Bab 1
PROLOG
Benar hatiku luka pedih
Kerana dicalari cinta penuh duri
Lemas aku dalam dilema
Kata janji manis sungguh tak bermakna
Mencarimu kasih bagai mencari mutiara putih
Walau ke dasar lautan sanggup kuselami
Namun tak percaya apa yang telah terjumpa
Hanyalah sebutir pasir tak berharga
(Demi Cinta Suci - UNiC)
MATA kuyu Taqim mula basah. Wajah mulus di depannya kian kabur. Betul ke apa yang sedang terjadi ni? Tak... ini semua mimpi. Ini hanya bayangan. Hakikatnya tentu berbeza.
"Betul ke apa yang sedang jadi ni, mak?" soalnya dengan sebak yang tertahan-tahan.
Mak angguk payah. "Doa yang baik-baik aje, ya?" Lembut mak memujuk.
Jawapan itu... ya, itu kenyataan. Bukan mimpi. Bukan bayangan.
Perlahan-lahan dia bangkit. Nak berdiri pun goyah, apatah lagi mahu melangkah. Jika tubuhnya tak ditampung oleh Fiqri dan Kuca, mahu dia jatuh terduduk di atas lantai hospital.
"Kau nak pergi mana, Qim?" Kuca menyoal perlahan. Dipaut bahu Taqim kuat.
"Aku nak tanya doktor..."
"Qim, sabar. Doktor pun tengah usahakan yang terbaik. Kita pakat-pakat doa moga semuanya dipermudahkan..." Rendah perlahan Kuca memberi nasihat.
Fiqri dan Rodi, hanya diam tak berkutik. Masing-masing cuba membendung resah yang sudah hampir dua jam menghuni hati.
"Macam mana kalau aku terlambat, Ca?"
"Kau tak terlambat. Semuanya tepat pada masa. Jangan risau, sahabat..." Bahu Taqim diramas perlahan oleh Kuca.
Menerima kata-kata Kuca, Taqim angguk sendiri. Dilabuhkan duduk tapi tak lama bila doktor separuh usia itu keluar daripada bilik kecemasan dengan wajah sugul. Taqim angkat tubuh. Tak bersuara, hanya mata saja yang berbicara.
"Maafkan saya, Encik Mustaqim. Tuhan lebih sayangkan dia..." bahu Taqim disapa.
Saat ini, hanya bibir saja yang bergetar. Taqim benar-benar sudah tidak mampu berdiri. Ya, dia terlambat dalam mengakui kasih sayang antara mereka yang tak pernah berubah. Dia benar-benar terlambat.
"Dia dah tak ada..." bisik Taqim.
"Ya, Qim... sabar banyak-banyak. Ingat Tuhan..." Kuca masih tak puas memujuk. Apatah lagi dengan berita yang baru sampai ke telinga.
"Siratul..." nama itu diseru bersama nafas yang tersekat direngkung.
BAB 1
KATA mak, sedangkan bumi ini begitu luas... tak mungkinlah tiada hak kita dalam rezeki yang telah Allah limpahkan di atas muka bumi. Tuhan telah tetapkan rezeki masing-masing pada setiap hamba-Nya. Apa yang perlu dilakukan, hanyalah usaha. Selebihnya tawakal.
Sirat ingat nasihat itu. Akan kenang sampai mati. Kerana itu, dia gigih berusaha. Tak pernah lelah walaupun sehela nafas. Bersendirian, tiada sebab untuk dia rasa sunyi. Jauh sekali rasa malang. Malah, dia bersyukur. Kerana itu, dia tabah berjalan bersama biarpun segalanya seperti tak kena. Janji, dia merasa cukup dan bahagia. Itu yang penting. Makan nasi dengan garam pun tak apa.
Namun, dalam tenang itu, hati dia resah juga. Resah memikirkan masa depan adik tersayang dan kesihatan mak tercinta. Entah sempat atau tidak dia bagi kesenangan pada kedua-duanya seperti yang telah dia janji dengan arwah ayah. Tidaklah senang-lenang atau kaya-raya; cukuplah mak merasa apa yang tak pernah mak rasa.
Dia tahu, mak tak pernah meminta. Malah, hati mak hati yang reda. Ingat lagi bila ayah berpenglipurlara tentang kehidupan rumah tangga mereka sebelum dia ada. Berdua, dengan basikal tua. Jika rosak, apa nak risau... kaki ada. Ada masa makan, ada masa tidak. Mereka akan sama-sama berlapar. Tapi, mereka masih mampu bersenda-tawa.
Itu resipi bahagia ayah. Resipi rahsia katanya.
Jika balik kerja, tiada sebutir nasi pun terhidang, ayah akan peluk mak. Erat. Bukan untuk redakan marah sendiri, tapi untuk pujuk sayu hati seorang isteri kerana tak mampu sediakan apa-apa pada suami.
Dia juga, nak ada keluarga seperti itu. Tapi, perjalanan dia... entah bagaimana arah tuju.
Tambah pulak, bila bunyi batuk mak membelah peluput telinga. Pedih pendengarannya. Bila ditanya, mak hanya kata baik-baik saja. Baik apa, kalau kata ada masa batuk sampai berdarah. Dia pernah cuci sapu tangan mak. Tapi, sengaja dia menyepi kerana tak nak mak bertambah resah.
"Kak?"
"Hah?" Dahi Siratul berkerut. Memandang tepat pada adiknya yang tiba-tiba ada di depan mata.
"Kenapa, Wan?"
"Tiga kali Wan panggil kakak. Dah kenapa jauh sangat mengelamun?" Wan simpan senyum. Biarpun dalam senyum itu, tersimpan resah melihat kakak yang cuba menyembunyikan wajah risau.
"Eh... mana ada mengelamun. Kenapa?"
Wan ketawa. Ketawa nak sembunyikan sebal sendiri kerana dia tahu apa makna di sebalik lamunan kakak yang dia hentikan seketika tadi. Cuma, resah hatinya kian menjadi-jadi bila kakak dah dua tiga hari ini, asyik macam ni aje. Ini pun kakak kata ada perkara nak bincang. Sebab tu dia balik awal sikit hari ini. Kakak ada di ruang tamu. Dia masuk pun, kakak tak perasan? Huh, penting sangat ni apa yang nak dikata.
"Kakak yang mintak Wan balik tengah hari ni, kan?" Safwan labuhkan duduk di depan Sirat. Wajahnya berkerut sana-sini. Cuba mentafsir riak wajah kakak tersayang saat ini. Tak pernah lagi dia tengok wajah kakak sebegini renyuk.
Apa tak kena?
"Ada masalah ke?" Wan mula resah.
"Oh tak adalah..." Sirat berdeham. Dia bangkit dan keluar ke depan. Mujurlah ada rumah yang arwah ayah tinggal. Segala hutang rumah, diselesaikan dengan segala insuran setelah kematian ayah. Rumah kos rendah. Semua rumah yang lain dah bertukar rupa dan bentuk. Semua dah diubahsuai. Nampak gah. Mewah. Hanya rumah dia masih begini. Sama seperti asal bertahun dulu.
Wan turut bangkit. Dahlah baru masuk, kakak keluar depan pulak.
"Kenapa sebenarnya, kak?"
"Kakak nak kau berhenti kerja..."
"Hah? Pulak dah? Kan elok aje Wan kerja dekat Giant tu. Dekat dengan rumah. Lepas tu, bolehlah bantu akak. Tiba-tiba aje..." Wan tak puas hati. Dia dah mula selesa kerja kat situ biarpun lelah tak terkata bila banyak stok yang kena angkut.
Ada kala, kudrat lelakinya tercabar. Tapi, dia sabar. Dah sampai masa dia pulak berusaha untuk keluarga biarpun kakak nak dia terus belajar dan belajar. Sekarang, dia harap kakak ada masa untuk diri sendiri kerana dia menjadi saksi kakak telah korbankan segalanya buat dia dan mak.
"Kakak bukan apa, Wan. Sebab kakak tengok kesihatan mak makin teruklah..." Mata Sirat redup memandang Wan. Sesekali dia menoleh. Takut juga mak tiba-tiba muncul. Tadi, mak kata penat. Nak lena seketika dalam bilik.
"Mak demam balik ke?" Nada Wan kedengaran risau.
"Wan jenguk mak kejap..." Wan mahu bangkit tapi ditahan oleh kakaknya.
Sirat geleng. Melarang Wan masuk. Biar ajelah mak rehat. Kalau kata terus tidur pun, tak usah kejut.
"Sebab itu kakak tanya... boleh Wan berhenti kerja? Kerja dengan kakak aje?"
"Hah? Kerja dengan kakak?" Ini yang buat Wan nak gelak ni. Kakak ni buat kelakar apa pulaklah tengah hari ini.
"Tak kanlah kakak nak Wan kerja sekali dengan kakak tolong Kak Siti tu berniaga pulak. Berapa sangatlah dapat..." Wan tahu, kakak hanya dibayar RM10 aje sehari. Tapi, kerja macam orang nak mati. Semua kakak buat.
Jujurnya, dia rasa kakak dibuli. Tapi, malas nak sebut. Nanti kakak marah.
"Kakak dah tak nak kerja dengan Kak Siti lagi..."
"Habis tu?" Dahi Wan berkerut. Nampak gaya kakak macam ada rancangan sendiri.
Senyuman Sirat lebar.
"Kakak ingat sedang elok Ramadan nanti, nak berniaga sendiri. Wan tolong kakak. Setidak-tidaknya, kita ada masa untuk mak lebih sikit. Paling kurang, kalau kita berniaga sendiri mula lepas asar, dalam dua jam aje. Masak-masak dekat rumah. Cuci-cuci pun dekat rumah. Nampak mak. Kalau kau kerja Giant, shift pulak tu. Hari minggu pun kerja. Kakak pulak, pukul 10 malam baru balik rumah. Jujurnya, kakak penat. Tapi, kakak lagi risaukan mak..." Panjang Sirat terangkan agar adik dia mengerti.
Safwan diam. Memikir. Ada baiknya kakak berhenti dengan Kak Siti tu. Dia tak pernah suka pun. Ada masa Kak Siti hanya bagi lauk dah nak basi untuk kakak bawak balik. Tak guna betul!
Idea untuk berniaga itu juga bernas. Dia tahu, skill memasak kakak sebenarnya, tak terbandinglah dengan Kak Siti tu. Mak juga pandai. Tapi, masalah... dia!
"Okey. Wan rasa macam ni..." Wan ketik jari. Nasiblah idea muncul tepat pada waktunya.
"Kakak boleh berniaga. Wan suka. Tapi, Wan toksahlah sampai berhenti kerja. Lagipun, kerja ni ada EPF dengan Socso segala, kak. Rugi la. Gaji bersih pun dah seribu lebih. Wan tolong kakak bila masa tak kerja aje. Nanti pandai-pandailah Wan cakap dekat supervisor nak mintak off satu jam ke. Dia pun faham keadaan kita, kak."
Hurm... cadangan Wan ada betulnya. Sayang nanti kerja Wan. Mana tahu, Wan tengah simpan duit untuk sambung belajar. Nak harap pada dia, masih tak mampu. Lama-lama Sirat senyum. Angguk. Bahu Wan diusap mesra.
"Tapi, petang ni... Wan belikan barang dapur sikit dulu. Lepas tu, kita bincang malam karang, dengan mak sekali..." Sekeping kertas dihulur pada Wan. Senarai barang dapur.
Wan, manalah ada gaji lagi. Baru tak sampai sebulan kerja. Syukurlah, dia ada berjimat dengan pendapatan RM10 sehari itu berkat lauk tak habis yang Kak Siti sedekahkan.
"Okeylah. Wan gerak dulu..."
"Hati-hati..." Pesanan itu tak pernah lepas daripada mulut. Sirat lebarkan senyum melambai pada adik lelakinya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro