Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 2


IMPIAN Jasmin akhirnya menjadi nyata untuk melihat Iqmal sambung pengajian. Dia pula bukan kerana keputusan peperiksaan sebelum ni tidak bagus. Kemampuan mengatasi segala.

Jasmin tak mahu menyusahkan emaknya yang merupakan ibu tunggal. Sejak kehilangan ayah, emak terpaksa membanting tulang membesarkan mereka tiga beradik. Sebagai anak sulung, Jasmin tahu sudah sampai masanya untuk dia membantu emak menyara keluarga.

Bagi Jasmin, dia dah berjaya tamatkan sekolah menengah pun sudah seribu rahmat dirasakan. Biarlah hanya adik-adik yang meneruskan sekolah. Belajar sampai ke Menara Gading demi mencapai cita-cita. Biarlah dia menjadi pembantu emak berjualan di gerai.

Lagipun Jasmin tak nampak ke mana hala tuju untuk dia sambung pelajaran. Bukan kerana ayat orang tua dulu-dulu, 'perempuan belajar setinggi mana pun akan ke ceruk dapur'. Kerana impian Iqmal juga bakal tercapai setelah mereka berdua selamat ditunangkan. Mereka bakal menikah tak lama lagi dengan restu keluarga.

Dalam gusar, ternyata Jasmin tak mampu menghalang lagi kerana Iqmal telah memenuhi semua kehendak dia. Sekarang giliran dia pula memenuhi kehendak Iqmal walaupun hanya separuh jiwa yang merelakan.

Bukan juga kerana hati tak punya rasa kasih. Jasmin takut memikirkan apa yang bakal berlaku dalam hidup mereka nanti. Lebih-lebih lagi apa yang akan berlaku pada dia.

Sebelum ini kedua ibu bapa Iqmal langsung tak berlapik dalam menunjukkan rasa tak suka pada dia. Sekarang mereka sudah selamat bertunang. Jasmin yakin bukan mudah dugaan yang bakal dia tempuhi. Apatah lagi mahu mengharungi rencah hidup dunia yang penuh pancaroba. Namun, dia sudah tak boleh nak mengecewakan Iqmal. Lelaki itu sudah lakukan segalanya untuk dia.

"Iqmal tak ada telefon ke? Apa khabar dia sekarang? Dah enam bulan dia dekat universiti sana, kan?" Suara Puan Aziah bertanya menyentakkan lamunan yang Jasmin anyam.

Bukan dia mengelamun jauh kerana mata tetap fokus pada kerja yang dilakukan. Jasmin sedang menakik buah kelapa muda dengan sebilah parang kecil untuk mengambil airnya. Kemudian isi kelapa dicedok menggunakan sudu. Dimasukkan sekali ke dalam balang air.

Puan Aziah meniaga pisang goreng dan air kepala muda di gerai yang terletak pada bahu jalan. Tempatnya cukup strategik kerana dekat dengan simpang jalan. Elok berteduh di bawah sebatang pokok ketapang. Kadang-kadang ada keropok lekor goreng dan ubi keledek goreng. Tak ketinggalan air teh 'beng' kaw. Memang laku keras kerana cuaca yang agak panas.

"Jasmin, mak tanya ni Iqmal tak ada telefon ke?" Suara Puan Aziah kedengaran lagi. Jasmin tahan nafas daripada menghelanya kuat-kuat.

"Iq ada telefon, mak. Mak tak payahlah bimbang." Jasmin menyahut jua. Seketika dia bangkit dari kuda kayu yang menjadi tempat punggungnya ditenggek.

"Mak bukan apa, dah enam bulan dia masuk universiti. Janji dengan kamu macam mana? Bukan dia janji nak langsungkan majlis dalam masa enam bulan ke?"

"Mak, Iq tu pergi belajar, bukan kerja. Lagipun dari dulu jugak orang tak setuju nak bertunang dengan dia."

"Kamu tak suka dengan Iqmal ke?"

"Mak..." Jasmin berkalih memandang emaknya.

Puan Aziah turut memandang anak gadisnya sebelum dia bangun dari kerusi plastik yang diduduki. Dapur memasak dituju. Tangan menggodek dua tiga kali pisang bersalut tepung beras yang sedang digoreng dalam kuali besar supaya tak hangus.

"Maksud orang, dari dulu lagi orang tak setuju bila Iq desak nak bertunang. Orang dengan dia muda lagi nak fikir pasal nikah. Tapi sebab Iq dah setuju nak sambung belajar, orang kena tunaikan janji dengan dia."

"Maknanya kamu nak kata tak kisah kalau tak jadi kahwin dalam masa yang Iqmal janjikan?"

"Mak, Iq pergi belajar. Belajar... banyak benda yang dia kena fokus. Lagipun soal kahwin, benda tu macam tak penting sangat nak fikir buat masa sekarang."

"Penting bagi mak, Jasmin. Sebab kamu tu anak mak. Kamu dah bertunang dengan dia. Takkan nak tunggu dia habis belajar dulu baru nak kahwin?"

"Kalau ada jodoh, tak ke mana, mak. Orang pun tak naklah kacau Iq. Biar dia belajar dulu sampai tamat. Kalau boleh, orang pun tak nak kahwin sekarang. Tunggu dua tiga tahun lagi."

"Dah kalau kamu tak nak kahwin, kenapa bertunang dengan dia?"

Jasmin sudah mengeluh panjang. Emak selalu sangat pusing-pusing soalan. Sampai pada soalan yang dah ada jawapan. Berulang kali juga dia beritahu. Mustahil hari-hari emak mahu dia ulang ayat serupa.

Kali ini Jasmin hanya diam tak mahu menjawab. Biarlah emak terus memandang dia sampai terkeluar biji mata. Jasmin sudah tak peduli.

Dia buka langkah mendapatkan sudut mencuci dengan besen air yang tertadah. Tangan yang melekat dengan habuk kelapa dicuci sebersihnya. Muka yang belengas turut Jasmin basahkan sebelum tudung di kepala yang sedikit senget dia betulkan.

"Mak bukannya apa. Kawan-kawan mak ada jugak yang bertanya bila nak buat majlis kamu tu?" Puan Aziah kembali bersuara. Jasmin sudah boleh agak alasannya walaupun emak tak menyebut.

"Mak, kalau orang tak kahwin pun, rasanya tak mudaratkan hidup kawan-kawan mak."

"Jasmin..."

Sebuah kenderaan yang tiba-tiba berhenti di depan gerai membantutkan ayat yang bakal Puan Aziah karang. Jasmin terus hela nafas lega sambil dia menuju ke depan. Mahu melayan pelanggan. Lebih baik daripada melayan soalan emak yang berulang-ulang. Bagai tak sudah. Kes emak tak berpuas hati selagi tak mendapat jawapan seperti yang dimahukan.

Jasmin pun ada masanya berasa pelik dengan perangai Iqmal. Dulu beriya nak bertunang. Sekarang macam tak acuh. Bukan Jasmin tak pernah berterus-terang. Tanpa ralat dia beritahu tentang balasan ayat daripada ibu ayah Iqmal yang mereka tak nak bermenantukan dia. Cuma Iqmal buat tak peduli. Iqmal sanggup merayu dengan ibu ayahnya supaya mereka ditunangkan.

Sekarang enam bulan sudah berlalu, Iqmal senyap tanpa sebarang berita. Seolah-olah lelaki itu sudah menghilang dengan janji-janji manis yang dibuat dulu. Demi Allah, walaupun di mulut, Jasmin nampak tak kisah dengan semua itu, rasa risau dalam hatinya hanya Tuhan yang tahu.

Bukan juga Jasmin mahu berburuk sangka. Tak mustahil ibu ayah Iqmal terlibat sekali lagi. Menghalang Iqmal untuk tunaikan janji yang telah mereka buat.

"Min." Kemunculan seorang lelaki yang melangkah turun dari kereta tadi menamatkan monolog gundah di hati Jasmin.

Puan Aziah sudah melebar senyuman di bibir setelah orang yang dia sebut-sebut tiba-tiba muncul di depan mata.


VOTE & COMMENTS ARE VERY APPRECIATED.

_FROM_ME_WITH_LOVE_

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro