
Bab 1
KESYUKURAN aku panjatkan pada Ilahi kerana mengurniakan zuriat ini kepadaku. Tidak berhenti bibirku tersenyum lebar setelah menerima berita mengejut itu. Aku bahagia, terlalu bahagia. Pipiku naik penat menahan otot yang mengebas kerana senyumanku tak lekang melentur di bibir.
Aku toleh ke sisi, suami kesayanganku sedang memandu tenang. Tenangkah dia? Aku tidak yakin, kerana sejak doktor beritahu aku hamil, dia langsung tidak bersuara. Mukanya juga tiada seraut ceria, perasaan yang sedang mekar di jiwaku ini kemungkinan tidak bercambah di hatinya. Dia tidak mengalu-alukan kedatangan cahaya mata kami.
Hatiku sedikit pedih mengenangkan itu. Namun apakan daya, aku bukan pilihannya sejak awal lagi. Kehadiran aku juga tidak disenangi. Aku hanya perempuan yang dibencinya, perempuan pemusnah hidupnya.
Aku perlu sedar tentang itu.
"Kau jangan beritahu sesiapa tentang hal kau mengandung. Aku tak nak sorang pun tahu. Kau faham?"
Aku diam menunduk, tidak mahu menjawab. Takkanlah aku tak boleh beritahu berita gembira ini kepada Mak Zubaidah? Dia merupakan tukang gaji Yusouf. Dia sahajalah tempat aku menumpang kasih. Selain dia, aku tidak dapat bermanja. Hendak beramah mesra bersama mak mertua juga dilarang keras oleh Yusouf. Dia masih mengatakan aku hanyalah tukang gaji, bukan sesiapa dalam hidupnya di depan Dato' Zarul dan Datin Melisa. Aku juga dengan bodohnya mengiyakan itu semua kerana tidak mahu menambah bara api ke dalam jiwa Yusouf.
"Kau faham, tak!" Suaranya meninggi, aku tersentak. Perut yang masih kempis aku usap perlahan. Bimbang nyawa di dalam terkejut dengar jerkahan si bapanya yang berangin tiba-tiba. Tahulah dia marah, tapi cakap elok-elok tak boleh ke?
"Kau dengar sini, Fatima. Kau jangan fikir sebab anak ni aku akan terima kau. Tolong jangan lupa aku bencikan kau dari dulu sampai sekarang. Takkan berubah!"
"Ya, saya tahu. Saya akan ingat sampai saya mati, Yusouf." Itu sahaja aku mampu ungkapkan. Hatiku sejak kebelakangan ini mudah rapuh, hampir sahaja aku keluarkan air mata. Jangan, Fatima. Kau tak boleh lemah. Kau kena kuat. Kau dah ada peneman, zuriat ini sumber kekuatan kau mulai hari ini. Kau tak perlu endahkan kata kasarnya. Semuanya kau anggap masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Itu lebih baik untuk kebaikan kau. Kepalaku ditolak sedikit kasar oleh tangannya. Aku segera mengerling ke arah dia. Geram betul tiba-tiba je.
"Kalau ada orang tahu pasal kau mengandung, nasib kau takkan baik. Aku akan hancurkan kau dengan anak dalam perut tu sekali. Kau ingat dalam kepala kau ni elok-elok."
Sabar, Fatima. Aku tarik nafas dan hembus.
"Kenapa? Awak malu?"
Stereng dihentak-hentak kuat. Mungkin dia tercabar dengan ujaranku. Aku betulkan duduk, beg sandang aku genggam erat menutup perutku. Aku bimbang dia akan apa-apakan aku kerana emosinya yang tidak stabil itu.
"Buat apa aku nak malu? Entah-entah bukan anak aku." Sindirannya benar-benar meranapkan separuh hatiku. Tak sangka dia menuduh aku. Aku tak pernah berzinalah! Aku mengandung kerana dia sentuh aku! Aku mengandung anak dia! Dia pura-pura lupa ke kejadian itu?
"Jangan tuduh saya sedangkan awak yang tiduri saya. Awak lupa masa tu awak..."
Sungguh meruntun kalbu mengenangkan kejadian daraku diragutnya secara paksa. Dia mabuk dan masuk ke dalam bilik tanpa beri aku peluang buat apa-apa. Tika itu kebetulan aku hanya bertuala mandi, tak sempat memakai pakaian. Dia tiduri aku tanpa aku rela. Dalam keadaan aku yang tidak bersedia.
Namun, aku turutkan sahaja kerana dia suamiku. Keesokannya, dia beri amaran kejadian itu hanyalah kesilapan paling besar pernah dia lakukan. Dia menghina aku kotor kerana padanya aku mengambil kesempatan ketika dia tidak berfikiran waras. Itu fitnahnya kepada aku. Aku tidak pernah lupa, namun aku pupukkan kesabaran dalam sanubari. Aku perlu kuat demi menjadi isteri kepada lelaki tidak berhati perut bernama Yusouf.
"Aku mabuklah, sial! Kau ingat aku hadap sangat kau, ke? Sikitpun aku tak terliur tengok kau."
"Itulah dalam Islam cakap jangan mabuk, nanti manusia akan buat benda luar kawalan dan akhirnya berakhir penyesalan. Macam apa yang awak lakukan pada saya. Sekarang, awak menyesal, kan?"
Tidak tahulah dari mana datangnya keberanian. Hujah ini aku sembur pada dia. Jika dia terasa hati aku dah berjaya sakitkan hati dia. Asyik aku sahaja tanggung pedih di jiwa, dia pula bila lagi?
"Diamlah kau! Tak payah nak mengajar aku! Kau tu langsung tak layak nak tegur apa yang aku buat. Lebih baik kau diam sebelum pecah muka kau tu aku hentak!"
Aku terkesima. Liur terteguk laju. Amarah Yusouf tidak boleh dicabar, aku memilih membisu kembali. Jangan sampai dia apa-apakan anak aku. Aku risaukan itu. Aku tak boleh sesuka hati berbicara mulai saat ini. Aku tak nak Yusouf melakukan hal yang tidak terduga.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro