BAB 5
IQMAL memang seorang yang gentleman. Walaupun mudah sentap, suaminya merupakan manusia jujur yang suka berpegang pada janji. Kata Iqmal, dia tak memungkiri janji yang pernah mereka buat dulu. Cuma tak ditepati. Ada beza dekat situ, ya.
Seharian mereka berjalan-jalan walaupun hanya di dalam negeri. Peluang yang ada, Iqmal bawa Jasmin membeli apa saja yang isterinya nak. Cuma Jasmin yang menolak. Dia tak mahu susahkan Iqmal walaupun Jasmin tahu keluarga suaminya itu bukan orang kebanyakan. Ya. Keluarga Iqmal orang kaya tapi yang kaya tu bukan suaminya. Walaupun berkali didesak, Jasmin hanya menggeleng sebagai jawapan. Walaupun keengganan dia telah melukakan hati suami sendiri, kali ini Jasmin tak mampu nak mengangguk dan menurut.
"Kalau macam tu, kita pergi beli rantai untuk Min."
"Rantai?" Berkerut dahi Jasmin. Itu lagi dia tak nak.
Iqmal nak belikan dia baju baru dan beg tangan pun dia menolak. Mustahil bila Iqmal ajak pergi beli barang kemas, dia akan angguk. Dia bukannya perempuan materialistik.
"Ha'ah. Rantai. Subang, gelang, cincin. Beli barang kemas untuk Min."
"Min tak nak, Iq." Jasmin tetap menolak. Tak teragak dia geleng kepala.
Wajah Iqmal bertambah riak kecewa.
"Kali ni tak guna duit Iq. Guna duit Min."
"Duit Min? Min mana ada duit?" Lagi Jasmin tak faham.
Dia mana ada duit? Duit baki biasiswa masa sekolah dulu-dulu adalah dekat dalam bank. Itu pun tak sampai dua ratus ringgit. Dalam beg duit dia sekarang cuma ada RM100.
"Baru tiga hari lepas Iq bagi lima ribu ringgit dekat Min, takkan dah habis?"
"Lima ribu?" Kelip-kelip biji mata Jasmin sebelum hujung dahi digaru-garu. "Oo... duit tu.." Seketika dia baru teringat. Barulah Jasmin terangguk-angguk bendul.
"Haa... duit tulah. Iq nak duit tu Min belikan barang kemas untuk Min. Untuk simpanan masa depan. Untuk kenangan kita bersama. Barang kemas ni dia tak lapuk, tau. Tak rugi kalau beli."
"Ha'ah. Kalau waktu sengkek, boleh gadai," sambung Jasmin sebelum dia tersengih.
Iqmal tarik muka ketat. Ke situ pula yang isterinya fikirkan.
Sengih Jasmin bertukar menjadi senyuman bahagia. Kali ini dia akur. Jasmin bersetuju mengikut kemahuan Iqmal untuk mereka pergi ke kedai emas.
Betul kata Iqmal, hanya itu yang boleh menjadi kenangan di antara mereka. Dua bentuk cincin yang pernah tersarung di jarinya sudah Jasmin pulangkan kepada Puan Saerah, bekas mentuanya. Hanya seutas rantai berloket hati yang tinggal untuk dia belai saat jiwa dilanda rindu yang tak bertepian.
Setitis air mata Jasmin jatuh ke pipi. Dadanya bertukar sebak setelah kenangan manis suatu masa dahulu menerjah ruang ingatan. Dia sudah berusaha melupakan namun langsung tak terdaya.
Kerana Jasmin tahu masih ada cinta di hatinya buat Iqmal. Cuma keadaan tak berpihak padanya. Dia terpaksa tinggalkan Iqmal setelah mereka mengungkapkan janji-janji manis hanya kerana sebuah kebencian. Paling menyedihkan, semua itu berlaku di saat dia hilang segalanya.
"Sebab kau, semua ni berlaku. Dari dulu lagi aku dah cakap, kau tak sesuai dengan Iqmal. Kau hanya tahu menyusahkan dia. Tengok. Baru tiga hari kau menikah dengan dia, apa yang dah berlaku. Anak aku sekarang terlantar tak sedarkan diri. Semuanya sebab kau!"
"Aku tak nak kau dekat dengan Iqmal lagi. Aku tak nak sial kau melekat pada anak aku. Ingat, Jasmin. Aku tak nak kau jumpa dengan dia lagi!" Puan Saerah menjerit nyaring bagai dirasuk puaka. Beberapa keping kertas dilempar rakus ke arah Jasmin yang sedang menangis tersedu di atas katil.
"Mama... Min mintak maaf."
"Aku tak pernah beranakkan kau. Jangan panggil aku macam tu lagi. Kau tak layak!"
"Puan..." Puan Aziah yang menjadi saksi mahu menegur. Namun, dia turut terkena tempias. Amarah Puan Saerah bukan biasa-biasa.
"Kau pun sama. Tolong jaga anak kau ni elok-elok. Jangan sampai dia pergi jumpa Iqmal lagi. Kalau tidak, aku kerat kaki dia yang sebelah lagi tu biar cacat terus. Biar tak boleh berjalan langsung."
Di hari Jasmin buka mata, hatinya hancur setelah mengetahui keadaan diri. Dia sudah tak serupa dulu lagi. Dia sudah cacat akibat kemalangan yang menimpa ketika dia dan Iqmal dalam perjalanan balik dari bandar.
Di dalam hujan yang lebat, sebuah kereta telah terbabas lalu melanggar mereka yang membonceng motosikal. Namun, remuk di hati Jasmin semakin payah diubati setelah dia turut kehilangan Iqmal, lelaki yang pernah bergelar suami.
Sekelip mata dia menjadi janda berhias.
"Lima hari lagi kita nikah."
Suara Hadif yang terdengar di telinga menyentakkan Jasmin dari lamunan. Dia mengurut dada yang masih terasa sendat sebelum beristighfar panjang. Seketika laci dibuka sebelum Jasmin capai sebuah kotak berwarna hitam.
Rantai yang masih melilit pada leher ditanggalkan sebelum Jasmin letak ke atas tapak tangan. Sempat dia mengelus loket berbentuk hati itu dengan jiwa yang walang.
"Selamat tinggal, Iq. Maafkan Min sebab dah pernah menyusahkan Iq. Min reda dengan apa yang dah berlaku pada kita. Sekarang Min lepaskan Iq dari hati Min," ucap Jasmin perlahan bersama air mata yang kembali berderai. Ngilu terasa menghiris tangkai hatinya.
"Min harap Iq doakan kebahagiaan untuk Min. Min pun akan doakan kebahagiaan untuk Iq. Betul kata mama Iq, kita tak sesuai bersama."
Semakin melebat air mata Jasmin. Seutas rantai yang selama ini membelenggu jiwanya dimasukkan ke dalam sebuah kotak kecil. Jasmin bercadang pulangkan semua itu kepada Puan Saerah.
Jasmin sudah bersedia memulakan hidup baru setelah sepuluh tahun dia membiarkan diri menjadi manusia perindu.
Kenangan lalu memang payah nak dilupakan. Namun, Jasmin sedar dia perlu teruskan hidup. Bukannya terus terkandas perasaan pada kisah semalam. Dia juga perlu hargai cinta yang sedia terhulur di depan mata atau akan selamanya kehilangan.
Sedangkan hilang dan kehilangan adalah satu perkara yang begitu menyakitkan.
VOTE & COMMENTS ARE VERY APPRECIATED.
_FROM_ME_WITH_LOVE_
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro