Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 12

KAMIL melangkah longlai ke dalam bilik tidur yang pernah dihuni oleh Pojie. Baru hari ini dia ada kekuatan untuk masuk ke situ. Sudah tiga hari Pojie meninggalkannya buat selama-lamanya. Bererti, sudah tiga hari juga dia tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling termasuk pekerjaannya. Sungguh, kematian Pojie memberikan impak yang cukup besar buat Kamil.

Sebak rasa hati melihat suasana di dalam bilik tersebut. Hanya ada sebuah katil bujang dan sebuah almari kecil. Dia melabuhkan punggung di birai katil. Seolah-olah masih ada Pojie yang terbaring di atas katilnya, atau juga sedang duduk di lantai, melayan perasaan dan gian.

"Aku suka tilam ni, empuk. Tidur pun aku rasa macam dalam syurga walaupun hakikatnya aku dengan syurga tu macam tak berjodoh. Hahaha..."

"Apa kau merepek ni?" Geram pula Kamil dengan omongan Pojie. Baginya gurauan Pojie sudah berlebihan.

"Kalau kau tak desak aku ikut kau, mesti aku masih tidur atas kotak. Tak sangka aku masih ada peluang dapat tidur atas tilam macam ni."

Masih terngiang-ngiang suara Pojie saat pertama kali dia menyewa rumah selepas mendapat gaji pertama. Sebelum itu, dia pun macam Pojie, tidur beralaskan kotak di bawah jambatan.

Dalam tempoh sebulan dia bekerja, dia menumpang mandi di stesen minyak berhampiran jambatan. Makan pula tak perlu risau sebab sentiasa ada golongan sukarelawan yang datang menghantar makanan. Kadang-kadang sampai berlebihan tak termakan. Keperluan asas juga ada yang mereka boleh dapat percuma. Mungkin sebab itulah ada golongan gelandangan yang selesa hidup tanpa kediaman yang tetap.

"Tapi, kalau kau tak paksa aku pun, aku dah bahagia tidur bawah jambatan tu. Aku dah rasa cukup kaya dah macam tu. Kau tau sebab apa? Sebab jambatan tu harga dia juta-juta. TV pun besar, bila-bila saja boleh tengok drama live depan mata. Kaya kan aku? Rumah harga berjuta. TV pun besar, sebesar alam. Hahaha."

Terbit gelak berserta air mata sebaik teringat kata-kata Pojie. Betapa sukar dia memujuk Pojie untuk tinggal bersama pada mulanya. Ya, Pojie degil. Tapi, dia lagi degil.

Kamil melangkah ke arah almari pakaian Pojie. Tidak banyak pakaian di dalamnya. Hanya ada tiga helai t-shirt dan sehelai seluar jean lusuh. Semua t-shirt pojie berwarna hitam, warna kegemaran sahabatnya itu.

"Aku teringat ustaz Pengajian Islam cakap masa kelas dulu. Pakaian akhir kita nanti satu warna saja, itupun tak berjahit. Jadi, kau tak payahlah bagi aku baju bagus-bagus, mahal-mahal. Aku tak ke mana pun."

Air mata mengalir lagi. Sejak kematian Pojie, tidak terkira berapa banyak air matanya mengalir. Mata meliar lagi, meneliti segenap penjuru dalam almari kain itu. Apa yang menarik perhatiannya adalah sekeping sampul surat yang tertulis namanya di bahagian bawah almari. Segera dia capai sampul tersebut.

Ke hadapan sahabatku Kamil,

Maaf untuk semuanya. Kerana aku, kau hidup sendiri tanpa keluarga. Kerana aku, kau jadi manusia pendosa.

Aku menyesal sebab aku pilih jalan yang salah. Aku lebih menyesal sebab dah bawa kau ke jalan yang sama. Tapi, yang paling aku kesal, aku tak sempat ketuk pintu taubat bersama kau. Maafkan aku, sahabat.

Ya, kau sahabat aku selamanya. Sahabat aku di dunia. Akhirat? Aku nak kau masuk syurga. Aku, mungkin ke neraka. Hahaha.

Hiduplah untuk diri kau, Kamil. Tinggalkan Leha, asap, ais dan semuanya. Baliklah kepada keluarga kau. Mereka tunggu kau balik. Maaf sekali lagi, sebab aku dah bocorkan alamat kau kepada ayah kau.

Walaupun tak layak, tapi aku minta tolong doakan aku. Kau orang baik, doa kau pasti Dia angkat. Kejarlah awek yang dah buat kau jatuh cinta tu. Aku yakin kau akan bahagia juga nanti.

Selamat tinggal, sahabat.

Sahabat duniamu, Pojie.

Kamil memandang sayu surat tulisan tangan Pojie itu. Dia tidak tahu bila Pojie menulis surat tersebut. Badannya menggigil. Menggigil kerana menangis dan juga menahan 'rasa' yang tiba-tiba datang kembali. Surat Pojie diletakkan di atas katil dan badannya dibawa ke bilik mandi. Biarlah sejuk air paip membawa 'rasa' itu pergi. Sudah beberapa hari dia melawan 'rasa' itu dengan berkubang di bilik mandi, sehingga ada ketikanya dia tertidur di sana.



"PERUMPAMAAN sahabat yang baik dan sahabat yang buruk adalah seperti seorang penjual minyak wangi dan seorang tukang besi. Penjual minyak wangi mungkin akan memberi kamu minyak wangi tersebut, atau kamu membeli daripadanya dan oleh itu kamu mendapat bau yang harum daripadanya. Sedangkan tukang besi pula, akan membakar baju kamu dan juga kamu mendapatkan bau yang busuk. Jadi, kesimpulannya... berhati-hatilah memilih kawan kerana ada kawan yang boleh bimbing kita ke syurga-Nya. Tapi, ada juga kawan yang boleh buat kita tertarik bersama ke neraka-Nya." Zulaikha sedikit terkesan dengan kata-katanya sendiri.

Satu per satu wajah pelajarnya dipandang. Pelbagai riak di wajah para remaja tersebut. Zulaikha terpanggil untuk berkongsi berkenaan sahabat apabila teringatkan kisah persahabatan Kamil dan Pojie. Sudah lama dia tidak berjumpa Kamil. Sihatkah lelaki itu? Apalah agaknya khabar sahabat Kamil?

"Miss, andai kata kita dah tersilap pilih kawan, boleh ke kita putus kawan dengan dia?" Soalan Khairul mematikan lamunan Zulaikha. Senyuman dihadiahkan buat Khairul yang semakin positif sejak menyertai program di Raudhatul Jannah tempoh hari.

"Apa tujuan kita berkawan?" Zulaikha mengutarakan persoalan kepada para pelajarnya.

"Untuk jadi teman ke mana-mana."

"Untuk dapatkan nasihat dan pandangan."

"Supaya tak sorang-sorang."

"Sedih kut kalau makan sorang-sorang, tengok movie sorang-sorang."

Zulaikha mengangguk mendengar semua jawapan pelajarnya. "Semua betul. Tiada siapa pun di dunia ini mampu hidup sendirian. Kita perlukan seseorang. Antara tujuan bersahabat sebenarnya adalah untuk mengeratkan silaturahim sesama kita dan haram hukumnya memutuskan silaturahim."

Zulaikha diam seketika. Dia teringat sahabat lamanya, Mira yang terpisah sejak mereka tamat SPM. Moga sahaja mereka boleh berjumpa semula suatu hari nanti.

"Andai saja ada di antara sahabat kita yang berbuat salah, tegurlah. Dan, kalau kita yang ditegur, berlapang dada dan cuba muhasabah serta perbaiki diri. Jadilah sahabat yang boleh menarik sahabatnya ke jalan Allah, bukan yang menjauhkan kita daripada-Nya."

Seperti biasa, macam-macam reaksi terpamer di wajah pelajarnya. Setelah memberi pesan sepatah dua lagi, Zulaikha menamatkan kuliah dan melangkah keluar kelas.

"Assalamualaikum, Zu."

Tanpa perlu menoleh, dia tahu siapa yang menegur. Zulaikha membalas salam sambil memusingkan badan, menghadap lelaki berbadan sasa di belakangnya.

"Thanks for the gift." Zulaikha berkata dengan senyuman ikhlas.

"Macam mana Zu tau I yang bagi?" Ada riak terkejut di wajahnya. Baru sahaja dia ingin memberi kejutan. Ternyata gadis di hadapannya sudah tahu terlebih dahulu.

"Aishah."

"Oh, that girl. Sampai hati dia pecahkan rahsia I." Haikal tergelak kecil sambil menggeleng. Terbayang pula dia wajah polos Aishah.

"Tapi, kenapa nak berahsia?"

Haikal telan liur mendengar soalan Zulaikha. Ditambah pula dengan wajah serius gadis itu. Apa salahkah tindakannya memberi hadiah dengan cara sebegitu? Bukankah golongan wanita suka dengan kejutan? Apa Zulaikha berbeza daripada gadis-gadis lain? Atau mungkin sebab itulah golongan lelaki di kolejnya tak berani mendekati gadis menawan itu?

"You tak suka?" Haikal cuba meneka isi hati Zulaikha. Andai kata Zulaikha tak sukakan kejutannya itu, dia akan cari cara lain untuk mengambil hati Zulaikha.

Kedengaran keluhan Zulaikha. "I tak suka lecturers lain bergosip."

Haikal maklum tentang gosip yang Zulaikha maksudkan. Kecoh pada hari tersebut yang Zulaikha mendapat hadiah daripada secret admirer. Kasihan Ustaz Hamid jadi mangsa. Semuanya gara-gara Dalila dan Aini yang membuat kecoh. Terkebil-kebil Ustaz Hamid menjawab soalan demi soalan Dalila dan Aini.

"My bad... Sorry."

"It's okay. Next time jangan buat lagi."

Haikal mengangkat tangan seakan-akan bersumpah. Zulaikha hanya menggeleng sambil tersenyum kecil melihat telatah Haikal.

"Weekend ni, you pergi Raudhatul Jannah?"

"Tak, I pergi Darul Hijrah."

"Rumah anak yatim?"

Zulaikha geleng.

"Rumah kebajikan orang tua?"

Zulaikha geleng lagi. "Nope. Cure and care centre untuk penagih."

Tersentak Haikal mendengar jawapan Zulaikha. Dalam hati terbit kerisauan membayangkan Zulaikha mendekati golongan tersebut.

"Cure and care centre? Rumah kebajikan untuk golongan penagih yang nak berhenti menagih ke?"

"Tak juga. Tak semua yang datang ke situ dengan niat untuk berhenti. Ada yang datang sebab mereka perlukan makanan dan tempat melepaskan lelah di siang hari."

"Pelik... kenapa nak bagi galakan untuk golongan penagih ni dengan bagi makanan dan tempat perlindungan percuma?"

Haikal masih tak percaya Zulaikha terlibat dengan golongan sebegitu. Tajam pandangannya ke arah Zulaikha. Menunggu penjelasan lanjut daripada gadis itu.

"Itu jugalah tanggapan pertama I dengan Darul Hijrah. Tapi, bila dah banyak kali I datang situ, I dah faham. Adakalanya mereka tu perlukan bantuan kita untuk kembali ke pangkal jalan. Dan salah satu cara untuk bagi mereka bantuan adalah dengan berkawan dengan mereka."

"You berkawan dengan penagih dadah? Selalu ke you pergi situ?"

Anggukan Zulaikha menambahkan kebimbangan Haikal. Bukan tak pernah dia dengar ada wanita yang berpendidikan tinggi dan mempunyai pekerjaan yang baik akhirnya berkahwin dengan golongan penagih dadah. Tak sanggup dia bayangkan gadis sebaik Zulaikha akan berakhir dengan orang sebegitu.

"Kalau I nak join weekend ni boleh?" Haikal tersenyum manis ke arah Zulaikha. Kenangan manis pertama kali mengikuti program sukarelawan Zulaikha tempoh hari masih bermain di benaknya. Dia ingin mencipta lebih banyak kenangan manis bersama Zulaikha.

"You tak busy? Bukan selalu you ada lawatan ke hospital ke?"

Teringat pula Zulaikha kata-kata umi yang Haikal kerap bekerja di hujung minggu. Dia juga maklum akan perkara tersebut kerana memang itulah polisi kolejnya. Pemantauan berterusan dilakukan ke atas pelajar-pelajar yang sedang menjalani latihan praktikal di lapangan.

"Hujung minggu ni jadual I kosong. Bak kata you tadi. I hanya akan faham tentang Darul Hijrah kalau I pergi sendiri. So, boleh I join you?" Haikal mencuba lagi.

Zulaikha terdiam sebelum perlahan-lahan mengangguk. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro