Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4

TAK. Bukan dia. Memang bukan dia. Katalah apa saja dia tak akan mengaku kerana memang bukan dia. Tapi, kenapa? Orang yang paling dia sayang dan dia percaya memperlakukan dia begini. Malah, langsung tak kisah dengan senyuman sinis perempuan jahat itu yang sedang membelah hatinya menjadi beberapa bahagian.

Berkali dia mohon maaf dan katakan dia tak sengaja ada di bilik itu. Dia tak sengaja menolak daun pintu bilik air bilik itu. Dia tetap mohon maaf biarpun dia tak mengaku itu salahnya. Tapi, apa yang dia dapat?

Dia hanya dilukai.

Yang tinggal hanya parut dan sakit yang tak akan pernah hilang. Buat selamanya. Sekarang, bila orang buat dia... semudah itu meminta maaf dan berharap agar dia lupakan segalanya.

Tak... Siratul tak boleh diberi muka. Berlindung di balik wajah naif itu sedangkan hatinya adalah hati serigala yang kelaparan.

"Kalau aku tak minta maaf?" giat Taqim setelah lama dia mendiamkan diri. Cuba membendung antara masa lalu yang menyakitkan dengan masa kini yang merasakan dia begitu berkuasa.

"Kalau tak nak, tak apalah..." Sirat pandang Safwan.

"Wan maafkan dia, ya?"

Tak berkata apa, Safwan angguk. Dia kerling Mustaqim seketika tapi pantas menunduk bila nampak mata kuyu itu makin tajam merenung dia dan kakak.

"Hari ni, saya tak bawak duit lebih sebab saya keluar gesa-gesa. Saya bagi nombor telefon dengan alamat rumah saya. Nanti saya bayar berapa saja amaun. Kalau sikit, saya bayar terus. Kalau banyak, saya harap timbang rasa awak. Bagi saya masa atau biar saya bayar ansur-ansur." Sirat ajak Taqim berkompromi biarpun dia sepertinya dah tahu yang lelaki bengis ini, tak mungkin mahu terima cadangan dia.

Cuma padanya, tak salah dia meminta. Andai perlu, dia akan pertaruhkan segalanya yang dia ada. Biarlah sekadar minum air paip saja untuk isi perut. Janji, dia lepas daripada belenggu manusia-manusia berhati singa.

"Boleh pertimbangkan permintaan saya?" Lembut Sirat menyoal bila tiada jawapan yang dia terima daripada Mustaqim.

Kata-kata Sirat yang lebih pada merayu itu, sebenarnya dah menusuk ke pendengaran. Jatuh ke hati. Tapi, entahlah. Kesan itu tak lama. Dia... mana pernah suka mana-mana perempuan. Bukan sekali orang cap dia dengan Fiqri bercinta sesama sendiri. Tapi, ikut sukalah nak bercinta dengan lelaki pun. Huh!

Hati yang tadinya tenang, kembali bergelora.

Senyuman manis milik bibir merah itu, bagaikan dah bertukar menjadi belati yang begitu tajam. Senyuman Sirat pada Wan itu adalah untuk dia. Dia tahu. Senyuman itu, senyuman menyindir.

Sama seperti senyuman yang dia nampak sedekad yang dulu. Senyuman yang begitu menyakitkan. Yang dah buat dia menderita. Yang meninggalkan luka di hati dan darah daripada kesan luka itu masih lagi menitis hingga ke hari ini.

"Kau ingat, kau mulia sangatlah mintak adik kau maafkan aku?" Taqim menyelar.

Fuh... detak dalam dada Sirat dah lain macam. Orang dah bagi kau peluang, kau buat main. Dia memang malas nak panjangkan hal. Kalau kata sampai ke rumah, dan mak tahu... lagi haru. Memang mak tak akan marah. Tapi, mak akan tunduk pada manusia macam ni demi sebaris maaf. Tak akan dia izinkan. Tambah pulak mak tak sihat.

"Memberi maaf tak semestinya menjadikan kita mulia dan meminta maaf, tak akan menjadikan kita hina. Cuma, tangan yang memberi itu lebih baik daripada menerima. Mulia atau tidak, bukan urusan kita sebagai manusia, saudara."

Dang! Taqim sentuh dahi sendiri. Seperti terkena peluru daripada penembak hendap.

"Kau sindir aku?" Kaki Taqim melangkah ke depan. Merapati Sirat.

"Terasa?" Kening Sirat yang indah bentuk aslinya itu, terangkat. Meninggikan anak mata, demi melawan renungan jelek lelaki tinggi di depannya.

Tak kisahlah biarpun dia hanya sekadar bahu Taqim, dia tak gentar. Dia dah diajar untuk tegakkan kebenaran sejak daripada kecil. Hari ini, buat pertama kalinya dia berhelah demi mak.

"Kak..." Wan tarik tangan Sirat. Risau pulak dia melihatkan wajah marah Taqim.

"Kau jangan risau. Wan pergi balik sekarang. Barang-barang, nanti kakak beli dekat kedai depan sana aje. Pergi dan jangan toleh sini lagi. Pergi, Wan. Sekarang!" suruh Sirat separuh menjerit.

Wajah dan dahi Taqim berkerut seribu. Dia pandang Fiqri. Lelaki itu sekadar jongket bahu.

Aku tak campur! Itulah ayat biasa Fiqri kalau bab-bab perempuan ni.

"Sekarang, bukan lagi soal maaf, soal sindir atau soal terasa. Tapi, soal ganti rugi awak nak tu. Saya dah janji dan saya akan tunaikan. Berapa, saya akan bayar walaupun bukan hari ni. Saya tak akan lari. Nah..." Sekeping kertas yang dia minta di pondok pengawal tadi, dia hulur pada Taqim.

Ada nama penuhnya. Nombor kad pengenalan. Nombor telefon dan alamat rumah. Lengkap. Taqim boleh jejak dia bila-bila masa saja.

Ceh... muda lagi perempuan ni! Tapi, mulut... peh. Sempat hati dia menelek tarikh lahir Sirat. Dan, kalau tak silap tarikh lahir perempuan ni... tak lama lagi!

Damn! Kau dah kenapa, Qim? Nak sibuk dengan tarikh lahir orang!

"Dan tak perlu cari saya sampai lubang cacing, ya. Saya duduk muka bumi dan itu alamat rumah. Lubang cacing tu kecik sangat. Jari kelenkeng pun belum tentu muat..." Sengaja dia sindir Taqim.

"Eh, kau ni kan..." Dia mahu rapati Sirat biar tiada ruang antara mereka tapi Fiqri lebih dulu menarik lengannya.

"Dia kata aku. Kau tak dengar..." marahnya pada Fiqri yang sedang tersengih.

"Dia gurau ajelah..." Hai... kenapalah Taqim buat perangai budak tadika ni... malulah Qim...

"Gurau apa macam tu. Dia siapa nak bergurau dengan aku. Lagipun dah terang dia mengata aku..." Mata Taqim kembali tajam merenung Sirat.

"Terasa?" Nada Sirat mendatar.

"Kau rasa?"

"Kalau saya buat awak terasa, saya minta maaf... senang, kan? Kalau dah buat salah, minta ajelah maaf. Tiada yang rugi pun..." Sirat koyak senyum pada hujung bibir.

"Eh, kau ni..." Bicara Taqim terhenti di situ. Amarahnya sedang mendidih. Memang sah-sah perempuan ni sindir dia lagi.

"Macam inilah ya, perempuan..." Dia hela nafas pandang. Menyilang dua tangan ke dada. Cuba bertenang. Mereka masih dalam balai polis. Karang, tak pasal-pasal kena caj hal lain pulak.

"Berapa tu, aku kena pergi tanya bengkel. Esok, aku call kau cakap berapa aku kena nak repair bini kesayangan aku tu. Lepas tu, aku nak kau bayar sekaligus. Boleh?"

"Kalau sekaligus, saya tak janji. Kalau kos sikit, boleh. Tapi, kalau banyak... saya masih harap awak pertimbangkan permintaan saya. Paling lama pun, dalam sepuluh hari."

"Kenapa sepuluh hari?" soal Taqim nak tahu.

Sirat tak menjawab. Itu tak penting. Yang penting, duit Taqim.

"Boleh?" soalnya.

Taqim tak menjawab. Langsung tak bagi reaksi. Apa-apa ajelah, perempuan. Dalam hati, meningkah juga. Tapi, melihat pada kesungguhan gadis ini, dia sendiri percaya.

"Aku blah dulu. Jom Fiq..." Bahu Fiqri disapa. Tapi, tak sempat menapak, suara Sirat menahan.

"Apa lagi?" Kening lebatnya berkerut tanda tak puas hati. Tak payahlah nak buat drama minta simpati lagi. Dia ni, jenis hati kering.

Faham?!

Mata Sirat lama memerhatikan seluar Taqim yang koyak. Kemudian, naik memandang wajah tampan di depannya. Dalam hati, dia senyum sendiri. Apa nak kata. Sesuatu yang tak boleh disangkal. Makhluk Tuhan depan dia sekarang ni, memang kacak dan sempurna.

Dan kata orang, bila lihat orang kacak... kita dengan sendirinya rasa nak senyum dan seperti mahu pakukan pandangan lama pada wajahnya. Tapi, senyuman dia terbunuh dengan ketampanan wajah di depan dia sekarang dan sepertinya tak sanggup nak pandang lagi dah.

"Kau tenung aku lama sangat, kenapa? Apa lagi kau tak puas hati?" Terasa merah pipinya bila mata redup Sirat tak sudah-sudah merenung dia. Ingat dia jenis tak ada rasa malu langsung ke? Haih... perempuan seorang ni!

"Seluar awak tu, koyak sebab jatuh motor tadi ke?" Sengaja Sirat menyoal demikian. Walhal, dia dah tahu memang fesyen macam tu sekarang.

"Hah?" Rahang Taqim jatuh. Perempuan ni buat-buat bendul ke atau sengaja nak kenakan dia lagi?

"Oh, itu dia kutip kain buruk dekat rumah dia, awak..." Fiqri dah gelak mengekek.

"Eh kau ni..." Budak Fiqri ni, memang saja jadi nasi tambah nampaknya. Siap kau! Haih...

Taqim sekali lagi dekati Sirat. Kali ini, lebih dekat, lebih rapat. Dan seperti juga tadi, Sirat langsung tak berganjak. Perempuan ni berani sebab masih ada dalam pagar balai polis. Itu aje. Cuba dekat luar... mahu buka langkah seribu.

Dia sengaja tundukkan wajahnya pada wajah Sirat yang sejak tadi menadah pandangan matanya. Dan ya, gadis ini masih tak mengalah walau seinci.

Fuh... tabah kau, perempuan!

"Kau sindir aku lagi, kan?" bisik Taqim.

"Tak..." Sirat geleng. Tanpa senyuman.

"...kalau betul koyak, saya nak tolong jahitkan. Agar satu hari nanti, antara kita tak akan saling berhutang walaupun seurat benang apatah lagi selembar kain," ujar Sirat lantas dia berlalu daripada situ.

Air mata dia jatuh lagi apabila melihat barang dapur yang masih selamat biarpun hanya sedikit. Dia sapu pipinya. Mencari sedikit ketabahan yang entah bila akan hilang daripada hatinya.

Apa dia nak jawab dekat mak?

Melihatkan Sirat yang berlalu, menjinjit plastik... hati Fiqri luluh juga. Dia tepuk bahu Taqim.

"Qim, aku rasa elok kalau kita hantar dia balik. Barang-barang dia semua rosak. Lagipun, remang senja ni... mana nak dapat teksi. Bahaya satu hal anak dara jalan malam-malam. Buatnya rumah dia jauh, Qim... pukul berapa dia nak sampai? Dahlah kurus, nak bawa barang lagi..."

Dahi Taqim berkerut mendengar kata-kata Fiqri.

"Eh, kau ni. Kau kawan aku ke... kawan budak Sirat tu?" Marah pulak Taqim dengan cadangan Fiqri ni.

"Memanglah aku kawan kau. Tapi, aku ni manusia. Ada hati perut kot. Kau tengok tu. Aku tengok adik dia kutip beras tadi pun rasa nak mengalir air mata. Ini pulak dia sendiri..."

"Kalau kau nak buat amal sangat, kau ajelah pergi. Kau bawak kereta. Aku bawak motor aku balik dulu. Jumpa malam karang..." Jahanam rancangan dia.

"Yalah..." Fiqri mengalah. Dia keluarkan kunci kereta dan terus berlari ke petak parkir. Chevrolet Cadillac hitam itu mengaum. Tapi, belum sempat dia tutup pintu... tangan Taqim menahan.

"Kau tolong bawak motor aku. Aku guna kereta kau kejap," pinta Taqim. Nampak resah. Di tangannya ada sekeping kertas.

Otak Fiqri tak sempat nak cerna bila Taqim buka tali keledarnya. Cepat-cepat dia turun dan bila Taqim mengambil tempat, keretanya berlalu sedikit kasar daripada perkarangan Balai Polis Sri Gombak.

"Mana kau nak pergi, Qim?" Soalan yang dah ada jawapan.

Tapi, Mustaqim?

Huh... susah dia nak terima. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro