Bab 5
KAMIL melangkah laju ke arah pintu pejabatnya. Baru sebentar tadi dia dihubungi oleh setiausaha bosnya yang meminta dia untuk hadir segera ke pejabat. Terpaksa dia meninggalkan Pojie keseorangan di rumah.
Sejak Pojie dibenarkan keluar dari hospital, dia mengambil cuti selama tiga hari. Enggan membiarkan Pojie keseorangan di rumah memandangkan tahap kesihatan sahabatnya itu semakin memburuk. Selebihnya, dia juga ingin mengambil kesempatan untuk berehat. Kebelakangan ini, hati lelakinya sedikit terusik apabila mengenangkan keluarga yang sudah lama dia tinggalkan.
Tangan naik mengetuk pintu bilik yang tertera nama Datuk Halim Haji Manan, seorang kontraktor yang semakin meningkat naik namanya di kota metropolitan ini. Tombol pintu dipulas sebaik sahaja mendengar suara Datuk Halim dari dalam.
"Kamil, sorry. I tau you tengah cuti, tapi I terpaksa panggil you juga." Serba salah muka Datuk Halim menutur bicara. Tangan didepakan ke hadapan, mempersilakan Kamil duduk.
"It's okay, Datuk. Anything for you and the company." Kamil membalas dengan senyum di bibir. Dia ikhlas kerana inilah punca rezekinya. Dengan hasil titik peluh di syarikat Datuk Halim inilah dia boleh hidup dengan Pojie. Tidak mewah, tapi cukuplah untuk memenuhi keperluan mereka berdua.
Datuk Halim tersenyum senang. Dia sememangnya sangat menyenangi keperibadian Kamil. Seorang pemuda yang berdedikasi dengan kerjanya. Satu perkara yang membuatkan dia kagum dengan pemuda di hadapannya ialah lelaki itu selalu balik tepat pada masanya, tetapi kerjanya sentiasa siap dan hasilnya memang tip-top. Bukankah itu salah satu ciri pekerja yang efisien?
Namun, ada sesuatu yang mencurigakan mengenai Kamil. Kamil selalu mengelak apabila ditanya berkenaan keluarganya. Raut wajah Kamil mengingatkan dia kepada seseorang, namun dia tidak yakin dengan firasatnya.
"Datuk, kenapa Datuk panggil saya?" Kamil bertanya setelah lama menunggu butir bicara Datuk Halim yang nampak seakan-akan termenung di hadapannya.
"Oh, sorry." Datuk Halim menjawab sambil berdehem, menyingkirkan suasana kekok antara mereka.
"Berkenaan projek di Bangi. Client call minta dua lakaran baru." Datuk Halim bersuara tenang.
"But why? Sebelum ni kan mereka dah setuju dengan lakaran akhir yang kita bagi. Kenapa tiba-tiba nak tukar?" Kamil bertanya dengan nada tidak puas hati. Sudahlah dia kurang tidur gara-gara menyiapkan lakaran tersebut sambil berulang-alik ke hospital menjenguk Pojie. Boleh pula nak tukar lakaran bila dah final.
"Well, Kamil. Biasalah. Projek tu dah bertukar manager, jadi new manager tak suka lakaran yang kita buat sebelum ni. Ada beberapa elemen dia nak add on, terutama untuk landskap dan toilet." Datuk Halim menjawab sambil menolak satu fail kecil ke arah Kamil.
Kamil mengeluh apabila mendengar penjelasan Datuk Halim. Tangannya mencapai fail di atas meja. Nampak gayanya terpaksalah dia bersengkang mata lagi untuk menyiapkan lakaran tersebut.
"Bila Datuk nak?"
"Dalam masa dua hari."
Kamil menjawab dengan anggukan. Bukan dia tak pernah bekerja dalam tempoh masa yang singkat sebelum ini. Jadi, dia yakin dia akan berjaya lagi kali ini.
"Oh ya, Kamil. Boleh I tanya something?"
"Apa dia, Datuk?"
"Family you duduk mana? Sepanjang you kerja sini I macam tak pernah dengar pula you balik kampung. Parents you, ada lagi?"
Kamil mendengus perlahan. Kurang selesa apabila majikannya bertanyakan perihal peribadi. Dia tidak mahu sesiapa pun mengetahui tentang ahli keluarganya. Dia tidak mahu kedua-dua orang tuanya malu ada anak seperti dia.
"Saya tak ada kampung."
"Oh... Maksudnya you orang sini?"
Lambat-lambat Kamil mengangguk. Dalam hati usah ditanya debarannya. Dia berharap Datuk Halim tidak bertanya lebih lanjut lagi.
"Kalau I tanya satu benda personal lagi, you jangan marah, ya?"
Tersengih Datuk Halim melihat wajah tak puas hati Kamil. Agaknya pemuda itu tak puas hati apabila diasak dengan soalan-soalan peribadi. Pernah dia terdengar setiausahanya membawang fasal Kamil dengan staf wanita yang lain. Daripada apa yang dia dengar, Kamil jenis tak melayan wanita yang ingin dekat dengannya.
"You dah ada girlfriend?"
Tersentak Kamil mendengar soalan cepumas Datuk Halim. Serta-merta ingatannya melayang kepada gadis cantik di lif HKL tempoh hari.
"I bukan apa... I suka young blood macam you. Very dedicated and talented. I ingat nak kenalkan you dengan anak saudara I."
Semakin bulat mata Kamil memandang Datuk Halim. Direct! Langsung tak bertapis. Spontan dia menggeleng. Bukan sengaja menolak hasrat Datuk Halim. Tapi dia tak boleh bayangkan apa penerimaan Datuk Halim jika tahu akan sisi gelapnya. Dia yakin tak semua orang boleh menerima orang seperti dia.
"WEI, monyok aje muka lepas balik dari office. Kenapa?" Pojie bertanya sebaik sahaja Kamil melangkah masuk ke rumah sewa mereka. Rumah flat dua bilik tidur dan satu bilik air. Walaupun hanya rumah bujang, namun perabot di dalamnya serba lengkap biarpun tidak mewah.
"Biasalah, kerja mana pernah habis."
Ketawa besar Pojie mendengar jawapan Kamil. Dia tak tahu macam mana perasaan memiliki pekerjaan kerana dia tak pernah bekerja. Dia tidak menghabiskan pengajiannya dan selama ini dia hidup atas ihsan Kamil.
Kamil meletakkan sebuah fail di atas meja. Badannya direbahkan di atas sofa panjang di ruang tamu. Fahamlah Pojie yang sahabatnya itu akan bersengkang mata lagi malam ini menyiapkan kerja yang tak pernah habis.
"Itulah kau. Aku dah banyak kali suruh balik aje kat family kau. Uruskan business bapak kau. Kau degil." Kamil mendengus kasar mendengar kata-kata Pojie. Dia cukup marah tiap kali isu itu dibangkitkan oleh Pojie.
"Ya, aku tau kau tak suka aku cakap fasal tu. Tapi, aku rasa dah tiba masanya kau balik pada dia orang." Pojie bersuara sayu.
"Dan abaikan kau? Biar kau hidup merempat kat lorong tu?"
Makin besar ketawa Pojie mendengar pertanyaan Kamil itu. Apatah lagi melihat Kamil menjegil ke arahnya.
"Ni, kalau orang dengar, silap-silap dia orang ingat kau gay."
Kamil membaling kusyen kecil ke arah Pojie.
Ada pula dia yang 'lurus' dikatakan gay? Tapi, dia faham maksud Pojie. Siapa sahaja mungkin akan salah faham melihat hubungan akrab dia dengan Pojie.
Teringat dia peristiwa lampau yang menyebabkan Pojie tidak berjaya menghabiskan pengajiannya. Kalaulah bukan sebab dia, pasti masa depan Pojie lebih terjamin.
ZULAIKHA melangkah laju ke arah pintu utama Darul Hijrah. Ini merupakan kali pertama dia datang ke situ, sebuah pusat persinggahan dan rawatan untuk penagih dadah. Kehadirannya adalah atas saranan salah seorang kenalan yang sering mengunjungi Raudhatul Jannah.
Kehadirannya disambut oleh Mazlan, pengurus Darul Hijrah. Seorang lelaki berusia 40-an yang juga bekas penagih dadah yang telah 15 tahun berhenti menagih. Dalam diam terselit juga rasa takut berada di tempat sebegitu. Tapi, dia kuatkan hati dan tanamkan tekad untuk cuba memahami insan-insan terpilih di situ. Terpilih dengan ujian yang bukan kecil baginya.
"Apa yang buat Zulaikha tergerak hati nak bantu kami kat sini?" Mazlan bertanya setelah berkenalan serba ringkas dengan Zulaikha.
"Saya sebenarnya tak pernah terlibat dengan kerja-kerja amal yang melibatkan golongan penagih. Selama ini saya hanya bantu umi dan walid di Raudhatul Jannah. Tapi, kebelakangan ini ada anak-anak di sana yang mula berjinak-jinak dengan pil khayal. Jadi, saya tergerak hati nak tahu serba sedikit dunia di sini. Dalam masa yang sama mungkin boleh bantu anak-anak Raudhatul Jannah dan boleh bantu Abang Lan kat sini."
Tersenyum Mazlan mendengar jawapan Zulaikha. Tidak ramai gadis muda sanggup bersama-sama mereka di Darul Hijrah. Kalau ada pun, biasanya tak bertahan lama.
"Untuk makluman Zulaikha, Darul Hijrah ni bukan saja tempat untuk para penagih yang nak berhenti menagih. Tapi, kat sini ada bilik-bilik khas untuk penagih yang masih lagi aktif menagih. Di sini mereka boleh makan dan tidur secara percuma. Tapi, tak dibenarkan mengambil sebarang dadah kat sini. Cuma makan dan tidur sahaja. Itu pun siang aje. Malam tak boleh."
"Bukankah itu akan menggalakkan lagi mereka menagih? Ada makanan dan tempat berlindung?" Zulaikha menyuarakan keraguannya.
"Hanya yang benar-benar hendak berhenti akan dibenarkan stay di asrama. Mereka yang masih aktif hanya boleh menumpang waktu siang sahaja. Dan untuk mendapat makanan, mereka perlu menjalani sesi kaunseling ringkas terlebih dahulu."
Zulaikha tersengih setelah menyedari keterlanjuran dia sebentar tadi. Sewenang-wenangnya dia menyatakan Darul Hijrah menggalakkan penagih terus menagih. Dalam diam dia akui masih banyak perkara yang dia tak tahu. Tak sepatutnya dia terus menjatuhkan hukum seperti tadi.
"Abang Lan faham. Ramai yang salah faham dengan modus operandi kami di sini. Nanti lama-lama, Zulaikha akan faham juga. Kami sangat berbesar hati ada yang sudi membantu. Cuma satu aje Abang Lan nak pesan."
Zulaikha menunggu penuh debaran. Ini kali pertama dia terlibat dengan golongan penagih, sudah pasti banyak yang perlu dia pelajari.
"Cukup kasihankan mereka. Jangan sampai jatuh kasih."
Zulaikha tersengih lega mendengar pesanan Abang Lan. Ingatkan apalah tadi.
"Zulaikha mungkin rasa pesanan abang ni kelakar. Tapi, percayalah cakap abang, mereka kat sini bermulut manis. Berapa ramai anak gadis yang sanggup berkahwin dengan golongan sebegini walau pun setelah mengetahui sisi gelap mereka."
"Maksud Abang Lan, dah ada sukarelawan yang kahwin dengan penagih di sini?" Bulat mata Zulaikha mendengar kenyataan Mazlan.
Anggukan Mazlan tambah mengejutkan Zulaikha.
"Ya, setakat ni dah dua orang. Dua-dua bukan calang-calang wanita. Seorang businesswoman, seorang lagi pegawai kerajaan. Kalau boleh, Zulaikha janganlah jadi yang ketiga, ya?"
Zulaikha menggeleng mendengar fakta yang dinyatakan oleh Mazlan. Tidak terjangkau di benak fikirannya bagaimana wanita bekerjaya profesional sanggup berkahwin dengan golongan yang dianggap sampah masyarakat. Bukankah itu menganiaya diri sendiri?
"Semua yang Zulaikha dengar daripada penghuni dan pengunjung di sini, cukup sekadar dengar. Jangan percaya sepenuhnya. Lagi-lagi janji mereka. Jangan sesekali menaruh harapan tinggi yang mereka akan tunaikan janji mereka."
Terasa berpasir liur yang ditelannya mendengar kata-kata Mazlan. Takut pula mendengar pesanan-pesanan Mazlan. Betulkah keputusan dia untuk membantu sebagai seorang sukarelawan di situ?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro