Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 1


 "KITA kahwin."

Hanya dua patah perkataan yang Iqmal ucapkan telah mencampakkan diri Jasmin ke lembah bingung. Dua patah perkataan yang sering diulang sebut oleh lelaki itu demi membuktikan dia benar bersungguh, tahap bingung Jasmin semakin menjadi-jadi sampai kepala naik pusing.

Dia ni dah kenapa?

Jasmin sedar ini bukan kali pertama Iqmal mengungkapkan ayat serupa. Sudah berkali-kali juga sampai dia tak sempat nak mengiranya sejak tiga tahun yang lalu. Tiga tahun lalu sedangkan ketika itu mereka masih di usia muda remaja. Usia yang tak sepatutnya semua itu menjadi tumpuan fikiran tapi itulah yang berlaku dalam hidup mereka.

Bukan juga kerana dia tak cinta untuk Jasmin enggan menurut setiap kehendak Iqmal. Masalahnya tiga tahun lalu dan sekarang langsung tak ada beza untuk manusia seusia mereka. Remaja yang baru menamatkan zaman sekolah sepatutnya lebih memikirkan soal masa depan dan cita-cita bukannya kahwin. Apatah lagi ianya bagai mempertaruhkan setiap rasa di jiwa.

"Min dengar tak apa yang Iq cakap ni? Min!" Iqmal memetik jari di depan muka gadis itu. Mengejutkan Jasmin yang terhanyut rasa.

Jasmin masih sedang mencerna. Masih gagal untuk dia hadam maksud kehendak Iqmal.

"Kita muda lagi, Iq." Jasmin tetap membantah.

Tangan yang terkaku seketika tadi kembali bergerak untuk dia sudahkan kerja menyembat leher baju kurung. Kemudian Jasmin akan sulam mata lalat.

"Kan Iq dah cakap soal muda tak jadi masalah. Paling penting Iq sayang Min. Min aje yang selalu bagi alasan macam Min dah tak sayang Iq." Ada rajuk dalam nada Iqmal. Wajah sudah dikalihkan sebelum dia turunkan kaki dari pangkin kayu yang mereka duduki. Merajuk!

"Ini bukan masalah tak sayang. Masalahnya Min nak Iq terus sambung belajar. Barulah masa depan Iq terjamin. Masa depan kita. Jangan sebab rasa dalam jiwa tu, Iq abaikan semua benda."

"Dah dua tahun Iq sambung belajar, tak cukup lagi ke?" Iqmal sudah membentak.

Sakit hati juga dia mahu fikirkan keengganan Jasmin yang tak sudah. Agaknya Jasmin memang tak pernah ikhlas sayangkan dia.

"Lagi satu. Masuk Universiti bukan jaminan kita boleh dapat kerja bagus, tau. Silap-silap boleh bertampuk hutang." Iqmal menyambung sampai puas rasa di dadanya.

"Okey. Betul apa yang Iq cakap tu. Min setuju. Tapi impian mak ayah Iq macam mana? Dorang nak Iq sambung belajar lagi, dapat kerja yang bagus-bagus. Balas jasa dorang yang selama ni dah susah payah bagi semua tu dekat Iq."

"Dahlah Min. Iq dah tak nak dengar lagi. Mudah cerita, macam nilah. Kita putus."

"Iq!" Bulat biji mata Jasmin. Dia tak pernah menyangka ayat yang satu itu akan keluar dari mulut Iqmal.

"Dah. Min buatlah apa yang Min nak, Iq dah tak peduli." Iqmal tekad. Dia buka langkah besar menuju ke arah motosikal yang terparkir sebelum terdengar suara Puan Aziah menegah.

"Bukan Min yang tak nak, Iq. Mak ayah kamu tak setuju kamu kahwin sekarang."

"Apa, Mak Zi?" Iqmal berkalih memandang. Berkerut sudah dahinya.

Puan Aziah yang baru muncul terus melanjutkan langkah ke arah pangkin kayu yang anak gadisnya duduk. Punggung disangkut ke birai. Iqmal yang masih tunak dan mengharapkan jawapan daripada dia kembali dipandang.

"Iye. Mak ayah kamu yang tak setuju kamu kahwin dengan Jasmin. Mak ayah kamu tak nak berbesan dengan orang miskin macam Mak Zi ni. Selama ni Jasmin cuma jaga hati kamu aje."

Kebenaran yang baru dibongkar memang mengejutkan Iqmal. Langsung dia tak nak percaya.

"Mustahil, Mak Zi. Mak ayah saya bukan macam tu."

"Semua mak ayah nakkan yang terbaik untuk anak-anak, Iqmal. Mak Zi pun sama."

"Tak. Iq tak percaya." Iqmal terus nafikan. Dia capai helmet dari dalam bakul motor lalu terus disarung ke kepala.

"Buat apa Mak Zi nak menipu kamu? Kamu baliklah tanya dengan mak ayah kamu."

Iqmal tak menyahut. Hanya memperlihatkan wajah yang tak puas hati. Starter motosikal ditendang sebelum mengaum bunyi enjin RXZ itu setelah dia pulas minyak kuat. Kemudian dipandu keluar dari halaman rumah Mak Zi gaya mahu terbang.

Jasmin hanya mampu memandang tingkah Iqmal dengan jiwa yang sebal. Perit di hatinya masih terasa. Sakit yang tak terkata bila dia teringat kembali kejadian yang berlaku dua minggu lepas.

"Anak auntie ada peluang sambung belajar. Dia ada potensi nak jadi doktor. Auntie tak nak sebab cinta monyet, masa depan Iqmal hancur."

Jasmin juga mengaku sesuatu. Selama ini, bukan dia tak pernah melarang Iqmal. Dia memang membantah setiap kehendak Iqmal, langsung tanpa henti. Sejak tamat SPM lagi Iqmal beria ajak dia menikah, tapi Jasmin tak nak. Jasmin berkeras menolak. Dia sarankan Iqmal sambung STPM. Sekarang Iqmal kembali menuntut janji setelah tempoh itu tamat.

"Tolonglah Min, pujuk Iqmal suruh dia sambung belajar. Auntie tak nak dia kahwin sekarang. Kalau dia nak kahwin pun, biarlah yang sepadan dengan dia."

Tanpa lapik semua itu disebut di depan muka Jasmin. Di depan Puan Aziah. Jadi tegakah untuk mereka bersabar? Sanggupkah mereka menelan bulat-bulat ayat yang berbentuk penghinaan itu?

"Kamu kalau betul dah merenyam nak kahwin, mak akan carikan suami." Puan Aziah alihkan rasa di jiwa kepada anaknya pula.

Jasmin yang tersentak segera keringkan pipi. Tak sedar basah.

"Orang pun tak nak, mak. Bila masa orang bergedik nak menikah?"

"Mak akan cari lelaki kaya untuk kau buat suami. Biar terjamin masa depan jugak."

"Mak?" Jasmin terkejut.

Jangan betul emak buat apa yang disebut. Bukan Jasmin tak kenal siapa Puan Aziah.


VOTE & COMMENTS ARE VERY APPRECIATED.

_FROM_ME_WITH_LOVE_



Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro