Bab 10
ENTAH berapa kalilah dia nak cakap. Kenapalah Melisa tak pernah nak faham bahasa. Pening dah. Entah macam mana lagi dia nak tolak Melisa daripada mendekati dia. Tak kanlah dia perlu buat report dan dapatkan perintah agar Melisa tak boleh dekati dia? Perempuan itu perlu jauh daripada dia. Sejauh-jauhnya.
"Fiq, bahasa apa lagi yang aku nak cakap ni?" soal Taqim pada Fiqri. Biar Melisa terasa. Sejak tadi menempel, kan dah cakap berapa kali dia tak pernah ada rasa pada perempuan ni.
Niat baiknya dulu telah disalah erti. Sejauh ini Melisa faham akan dirinya. Dia cuma mahu membantu Melisa waktu itu. Lagipun, bukan kerana dia tak suka perempuan, tapi belum ada lagi rasa tak boleh hidup tanpa perempuan. Dia masih boleh bertahan.
Tunggulah nanti kalau dia rasa dah tak mampu nak tahan gelora dalam dada, masa tu dia mintak aje daddy pergi pinang perempuan yang dia suka. Tak payah bercinta segala. Kahwin terus. Masalahnya sekarang, dia masih belajar. Tahun akhir. Tahun struggle.
"Bahasa Marikh tak, Qim?" jawab Fiqri sambil ketawa mengekek.
Melisa tarik muka. Duduk di sisi Taqim tapi lelaki itu pantas menjauh. Melisa muncung. Daripada semester pertama dia nampak wajah Taqim, dia dah terpaut. Apatah lagi hanya lelaki ini yang nampak kewujudan dia. Kebaikan hati Taqim dan rasa tanggungjawab lelaki itu telah mengikat hati dan kemahuannya. Mana mungkin dia mampu ubah hala tuju cintanya dengan begitu mudah, biarpun Taqim bagai tak mungkin dia jinakkan.
"Kau nak aku cakap macam mana lagi, Lisa?" tanya Taqim dingin. Dia dah letih cakap yang benar tapi perempuan ni tak nak faham.
Apapun jadi, saat ini harus jadi penamatnya. Biarpun pada dia, penamat itu dah lama tapi pada perempuan degil ini, penamat itu bagai tak pernah ada.
Tak reti bahasa!
"I cintakan you..."
"Masalah, aku dah cakap banyak kali, aku tak cinta kau! Susah sangat ke kau nak faham? Kau asyik kacau aku. Aku tak selesa, tahu tak... tolongggggglah!" Taqim dah separuh merayu. Wajahnya keruh pekat.
"You tak pernah try..."
Ya Tuhan... Masalah apa yang datang pada aku ni? Dia hampir mengeluh dengan sikap Melisa ni. Memang Melisa cantik, tapi ini tentang hati. Nak paksa macam mana?
"Masalahnya, aku tak boleh. Nak paksa macam mana..."
"Sikit pun tak kanlah you tak pernah ada rasa untuk I?" Melisa cuba lingkar lengan sasa Taqim tapi lelaki itu kasar menepis.
"Kalau aku ada rasa untuk mana-mana perempuan, aku tak banyak cakap. Aku akan suruh aje daddy aku pinang. Aku jadikan dia bini aku terus. Tapi dengan kau, memang aku..." Taqim geleng beberapa kali. Malas nak bersuara. Melisa tak faham jugak. Buat kering air liur aje.
"Kenapa? I tak sesuai dengan you? Sebab you anak Datuk? Pewaris tunggal jutawan? Kedudukan you tinggi? Dan I ni orang biasa-biasa aje? Sebatang kara? Tak ada harta?"
"Habis tu, kau nak dekat aku... kau pandang semua tu ke?" Menyirap darah Taqim bila Melisa ungkit semua tu atas muka dia.
Bila masa dia pernah menunjuk segala kekayaannya? Dia belajar ni dapat biasiswa. Tinggal dekat rumah sewa dengan kawan-kawan lain. Malah, ada kawan yang tak tahu pun daddynya siapa? Ada masa dia kerja part-time dekat McDonald Seksyen Dua tu haa. Padahal dia tak perlukan semua tu pun. Daddy mampu bagi segala-galanya. Tapi, dia pilih untuk tidak meminta. Dia mahu berusaha sendiri.
"Sebab tu ke kau nak sangat dekat aku? Sanggup kejar aku selama ni sedangkan bukan aku tak tahu, kau ada aje rapat dengan lelaki lain, kan? Tapi, aku memang tak kisah. Itu hak kau, Lisa. Tak ada kena mengena dengan aku. Pada aku, nak buat bini ni, biar aku pun suka perempuan tu. Tak kisahlah dia anak orang miskin sekalipun. Janji, bila aku pandang dia, mata aku rasa sejuk, hati aku rasa lapang, jiwa aku rasa tenang. Paling penting, aku jatuh cinta pada dia. Tapi kau...." Sekali lagi Taqim berdecit. Memandang Lisa atas bawah.
"Demi Tuhan, Lisa... kau tak malu dekat orang lain pun, malulah dekat diri sendiri. Aku tak hadap kau dan aku tak akan hadap muka kau sampai bila-bila..." Taqim tutup buku. Dia angkat tubuh. Beg galas disangkut ke bahu.
Memanglah bahasa dia kasar, tapi andai yang sebegitu boleh membuatkan Melisa faham, eloklah!
"Fiq, jom. Semak aje aku tengok manusia tak reti bahasa ni. Tunggulah aku belajar bahasa Sanskrit nanti. Baru dia faham gamaknya..." sindir Taqim lantas terus berlalu dalam keadaan hati yang membukam.
Geram.
Dan, esoknya... dia dapat tahu Melisa berhenti belajar. Kenapa? Kawan rapat Melisa, lurus menuding jari pada dia tapi dia, lebih senang begitu. Tenang. Tanpa dia tahu, semua itu adalah permulaan segalanya.
Segala yang begitu menyakitkan!
Damn! Taqim hentak stereng kereta sekuat hati.
Tuk...tuk...
Mata Taqim terbuka. Kisah lalu menjauh perlahan-lahan bila muncul wajah Sirat mengetuk cermin keretanya.
Pantas Taqim turunkan cermin. Cuba mengawal riak wajah yang dihurung marah dan resah.
"Kau nak apa?" Soalan yang dilempar begitu dingin dan kaku. Cuma terasa aura marah dan tak puas hati.
"Kenapa awak tak gerak lagi?"
"Eh, ikut suka akulah. Kereta aku. Aku parking ni, bukan tanah kau, kan?"
Kali ini, Sirat terima herdikan itu dengan senyuman. Angguk dan senyum lagi. Dia bongkokkan sedikit tubuhnya.
"Yang kau tak balik lagi ni, kenapa? Bukan tadi kau cakap penat ke? Tak nak layan orang gila macam aku ni? Lagipun, dah tengah malam. Kau tak takut ke orang gila ni apa-apakan kau? Oh lupa..." Taqim mengangguk beberapa kali.
"Kau ada simpan nombor hospital gila, kan? Senang nanti datang ambik aku. Betul tak?" Huh... puas hati dia.
Tergamak Taqim tanya soalan begitu bertubi-tubi.
Tahu Taqim menyindir dia, Sirat hanya buat tak reti. Nak dikira, siapa yang lebih buruk memberi layanan? Taqimlah. Dia dah cuba berbaik pada awalnya tapi Taqim begitu bongkak. Dagu sentiasa di langit dan berjalan dengan begitu mendabik dada.
Habis tu, salah dia?
Satu hari, bila Taqim tersadung pada akar di bumi... jatuh tersembam, masa tu dia nak gelak sekuat hati!
"Wan kejap lagi sampailah. Nah..." Plastik yang ada sebungkus nasi disua pada Taqim.
"Apa ni?" Dahi Taqim berselirat dengan kerutan. Terkejut toksah dikata dengan apa yang sedang terjadi.
"Nasi. Saya mintak dengan Kak Siti nak masak nasi sikit. Awak kata tak makan lagi lepas makan yang awak bungkus tengah hari tadi. Saya kata awak sakit perut, awak nafi. Gamaknya, awak hanya boleh masuk masakan saya tak? Tiba-tiba saya terfikir, boleh jadi saya ni dah berjaya buat awak betul-betul gila. Gilakan saya..." Sengaja Sirat pulangkan paku buah keras.
Banyak cantik muka kau nak buat aku gila dekat kau?! Kau tu haa... Hati Sirat mencebek lebar.
"Ehem..." Dia berdeham panjang bila Taqim masih begitu memandang dia. Terkejut barangkali.
"Itu yang saya goreng nasi sikit. Ada telur dadar. Baliklah makan dekat rumah. Saya dah bayar dekat Kak Siti enam ringgit. Nanti, awak tolak enam ringgit daripada jumlah hutang saya, ya?" pinta Sirat tulus.
Untuk orang seperti dia, enam ringgit pun... banyak. Tak kisahlah Taqim nak kata dia berkira atau tak.
Hati yang terusik dengan kata-kata Sirat, hampir buat dia tersedak nafas sendiri tapi kata-kata akhir Sirat, mampu buat dia ketawa namun dia tahan. Wajah serius ditayang.
"Berkira sangat kau ni!" Taqim tolak semula plastik itu tapi Sirat lebih pantas menahan.
"Saya gurau aje." Gadis itu semakin lebarkan senyuman.
"Saya belanja. Saya balik dulu. Wan dah sampai tu..." Sirat lambai pada adiknya dan seketika dia terus menapak mendekati Wan.
Belum sempat dia sarung topi keledar, sempat dia menoleh pada Taqim. Melambai sekali pada lelaki yang masih kaku di situ.
Hampir lima minit dia tenung bungkusan itu, Taqim hidupkan enjin kereta. Kereta itu perlahan-lahan berlalu. Daripada jauh dia cam, akan motor yang bergerak perlahan. Bahana rosak. Dia tenang mengekori motor tersebut dengan jarak lima puluh meter hingga akhirnya motor itu berhenti di depan sebuah rumah dan kedua-duanya masuk ke dalam pagar, Taqim hela nafas lega.
"Terima kasih, Siratul..." Sesudu nasi masuk ke mulut.
Air mata Taqim menitik setitis.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro