Bab 11
"PAK CIK, Pojie macam mana?" Kamil memuntahkan soalan sebaik merapati ayah Pojie, Latif. Laju jantungnya bekerja akibat berlari sebaik keluar dari kereta Zulaikha tadi. Beberapa orang pelawat dan petugas kesihatan hampir dilanggar. Bertambah laju jantungnya menunggu jawapan daripada Latif.
Wajah sugul Latif dan esakan Maryam, mak Pojie membuatkan Kamil semakin takut. Takut kehilangan Pojie. Sungguh dia belum bersedia untuk hilang satu-satunya sahabat yang dia ada. Kamil merapati pintu yang tertutup rapat itu. Dia tahu para doktor sedang berusaha menyelamatkan Pojie.
"Allah, panjangkan umur Pojie..." Hatinya berdoa ikhlas. Badan melurut ke lantai dan mata terpejam rapat.
Ini kali pertama dia meminta kepada Allah setelah sekian lama tidak berbuat demikian. Mungkin betul kata Zulaikha, ujian ini membuatkan dia mengingati-Nya. Ingatannya kembali kepada peristiwa beberapa tahun lepas.
"Pojie, aku ada masalah." Kamil menghubungi Pojie semasa cuti semester mereka. Waktu ini Kamil berada di rumah orang tuanya, manakala Pojie memilih untuk stay di rumah sewa mereka. Katanya ada kerja part time.
"Apa dia?"
"Aku beli rokok tadi, jenama sama macam yang kau selalu beli tu. Tapi, kenapa rasanya tak sama macam yang biasa aku hisap?"
"Eh, kau selalu ambil rokok aku yang kotak merah atau hitam?"
"Merahlah. Aku nampak kau selalu hisap yang kotak merah."
Pojie terkedu mendengar jawapan Kamil. Macam mana dia boleh tak perasan selama ini Kamil ambil rokok daripada kotak merah dan bukan kotak hitam?
"Kenapa? Aku kena ambil yang hitam ke? Aku dah beli macam kotak yang kau selalu beli tu. Tapi rasa tak sama. Macam something missing." Kamil menambah lagi.
Pojie masih diam.
"Aku ambil stok kat kau boleh?"
"Kamil, aku ingat selama ni kau ambil yang kotak hitam."
"Mula-mula kau suruh aku ambil sendiri tu memang aku ambil kotak hitam. Tapi sebab rasa tak sama macam yang pertama, aku ambil yang merah."
Kedengaran dengusan kasar Pojie.
"Pojie, aku datang ambil kat kaulah, ya?"
"Kau datanglah. Aku tunggu. Lagipun, ada benda kau perlu tahu."
Bunyi pintu yang terkuak dari dalam meleraikan cebisan kenangan Kamil bersama Pojie. Muka doktor yang baru sahaja keluar dari bilik rawatan menjadi perhatian Kamil, Latif dan Maryam.
PAGI Ahad, Zulaikha meluangkan masa bersama abi dan uminya. Selepas selesai bersarapan, mereka berkumpul di gazebo di luar rumah. Permainan Sahiba menjadi pilihan mereka kali ini.
"Zu dah ada buah hati?"
Terhenti tangan Zulaikha daripada menyusun huruf-huruf di hadapannya. Wajah redup umi dan abi dipandang silih berganti.
"Kenapa tiba-tiba umi tanya?" Soalan dibalas dengan soalan juga.
Bagi menghilangkan debaran di dada, Zulaikha menyusun huruf-huruf yang dia ada untuk membentuk satu perkataan, 'hati'.
"Wah, kebetulan pula ya, kita tengah bercakap soal hati, hati juga yang timbul." Dato Asri mengusik anaknya.
Zulaikha tersengih memandang abi yang sentiasa murah dengan senyuman itu. Giliran abi pula untuk menyusun perkataan seterusnya.
"Zu tau kan, semalam mak ayah Haikal datang sini?"
Zulaikha mengangguk sebagai jawapan kepada soalan umi. Matanya sempat mengerling perkataan yang dibina abi, 'buah'.
"Kebetulan ya, jadi buah hati pula."
Terkekek-kekek Zulaikha mendengar kata-kata abi. Dato Asri juga turut sama tergelak dengan anaknya. Datin Suhaila pula mencubit manja lengan suaminya. Faham benar dengan sikap happy go lucky suaminya itu bila bersama Zulaikha.
"Anak dengan abi ni, main-main pula. Cuba fokus sikit apa umi nak cakap ni."
"Umi, turn umi pula." Zulaikha memegang tangan umi dan menuding ke arah papan Sahiba. Tak sabar pula dia nak tengok perkataan daripada umi.
Datin Suhaila ligat menyusun huruf di atas papan Sahiba. Terbentuk perkataan 'pilih'.
"Zu dah ada pilihan sendiri?" Datin Suhaila bertanya lagi.
Zulaikha tersengih ke arah uminya. Kebetulan pula semua perkataan yang terbentuk hari ini saling kena-mengena dengan isu yang dibangkitkan oleh umi. Ke, uminya memang sengaja ni?
"Umi, cuba umi terus terang dengan Zu. Ada apa sebenarnya?" Zulaikha bertanya penuh hemah. Enggan mengecilkan hati umi. Permainan dibiarkan sahaja terhenti buat seketika. Fokus harus diberikan kepada wanita yang telah banyak berjasa kepadanya itu.
"Semalam, mak ayah Haikal datang tanya fasal Zu. Kira merisiklah, orang kata."
Bulat mata Zulaikha mendengar kata-kata umi. Selama ini Haikal tidak pernah berbicara soal hati dengannya, kenapa tiba-tiba orang tua lelaki itu datang merisik? Dia fikir kedatangan ibu bapa Haikal semalam sekadar lawatan sahabat lama.
"Zu memang bercinta dengan Haikal?"
"Umi, abi, Zu tak pernah bercinta dengan Haikal. Memang Zu senang berkawan dengan dia. Tapi, Haikal tak pernah pun luahkan perasaan dia dekat Zu."
Dato Asri dan Datin Suhaila saling berpandangan. Pelik juga rasanya bila tiba-tiba anak mereka dirisik sebegitu. Ingatkan memang mereka ada hubungan istimewa sebelum ini.
"Tapi, Zu suka Haikal?"
Zulaikha menghela nafas panjang mendengar soalan umi.
"Suka tu sukalah, mi. Tapi, suka sekadar kawan, tak lebih daripada tu."
"Zu dah ada pilihan sendiri?"
"HAPPY teacher's day, miss!" Jeritan ceria Aishah disambut dengan senyuman manis Zulaikha.
"Thank you so much, Aishah." Tangan menyambut beg kertas yang dihulurkan oleh Aishah.
"Sama-sama, miss. Saya tukang edarkan hadiah aje. Miss, dalam tu ada satu special gift tau." Aishah mengenyitkan mata.
"Siapa bagi?"
"Someone special."
"Awak ni ada-ada saja nak mengusik saya."
"Miss kan special. Mesti ramai yang sayang. Tapi, betul saya cakap ni. You got something special from someone special." Aishah berkata seraya mengangkat kedua-dua belah keningnya.
Zulaikha tergelak mendengar usikan Aishah. Memang pada setiap tahun, sempena sambutan hari guru, akan diadakan dedication sales dalam kalangan pelajar. Para pelajar akan menempah hadiah berserta ucapan untuk pensyarah kegemaran mereka. Seperti biasa, Zulaikha mendapat banyak hadiah lagi tahun ini.
Selepas Aishah beredar, Zulaikha mengorak langkah ke arah pejabat yang dikongsi bersama beberapa orang pensyarah lain.
"Zu, banyak hadiah tahun ni." Dalila menegur sebaik sahaja jiran sebelah mejanya tiba.
"Alhamdulillah. Budak-budak ni la. Rajin betul nak bagi hadiah."
"Dia orang sayang kau. Tu salah satu cara dorang express kasih sayang," sampuk Aini, jiran meja hadapan Zulaikha.
"Kau orang pun apa kurangnya. Penuh meja tu." Zulaikha membalas sambil jari menuding ke arah meja rakan-rakannya.
Masing-masing tersengih sambil tangan membelek kad-kad ucapan yang disertakan bersama hadiah-hadiah yang ada. Adakala terbit gelak kecil mereka apabila terbaca ucapan yang mencuit hati.
Zulaikha mengambil satu per satu hadiah yang ada di dalam beg kertas yang diserahkan oleh Aishah sebentar tadi. Antara hadiah yang paling banyak dia terima ialah bunga ros dan coklat Ferrero Rocher. Zulaikha tersengih membaca kad-kad ucapan daripada para pelajarnya.
This big heart is for you, Miss Zulaikha!
Ucapan tersebut disertakan dengan lukisan hati yang agak besar, memenuhi kertas ucapan.
Stay gorgeous, miss hot and spicy!'
Pen merah pen biru, miss marah I love you.
Apa beza miss dengan matahari? Matahari menyinari alam semesta, miss menyinari hidup saya.
Kreatif sungguh ucapan-ucapan yang dia terima. Tegang rasa pipinya menahan gelak, risau mengganggu rakan-rakan yang lain. Zulaikha terus mengeluarkan hadiah-hadiah yang lain, sehingga terjumpa satu-satunya kotak berbalut kertas hadiah dengan tulisan Parker. Sekali imbas sudah tahu apa isi di dalamnya. Teringat kata-kata Aishah tadi, something special from someone special.
Zulaikha segera membuka pembalut hadiah tersebut. Di dalamnya ada sebuah kotak baldu berwarna biru gelap. Kotak dibuka dan di hadapannya sekarang sebatang pen berwarna emas dengan ukiran namanya, 'Zulaikha, the Exceptional'.
Segera Zulaikha mengambil kad ucapan yang disertakan bersama kotak hadiah tadi. Entah kenapa hatinya berdebar-debar saat membuka kad ucapan tersebut. Belum sempat dia membaca apa yang tertulis, kadnya sudah beralih tangan.
Let's write our story! ~HK!
Jeritan Dalila yang merampas kad ucapan tadi menggamatkan suasana di dalam bilik tersebut. Dalila dan Aini kini menempel di meja Zulaikha. Aini membelek kad ucapan tersebut manakala Dalila sibuk membelek pen berwarna emas.
"Siapa HK?" Kedua-dua rakannya memandang Zulaikha dengan mata yang membulat berserta sengihan nakal. Masing-masing teruja menunggu jawapan Zulaikha.
"Entah."
"Aik, takkan kau tak kenal?" Dalila menyoal. Pelik dengan tingkah Zulaikha yang seolah-olah tidak teruja untuk mengetahui siapa pemberi hadiah tersebut.
"Tak."
"Habis tu, tak nak tau siapa?" Aini pula menyoal.
Zulaikha hanya menjawab dengan mengangkat kedua-dua belah bahunya.
"Aku tak rasa student bagi ni."
"Aku pun rasa macam tu."
"Tapi, hadiah ni dalam paper bag dengan hadiah-hadiah student yang lain. Mesti orang kat kolej ni juga."
"Betul, yang tu aku setuju."
"Hamid Khalil!" Sedikit menjerit Dalila menyebut nama tersebut.
"Ustaz tu ke?"
"Tapi, takkan Ustaz Hamid tu kut. Anak dah nak masuk empat orang."
Dalila dan Aini masih berteka-teki. Zulaikha hanya tersengih melihat telatah sahabat-sahabatnya itu.
HK! Mungkinkah Haikal? Let's write our story. Zulaikha menelan liur, teringat kata-kata umi dan abinya semalam.
"Umi rasa Haikal tu baik budaknya. Tak salah Zu bagi peluang kepada diri sendiri dan Haikal."
"Tapi umi, umi rasa Haikal dan keluarga boleh terima asal usul Zu?"
"Zu, tak ada siapa minta dilahirkan tanpa mengenali siapa orang tuanya. Abi tahu, Zu risau dengan penerimaan keluarga Haikal. Tapi, abi yakin, mereka akan faham dan terima Zu seadanya."
"Tapi, Zu tak bersedia untuk apa-apa komitmen buat masa sekarang."
"Kalau tunggu dah betul-betul bersedia, entah bilalah umi nak merasa ada menantu dan cucu."
Zulaikha tergelak kecil melihat uminya yang sedikit mencebik. Selebihnya, tawa tadi adalah untuk menutup rasa hati.
"Bersedia atau tak, itu sebenarnya pilihan Zu. Kalau Zu sanggup terima Haikal, abi yakin Zu akan menyiapkan diri untuk bersedia jadi suri hati dia. Andai kata Zu masih keliru, istikharahlah. Mintak petunjuk daripada-Nya."
Tepukan di bahu mematikan lamunan Zulaikha. Senyuman segera dihadiahkan buat kedua-dua sahabatnya yang masih setia membelek pen dan kad ucapan tadi.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro