Bab 9
BANGLO dua tingkat milik Datuk Halim nampak meriah dengan kehadiran tetamu yang agak ramai. Dua buah kanopi turut didirikan di halaman rumahnya. Malam ini diadakan majlis tahlil buat arwah anak keduanya, Yati yang telah meninggalkan mereka selama-lamanya lima tahun lepas.
Datin Izah nampak sibuk melayan tetamu yang terdiri daripada geng suraunya. Semenjak berpindah ke Kuala Lumpur, dia banyak menghabiskan paginya di surau berdekatan rumah. Dia dan beberapa orang rakan di tamannya yang telah pencen mengikuti kelas mengaji bersama Ustazah Hasnah.
Datin Izah melangkah laju ke arah pintu masuk apabila melihat kelibat Zulaikha dan ibu bapanya. Memang dia sengaja menyuruh Haikal menjemput gadis itu dan kedua-dua orang tuanya. Dia ingin berkenalan lebih rapat dengan Zulaikha dan orang tua gadis itu. Hasratnya ingin menyatukan Haikal dan Zulaikha dalam masa terdekat.
"Aunty, kenalkan umi dan abi Zu." Zulaikha bersuara selepas bersalaman dengan Datin Izah.
"Eh, Datin Suhaila?" Datin Izah menegur ramah umi Zulaikha.
"Ya Allah, Datin Izah ke? Lamanya kita tak jumpa. Apa khabar?" Kedua-dua wanita itu saling berpelukan sambil melagakan pipi dengan senyuman lebar di bibir masing-masing.
"Panggil Izah saja. Saya sihat. Datin Su apa khabar?"
"Tak payah panggil Datinlah Izah, panggil Su saja. Alhamdulillah sihat apa adanya. Tak sangka pula kita jumpa kat sini." Tersenyum lebar Datin Suhaila ke arah Datin Izah.
"Er... Umi kenal aunty ke?" Zulaikha bertanya melihat kemesraan kedua-dua wanita di hadapannya.
"Umi dan aunty pernah jumpa beberapa kali dalam program-program kebajikan sebelum ni. Tapi, tak pernah pula bersembang berdua. Syarikat Datuk Halim selalu juga buat program amal." Datin Suhaila menjelaskan kedudukan sebenar kepada anaknya.
"Asri, apa khabar?" Giliran Datuk Halim pula menegur abi Zulaikha.
"Halim. Alhamdulillah sihat. You pun bertambah sihat I nampak." Gurauan Dato Asri disambut dengan gelak tawa Datuk Halim.
"Business macam mana?" Dato Asri bertanya mesra.
"Alhamdulillah, getting better. Thanks for the recommendation." Tangannya menepuk lembut bahu Dato Asri.
"Eh, I tak buat apa pun. It's all your own effort. Good luck with the upcoming project."
Zulaikha menggaru kepala melihat umi dan abinya rancak berborak dengan ibu bapa Haikal. Terasa dipinggirkan pula tiba-tiba. Mata meliar melihat pekarangan rumah Datuk Halim yang terang benderang. Tiba-tiba matanya tertancap kepada satu figura yang membuatkan hatinya berdebar.
Entah kenapa hari ini tiba-tiba sahaja hatinya buat hal. Berdegup dengan laju sekali. Tidak pernah rasanya dia berdebar sebegini rupa.
"Zu, jomlah kita masuk. Majlis bacaan Yasin nak mula dah." Kata-kata uminya mematikan khayalan Zulaikha. Kepala dianggukkan dan langkahnya diatur bersama umi dan Datin Izah ke arah jemaah wanita yang sudah berkumpul.
HAIKAL sesekali mencuri pandang ke arah Zulaikha yang duduk diapit ibunya dan Datin Suhaila. Berbunga hatinya melihat kemesraan gadis tersebut dengan ibunya. Tambah menyenangkan hati bila mengetahui kedua-dua ibu bapanya mengenali orang tua Zulaikha. Bertambah mudahlah kerjanya selepas ini.
Langkah Zulaikha ke arah buffet makanan diiringi oleh tatapan mata Haikal. Laju kakinya turut melangkah menghampiri gadis tersebut.
"Zu, tak sangka you datang juga dengan your parents malam ni. Thanks."
"Don't mention it. Kebetulan umi dan abi free malam ni. Lagipun, undangan patut dipenuhi."
"Tak sangka parents kita kenal each other, kan?"
"Tu la. Tak sangka. What a small world." Zulaikha tertawa sopan sambil menggeleng. Dia juga tidak menyangka orang tua mereka saling mengenali. Patutlah cepat sahaja umi dan abinya bersetuju bila dia menyatakan undangan Haikal.
Kata-kata Zulaikha disambut dengan gelak kecil Haikal.
"Senanglah I lepas ni." Haikal bersuara dengan sengihan di bibir.
Zulaikha mengerutkan dahi tanda tidak memahami kata-kata Haikal.
"You tak rasa kita berjodoh ke?" Haikal bertanya seraya mengangkat sebelah keningnya.
Tersentak Zulaikha mendengar pertanyaan Haikal. Dia cukup memahami maksud lelaki itu. Namun, dia tidak mahu meletakkan harapan. Lagi pula, selama ini Haikal tidak pernah meluahkan apa-apa perasaan kepadanya.
"Zu, I dah lama nak cakap kat you, yang I..."
"Kat sini rupanya anak bertuah ni. Ibu cari Kal dari tadi lagi, nak minta tolong angkat barang-barang kat meja gift tu untuk sedekah ke rumah kebajikan Ustaz Idris."
Kata-kata Haikal terhenti apabila ibunya tiba-tiba mencelah. Hilang sudah semua kekuatan yang dia kumpul untuk berterus terang tentang perasaannya terhadap Zulaikha sedari tadi.
"Zu, kenapa tak ambil lauk lagi? Nak aunty tolong?" Datin Izah bertanya apabila melihat pinggan kosong di tangan Zulaikha. Rasanya sudah lama gadis itu meminta diri untuk mengambil makanan.
"Oh, tak apa, aunty. Zu boleh ambil sendiri." Zulaikha menjawab sambil memusingkan badan ke arah meja buffet.
"Ha, Kal! Buat apa tercegat lagi kat sini? Cepat tolong ayah. Ustaz Idris nak balik dah tu." Datin Izah bersuara seolah-olah menghalau anaknya dari situ.
Haikal menggarukan kepala sambil melangkah meninggalkan Zulaikha dan ibunya. Debaran hati yang kencang tadi mula mengendur. Nampaknya dia perlu berusaha lagi pada lain waktu.
Zulaikha yang sedang berbual mesra dengan Datin Izah sambil tangannya ligat mengambil lauk-pauk diperhatikan dari jauh oleh Kamil. Dia hadir bersama beberapa orang kakitangan syarikat atas jemputan Datuk Halim. Pada mulanya dia keberatan untuk hadir mengenangkan Pojie yang terlantar di hospital semula. Namun, atas desakan Pojie, dia hadir juga. Dia tidak mahu Kamil terlalu memikirkan dirinya sehinggakan mengabaikan tanggungjawab yang lain. Lagipun Datuk Halim sendiri yang menjemputnya melalui WhatsApp.
Sejak dia menjejakkan kaki ke rumah Datuk Halim, dia perasan kehadiran Zulaikha. Dia mengetahui nama gadis itu pun semasa berkunjung ke Darul Hijrah tempoh hari. Argh! Pasti gadis itu sudah tau status dirinya.
Mata tak lepas daripada memandang wajah ayu itu. Sungguh manis gadis itu dengan jubah moden berwarna merah jambu bercorak flora dan tudung berwarna senada. Andai bidadari itu wujud di dunia, nampaknya dia telah menemuinya.
Namun, hatinya sedikit terusik melihat kemesraan Zulaikha dengan lelaki muda tadi. Kalau nak dibandingkan dirinya dengan lelaki tadi, dia yakin dia kalah teruk. Dia juga yakin lelaki itu ialah anak majikannya. Memikirkan kebarangkalian Zulaikha dan lelaki itu mempunyai hubungan istimewa membuatkan hatinya pedih. Teringat kata-kata Pojie tempoh hari.
"Kamil, jangan bermimpi di siang hari. Kau tau, kan? Wanita baik untuk lelaki baik."
Ya, dia mungkin tengah bermimpi. Bermimpi untuk memiliki gadis sesempurna Zulaikha, sedangkan dirinya sangat jauh daripada sempurna. Ya, wanita baik untuk lelaki baik dan dia bukan lelaki baik.
KAMIL merebahkan kepala beralaskan lengan di atas meja. Dia sekarang berada di bilik tidurnya selepas puas merayau mencari ketenangan yang masih belum dia temui. Keadaan Pojie yang semakin memburuk membuatkan dia insaf. Betapa lalainya dia selama ini sebagai seorang manusia dan hamba kepada-Nya.
Baru sebentar tadi Kamil menziarahi rakan karibnya, Pojie yang semakin nazak. Melihatkan keadaan Pojie tadi menjadikan dia seorang penakut. Takut dengan sebuah ketentuan bernama kematian, takut dengan seksaan Allah yang pasti tidak boleh dielak lantaran kesilapan diri.
Sudah sebulan Pojie menjadi penghuni hospital itu, dan ini bererti sudah sebulan jugalah dia menjadi pelawat setia sahabatnya itu. Doktor dan jururawat di situ sudah kenal siapa dia dan dia tidak peduli dengan pandangan sinis sesetengah pihak. Baginya, dia sudah cukup malu dengan keadaan dirinya dan bertindak seperti tiada apa-apa yang berlaku adalah tindakan terbaik buat masa sekarang.
Walaupun kadangkala dia terasa hati dengan sindiran beberapa orang petugas hospital, tapi demi kawan baiknya Pojie, dia pekakkan telinga. Dia sedar dirinya yang digelar sampah masyarakat itu adakalanya tidak mendapat tempat langsung dalam sesetengah masyarakat di sini. Kalau adapun yang bersimpati dan ingin menolong dia, bilangannya hanya minoriti, malah hampir tiada.
Kehadiran kedua-dua orang tua Pojie tadi sungguh meruntun jiwanya. Dia teringatkan kedua-dua orang tua dan adik-adik yang sangat manja dengannya suatu ketika dahulu. Kini dia sering terkenangkan memori mereka sekeluarga yang sungguh bahagia suatu masa dulu.
Terngiang-ngiang di cuping telinganya suara lembut ayah memberikan dia nasihat. Masih terasa hangat sentuhan ibu setiap kali dia menyalami tangan itu jika mahu ke mana-mana. Masih terbayang olehnya rengekan manja adik-adik minta dibawakan ke taman-taman rekreasi untuk beriadah. Bukan dia tidak rindukan ahli keluarganya, dia teramat rindukan mereka. Namun, dia sedar keadaan dirinya kini.
Siapalah yang akan berbangga memiliki seorang anak dan abang yang bergelar penagih dadah? Lantaran tidak mahu mengaibkan keluarga, dia menghilangkan diri. Langsung tidak menghantar khabar berita.
"Argh!"
Kamil menjerit kesakitan apabila tidak tertanggung menahan rasa perit itu. Tidak dapat dia gambarkan dengan kata-kata betapa sakitnya dia ketika ini. Air matanya menghambur keluar. Begitu juga peluh dingin dan air liurnya. Sudah dua minggu dia cuba menahan rasa gian itu.
Kesakitan yang dia rasakan kinilah antara penyebab mengapa dia terus menerus mengambil dadah. Bukan dia tidak pernah mencuba untuk berhenti menagih, tetapi apabila rasa gian itu datang, dia tidak berupaya menolak. Satu-satunya cara untuk menghilangkan rasa sakit akibat gian itu adalah dengan mendapatkan dos yang seterusnya. Apabila rasa sakit itu sudah hilang, dia akan merasa bertenaga semula. Tetapi, sebaik sahaja kesan dos tadi lenyap, dia akan mengalami kesakitan semula.
Andai dapat dia undur ke masa lalu, pasti dia akan menjauhi benda-benda najis yang kini semakin hari semakin memakan dirinya. Seolah-olah dadah adalah makanan ruji yang mesti dia telan saban hari. Makanan yang menjadi sumber tenaga dan punca kehidupan dia setiap hari. Kalaulah dia punya kekuatan yang luar biasa, pasti dia akan melawan rasa sakit itu dan hidup seperti manusia biasa, jauh daripada belenggu dadah.
Dia masih ingat selepas dia menghantar Pojie ke hospital dalam keadaan berlumuran darah, keadaan kesihatan Pojie semakin merosot. Keesokannya, sahabatnya itu demam panas dan sejak itu, Pojie beberapa kali mengalami sesak nafas.
Bermula saat itu, setiap hari dia akan menghubungi ibu dan ayah Pojie, merayu mereka untuk datang melawat Pojie biarpun saban hari ditegah oleh Pojie. Hati siapa yang tidak tersayat dan luluh mendengarkan anak yang disayangi selama ini menghidap AIDS dan tengah nazak di hospital. Semestinya rasa malu dan hiba yang melampau menguasai jiwa kedua-dua ibubapa Pojie.
Pada mulanya, mereka tidak mahu melawat Pojie di rumah sakit. Bagi ayahnya, Pojie sudah lama meninggal, sejak diketahui menagih dadah lagi. Pojie tidak dibenarkan balik ke kampung dan menjenguk ibu dan adiknya. Namun, kasih sayang seorang ibu amatlah kuat. Saban hari ibu Pojie akan memujuk ayahnya untuk datang menjenguk Pojie. Pujukan demi pujukan akhirnya mampu mencairkan ego seorang ayah.
Terbayang-bayang di mata Kamil saat dia dan Pojie sama-sama khayal suatu ketika dulu. Dia seperti berada dalam dunianya sendiri, dunia yang penuh kenikmatan dan ketenangan. Kini, air mata kesakitan mengalir bersama air mata penyesalan. Benarlah kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Tangisannya semakin kuat berserta gigilan yang semakin rancak. Rasa sakit dan penyesalan bercampur baur. Sungguh dia takut untuk mati, padahal dia tahu mati itu sesuatu yang pasti. Terbayang-bayang olehnya wajah kedua-dua orang tua dan wajah dua orang adiknya. Dia takut akan menjadi seperti Pojie. Dia takut jika virus yang sama berada di dalam dirinya, seterusnya menyerang dan menjadikan dia mayat hidup, sama seperti Pojie. Dia takut tidak sempat meminta maaf daripada ahli keluarganya.
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk."
Terngiang-ngiang lagi kata-kata nasihat ayahnya suatu masa lalu.
Kamil melangkah longlai ke arah almari pakaiannya. Sehelai sejadah yang telah lama tidak disentuh diambil dan dirapatkan ke dada. Sekali lagi dia tewas dengan perasaannya dan dia menangis lagi buat kesekian kalinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro