Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

ZULAIKHA dan Haikal menghabiskan masa separuh hari di Darul Hijrah. Jika seawal pagi tadi Zulaikha nampak ceria dan bersemangat, kini gadis tersebut semakin senyap dan nampak sedikit sedih. Banyak kali Haikal bertanya kepada Zulaikha, namun gadis tersebut hanya mengatakan bahawa dia penat. Terbit rasa cemburu dalam hati Haikal apabila terdengar perbualan Zulaikha dengan Mazlan tadi.

"Abang Lan, Kamil tak datang hari ni?"

"Dah beberapa hari dia tak datang sini. Kenapa Zulaikha tanya?"

"Hurm... Abang Lan tau fasal kawan dia yang masuk hospital hari tu?"

"Zu pergi teman Kamil ke?" Mazlan tayang wajah garang.

Pantang betul dia kalau ada sukarelawan yang menentangnya. Sudah banyak kali dia ingatkan semua sukarelawan supaya tidak terlibat terlalu jauh dengan penagih yang datang ke Darul Hijrah. Tapi, pasti ada yang akan melanggar kata-katanya.

"Sorry, Abang Lan. Salah Zu tak dengar nasihat Abang Lan. Zu cuma kasihankan dia. Nampak serabut betul dia masa tu."

"Zu, lain kali jangan buat lagi tau. Abang Lan dah pesan, tolong mereka biar di sini. Tak perlu sampai ke luar. Ingat pesanan Abang Lan dulu, cukup kasihan jangan sampai jatuh kasih."

Melihatkan Zulaikha yang hanya diam selepas dinasihati oleh Mazlan membuatkan Haikal merasa sakit hati. Kenapa Zulaikha begitu mengambil berat soal lelaki bernama Kamil? Apa benar gadis itu sudah jatuh kasih kepada Kamil?

"Kal, you nak balik ke nak stay sini?" Soalan Zulaikha mematikan lamunan Haikal yang nampak ralit memandang ke arah pintu asrama Darul Hijrah. Dia berpusing menghadap Zulaikha dan matanya tajam merenung gadis itu.

"Siapa Kamil?"

"Hah?"



SEJAK Haikal mengikut Zulaikha ke Darul Hijrah, semakin kerap dia menghubungi Zulaikha melalui WhatsApp. Dia tekad mahu memenangi hati gadis tersebut. Dia tidak mahu kalah dengan Kamil walaupun dia tak kenal pun siapa Kamil.

Tempoh hari, selepas Zulaikha beredar pergi dari Darul Hijrah, Haikal bertanyakan soal Kamil kepada Mazlan. Daripada info yang dia perolehi, dia yakin Kamil bukan lelaki yang baik untuk Zulaikha. Dia tidak mahu gadis sebaik Zulaikha berakhir dengan pemuda seperti Kamil.

Haikal yang baru melangkah keluar dari kafeteria menghentikan langkah apabila ternampak Zulaikha dengan seorang pemuda di hadapan receptionist counter. Laju kakinya diayun mendekati pasangan tersebut. Zulaikha dan lelaki tersebut nampak terkejut dengan kehadiran Haikal.

"Kenalkan, Kamil. Kamil, ni Dr. Haikal, pensyarah kat sini juga."

Haikal terkejut apabila Zulaikha memperkenalkan Kamil kepadanya. Lambat dia menyambut huluran tangan Kamil. Matanya memandang Kamil atas dan bawah. Badan agak tegap, rupa pun boleh tahan. Pakaian pun kemas, pakaian pejabat. Memang langsung tak nampak seperti mat gian yang biasa berkeliaran di jalanan. Rasa tergugat dirinya dengan penampilan Kamil.

"Zu, aku balik dulu." Kamil bersuara apabila merasa kurang selesa dengan pandangan Haikal.

Dapat dia rasakan yang Haikal punya perasaan istimewa terhadap Zulaikha. Automatik rasa rendah dirinya meningkat. Dia yakin jika dibandingkan dia dengan Haikal, sudah pasti lelaki itu sangat sesuai dan layak untuk Zulaikha. Sebelum bersaing pun dia dah kalah dengan Haikal.

"Tak apalah kalau macam tu. Sabtu ni kita jumpa dekat Darul Hijrah, ya. Awak banyakkan bersabar. Insya-Allah setiap masalah ada jalan penyelesaiannya."

Kamil mengangguk seraya berlalu meninggalkan Zulaikha dan Haikal. Haikal yang mendengar suara lembut Zulaikha berkata-kata kepada Kamil, mendengus kasar. Terbit perasaan cemburu dalam hatinya. Kenapa Zulaikha melayan Kamil dengan sangat baik? Dan senyuman Zulaikha kepada Kamil pun dia rasakan agak mesra.

"You memang rapat ke dengan Kamil?" Haikal bertanya sebaik kelibat Kamil hilang daripada pandangannya.

"I kenal Kamil dekat Darul Hijrah."

"You berkawan dengan dia? Di luar Darul Hijrah? Bukan Abang Lan dah pesan ke, cukup hanya di centre sahaja?" Haikal tayang wajah marah.

Dia dengar sendiri pesanan Mazlan tempoh hari dan dia faham maksud pesanan Mazlan. Golongan seperti Kamil berpotensi besar untuk mengambil kesempatan ke atas wanita lemah lembut seperti Zulaikha. Jujurnya, dia tak suka Zulaikha rapat dengan Kamil.

Zulaikha mengeluh mendengar kata-kata Haikal. Kenapa semua orang menghalangnya berkawan dengan Kamil?

"Salah ke I berkawan dengan Kamil?"

"Zu, you sendiri tahu kan, siapa Kamil. Kenapa you masih nak berbaik-baik dengan dia di luar? Cukuplah you tolong dia di centre. Tak perlu sampai kat luar pun you nak rapat dengan dia."

"Ya, I tau siapa Kamil. I pun ingat pesanan Abang Lan. Tapi, dia pun manusia biasa macam kita. Sama macam you, macam I. I rasa tak salah I berkawan dengan dia, atas dasar kemanusiaan," tegas Zulaikha.

Dia tak suka nada suara Haikal bercakap fasal Kamil. Kamil juga manusia biasa sama seperti mereka. Ya, lelaki itu pernah tersalah langkah, tapi Kamil nak berubah. Lelaki itu dah sedar akan kesilapannya dan sedang berusaha mencari jalan keluar. Apa dia tak boleh nak tolong insan seperti Kamil?

"I tak nak you salah langkah." Haikal merendahkan suara melihat wajah tegang Zulaikha. Pertama kali dia melihat perwatakan sebegini dalam diri Zulaikha. Rupa-rupanya di sebalik kelembutan Zulaikha, ada kekerasan dalam dirinya.

"Apa maksud you?" Zulaikha sengaja bertanya biarpun dia tahu maksud di sebalik kata-kata Haikal.

"Dia penagih, Zu. I tak nak you tersalah pilih sampai you menyesal kemudian hari."

Haikal jeda seketika, cuba untuk menebak hati Zulaikha melalui raut wajah gadis itu.

"You sendiri tahu kan, sahabat yang baik dan buruk tu macam mana. Orang macam dia tak ada masa depan. Jangan musnahkan masa depan dan hidup you dengan orang macam tu."

Zulaikha mengeluh. Dia teringat kata-katanya di dalam kelas tempoh hari. Pasti Haikal mencuri dengar lagi. Dia tahu, Haikal sudah acap kali memasang telinga di sebalik pintu kelasnya. Aini dan Dalila selalu menyampaikan perkara tersebut kepadanya sehinggakan kedua-dua gadis itu selalu mengusiknya dengan Haikal.

"Siapa pun kita di masa lalu, tak bererti kita tak boleh menjadi sebaik-baik insan di masa hadapan. Apa yang penting bukan permulaan, tapi pengakhiran kita nanti. Lagipun, kita bukan Tuhan untuk melayakkan kita menjadi hakim kepada sesiapa pun. Masa depan kita rahsia Dia. Dan, jangan pernah buat kerja Tuhan."

Terkedu Haikal mendengar bait bicara yang keluar dari mulut Zulaikha. Begitu istimewakah Kamil di hati Zulaikha sehingga begitu sekali gadis itu mempertahankan Kamil?


ZULAIKHA menghentikan kereta di hadapan sebuah rumah agam yang terletak di Bukit Antarabangsa. Info di dalam telefon bimbit diperiksa semula bagi memastikan dia tidak tersalah alamat. Nombor telefon yang telah dia simpan didail dengan debaran di dada.

Sebaik sahaja panggilannya dijawab, pintu pagar terbuka dari dalam. Dia memandu masuk dan memarkirkan kereta di salah satu porch yang kosong. Bukan memandai-mandai, tapi itulah arahan yang dia dapat lewat panggilannya tadi.

Dia disambut mesra oleh sepasang suami isteri sebaya umi dan abinya di pintu masuk utama. Senyuman ikhlas dia lemparkan buat pasangan tersebut. Reda sikit debaran dalam hati.

"Terima kasih Zulaikha sebab sanggup datang ke sini." Tan Sri Ismail berkata sebaik sahaja Zulaikha melangkah masuk ke dalam rumahnya.

Mereka kini duduk di ruang tamu yang terserlah kemewahannya. Dekorasi berkonsepkan modern contemporary melatari keseluruhan ruang yang ada. Kagum Zulaikha dengan suasana rumah agam tersebut. Nampak mewah, namun terasa tenang dan nyaman. Mungkin juga aura insan hebat di hadapannya yang menimbulkan suasana tersebut. Tan Sri Ismail, salah seorang usahawan perhotelan yang memiliki cawangan di setiap negeri. Juga seorang dermawan yang sering menyantuni golongan yang memerlukan.

"Dah memang tanggungjawab saya, Tan Sri." Zulaikha membalas dengan senyuman yang tidak lekang sejak tadi.

"Zulaika ni, berapa kali saya cakap. Panggil uncle saja." Tan Sri Ismail menggeleng melihat kedegilan Zulaikha yang masih memanggilnya Tan Sri.

"Maaf Tan... Sorry, uncle. Zu tak biasa lagi." Zulaikha menayangkan sengih.

"Tak sangka gadis cantik dan terpelajar macam Zulaikha ni sanggup buat kerja-kerja sukarela macam ni." Puan Sri Nora memuji gadis di hadapannya. Kagum dia dengan figura di hadapannya itu.

"Saya biasa aje, Puan Sri. Lagipun..."

"Panggil aunty."

Zulaikha tertawa kecil. Senang hati dia mendapat layanan mesra daripada pasangan di hadapannya. Ternama dan berharta, namun merendah diri.

"Lagipun aunty, umi dan abi dah biasakan saya dengan kerja-kerja amal. Thanks to both of them." Zulaikha menyambung kata-katanya.

"Bertuah mereka ada anak macam Zulaikha."

"Saya yang bertuah ada umi dan abi." Zulaikha tersenyum lebar mengenangkan didikan umi dan abinya.

"Back to bussiness. Uncle dan aunty pun tahu kan, kenapa saya datang ke sini? Kamil..."

"Kamil sihat?" Puan Sri Nora menyoal perlahan. Rindu kepada sang anak sudah tidak terbendung lagi. Tangan suaminya digenggam kuat, bagai memohon kekuatan daripada lelaki itu.

"Alhamdulillah. Kamil sihat dan saya yakin dia dah bersedia berjumpa keluarganya semula."

Esakan halus mula kedengaran dari bibir Puan Sri Nora. Zulaikha memandang sayu ke arah wanita anggun itu. Dapat dia saksikan betapa dalam rindu wanita itu kepada anak lelakinya.

"Dah lima tahun Kamil tak balik. Puas uncle pujuk dia, tapi dia sentiasa bagi alasan. Sampailah empat tahun lepas, dia betul-betul putuskan hubungan dengan kami. Dia keluar dari rumah sewa dan tukar nombor telefon. Hari konvokesyen pun, dia tak hadir. Uncle dan aunty tunggu dia di luar dewan konvokesyen, tapi dia tak pernah muncul."

Zulaikha menumpukan sepenuh perhatian kepada Tan Sri Ismail. Lelaki itu nampak sangat tenang. Tidak marahkah lelaki ini dengan tindakan Kamil?

"Hati ibu bapa mana yang tak hancur bila anak yang ditatang penuh kasih sayang, memilih untuk menghancurkan diri sendiri. Tapi, uncle sedar, apa yang berlaku mungkin sedikit sebanyak berpunca daripada diri uncle sendiri. Mungkin uncle fikir uncle dah cukup bagi ilmu agama kepada Kamil, tapi sebenarnya banyak yang kurang."

"Uncle, saya tak tau apa yang berlaku antara uncle dan Kamil. Tapi, apa yang saya nampak, Kamil beruntung ada ibu ayah yang berjiwa besar. Saya janji akan tolong pujuk Kamil lagi." 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro