Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 3

Sebulan kemudian...

"M

IN ingat Iq akan mungkiri janji kita?"

"Manalah Min tahu."

"Min tak percaya yang Iq cakap Iq sayang Min. Sayang ketat-ketat."

"Sayang saja tak boleh nak bagi perut kenyang."

"Tak apa. Iq janji akan 'kenyangkan' perut Min dengan benda lain."

Bulat biji mata Jasmin sebelum dia menampar kuat lengan Iqmal. Tak senonoh betul! Iqmal sekadar ketawa terkekeh. Jasmin juga yang tarik muka ketat.

"Janji Iq tak tertunai lagi, tau. Belajar sampai habis dulu lepas tu cari kerja yang bagus-bagus. Bukan setakat ni aje, tau." Jasmin mengingatkan sekali gus menyedarkan lelaki itu.

Jangan Iqmal tiba-tiba tutup mata untuk memandang satu perjalanan yang masih jauh di depan sana. Jalan yang sudah pastinya penuh dengan liku-liku dan ranjau.

"Iye. Iq tahu. Iq gurau ajelah."

"Min sebenarnya tak kisah kalau kita terus bertunang. Kahwin lepas Iq dah habis belajar. Min boleh tunggu."

"Tapi Iq yang takut."

"Takut kenapa?" Berkerut sudah dahi Jasmin. Wajah berseri-seri Iqmal kembali menjadi tumpuan matanya.

"Iye. Iq takut..."

"Cinta beralih arah? Sebab dekat universiti sana Iq dah jumpa ramai lagi perempuan yang lebih cantik. Lebih pandai daripada Min?"

"Min?" Gulp! Iqmal telan liur sekali. Kenapa betul sangat apa yang Jasmin sebut?

"Mengaku ajelah, Iq. Betul, kan?"

"Tapi Iq sayang cuma Min seorang. Iq cuma nak Min yang jadi suri di hati Iq. Bukan orang lain."

Jasmin diam. Kembali wajah lelaki di sisinya menjadi tumpuan.

"Dari dulu lagi Min dah cakap, komitmen suami isteri ni lebih besar lagi. Tanggungjawab yang Iq nak kena pikul. Bukan setakat Iq jabat tangan dengan kadi kemudian sah kita menikah. Iq kena pandang jauh ke depan, tau."

"Iq tak nak mungkiri janji kita. Iq pun dah janji untuk kita kahwin dalam masa enam bulan, kan?"

"Min tahu."

"Melainkan Min yang tak nak."

"Iye. Min memang tak nak. Dari dulu lagi Min tak setuju dengan semua ni. Iq yang desak Min, kan?"

"Jadi sekarang Min menyesal dah kahwin dengan Iq?"

"Iq!"

"I love you more, my love." Iqmal diamkan Jasmin dengan kucupan kecil yang tiba-tiba singgah ke bibir gadis itu. Terus berubah warna muka Jasmin.

"Cinta saja tak boleh bagi makan." Kembali terdengar ayat itu. Jasmin tunduk sembunyikan wajah.

"Iq takkan tinggalkan Min cuma dengan cinta. Mestilah ada duit sekali. Min dah jadi isteri Iq. Dah jadi tanggungjawab Iq untuk sempurnakan makan pakai Min."

"Mampu ke Iq nak tanggung? Iq baru belajar, tau. Bertahun makan masa sebelum habis belajar. Dah tu dari mana Iq nak cari duit bagi dekat Min?"

"Itu Min tak payah risau. Paling penting, Iq tak abaikan isteri Iq ni." Iqmal mencuit hujung hidung isterinya.

Bertambah merona wajah Jasmin.

"Min memang risau. Boleh ke kita nak hidup dalam keadaan sekarang? Min kat sini, Iq kat sana."

"Insya-Allah boleh. Selagi Min setia tunggu Iq."

"Insya-Allah Min akan tunggu. Tapi boleh ke Iq bagi jaminan yang Iq akan setia dengan Min? Dekat universiti sana ramai sangat kut perempuan yang cantik-cantik."

"Tapi Iq cuma sayang Min seorang."

"Sweet talker."

"Like always. Sebab tu Min sayang Iq, kan?"

Jasmin terdiam. Tak mampu mengeyakan, tak juga dia mampu tidakkan. Rasa di jiwanya lebih mengambil alih. Jasmin takut mahu fikirkan masa depan rumah tangga mereka yang baru dibina. Tambah dengan hubungan jarak jauh setelah Iqmal kembali ke universiti dua hari lagi.

Bukan kerana dia tak mampu setia. Jasmin cuma takut Iqmal yang tak mampu menunaikan janjinya. Namun, Jasmin juga sedar dia sudah tak punya alasan untuk membantah. Iqmal sekali lagi telah berjaya menunaikan apa yang telah dijanjikan dulu. Sekarang mereka cuma perlu setia untuk menunggu detik itu berlalu. Detik Iqmal berjaya tamatkan pengajian kemudian kembali ke pangkuannya yang sabar menunggu di sini.

"Tapi kan, sampai hati Min buat Iq macam ni?"

"Buat apa?" Jasmin tak faham. Berkerut dahinya sebelum terhambur tawa kecil. Lebih-lebih lagi setelah lelaki yang sudah bergelar suami itu mendakap tubuhnya erat. Muka disembam ke pangkal leher.

"Betulkan niat kat hati tu dulu. Iq kahwin dengan Min semata-mata sebab tu ke?" soal Jasmin sambil dia menolak tubuh Iqmal yang dirasakan melekat. Rimas, tau.

Lebih yang Jasmin rasakan, berdebar-debar ke tahap degupan jantung sudah menjadi tak normal.

"Bukan semata-mata sebab..." Iqmal tak mampu sudahkan ayat. Dia hela nafas dalam sambil memandang wajah mulus tanpa cela milik Jasmin di depan mata.

"Dah tu tak payahlah nak merungut. Berdosa tau." Jasmin kembali menolak tubuh suaminya supaya menjauh. Apa main-main peluk ni? Dia tak suka!

"Min..." Redup pandangan mata Iqmal.

"Dah tu nak Min buat apa?" Jasmin tarik muncung sedepa. Dia berpeluk tubuh sebelum palingkan muka.

"Sampai hati..."

"Iqmal, buat apa dalam bilik tu? Tengah hari rembang dah ni. Tak bangun lagi ke?" Terdengar suara mama Iqmal bersama ketukan keras pada daun pintu. Terkejut pasangan pengantin baru yang enak bercanda di atas katil.

Terkocoh-kocoh Iqmal bangun dari baringan sambil tangan membetulkan baju pada tubuhnya. Rambut yang agak kusut dirapikan sebelum Iqmal menuju ke arah pintu bilik yang tertutup rapat.

Selepas subuh tadi mereka terlajak tidur. Walaupun Jasmin berkeras mahu turun ke dapur, Iqmal melarang. Dia kasihan melihat isterinya yang mengerekot sendirian kes senggugut yang tiba-tiba menyerang.

"Mama, kitorang dah bangun pun." Iqmal tersenyum melebar setelah daun pintu bilik terkuak melebar. Muncul wajah mencuka mamanya.

Jasmin turut bangun dari baringan sambil memeluk sebiji bantal.

"Matahari dah terpacak atas kepala, baru nak bangun? Eloklah. Mentang-mentang pengantin baru, bergumpal atas katil tu tak payah keluar?"

"Mama..." Iqmal segera meraih lengan mamanya. Dia tahu mama sudah marah. Kalau boleh, dia tak mahu mamanya marahkan Jasmin.

"Min ni... dia senggugut. Mal kesian kat Min. Mal suruh Min berehat je. Sekali dengan Mal tertidur sama," beritahu Iqmal. Bukan dia tak tahu cemberut muka mamanya itu tanda mama betul-betul tak suka.

"Dah tu kalau senggugut, tak boleh buat kerja? Biar mama sorang-sorang dekat dapur. Elok sangat perangai menantu macam tu?"

Gulp! Jasmin yang duduk tertunduk di birai katil teguk liur sekali. Itulah benda yang paling dia takutkan. Ingat senang ke kahwin ni? Perlu pikul tanggungjawab sebagai menantu juga.

"Mama tak payahlah nak salahkan Min. Kan Mal dah bagitahu, Min senggugut." Iqmal terus juga memujuk.

Lengan mamanya dipeluk erat sebelum dia heret wanita kesayangannya keluar untuk dari ruang bilik. Kalih ke belakang, Iqmal menghantar isyarat kepada Jasmin supaya berehat.

Dia akan uruskan semua benda. Isterinya tak perlu nak risau. Iqmal tahu walau macam mana mama naik angin, sekelip mata saja dia boleh pujuk.

Dia Iqmal Hafizi, anak tunggal kesayangan yang cukup manja.

Jasmin segera ke depan lalu menutup daun pintu bilik setelah kelibat ibu mentua dan suaminya menghilang. Belakang badan tersandar seketika pada ruang dinding bersama dada yang rancak disapa debaran. Ada juga ngilu yang menyelit.

Sebelum kahwin lagi Jasmin dah tahu mentuanya itu tak sukakan dia. Dia cuma akur setelah Iqmal tak sudah-sudah memujuk. Kini baru dua hari mereka menjadi suami isteri, baru semalaman dia bermalam di rumah itu, hidup Jasmin sudah terasa perit. Mentuanya langsung tak berlapik menghantar isyarat tak suka!

Pesan emaknya memang Jasmin ingat. Bukan dia sengaja tak mahu keluar dari bilik. Keadaan yang memaksa. Dia kalau sampai masa datang bulan, sakit yang dialami bukan biasa-biasa. Paling teruk dia akan muntah-muntah gaya ibu mengandung sulung.

Kali ini senggugut Jasmin cepat lega kerana ada Iqmal yang begitu prihatin. Semalaman suaminya menjaga dia. Pagi tadi setelah bangun dari tidur, rasa sakit dia sudah berkurang. Kalau mengikut kebiasaan, tiga hari tiga malam dia akan mengerekot peluk bantal.

Bunyi ketukan pada daun pintu mengejutkan Jasmin yang masih menahan rasa. Mendengar suara Iqmal, terus dia bukakan pintu.

"Suprise!" Suaminya kembali muncul bersama senyuman lebar. Di tangan Iqmal ada satu dulang berisi makanan.

"Apa ni?" Jasmin semakin susah hati. Mahu bertambah kebencian mentua dia kalau begini gayanya.

"Hari ni kita sarapan dekat bilik. Eh! Brunch. Dah tengah hari pun." Sempat Iqmal betulkan ayat.

"Tak payahlah, Iq. Min boleh keluar makan dekat dapur." Jasmin membantah. Hujung mata mengintai keluar ketika Iqmal mahu menutup daun pintu bilik.

Tiada kelibat mentuanya.

"Haip! Tak payah nak lawan cakap suami. Berdosa, tau. Jom, makan. Iq dah bawak semua makanan yang ada, tak payah Min susah-susah nak keluar."

"Iq..."

"Sakit, kan?"

Jasmin angguk. Tangan kembali singgah ke perut yang masih terasa mencucuk.

"Kalau sakit, buat cara sakit. Pergi duduk sana, kita makan. Iq pun lapar ni."

Sekali lagi Jasmin angguk tanda akur. Dia segera mencari sehelai kertas surat khabar untuk dibuat lapik atas lantai. Iqmal segera meletakkan dulang di tangan.

"Duduk. Iq suap."

"Tak payahlah. Min boleh makan sendiri."

"Degil Min ni, ya? Tak nak dengar cakap suami."

"Iq!" Jasmin tarik muka ketat. Dia tak suka nak mendengar ayat itu.

"Dah tu buka mulut. Iq suap." Iqmal sedia menyuakan sesudu makanan.

Jasmin masih berwajah ketat. Jiwanya berasa tak enak. Belum sampai satu hari dia ada di rumah mentua, macam-macam dah berlaku. Semuanya perkara yang boleh membuatkan ibu bapa mentuanya berasa tak senang. Mencabar betul jadi isteri orang, bukan biasa-biasa.

Hari ini bolehlah Iqmal suap-suap dia. Esok lusa bila suaminya dah balik ke universiti sana, bagaimana dengan nasib dia?

Mujur kedua mentuanya sudah bersetuju bila Iqmal beritahu yang dia akan tinggal di rumah emak bila Iqmal balik ke universiti nanti. Dengan alasan, dia sekarang membantu emak berniaga pisang goreng di pinggir jalan. Kalau tidak, mahu bermula kisah ngeri dalam hidup dia bila tinggal di rumah mentua. Apatah lagi mentua yang jelas-jelas tak sukakan dia.

Hanya kerana Iqmal Hafizi, Jasmin sanggup menurut. Kalau bukan kerana lelaki itu, Jasmin yakin dia tak sanggup nak mengharungi segala perubahan yang sedang berlaku.

"Buka mulut cepat, tak payah nak termenung. Kejap lagi kita pergi tengok wayang."

Lopong mulut Jasmin memandang Iqmal. Terus suaminya menyudu masuk bihun. Nyaris dia tercekik.

"Nak pergi mana?" tanya Jasmin dengan mulut penuh. Tangan dipanjangkan mencapai gelas air kosong lalu dia teguk.

"Tengok wayang. Tak nak ke? Kita keluar dating." Ceria suara Iqmal memberitahu. Jasmin juga yang semakin tak sedap hati.

"Tak payahlah. Lagipun Min kan sakit perut."

Berubah mendung wajah Iqmal. Terus dia letakkan pinggan berisi bihun goreng ke dalam talam.

"Bukan Min tak nak keluar dengan Iq..."

"Dua hari aje kita nak bersama, tau. Lepas ni Iq dah balik universiti. Tunggu cuti semester baru balik sini. Min tak kesian dekat Iq ke?" Mengendur sudah suara Iqmal. Jasmin juga yang semakin serba salah.

"Bukan Min tak nak. Min... takut mama marah."

"Kenapa pulak mama nak marah? Min keluar dengan Iq. Kita dah kahwin, kan? Bukannya Min keluar dengan kekasih."

"Min kena tolong mama dekat dapur."

"Tak payah. Bibik dah ada nak tolong mama."

"Iq..."

"Min, hari ni aje. Esok lusa Iq dah balik universiti."

Jasmin hela nafas dalam. Muram wajah Iqmal buatkan dia berasa sedih. Memang Jasmin tak sampai hati nak mengecewakan suaminya. Lagipun betul kata Iqmal. Cuma ada dua hari lagi peluang untuk mereka bersama sebelum suaminya balik ke universiti sana. Menyambung tugas sebagai seorang pelajar.

"Mama macam mana?" Jasmin masih risau. Bukan dia tak mahu tunaikan permintaan Iqmal.

"Mama bagi. Iq dah bagitahu mama tadi. Ini Iqlah, anak kesayangan mama." Iqmal mendabik dada.

Jasmin cebik panjang sebelum dia tersenyum nipis. Namun, dalam hati masih ada risau. Banyak perkara yang sedang dia fikir termasuk penerimaan mentuanya.

Hailah. Mencabar betul kahwin dalam usia muda. Ini semua Iqmal punya pasal! Tak menyempat. Macamlah tak boleh nak tunggu sampai habis belajar. Sampai dah dapat kerja, dapat sewa rumah sendiri. Ini dah dikira baik, mentuanya benarkan dia balik dan tinggal di rumah emak nanti.

Kalau tidak, tak dapat Jasmin bayangkan apa yang bakal berlaku dalam hidup dia. Jangan jadi ala-ala kisah Cinderella, sudah.

VOTE & COMMENTS ARE VERY APPRECIATED.

_FROM_ME_WITH_LOVE_

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro