Bab 1
Lima tahun yang lalu...
"POJIE, malam ni apa plan best?"
Kamil bertanya dengan penuh perasaan teruja. Dia tahu, mesti ada sesuatu yang dirancang oleh Pojie untuk keseronokan mereka malam ini. Pojie sememangnya kawan yang sangat menghiburkan. Dia tahu bagaimana membahagiakan kawan-kawan dengan keseronokan duniawi. Tidak salah rasanya dia memilih Pojie sebagai sahabat baiknya.
Setakat ini, dia tidak pernah menyesal berkawan baik dengan Pojie. Baginya, Pojie satu-satunya kawan susah dan senang. Zaman sekarang, lagi-lagi di kota metropolitan ini, bukan senang mencari seorang sahabat sejati. Pojie ialah sahabatnya dunia akhirat.
"Malam ini ada pertunjukan di Dataran Merdeka. Live show, without protection."
"Aik, sejak bila kau layan lumba haram ni?" Kamil pelik dengan kenyataan Pojie sebentar tadi. Setahunya, Pojie tidak berminat dengan adegan-adegan lumba haram yang sering didengar dianjurkan oleh pihak pihak tertentu di tempat-tempat seperti Dataran Merdeka. Tindakan yang sengaja mencabar pihak berkuasa.
"Siapa kata aku berminat dengan aksi-aksi yang pelik-pelik tu semua? Aku cuma nak rasa kena kejar dengan polis." Pojie ketawa dengan kenyataannya sendiri.
"Kau tak takut kena tangkap?" Kamil cuak dengan kenyataan Pojie sebentar tadi. Dia takut ditangkap oleh pihak berwajib yang menyebabkan dia terpaksa memberikan keterangan mengenai ahli keluarganya. Sesungguhnya, dia belum bersedia untuk menemui mereka.
"Chill, bro. Malam ni, kita pergi sana sebagai penonton aje. Polis datang, kita cabut. Ikut jalan-jalan belakang sedia ada. Confirm boleh lepas punyalah. Kawan aku dah banyak kali buat. Sekarang ni aku nak juga merasa adrenaline aku merembes laju." Kata-kata Pojie disambut dengan gelak ketawa rakan-rakan yang lain, kecuali Kamil. Dia masih takut dan waswas dengan cadangan tersebut.
"Kamil, dalam hidup ni, kita tak boleh rasa selesa. Nanti kita tak ke mana. Kita kena ada matlamat yang nak dicapai dan dikejar. Setakat hisap benda tu di lorong-lorong, itu perkara biasa. Orang biasa hanya lakukan perkara-perkara biasa. Kita harus jadi orang yang luar biasa. Aku nak cabar diri aku, berlumba dengan pihak berkuasa. Kali ini, aku nak tengok, siapa lari lagi laju. Kau atau aku."
Cabaran Pojie disambut dengan anggukan oleh Kamil. Dia sangat mengagumi Pojie, sudah semestinya dia akan menuruti kata-kata Pojie.
Masa kini...
"SEPERTI yang telah saya katakan pada awal kuliah tadi, penyelidikan adalah sesuatu yang sangat menyeronokkan. Kamu akan mendapat pelbagai jawapan kepada persoalan kajian yang telah kamu tentukan pada awal penyelidikan. Ada ketika, jawapan yang diperoleh tidak seperti yang kita kehendaki, tetapi itulah faktanya. Jadi, saya harap kamu semua dapat membuat tugasan yang telah saya berikan sehabis baik dan... berseronok."
Zulaikha menamatkan kuliah dengan memberikan tugasan ringkas kepada para pelajar. "Okay folks, now I would like all the group leaders to come forward and please write the title of their group's study in the column provided. And the rest, any questions?"
Kuliah hari ini mengenai langkah-langkah asas dalam membuat kerja-kerja penyelidikan yang akan dilakukan oleh para pelajar sepanjang semester. Tugasan yang diberikan adalah sebagai latihan buat pelajar mengaplikasikan ilmu yang baru sahaja mereka pelajari. Dia tidak mahu pelajarnya semata-mata menghafal nota untuk menjawab peperiksaan nanti. Sebaik-baik pembelajaran adalah secara praktikal. Dengan mengaplikasikan ilmu, akan menjadikan kita lebih memahami sesuatu ilmu itu.
"Miss, program kita hujung bulan ni macam mana? Baru ada lima orang saja yang berminat. Patut ke kita buka penyertaan kepada pelajar kelas lain?"
Soalan Johan, salah seorang pelajar yang aktif di dalam kelas mendapat perhatian beberapa orang pelajar yang lain. Namun, tidak bagi sesetengah yang lain. Muka yang agak bosan ditayangkan tanda mereka kurang menyenangi soalan tersebut.
"Insya-Allah, semuanya akan berjalan lancar. Semalam saya sempat melawat Raudhatul Jannah dan adik-adik di sana nampaknya sudah tak sabar-sabar nak terima kehadiran kakak dan abang mereka ni. Macam mana dengan persiapan yang Johan dan rakan-rakan dah buat? Perlukan sebarang bantuan daripada saya?"
"Alhamdulillah. Semuanya berjalan lancar, miss. Cuma tinggal persiapan untuk kuiz dan games yang belum siap sepenuhnya." Jawapan Johan mengundang senyum Zulaikha. Ternyata tidak silap dia menyerahkan tugasan selaku pengarah program kepada Johan.
"Terima kasih, Johan. Jadi, siapa yang akan ikut serta untuk program 'Rumahku Syurgaku' nanti?"
Soalan Zulaikha mengundang pelbagai reaksi daripada pelajarnya. Ada yang menayangkan muka teruja dengan anak mata yang makin membesar. Ada yang menekan-nekan telefon pintar masing-masing tanda malas mahu masuk campur dalam perbincangan yang tengah diadakan.
"Bosanlah program macam ini, miss. Apa yang kita dapat kalau buat program-program kebajikan macam ni? Baik kita buat aktiviti main bowling ke, pergi makan angin ke... atau melawat tempat-tempat best. Bak kata orang, jauh perjalanan, luas pemandangan."
Kenyataan daripada salah seorang pelajarnya membuatkan Zulaikha beristighfar dalam hati. Sesungguhnya dia bersimpati kepada pelajar tersebut. 'Ya Allah, Kau lembutkanlah pintu hatinya untuk lebih bertanggungjawab dalam menjalankan amanahnya dalam kehidupan ini.' Doa itu dia titipkan dalam hati dengan penuh keinsafan.
"Saya setuju, miss. Tak seronoklah program macam ni. Apa faedahnya buat program dengan anak anak yatim? Bukannya boleh menjana sebarang pendapatan. Untung jauh sekali."
Tersungging senyuman di bibir Zulaikha tanda menutup rasa ralat dalam hati. Semakin galak dia beristighfar dalam hati. Dia tidak berkecil hati dengan soalan-soalan sebegini kerana dia tahu para pelajarnya masih dalam proses belajar tentang makna sebuah kehidupan.
"Tapi, saya rasa tak salah kalau kita hiburkan hati mereka yang kurang bernasib baik. Betul kan, miss?"
Pertanyaan Johan itu mengundang ketawa beberapa orang pelajar. Johan memberikan mimik muka tidak puas hati kepada rakan-rakan yang mengejeknya. Saiful yang duduk di sebelah Johan sempat menepuk nepuk lembut bahu Johan tanda sokongan kepada Johan yang nampak begitu bersemangat dengan program tersebut.
"Guys, saya tak pernah paksa sesiapa untuk join program hujung bulan ni. Terpulang kepada sesiapa yang mempunyai kelapangan dan kesudian untuk berkongsi sedikit masa dan kasih sayang bersama mereka yang kurang bernasib baik." Zulaikha meliarkan mata melihat wajah para pelajar yang khusyuk menanti butir bicara selanjutnya.
Di sebalik pintu dewan kuliah yang separuh tertutup, terpacak tegak Dr. Haikal. Kebetulan dia baru sahaja selesai menyampaikan kuliah di kelas sebelah. Memang dia begitu mengagumi kesabaran Zulaikha dalam mendidik pelajar. Zulaikha satu-satunya pensyarah yang dia kenal akan menyelitkan unsur-unsur kemanusiaan dalam setiap kuliahnya. Dia sendiri tidak mampu berbuat demikian kerana kurang gemar melayan ragam pelajar yang pelbagai.
Lagi pula, bidang pendidikan ini bukanlah bidang pilihannya. Masih terbayang-bayang kejadian yang membuatkan dia yang begitu cintakan dunia kedoktoran mengambil keputusan nekad melangkah ke dunia pendidikan selepas lima tahun berkhidmat di salah sebuah hospital kerajaan di utara tanah air.
Kejadian yang mengubah kehidupan keluarganya, menjadikan dia Dr. Haikal yang sekarang. Seorang doktor yang seboleh-bolehnya tidak mahu menjejakkan kaki ke mana-mana hospital untuk memberi khidmat sebagai seorang doktor. Sebab itulah dia memilih untuk menjadi pendidik, sesuatu yang sebelum ini memang tiada langsung dalam senarai kerjaya yang dia inginkan.
Tapi, takdir Allah tiada siapa yang dapat menyangkal. Kini, dia mula mencintai dunia pendidikan sedikit demi sedikit. Apatah lagi, setelah mengenali gadis seperti Zulaikha. Seboleh-bolehnya dia mahu membuktikan bahawa dia seorang pendidik yang baik dan berdedikasi.
Lima tahun yang lalu...
"KAL, tolong adik. Ibu tak sanggup kehilangan adik, Kal." Rayuan sang ibu mengundang pilu dalam hati Haikal.
Sebagai abang, dia sentiasa mengharapkan adiknya akan selamat. Tapi, sebagai seorang doktor, dia sedar akan risiko yang terpaksa mereka terima. Dia dan abahnya sedang duduk di luar bilik ICU, sementara si ibu di dalam bersama adiknya, Yati.
Yati masih koma selepas pembedahan mengeluarkan darah beku dari otak sebelah kanannya semalam. Selain kecederaan di kepala, tulang rusuknya juga patah dan mencederakan paru-paru.
"Adik kemalangan, dirempuh treler dari arah bertentangan." Itulah ayat keramat abah yang dia dengar lewat petang tadi. Bergegas dia ke bahagian kecemasan dengan masih berpakaian scrub.
Enggan terus hanyut dengan perasaan, Haikal meminta diri untuk ke surau. Sepanjang perjalanan ke surau, jatuh juga air mata yang ditahan di hadapan orang tuanya.
"Maka janganlah ucapan mereka menyedihkan kamu. Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka rahsiakan dan apa yang mereka nyatakan. Pertolongan hanya daripada Allah Taala, dan makhluk itu tak berdaya, tak memiliki kemampuan apa-apa. Jangan sampai kegelapan makhluk menjadikan ancaman bagi kesedihan, kerana kegelapan makhluk adalah kehinaan itu sendiri."
Maksud ayat ke-76 dalam surah Yasin itu begitu bermakna bagi Haikal. Sungguh dia terleka kala ujian datang tanpa diduga. Dia lupa untuk berserah kepada-Nya selepas berikhtiar sehabis mungkin.
"Sesungguhnya perintah-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: "Jadilah!" Maka terjadilah ia. Kehendak-Nya pada sesuatu, akan terjadi tanpa jarak rentang waktu mahupun ruang. Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan."
Maksud dua ayat terakhir dalam surah Yasin itu begitu membekas dalam hatinya. Kini, dia berasa lebih tenang dan lapang. Ternyata Dia adalah sebaik-baik tempat untuk mengadu.
Usai membaca surah Yasin, Haikal bangkit kembali untuk menunaikan solat sunat hajat, memohon kepada Allah apa yang terbaik buat adik kesayangannya itu.
Melihatkan jam yang hampir menginjak ke angka 10, dia segera bangun menuju ke kamar yang menempatkan adiknya. Masih ada hampir 18 jam lagi untuk mengetahui sama ada adiknya mampu melepasi masa kritikal yang dikatakan oleh Dr. Zainal petang tadi atau tidak.
Suasana yang agak kelam-kabut di dalam bilik yang dihuni adiknya beberapa jam yang lalu nyata mencemaskan dirinya. Segera dia masuk menghampiri Dr. Zainal. Walaupun jururawat cuba memintanya keluar dari bilik tersebut, namun Dr. Zainal bertindak sebaliknya. Dia yakin Haikal cukup kuat untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang akan terjadi kepada adiknya. Dia dengar doa yang Haikal titipkan selepas solat tadi. Doa yang hampir sama yang pernah dia titipkan suatu masa dulu semasa isterinya tengah bertarung untuk meneruskan kehidupan.
"Dr. Haikal, kami minta maaf. Kecederaan pada paru-paru pesakit agak teruk akibat tekanan oleh tulang rusuk pesakit yang patah. Kami minta maaf, ternyata Allah mahukan dia kembali ke sisi-Nya."
Dr. Zainal menepuk lembut bahu Haikal tanda memberi semangat kepada doktor muda itu. Benar telahannya, Haikal punyai jiwa yang besar. Dia mampu menerima kenyataan dengan tenang walaupun pada mulanya kelihatan agak goyah.
Peristiwa lima tahun lepas rasanya bagaikan baru terjadi semalam. Haikal masih ingat lagi penerimaan ibunya atas berita tersebut.
Ibunya terlalu larut dalam emosi yang penuh kesedihan sehinggakan memakan masa berbulan-bulan untuk Dr. Zainal dan abahnya berusaha mengembalikan semangat ibu. Ibu menjadi seorang yang murung dan suka menyendiri. Daripada seorang isteri dan ibu yang periang dan selalu menyenangkan, ibunya menjadi seseorang yang tidak menghiraukan keadaan sekeliling.
Haikal berusaha sehabis kuat untuk bertahan bekerja di hospital yang telah menjadi saksi pemergian insan yang bergelar adik kepadanya. Dalam sabar dia merintih memohon jalan yang terbaik buat dirinya dan kedua-dua orang tuanya. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan dan berhijrah ke bidang pekerjaan yang lain. Ada beberapa orang doktor senior yang memujuknya untuk meneruskan kerjaya sebagai seorang doktor perubatan dan meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, namun dia tetap dengan keputusannya.
Bukan mudah untuk dia merelakan agar cita citanya sebagai seorang pakar bedah terkubur begitu sahaja, Namun, demi mengembalikan semula semangat ibu, satu-satunya wanita yang paling dia sayang, dia gagahkan diri membuat keputusan yang menjadikan dia Haikal yang sekarang ini iaitu merupakan seorang pensyarah medikal.
---
Bagi korang, apa tema utama dalam cerita ni? Macam mana ia beri kesan pada korang? Tulis di komen okey!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro