Bab 14
DUSH! Dush! Dush!
Beberapa das tumbukan daripada Kamil tepat ke pipi kanan dan kiri Pojie. Inilah kali pertama dia menumbuk orang. Pojie langsung tidak mengelak daripada ditumbuk oleh Kamil yang nampak sangat marah. Malah perkataan maaf berkali-kali terbit dari mulutnya.
"Maafkan aku Kamil. Aku bukan nak perangkap kau. Tapi, malam tu memang aku nak bagi kau rokok. Rokok semata-mata. Tapi... salah aku, aku tak sengaja... aku tersilap bagi rokok yang ada ganja. Dan selepas tu, aku langsung tak perasan yang kau ambil rokok yang dah berisi ganja juga. Mati-mati aku ingat selama ni kau ambil yang kosong."
Kamil mendengus kasar mendengar kata-kata maaf Pojie. Apa maaf boleh menyelesaikan segalanya? Apa maaf boleh menghilangkan rasa ketagihnya? Tak pula dia tahu ada beza rokok dalam kotak merah dan kotak hitam milik Pojie.
"Sekarang apa aku kena buat, Pojie? Aku tak boleh nak kawal rasa ketagih aku." Kamil sudah terduduk menangis. Menyesali kesilapan yang telah berlaku. Patutkah dia meletakkan kesalahan sepenuhnya ke atas Pojie?
"Kamil... Sorry... Nanti aku tolong kau cari jalan sama-sama, okey?"
Kamil pandang ke arah wajah bengkak Pojie dengan pandangan yang berbalam. Tak pernah dia rasa sebegini lemah. Bagaimana dia nak hadap kedua-dua orang tuanya dalam keadaan dia yang sudah bergelar penagih dadah? Terasa dialah lelaki paling gagal, anak paling mengecewakan dan abang paling tak guna kepada dua orang adik perempuannya.
"Jadi, lepas itu, awak terus menagih?"
Pertanyaan Zulaikha dijawab dengan senyuman nipis oleh Kamil. Tadi dia menghubungi Zulaikha, mengajak gadis tersebut menemaninya. Dia perlukan seseorang untuk bercerita. Jika dulu dia ada Pojie, kini dia keseorangan. Dia sebenarnya malu untuk menceritakan aibnya. Namun, dia perlukan seseorang untuk meluahkan segalanya. Dan dia selesa berbual dengan Zulaikha. Gadis manis yang sentiasa tersenyum kepadanya.
"Awak tak cuba berhenti?"
"Ada masa aku rasa nak berhenti, tapi ada masa aku rasa tak nak." Kamil tarik nafas dalam sebelum menyambung kata-katanya.
"Rasa sakit nak hilangkan rasa gian tu... Aku tak boleh nak describe macam mana. Sampai sekarang aku masih cuba untuk berhenti."
Zulaikha diam. Dia menunggu Kamil meneruskan kata-katanya. Dia yakin, bukan mudah untuk Kamil membuka aib dirinya. Mungkin lelaki itu sudah terlampau terdesak sehingga memilih dia untuk menjadi pendengar hari ini.
"Nak dijadikan cerita... Satu hari tu, ada budak report kat pengurusan universiti yang rumah sewa kami jadi port mat gian. Kami kena ambush dan pihak universiti jumpa ganja dalam bilik aku dan Pojie. Pojie bermati-matian mengaku dadah tu dia punya. Dia sanggup korbankan study dia untuk aku. Dia sanggup hilang segalanya untuk aku. Keluarga dia buang dia dan dia diberhentikan daripada pengajian."
Kedengaran sayu suara Kamil saat nama Pojie meniti di bibirnya. Zulaikha nampak genangan air mata di hujung mata Kamil. Dia yang mendengar juga merasa sebak dengan persahabatan Pojie dan Kamil. Masing-masing saling berkorban.
"Pihak universiti tak buat ujian air kencing?" Zulaikha meluahkan persoalan yang berlegar dalam fikirannya. Bagaimana Kamil boleh terlepas?
"Buat. Kebetulan masa tu aku dah beberapa hari terpaksa stay di kampus untuk siapkan assignment, jadi aku tak ambik. Lagipun masa tu, aku baru berjinak-jinak dengan ganja, rasa ketagih tu tak teruk sangat. Tak ambil beberapa hari pun tak apa. Jadinya, aku lepas."
Kamil menarik nafas panjang sebelum menyambung cerita. Sebak pula bila ingat balik masa-masa lalu bersama Pojie. Detik di mana kehidupannya dan Pojie berubah 180 darjah.
"Lepas ganja, aku cuba syabu dan heroin. Rasa dia lagi kuat dan aku jadi lagi ketagih. Syabu buat aku rasa segar, aku boleh study tanpa tidur. Result exam aku pun cantik. Tapi, aku tak pernah ambil lebih daripada yang aku perlu. Pojie sentiasa larang aku."
Kamil memandang tepat ke wajah Zulaikha. Dia menarik nafas lega melihat reaksi bersahaja Zulaikha. Dia tahu, dia tidak silap apabila berkongsi rahsia dengan gadis itu. Zulaikha tidak memandang serong kepadanya.
"Sebab pengorbanan Pojie sampai dibuang universiti, awak sanggup tanggung dia seumur hidup?"
Soalan Zulaikha sudah dia duga dan Kamil hanya tersenyum tanpa sebarang jawapan.
"Awak tak rasa nak jauhkan diri daripada Pojie? Dia dah buatkan awak terjebak."
Zulaikha perasan riak kurang senang di wajah Kamil mendengar soalan tersebut. Namun, dia sengaja memprovokasi lelaki itu. Lagipun mereka di tempat awam. Ada ramai orang di restoran yang mereka duduki sekarang. Kalau Kamil nak buat jahat pun, ada orang ramai yang boleh tolong dia.
"Aku tak salahkan sesiapa atas apa yang dah berlaku. Satu-satunya orang yang patut dipersalahkan ialah diri aku sendiri. Pojie sendiri sudah minta maaf, dia tak sengaja. Tapi, aku yang sengaja menempah masalah walaupun dah tahu perkara sebenar."
"Jadi, sebab rasa bersalah tu, awak buang keluarga?"
"Aku tak buang mereka. Cuma saja aku tak nak mereka malu ada anak dan abang macam aku. Biarlah mereka bahagia tanpa ada aku." Kamil menunduk.
"Tapi, bahagia mereka bila awak kembali ke pangkuan mereka. Hari tu awak dah janji dengan saya, kan? Awak nak jumpa parents awak."
Kamil raup kasar wajahnya. Sejak membaca surat Pojie tempoh hari, memang hatinya kuat untuk kembali kepada keluarga tersayang. Namun, dia takut akan penerimaan mereka. Bolehkah mereka menerima dia yang sudah rosak ini? Tidak malukah mereka punya anak dan abang yang merupakan sampah masyarakat?
"Kau rasa mereka nak jumpa aku?"
"Kamil, saya dah jumpa Tan Sri dan Puan Sri. Mereka sedang tunggu kepulangan awak. Baliklah. Tempat awak di sisi mereka. Mereka perlukan awak, sepertimana awak perlukan mereka."
Kamil terkedu mendengar kata-kata Zulaikha. Matanya tunak memandang ke arah Zulaikha yang sedang tersenyum lebar ke arahnya. Dia tidak menyangka sama sekali Zulaikha telah menemui kedua-dua ibu bapanya.
HUJUNG minggu kali ini Zulaikha tidak ke Darul Hijrah. Sebaliknya dia ke Raudhatul Jannah. Sudah semestinya Haikal gembira bila mendengar Zulaikha tidak ke Darul Hijrah. Tidaklah gadis itu berjumpa Kamil. Jadi, hari ini Haikal sengaja meluangkan masa ke Raudhatul Jannah juga.
"Zu, you ada masalah ke?"
"Kenapa you tanya macam tu?" Zulaikha pamer wajah pelik ke arah Haikal.
Haikal tersenyum lebar melihat wajah manis Zulaikha. Bertambah manis bila wajah itu berona kemerahan seperti saat ini.
"I'm just curious. I dengar you banyak ambil half day minggu ni. Is there anything you would like to share?"
"Oh. I'm okay. I banyak ambil half day sebab nak tolong Kamil."
Tersentak Haikal mendengar jawapan Zulaikha. Kamil?! Kenapa nama lelaki itu yang meniti di bibir Zulaikha? Tidak! Bukan itu yang dia mahu dengar.
"Kenapa dengan Kamil?" soalnya perlahan. Dia berusaha sedaya upaya menahan rasa cemburu dan marah. Apa istimewanya Kamil di mata Zulaikha?
"You tahu tak, Kamil dah ready nak jumpa keluarga dia. Lebih baik lagi, dia dah ready nak kembali kat keluarga dia." Ceria suara Zulaikha. Senyuman di wajahnya juga semakin lebar.
Haikal mengepal kuat tangannya. Barang-barang sumbangan yang ingin dimasukkan ke dalam kotak dipandang sepi. Dia memejamkan mata sambil menarik nafas panjang.
"Zu, why do you look so happy when it comes to Kamil?"
"Hah?" Pelik Zulaikha dengan soalan Haikal. Apa maksud lelaki itu bertanya soalan sebegitu kepadanya? Tak gembirakah Haikal mendengar perubahan Kamil?
"See, muka you makin merah. You sukakan Kamil?"
Zulaikha tergamam mendengar soalan Haikal. Dia sendiri tidak pasti jawapan kepada soalan tersebut. Namun, apa yang pasti dia rasa selesa dengan Kamil. Dan ada satu perasaan ingin tahu lebih tentang lelaki itu. Dia tidak pernah bosan berbual dengan Kamil dan dia sentiasa berharap akan berjumpa lelaki itu lagi dan lagi.
"Zu, you yakin Kamil lelaki terbaik untuk you?"
Zulaikha masih diam. Matanya terkebil-kebil memandang Haikal yang masih menunggu jawapannya. Kenapa isu ini yang dibangkitkan oleh Haikal?
"Zulaikha!"
Zulaikha dan Haikal menoleh ke arah suara itu. Kelihatan sepasang suami isteri dalam lingkungan 50-an berjalan ke arah mereka. Zulaikha tersenyum mesra dan segera melangkah menghampiri wanita tersebut lantas bersalaman dengannya.
"Eh, uncle, aunty. Tak sangka kita jumpa kat sini. Uncle dan aunty buat apa datang sini? Sebelum ni, Zu tak pernah nampak pun uncle dan aunty kat sini." Ramah Zulaikha bertanya. Si wanita tadi pun nampak mesra memegang tangan Zulaikha tanpa ada tanda ingin melepaskan tangan gadis itu.
Haikal kehairanan melihat kemesraan Zulaikha dengan pasangan tersebut.
"Ini kali kedua uncle dan aunty datang sini. Bulan lepas kami ada datang juga, tapi tak nampak pula Zu. Kami datang nak bagi sumbangan bulanan untuk Raudhatul Jannah." Puan Sri Nora menjawab sambil mengelus lembut tangan Zulaikha yang masih tidak dilepaskan sedari mereka bersalaman tadi.
"Alhamdulillah. Terima kasih banyak uncle, aunty. Semoga dimurahkan rezeki uncle dan aunty."
Tan Sri Ismail dan Puan Sri Nora mengaminkan doa Zulaikha. Kedua-duanya menyenangi sikap mesra gadis itu.
"Siapa ni, Zu? Boyfriend?" Puan Sri Nora pandang sekilas ke arah Haikal. Boleh tahan kacak orangnya. Gaya pemakaiannya pun nampak bergaya dengan jean dan kemeja pendek lengan berwarna denim.
Soalan Puan Sri Nora menerbitkan senyuman lebar di bibir Haikal.
"Eh, lupa pula nak kenalkan. Ni Haikal, kawan satu kolej Zu. Kal, ni Tan Sri Ismail dan Puan Sri Nora, parents Kamil."
Dang! Haikal terpempan mendengar bait kata-kata Zulaikha. Kawan? Nampaknya dia hanya kawan di mata dan hati Zulaikha. Parents Kamil? Sejauh mana pula hubungan Zulaikha dengan Kamil?
Haikal memberontak dalam diam. Dia rasa sangat terancam dengan kemesraan Zulaikha dan kedua-dua orang tua Kamil. Apa hubungan Kamil dan Zulaikha sudah jauh tersasar daripada hubungan client dan sukarelawan? Nampak gayanya dia harus berusaha lebih keras lagi untuk menambat hati Zulaikha.
---
Kalau korang berada di tempat watak utama, apa keputusan yang korang akan buat dalam situasi yang sama? Cuba kongsi di ruang komen.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro