Bab 12
HAMBALI mengerling di sebalik tingkap jendela yang tertutup. Dari luar, keadaan dalaman kediaman itu tidak kelihatan. Gerak geri Aki Maylea disoroti dari jauh. Dia mahu berwaspada dengan gadis itu.
"Penyihir."
Tanpa disedari tersembur perkataan itu di mulutnya. Matanya tajam tertumpu kepada satu sosok di laman.
"Apa yang tak kena Hambali?"
Berpaling wajah Hambali memandang kepada Dhul Fiqar di belakangnya. Dhul Fiqar yang dia pegang pada seutas tali boneka.
"Aku mahu kau lebih berwaspada dengan dia, Fiqar."
Dhul Fiqar tersenyum sinis. Tangannya meraup wajah, menghalang dia daripada ketawa.
"Dia cuma seorang penulis Hambali."
Hambali tertawa kecil. Dia memandang ke arah Dhul Fiqar dengan pandangan menusuk sehingga ke jiwa. Badannya merapati tubuh Dhul Fiqar. Telunjuknya laju disasarkan ke dada. Seakan-akan menusuk ke bahagian kiri dada. Tepat mengenai jantung.
"Percayalah, dia bukan orang sebarangan. Dia mahu sesuatu daripada kau, daripada kita."
Terjegil mata itu seakan-akan melancarkan amaran kepada Dhul Fiqar. Pandangan Dhul Fiqar menunduk, seperti mengalah. Dia harus menurut kata.
"Dia nampak seperti seorang gadis biasa. Baik dan..."
"Ada jarum di tangannya Fiqar. Itu yang kau tidak nampak. Gadis biasa yang mempunyai bisa."
Sejurus genggaman tangan Hambali dihentak ke dada Dhul Fiqar. Buku lima, tangan kiri pembantunya itu berbalut kemas. Malah lengannya kebiruan. Ada kesan biru lebam yang jelas di bahagian kiri wajah.
"Berhati-hati dalam bertindak. Kalau tidak, kau akan dilihat lemah. Ingat, Fiqar."
Hambali menyusur pergi dari tepian dinding seakan-akan ular. Pergerakannya pantas, berlalu menghilang membawa busung kehampaan. Dhul Fiqar mendengus perlahan. Dia membetulkan pakaian di badan sebelum melangkah keluar. Sebuah senyuman disemat di bibir agar tidak kelihatan canggung usai perbicaraannya bersama Hambali tadi.
Wajahnya seperti menerangi seluruh laman. Munculnya seakan-akan satu kemasukan gah ke pentas persembahan. Menawan namun masih angkuh dengan kedua tangan tersimpan rapi di saku. Sesungguhnya buat Aki, yang membayangi kemunculan itu ialah seorang padusi yang tidak berwajah.
Perakam diaktifkan. Satu persatu soalan yang disenaraikan di buku nota itu dipangkah. Sementara Dhul Fiqar menghilangkan haus, Aki bangkit ke tengah halaman. Perlahan-lahan dia menabur umpan. Sebentar sahaja, langkahnya dibontoti oleh Dhul Fiqar. Helaian nota diselak. Penanya tersemat kemas di jemari.
"Ayahmu seorang yang bijak. Adakah dia yang menjadi inspirasi buat kamu?'
Dhul Fiqar tampak bermenung seketika.
"Ya, benar. Tapi aku banyak mengikut jejak langkah ibu. Ibuku seorang yang luar biasa."
Dia kembali bermenung. Kemudian perlahan-lahan sebuah senyuman terburai di bibirnya.
Tenang. Semakin terbuka. Matanya itu aman.
Pandangan Aki meliar buat sekalian kalinya. Matanya meneliti dan menyasarkan sesuatu. Seperti helang lagaknya. Dia perhatikan juga pandangan Dhul Fiqar yang kelihatan aman tanpa melilau lagi. Mungkin perisai dirinya itu sudah dilonggarkan saat bersemuka dengan Aki. Tidak seperti sebelumnya, Dhul Fiqar dilihat tertagak. Ketiadaan perisai 'manusia' di sampingnya menyebabkan dia kepatahan sayap.
Kelibat Hambali tidak dikesan di mana-mana. Aki menggigit hujung pena. Dia memberanikan diri.
"Kau nampak bersahaja dan tenang tanpa Hambali."
Tidak berselindung. Saat itu rona wajah Aki juga berkalih sedikit keras. Di sebalik panahan mentari itu, wajahnya tidak sahaja memerah. Malah dia seperti sedang merencana sesuatu yang tidak dapat ditelah.
"Dia orang kananku," balasnya bersahaja tanpa mengesyaki apa-apa.
"Tapi, dia yang kelihatan seperti tuan."
Saat itu wajah Dhul Fiqar mulai berubah. Dia memberi tindak balas kepada dakwaan Aki itu yang sebetulnya satu jerangkap samar.
Langkah Dhul Fiqar mulai perlahan. Sekuntum daisi di taman itu diretus. Berpusing-pusing kuntuman daisi putih itu di tangannya. Maka benar apa yang diutarakan oleh Hambali. Gadis itu berjarum di tangan. Itu menerangkan sarung hitam yang tersemat di tangan kanannya. Walhal perkara itu telah lama bermain di fikiran Dhul Fiqar. Menilai tingkah si penulis yang mula menonjolkan taring dek ketiadaan Hambali, maka mafhumlah Dhul Fiqar, Aki cuba menjauhkan dia daripada pembantunya.
"Hambali lebih sekadar pekerja. Dia seperti keluarga."
"Yang mengawal kamu...?"
"Yang mendidik aku, menyelamatkan aku. Dia juga banyak membentuk siapa aku. Dia ialah keluargaku."
Pena itu berlarian lagi.
Berhubungan rapat dengan Hambali. Menyelamatkan atau mengawasi?
Pandangan Dhul Fiqar dilontar jauh ke perbukitan. Melangkaui puncak bukit dan hutan belantara yang melingkunginya.
"Apa maksud kamu menyelamatkan?"
Dhul Fiqar tergamam sebentar. Apakah dia kini sudah terdedah sepenuhnya? Andai begitu, keselamatannya pasti dalam bahaya. Matanya mencobek pandangan di wajah Aki. Cuba mencungkil riak dan perasaan yang tidak disampaikan. Penyihir, gelar Hambali. Gadis itu akan mencorak pemikirannya. Mengubah apa yang dia rasa dan ketahui dalam sekelip mata. Mungkin dia patut berserah sahaja.
"Sebagai kepala sebuah organisasi besar, adakalanya aku menerima ancaman. Hambali bukan sahaja orang kanan, dia yang menjadi pelindung aku."
"Ancaman? Contohnya?"
Semakin dia menjawab, semakin dalam dia terjunam. Itu yang Dhul Fiqar rasakan kini. Harus dia cerdas berdepan dengan seseorang seperti Aki.
"Kau tahu apa yang aku usahakan Aki?"
Dhul Fiqar pasti tidak akan berlembut kali ini. Soalan itu harus dipulangkan dengan jawapan yang dapat menyekat Aki. Fikirnya, penulis itu cuba mempengaruhinya. Saat itu dia terkenangkan Hambali. Dia benar-benar memerlukan Hambali. Pandangannya mula meliar tanpa Hambali di sisi.
Gusar. Kelihatan tidak selesa tanpa Hambali.
"Permotoran, teknologi buatan, teknologi persekitaran..." balas si penulis itu.
"Senjata."
Aki terdiam. Penulisannya terhenti serta-merta. Senyuman sinis terbit di bibir Dhul Fiqar.
"Satu sebab untuk jadikan aku sasaran."
Aki mencatat sesuatu di buku nota. Dhul Fiqar merenungnya tajam sebelum bertindak menghampiri penulis itu. Dia menyelinap dari belakang. Berdiri terpacang di belakang Aki. Dari tempat dia berdiri Dhul Fiqar mencuri baca apa sahaja yang dicatat pada helaian nota itu.
'Isteri'.
Perkataan itu digariskan dua kali.
Seraya roman di wajah Dhul Fiqar bertukar warna, serta merta dadanya melarat dengan sebuah rasa sesak yang tidak terperikan. Dia memegang dada dengan tangan kanan. Ingatan itu menerpa seperti angin lembut yang menampar ke pipi. Matanya membeliak cuba menggagahkan diri. Agar tidak jatuh, agar tidak terjebak di jerangkap seorang penulis sihir.
Aki merenung Dhul Fiqar tanpa belas kasihan. Mangsanya sudah terlepa di jebak. Dia bertukar watak. Daripada seorang penulis kepada seorang penjahat yang tidak berperikemanusiaan.
"Kenapa Dhul Fiqar?"
Dhul Fiqar dilihat menghela nafas berat. Pandangannya dilarikan. Seakan-akan membawa diri menjauhi situasi janggal itu.
"Tiada apa-apa."
Penulis itu sekadar tersenyum sepertinya menunggu habuan. Apa yang bakal dihambur dari mulut Dhul Fiqar itu kian menjadi satu keseronokan.
"Bagaimana dengan keluarga? Mungkin isteri?"
"Isteri?"
Penangan perkataan itu membuatkan pandangannya berpusing. Dia mahu jatuh. Ingatan itu mendatangkan geruh. Lambaian pakaian berwarna lembayung cuba mencobek luka lama.
"Ya. Isteri Hambali. Tidakkah dia berkeluarga?"
Saat itu detak di jantung Dhul Fiqar seakan-akan baru belajar berdegup kembali. Sejurus dia merasakan satu kelegaan yang tidak terungkap dengan kata. Nafasnya diatur agar dia kembali tenang. Tidak dia ketahui, sepatah perkataan sudah cukup membangkitkan memori duka. Dia seperti baru ditembak orang. Ditembak seorang penulis bersarung tangan hitam.
Tidak selesa dengan perkataan isteri. Sinaran coklat di matanya terus kelam.
"Oh..."
Kenyataan itu membuatkan Dhul Fiqar mengulum senyuman. Sebetulnya dia kelegaan. Entah mengapa, saat dia membaca tulisan 'isteri' itu hayatnya seperti sudah tiada. Benar, dia yang hidup dihenyak dek kenangan tentang seorang perempuan yang begitu dicintai. Hatinya sudah mati.
"Hambali seorang penyendiri. Tiada keluarga rapat. Hanya aku."
Noktah. Aki mematikan rakaman. Senyuman manis meleret ke telinga. Lukahnya mengena.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro