Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 3

Lima tahun yang lalu...

MALAM itu... seperti yang dirancang, mereka ke Dataran Merdeka pada tepat jam 12 tengah malam. Suasana ketika itu masih seperti biasa. Keadaan lalu lintas juga tenang dan terkawal. Seperti tiada sebarang acara yang bakal berlangsung. Kamil dan Pojie serta beberapa orang lagi rakan yang lain duduk di kaki lima menghadap ke bangunan bersejarah di Dataran Merdeka. Mata meliar melihat pemandangan Kuala Lumpur yang tidak pernah sunyi dengan manusia dan kenderaan.

Jam besar berbunyi sekali, menandakan sudah sejam mereka duduk melepak di Dataran Merdeka. 

"Kau tengoklah, Kamil. Makin ramai orang datang." Pojie sudah tayang muka teruja. Semakin teruja mukanya saat melihat wanita seksi dengan bendera di  tangan. Mungkin sebentar lagi perlumbaan di jalan yang lurus itu akan bermula.

Kamil meliarkan pandangan, takut ada pihak polis yang telah menghidu acara malam ini sejak awal lagi. Namun, semuanya nampak terkawal.

"Kau rasa polis tau tak race malam ni?" Kamil terpaksa menguatkan suara bila bunyi motor semakin membingitkan suasana yang pada awalnya tenang.

"Entah..."

Asap berkepul-kepul keluar dari corong ekzos motosikal masing-masing. Wanita seksi tadi sudah bersedia di bahagian hadapan barisan motor-motor yang bakal bersaing merebut hadiah malam ini.

Vroom... Deruman enjin motosikal semakin bingit! Perlumbaan baru sahaja bermula.

Kamil dan Pojie turut menjerit terkinja-kinja tanda teruja dengan aksi di depan mata mereka. Ada beberapa orang mat rempit yang terjatuh mungkin kerana hilang imbangan semasa memecut laju. Atau mungkin juga akibat perlanggaran sesama sendiri. Mat rempit yang lain meneruskan perlumbaan kerana masing-masing ingin menang. Pasti ganjarannya lumayan. Kalau tidak, masakan mereka berani mencabar pihak berkuasa dengan melakukan aksi sebegitu di tempat awam.

Hampir 20 minit berlalu...

Pelbagai aksi dipamerkan oleh mat rempit yang rata-ratanya terdiri daripada golongan remaja. Laluan yang disediakan untuk perlumbaan malam itu tidaklah begitu jauh, tetapi syarat pertandingan, siapa yang paling laju dan paling bergaya di atas motosikal, dialah yang akan diumumkan sebagai pemenang. 

Dalam para penonton bersorak menjerit penuh teruja menyaksikan aksi-aksi berbahaya di depan mata, terdengar dari jauh bunyi siren pihak berkuasa. Semua yang berada di lokasi perlumbaan bergegas menyelamatkan diri masing-masing.

Kamil, Pojie dan rakan-rakan yang datang berjalan kaki terus berlari ke arah bangunan DBKL untuk menyelamatkan diri. Akibat hilang imbangan, Kamil terjatuh dan hampir tidak mampu berlari lagi. Koyak di jean lusuhnya bertambah besar dan jelas lututnya berdarah.

"Kamil... Sini, aku tolong kau." Pojie patah balik dan memaut tangan Kamil.

Dia tak sanggup Kamil di'angkut' oleh pihak berkuasa kerana jika itu terjadi, pasti Kamil akan dihantar ke pusat pemulihan dan dia tidak akan bertemu Kamil lagi selepas itu. Masanya semakin suntuk dan dia mahu habiskan hidupnya dengan sahabat paling baik yang dia pernah miliki.

Derapan kaki anggota beruniform semakin jelas kedengaran di telinga Kamil dan Pojie. Kamil cuba sedaya upaya melupakan rasa sakit di kaki dan berlari sambil dibantu oleh Pojie. Mereka menyusup di belakang bangunan DBKL dan berlari ke arah Jalan Tunku Abdul Rahman sebelum bergerak pantas ke Lorong Haji Taib.

Di sana 'markas' mereka dan tempat paling selamat buat mereka. Rakan-rakan yang ada bersama mereka tadi ada di antaranya sudah berjaya dicekup oleh pihak berkuasa, manakala yang lainnya sudah kembali ke 'markas' masing-masing.

"Hahaha..." Pojie dan Kamil ketawa besar.

"Nasib baik kita tak ambil barang tadi."

"Betul-betul... Kau memang bijak, Pojie." Kamil puji saranan Pojie supaya mereka kekal 'sedar' semasa menyaksikan perlumbaan tadi.

Kasihan rakan-rakan lorong yang tidak bernasib baik.


Masa kini...

KAMIL tersentak daripada lamunan apabila telefon bimbit di tangannya bergetar menandakan ada panggilan masuk. Hilang bayangan peristiwa beberapa tahun lepas, kenangan semasa dia masih bergelar mahasiswa di salah sebuah universiti awam di Kuala Lumpur. Panggilan segera diangkat tatkala melihat nama Pojie.

"Wei, kau pergi mana? Lama aku tunggu." Jelas suara tak puas hati Pojie menyapa pendengarannya.

"Aku tengah tunggu lif. Kau tau ajelah HKL ni sesak dia macam mana."

Setelah mematikan panggilan Pojie, Kamil menoleh ke kanan. Matanya tertancap kepada satu figura yang kelihatan anggun berbaju kurung merah jambu dan bertudung putih, senada dengan warna bunga pada baju kurung tersebut. Wajah putih penuh kelembutan itu kelihatan sangat ayu di mata Kamil.

'Cantik!' Hatinya berkata-kata sendiri. Mata tak lepas memandang gadis yang berdiri di sebelahnya itu. Terasa diperhatikan, si gadis menoleh ke arah Kamil. Wajah serius si gadis membuatkan Kamil menelan liur. Dia tidak pernah mempunyai kawan perempuan dan sememangnya dia kaku apabila berhadapan dengan insan bergelar wanita.

Si gadis bergerak masuk ke dalam lif bersama yang lain. Kamil masih terpaku di depan pintu lif dan matanya tidak lepas memandang wajah gadis tersebut.

"Encik, nak masuk tak?" Pertanyaan si gadis menyedarkan Kamil untuk kembali ke alam nyata. Dia tersengih sambil menggaru kepala. Kaki segera diayun memasuki lif yang sama dengan si gadis.



"POJIE, aku rasa aku dah jatuh cintalah." Kata-kata Kamil sebaik mendekati Pojie mengundang tawa jejaka yang sedang duduk tenang di atas katilnya.

"Wah, ada kemajuan dah kawan aku."

Kamil mendengus kasar mendengar jawapan balas Pojie.

"Siapa awek malang tu?" Pojie bertanya dengan sengihan di bibir hitamnya. Suka benar dia mempermainkan Kamil.

"Entah. Aku ternampak masa naik lif tadi. Cantik, ayu, pakai tudung." Kamil menjawab sambil menggaru kepalanya. Dia langsung tidak tahu nama gadis tadi. Namun, wajah ayu si gadis sudah melekat di dalam kepalanya.

Sekali lagi Pojie ketawa. Kali ini semakin kuat suaranya sehingga menerima teguran daripada jururawat yang bertugas. Di ruangannya kini bukan dia seorang, ada lagi tiga katil yang diisi oleh pesakit lain. Pasti suara kuatnya mengganggu mereka yang lain.

"Kamil, jangan bermimpi di siang hari." Wajah cemberut Kamil mengundang rasa sedih dalam hatinya. 

"Kau tau, kan? Wanita baik untuk lelaki baik." Pojie berkata sambil tangannya menepuk lembut bahu Kamil yang duduk di kerusi sebelah katil.

"Ya, aku tau." Lemah suara Kamil menjawab soalan Pojie. Dia akui dia seorang lelaki yang tidak baik. Mana mungkin dia boleh memiliki gadis yang baik seperti gadis tadi. Atau mungkin juga dia tidak akan pernah memiliki pasangan hidup sepanjang hidupnya.

"Maafkan aku, Kamil. Aku punca kau jadi lelaki tak guna. Sama seperti aku."

"Apa kau cakap ni, Pojie? Kau kawan aku yang paling baik. Dahlah, anggap saja aku tak pernah cakap fasal awek tadi."

Pojie memandang penuh sayu ke wajah tenang Kamil. Dia tahu hati Kamil tidak setenang wajahnya. Namun, apalah daya dia hendak membantu sahabatnya itu. Salahnya juga kerana telah membuatkan Kamil turut terjebak ke dalam dunianya yang penuh kegelapan.

"Kamil, baliklah kat keluarga kau. Mereka mesti rindukan kau." Kata-kata Pojie membuatkan Kamil tersentak. Sudah lama Pojie tidak memujuknya untuk kembali ke pangkuan keluarga setelah mereka bertumbuk tempoh hari.

"Kau nak aku tumbuk kau lagi?"

Pojie hanya ketawa kecil melihat wajah merah Kamil. Dia tahu sahabatnya itu cukup pantang apabila perihal keluarga diperkatakan.

"Sampai bila kau nak lari daripada mereka? Aku tau ayah kau tengah tunggu kau untuk teruskan business dia. Ibu kau, mesti dah rindu sangat dengan kau, Kamil. Adik-adik kau pun, mesti tengah tunggu abang handsome dia orang ni balik."

Kamil tersenyum nipis mendengar kata-kata Pojie. Sungguh hatinya merindui ahli keluarga tercinta. Namun, dia belum memiliki kekuatan untuk kembali kepada mereka.

"Kau pandai cakap kat aku. Habis tu, kau kenapa tak bagi aku contact mak ayah kau?"

Pojie mengeluh mendengar pertanyaan Kamil. Matanya terpejam, cuba membayangkan wajah kedua-dua orang tua yang sudah bertahun-tahun tidak dijenguk. Dia juga langsung tidak pernah menghubungi kedua-dua orang tuanya selepas dia dihalau keluar rumah. Semuanya berlaku gara-gara ayahnya menjumpai sepeket dadah di dalam biliknya.

"Kau pun tau kan, ayah aku halau aku sebab apa. Kau rasa senang-senang dia nak terima aku balik?"

"Kau tak rindu mak ayah kau?"

"Kau tak tanya soalan tu pada diri kau?" Pojie membalas sambil tersengih melihat wajah suram Kamil. 

"Kita sama aje, Kamil. Masing-masing simpan rindu. Tapi, situasi kita tak sama. Aku dihalau. Kau pula melarikan diri daripada keluarga kau. Baliklah."

"Kalau aku balik ke pangkuan keluarga aku, siapa nak jaga kau?"

"Aku masih kuat nak hidup sendiri, Kamil. Lagipun kalau kau balik ke pangkuan keluarga kau, bukannya kita tak boleh jumpa dah. Kau tau mana nak cari aku."

"Aku bukan tak nak balik. Tapi, aku tak nak ibu ayah aku bertambah kecewa dengan aku." Sayu kedengaran suara Kamil.

"Aku yakin dia orang akan bangga dengan kau. Kau arkitek berjaya kut." Pojie berkata sambil menumbuk lembut bahu Kamil.

"Ya, aku arkitek. Tapi tetap juga di satu sisi aku ni sampah masyarakat. Aku tak nak nama baik ibu ayah tercemar bila aku kembali kepada mereka."

Pojie terdiam mendengar kata-kata Kamil. Dia faham maksud sahabatnya itu. Satu keluhan panjang dia lepaskan.


"MISS ZULAIKHA, terima kasih datang jenguk saya." Aishah tersenyum lebar ke arah pensyarahnya. "Sama-sama. Dah tanggungjawab saya. Aishah macam mana hari ni? Dah sihat?"

"Alhamdulillah, miss. Feeling better."

"Macam mana boleh jatuh pengsan? Aishah memang selalu pengsan ke?"

"Dah lama saya tak pengsan macam tu, miss. Nasib baik pengsan kat hostel, ada kawan-kawan yang tolong." Aishah tergelak sendiri dengan kata-katanya.

"Aishah penat sangat kut. Dengan kelas, kerja part time lagi. Berpada-padalah. Jangan paksa diri. Apa yang penting sekarang, sebagai seorang pelajar adalah pelajaran Aishah. Fasal duit tu, Aishah dapat bantuan Baitulmal setiap bulan, kan?"

"Betul. Tapi, saya kena tolong ayah kat kampung."

"Aishah, saya tau niat Aishah baik. Tapi, jangan terlampau paksa diri sampai sakit macam ni. Bila dah sakit, pergi kelas tak boleh, nak pergi kerja pun tak boleh." Zulaikha berkata penuh hikmah, risau Aishah salah faham dengan apa yang cuba dia sampaikan.

Zulaikha tersenyum lebar bila Aishah mengangguk dan senyum kepadanya.

"Miss, dah besar nanti saya nak jadi macam miss."

"Macam saya? Maksud Aishah?" Zulaikha bertanya dengan senyuman yang tak pudar di bibirnya.

 "Yalah, bagi saya miss ni sempurna sangat. Dahlah cantik, baik, lemah lembut, tak pernah marah. Walau macam mana nakal pun kami dalam kelas, miss tak pernah tinggi suara."

"Aishah, jangan terlampau memuji saya. Saya pun manusia biasa, ada kelemahan saya." Zulaikha merasa kurang senang bila dipuji sebegitu. Dia juga punya masa silam yang agak kelam. Mujur saja Allah tutup aibnya.

Zulaikha meminta diri apabila masa melawat telah tamat. Berkali-kali dia memberi pesan kepada Aishah agar mengutamakan kesihatan.

Langkah diayun laju ke arah keretanya. Dia masih ada tugasan yang menanti di kolej. Perbualannya dengan Aishah tadi membuatkan ingatannya kembali kepada peristiwa semasa dia remaja. Betapa lemahnya dia ketika itu, hingga hampir hanyut dengan hawa nafsunya.

"Argh!" Zulaikha menjerit apabila tiba-tiba tubuhnya dirempuh dari belakang. Hampir sahaja dia terduduk di atas jalan bertar itu.

"Maaf, nak. Pak cik nak cepat." Seorang lelaki sedikit beruban meminta maaf sambil menundukkan kepala kepada Zulaikha.

"Tak apa, pak cik tak sengaja. Salah saya juga, berjalan sambil mengelamun." Zulaikha membalas dengan senyum di bibir.

Dia seterusnya memberi laluan kepada pak cik tadi. Mungkin ada perkara penting sehinggakan lelaki itu kelihatan sangat gelisah dan seolah-olah sedang mengejar seseorang.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro