah dia," tutur Aki pasti.
Blaus berwarna lembayung itu tidak mampu dia sentuh. Yang mahu dikembalikan, yang berlipat sepi di meja sekadar disaksikan dari jauh. Aneh, dia sukar menyentuh pakaian itu lagi. Sewaktu di rumah agam itu, perkara sama berlaku. Dia seperti diburu. Sepertinya pakaian itu yang memilih Aki pada hari itu, bukan sebaliknya. Berwarna terang, tampak paling berseri antara sekian pakaian yang disediakan untuknya.
Aki mengusap tangan kanan yang bersarung hitam. Andai dia menyentuh pakaian itu, pasti geruh yang menunggu. Ada kesayuan yang melingkari kainnya. Namun Aki juga hairan, pada hari dia menyarung pakaian itu, dia aman sahaja. Kukunya kini tersepit di celahan gigi, tergigit kegelisahan.
"Aki, ada jambangan bunga untuk kau."
Aki memalingkan wajah. Tercacang Mala, seorang rakan sekerja. Wajah Mala bertambah manis dengan sejambak bunga berhias di tangannya.
Pandangan Aki mengecil, kehairanan. Jambangan bunga itu bertukar tangan. Selepas mengucapkan terima kasih, Mala berlalu pergi. Meninggalkan Aki terkedu menghitung kebingungan yang satu persatu memanjat ke kepala. Dia terduduk di hadapan jambangan bunga. Bunga tiga bulan pelbagai warna yang dipagari dandelion.
Sekeping kad berwarna biru lembut yang terselit di jambangan itu ditarik keluar dari sampulnya.
Bunga tiga bulan dan dandelion
Sebunga walau tidak sepohon
Aku dan kamu jua serupa
Senama, walau tidak seumpamanya
Semoga segera sembuh! - Subjekmu
Berderau darahnya seperti ombak yang membadai ke tepian pantai. Dia menelan liur. Tidak semena-mena terasa dahaga. Tekaknya kering serenyuk.
Jambangan dan sekeping kad pesanan itu seharusnya menghantar Aki Maylea terus ke hospital sakit jiwa. Berhadapan dengan Dhul Fiqar itu, jiwanya sukar tenteram. Lalu ceritanya disampaikan sahaja kepada pakar jiwa tidak berbayar, temannya Khalid.
Tangan Khalid menampar-nampar ke muka meja. Wajah Aki bertukar warna, merah tanda silu menjarah selepas berita jambangan bunga itu terlepas dari bibirnya.
"Kau tak perlu fikir lagi Aki."
Tersengih si teman yang seorang itu. Walhal Aki menjeruk rasa akan Dhul Fiqar. Kelakuannya yang menggigit jari sedari tadi kini mendapat perhatian Khalid. Benaknya dirundung dengan pelbagai perkara. Hatinya pula memberat dengan bermacam rasa. Marah, bingung dan curiga bergaul sama. Persoalan tentang surat yang diterima tempoh hari masih dia diamkan. Surat yang membuatkan dia terjatuh tidak sedarkan diri di ruangan parkir kereta itu hanya diketahui dia seorang. Ditambah pula dengan adegan yang tidak disangka daripada Dhul Fiqar.
"Ini bukan berita baik, Khalid. Kalau diketahui Harun dan orang atasan, semua akan terkubur begitu saja."
Aki mengeluh. Kedua tangan menekup di kepala. Kepalanya ditunduk seperti tertanam di muka meja.
"Kau tak perlu risau. Kalau mereka tahu pun, ada pahlawan yang akan selamatkan kau nanti."
Senyuman di bibir Khalid itu memeri sehingga ke telinga. Kata-kata Khalid tidak langsung membantunya. Malah si teman itu kian berseronok mempermainkannya pula. Aki panik. Skrin telefon hanya dipandang sekilas sahaja. Tidak sanggup dia mereka barisan ucapan terima kasih kepada Dhul Fiqar sedangkan apa yang dia rasakan adalah sebaliknya. Dia menghamun tingkah Dhul Fiqar itu dalam diam.
"Percayalah Khalid, bunga itu tidak bermakna apa-apa."
"Jadi, kenapa kau berdebar, berpeluh saja?"
Ah, si teman itu seperti sengaja mahu menikam hatinya yang sedia diburu sesuatu! Senyuman sinis menghiasi wajah Aki.
Perihal dia bermalam di rumah agam dan dibawa ke sana oleh Dhul Fiqar nyata masih menjadi rahsianya seorang. Itu semua berlegar menghukum Aki di sebuah daerah guram. Yang menjadikan dia tidak keruan sepanjang hari.
"Aku tidak sedap hati tentang semua ini..."
Matanya bundar memandang ke mata Khalid. Menyembunyikan rasa-rasa yang menyebabkan dia berhati walang. Tugasan penulisan biografi itu kian berliku laluannya. Serangkap ucapan penghargaan ditaip pada telefon. Lalu dihantar kepada si penerima. Subjek itu hanya mendatangkan gundah sahaja. Terburu dengan perlakuan Dhul Fiqar, adakalanya Aki rasakan tidak ingin lagi melawan.
DHUL FIQAR mengurap kulit sebuah kitab. Sekian lama ditinggalkan si pemiliknya, kitab itu tidak lagi disentuh sesiapa melainkan dia seorang. Seperti mana suasana di kamar itu. Berbalut suram dan kelam tanda ia lama ditinggalkan. Air matanya bergenangan. Perlahan ia menitis berjuraian di muka kitab. Saat itu dia rapuh. Hatinya merindui sebuah jiwa yang kini sudah lama tiada. Yang tertinggal buatnya hanya sebuah kitab suci dan potret yang tersergam megah di dinding kamar.
Setiap tahun, pada tarikh yang sama, dia akan terpacak di kamar itu. Menyisip memori indah yang terkubur bersama satu jasad. Cinta hatinya itu telah lama kembali kepada pencipta. Hanya dia seorang yang terpuruk di kediaman gah itu menjejak dan menghidupkan sisa-sisa cinta.
"Selamat ulang tahun, sayang," ucap Dhul Fiqar seraya menatap potret gergasi di dinding rumah agam itu.
Potret yang disingkap di sebalik tirai baldu itu terpapar megah. Ketika Aki muncul di hadapannya tempoh hari, jantungnya seakan mahu luruh. Lutut dan kakinya umpama terurai dari badan. Mahu merebahkan tubuhnya ke bumi. Hati Dhul Fiqar terusik. Betapa dia terusik saat susuk berbaju lembayung itu berdiri di hadapannya.
Seakan dia menyaksikan diri sendiri berlarian lalu memeluk tubuh itu. Apa yang menghalangnya pada hari itu hanya akal fikiran yang masih berlagak waras. Dia mencuba sedaya upaya untuk melarikan pandangan. Juga sekeping hati yang seperti ditarik-tarik dek tangan bersarung hitam itu.
Pakaian yang tersarung di tubuh Aki itu dahulunya milik Khadijah. Dipakai dan disarung oleh si isteri semasa hidup.
Entah bagaimana, pembantunya terambil pakaian itu bersama beberapa helai pakaian lain untuk disediakan kepada Aki. Momen itu begitu menggoncang kelakiannya. Ingatan kepada Aki kian subur. Sebuah pesanan daripada Aki pada tengah hari itu telah diterima. Gadis penulis itu menyampaikan ucapan terima kasih atas jambangan bunga yang dihantar, juga kerana telah membantunya. Dhul Fiqar terkenang akan kata-kata Hambali. Bahawa si penulis itu seorang penyihir. Mungkin juga setiap kelakuan Dhul Fiqar itu dipengaruhi oleh Aki sendiri.
Pesanan Aki itu dibalas berserta dengan satu jemputan makan tengah hari. Betapa dia berasa bersalah. Tingkahnya yang serba dingin, acuh tidak acuh tempoh hari mungkin menyebabkan penulis itu juga tertanya-tanya.
Dia mahu berjumpa dengan penulis itu. Ya, dia mahu bertemu mata. Lima minit kemudian, hatinya seperti dihempas menjadi kaca. Jemputannya ditolak.
Kedua mata Aki terpejam rapat. Dia membenamkan wajah itu beberapa kali ke meja. Pesanan Dhul Fiqar telah dibalas namun jemputan makan tengah hari itu ditolak dengan baik. Ajakan itu tidak wajar diterima.
Menerima pelawaan Dhul Fiqar bermakna memperjudikan kerjayanya sendiri. Memusnahkan peluang untuk menerbitkan sebuah manuskrip. Lalu Aki berkeputusan, sejak dari hari ini dia akan menjauhkan diri daripada Dhul Fiqar.
"Aku harus lakukan sesuatu. Kalau tak, bahaya."
Rangka soalan yang tercatat di helaian nota itu bertaip di skrin komputer. Soalan-soalan yang bakal dikemukakan kepada Dhul Fiqar pada pertemuan akan datang. Untuk mengelak daripada bersemuka dengan Dhul Fiqar, ada baiknya soalan itu dikemukakan melalui hantaran e-mel sahaja. Demi keamanan fikirannya sendiri. Malahan dia gusar, kejadian serangan panik itu akan mendatanginya lagi. Maka jalan itu adalah sewajarnya dia lalui. Jalan yang tidak menjurus kepada Dhul Fiqar. Strateginya itu pasti berjaya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro