Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

Izz menghantar aku ke klinik terlebih dahulu untuk diperiksa. Puas aku menolak, dia pun puas memaksa. Akhirnya aku mengalah apabila Aunty Fatmah masuk campur. Aunty Fatmah pun membebel juga. Membebel sayang. Tapi bebelannya tak adalah sampai sepanjang kereta api macam mama.

Apabila ke klinik, macam yang aku agak, aku cuma terseliuh kaki. Hafiy pun ikut sama. Nasib baik juga ada Hafiy. Tak adalah canggung sangat aku dengan Izz. Izz dan Hafiy ikut sekali aku ke bilik rawatan. Aku dah halang, tapi Izz selamba menjawab yang tak gentleman kalau dia tinggalkan orang sakit sorang-sorang. Aku malas nak layan dan akhirnya membiarkannya sahaja. Sakit kaki aje pun.

"Macam mana boleh jadi macam ni?" selidik doktor muda itu. Hai... Aku nak cakap pun segan!

"Kakak jatuh pokok. Nasib baik daddy ada. Kakak jatuh atas daddy." Tu dia... Saksi dah beri keterangan! Malunya aku rasa. Apatah lagi doktor itu tersenyum sedikit. Apa hal la Si Hafiy ni terlebih mesra pula ni?

"Kaki dia macam mana?" Kali ini Izz pula bertanya.

"Ankle sprain. Dalam beberapa hari nanti boleh sembuh. Tapi, kalau dah sembuh, jangan biarkan dia panjat pokok lagi, ya?" Sempat doktor tu bergurau. Aku rasa kata-kata itu semacam khas ditujukan untuk Izz. Izz ketawa. Geramnya aku! Doktor ni tak tahu lagi agaknya aku ni macam mana orangnya. Kalau nak ankle dia sprain, cakap aje. Bila-bila masa aku boleh bagilah.

"Nothing is serious, right?" Kali ni baru aku bersuara. Doktor itu senyum.

"Nope. Tapi... Kalau puan mengandung, parah juga. Boleh sebabkan keguguran." Aku terlopong mendengarnya. Puan? Mengandung? Weh... Sejak bila pula aku dah ada suami ni? Kalaupun aku mengandung, tak adalah gila sangat aku nak panjat pokok. Tak sayang nyawa namanya tu! Lagi, perempuan gila mana yang nak meroyan panjat pokok? Aku pandang Izz di sebelah. Sahlah doktor ni salah faham. Nampak gayanya Izz pun tercengang-cengang.

"Saya bukan suami dia, doktor." Izz jelaskan perkara sebenar. Doktor tu nampak macam terkejut.

"Oh, ya ke? Maaf... Maaf."

Doktor ni pekak agaknya. Tak dengar ke Hafiy panggil aku kakak, panggil Izz, daddy? Kalau datang dengan lelaki memang disalah sangka sebagai suami isteri ke? Kenapalah bukan dianggap adik abang? Tapi, kalau orang tengok aku dan Izz memang confirmlah takkan dianggap adik-beradik. Tengok mata pun dah tahu.

Aku keluar dari klinik dengan kaki yang berbalut. Izz akan menghantar aku pulang ke rumah. Balik awal lagi aku hari ni. Telinga aku dah bersedia dengan apa yang bakal mama bebelkan nanti.

"Assalamualaikum, mama, papa." Aku tegur mama dan papa yang sedang berehat di kerusi taman. Sedang minum petang. Awal pula papa balik hari ni. Aku sengih selebar mungkin kat mama dan papa. Nak tutup kesalahanlah kononnya.

Izz salam papa.

"Kaki kamu kenapa, Sya?" Mama lebih cekap. Mama dah bangun meluru ke arah aku. Kaki yang berbalut dibelek-belek.

"Kakak jatuh pokok, nek. Kita orang nak panjat pokok jambu. Lepas tu, kakak jatuh." Hafiy sekali lagi menjadi tukang cerita.

"Jatuh pokok?" Suara mama agak kuat. Terkejut semestinya. Dia menjeling aku. Aku tahu maksudnya. Maksudnya, bersedialah aku lepas ni nak dibebel dan dimarah!

"Saya dah hantar Sya pergi klinik tadi. Tak ada apa-apa yang teruk, aunty. Ankle sprain aje." Izz yang berdiam diri sejak tadi akhirnya bersuara.

"Anak ni siapa?" soal papa. Izz senyum.

"Saya Izz, daddy Hafiy." Izz memperkenalkan diri.

"Ooo... Ni rupanya anak Fatmah. Baru sekarang sempat nak jumpa. Ni yang tengah tu, ya?" Angin mama dah berubah sebaik sahaja tahu siapa Izz. Aku menarik nafas lega. Lega untuk sekarang.

"Ya, aunty. Saya yang tengah."

"Kalau macam tu, duduklah dulu. Kita minum petang dulu," pelawa papa.

Dalam hati aku berdoa agar Izz bersetuju. Sekurang-kurangnya masa untuk aku dibebel oleh mama dapat ditangguhkan dulu. Izz pandang jam sebelum pandang aku. Aku buat muka kesian. Minta-mintalah dia faham.

"Hmmm... Kalau kita duduk kejap kat sini, Hafiy nak tak?" Izz minta pandangan anaknya.

"Nak... Nak... Boleh Hafiy main dengan kakak."

Macam yang aku cakap, membebel panjang mama apabila dapat tahu yang aku jatuh pokok. Ni semuanya gara-gara mulut Hafiy yang bercerita dengan becoknya. Banyak cakap pula dia bercerita itu dan ini. Macam tak percaya, dalam masa dua hari aje aku boleh rapat dengan Hafiy.

"Apa Sya ni? Bagi pengaruh buruk kat budak-budak. Ada ke patut ajar budak macam mana nak panjat pokok. Bukannya nak ajar abc atau satu dua tiga. Kalau Si Hafiy tu ikut, macam mana? Dahlah budak tu dah memang jenis lasak." Mama menggeleng.

"Ala, ma... Sya tahu apa yang Sya buat, ma. Risiko pun Sya sanggup tanggung. Sya nak ajar dia ajelah, mama." Aku membela diri. Tak sukanya aku kena bebel ni. Kaki sakit. Telinga pula, nak tak nak kena tahan sakit.

"Budak ni... Orang suruh jaga Si Hafiy, bukannya suruh ikut kepala budak tu."

"Mama ingat senang ke nak dekat dengan Hafiy tu? Kira berbaloilah jatuh pokok boleh dekat dengan Hafiy," balas aku.

"Hish... Peninglah cakap dengan budak ni. Orang cakap macam ni, dia cakap macam tu." Mama dah naik angin.

"Awak tu sudah-sudahlah marahkan Si Sya ni. Orang tengah sakit, awak tambah pula sakit dia tu." Papa dah mula bersuara.

"Saya bukannya apa, bang. Geram sangat. Malu saya bila orang tahu anak dara saya jatuh pokok. Tak padan dengan perempuan nak tunjuk stunt. Kalau orang tahu ni, kempunan saya nak ada menantu lelaki, tahu tak?"

Apa mama ni? Sampai hal menantu pun dikaitkan. Kalau nak menantu, suruhlah abang kahwin dulu. Abang ni pula, bukannya reti nak balik bela adinda dia. Dah malam pun tak sampai-sampai rumah lagi. Keluar datinglah tu. Ni semua idea falsampah dialah ni. Aku salahkan abang pula.

"Anak awak ni ikut awaklah, Nisah oi. Awak tak ingat ke masa awak merajuk sebab salah sangka saya nak dijodohkan dengan sepupu awak dulu. Awak lari atas pokok rambutan. Jenuh saya nak pujuk awak turun. Awak tak ingat ke? Asal merajuk, pokok rambutan yang dicari. Mentang-mentang saya tak reti panjat pokok masa tu." Papa membuka cerita.

"Hish... Abang ni!" Mama malu apabila tersingkap kisah lamanya. Aku pula tergelak sama. Cayalah mama! Otai juga zaman muda-muda dulu. Baru aku tahu daripada siapa aku warisi sikap macam ni.

"Lepas tu, papa? Apa jadi? Bila mama merajuk apa yang papa buat?" Aku nak korek rahsia. Cerita kat abang ni memang tergolek-golek dia ketawa. Kenapalah abang boleh terlepas cerita sensasi macam ni?

"Sayang punya pasal, papa pujuklah dia. Dia cabar papa suruh panjat pokok. Bukannya dia tak tahu papa gayat kalau di tempat tinggi. Papa sahut cabaran. Papa try panjat pokok. Thanks to mama Sya. Kalau bukan sebab dia, mesti sampai sekarang papa tak reti panjat pokok. Sampai sekarang agaknya rasa gayat papa tak hilang-hilang," cerita papa lagi.

"Abang ni... Ada ke patut buka cerita lama. Malulah saya. Apalah abang ni." Mama pura-pura marah papa. Aku dan papa tergelak sama.

"Dah, Sya. Pergi naik berehat. Tak payahlah Sya pergi rumah Aunty Fatmah beberapa hari ni. Berehat." Mama keluarkan arahan.

"Tapi, ma... Siapa nak ganti tempat Sya? Kesian Aunty Fatmah pula." Aku berat hati. Dulu bukan main susah nak bersetuju, sekarang ni macam liat aje nak lepaskan semuanya.

"Tak apa... Nanti mama suruh mak su gantikan kejap. Rumah ni, mama kan ada. Insya-Allah mama larat. Bukannya ada apa-apa sangat kat rumah ni."

"Hafiy macam mana? Kesian mak su nanti." Bukan aku tak tahu perangai Hafiy macam mana. Bertahan ke mak su?

"Nak buat macam mana. Dah terpaksa."

Pintu bilik aku diketuk beberapa kali. Setelah aku mengizinkan, baru Abang Qairul masuk. Hai... Sopan pula kakanda aku hari ni. Biasanya main redah aje. Aku terbaring sambil membaca majalah Mangga. Abang duduk di tepi katil.

"Mama cakap Sya jatuh pokok, betul ke?" soal abang.

"Hmmm... Nak bukti? Tu ha..." Aku memuncungkan mulut pada kaki kanan aku. Tengok gaya balut nampak macam aku nak hilang kaki aje. Abang ketawa. Masam muka aku bila kena gelak. Sejak kaki terseliuh, hati makin sensitif tahu?

"Dah puas ketawa?" Abang sengih.

"Dah. Sorry. Tak boleh tahan."

"Orang sakit, dia boleh gelak pula. Kecik pankreas ni, tahu tak?" Aku buat-buat merajuk.

"Ala busuk-busuk... Merajuk pula adinda ni. Kakanda cuma pelik. Macam mana adinda ni boleh terjatuh? Bukan ke kalau bab-bab memanjat, beruk pun boleh tabik hormat? Monyet pun segan nak lalu."

Kurang asam betul! Ada ke bandingkan aku dengan monyet dan beruk? Tak comel langsung. Bagilah haiwan comel yang reti memanjat yang lain. Tupai ke. Kucing ke.

"Sya plan nak buat-buat jatuh aje. Kasi Hafiy serik sikit. Nak bagi pengajaranlah konon-kononnya. Tapi lain pula jadinya. Tengah nak turun pokok, masa itulah daddy Hafiy sergah. Mana tak terkejut? Lepas tu jatuhlah." Aku menceritakan balik semuanya. Cuma tak masukkan kisah aku jatuh atas daddy Hafiy aje. Tak penting pun. Paling tak pun mati aku kena gelak dengan abang.

"Tinggi tak masa jatuh tu?" soal abang lagi.

"Tinggi... Nasib baik tak jadi arwah adik abang ni." Bersungguh-sungguh aku bercerita.

Abang berkerut kening.

"Ya ke ni? Tak patah kaki tangan pun?"

Eee... Abang ni! Ada ke patut cakap macam tu? Nak sangat ke aku patah kaki tangan?

"Melampaulah dia ni. Bukannya bersyukur orang tak hilang kaki tangan. Sya tak tipulah. Memang tinggilah Sya jatuh lepas daddy Hafiy tu sergah. Kira bersyukurlah dapat kaki terseliuh aje. Ni namanya Allah nak lindung."

"Daddy Hafiy. Hmmm... Handsome tak? Macam mana orangnya?" tanya abang tiba-tiba. Apa abang ni? Orang tengah bersungguh-sungguh bercerita, dia boleh tanya macam tu.

"Dia adalah salah satu spesies homo sapien yang ada dua mata, satu hidung, dua ulas bibir dan satu muka." Aku berloyar buruk dengan abang.

"Dan dia juga ada dua tangan, dua kaki, satu badan dan rambut tak sempat nak kira berapa helai?" Abang pula menambah. Aku ketawa. Aku memang kalahlah kalau nak lawan loyar buruk abang ni. Memang angkat bendera putihlah.

"Cakaplah betul-betul." Abang berminat nak tahu.

Betullah apa yang aku cakap tadi. Punya dua mata yang lembut dan boleh mencairkan hati semua gadis. Punya satu hidung yang cukup mancung, warisan daripada Uncle Manaf. Punya dua ulas bibir yang merah mungkin sebagai petanda yang dia tidak merokok. Dan punya satu raut wajah yang tampan. Eceh... Sempat pula aku usyar mamat tu. Nak mati cakap macam ni kat abang? Setahun aku menderita sebab kena gula dek abang. Tak pun sebab kena cop minah sastera.

"Hmmm... You must see Hafiy first. Then, you can conclude how Hafiy's daddy looks like." Jawapan paling selamat aku berikan.

"Since I have seen Hafiy before, I conclude that his daddy is absolutely handsome?" Abang keluarkan andaiannya. Aku malas nak puji-puji orang sangat. Lelaki pula tu. Entah-entah masih suami orang.

"Abang tengoklah sendiri nanti." Aku putuskan.

"Dia umur berapa?" soal abang.

"Entah. Dia cakap kat mama tadi dia yang tengah."

"Ooo... Kalau yang kedua, rasanya sama umur dengan abanglah, kan?" Aku angkat bahu.

"Ke yang sorang lagi, ya?" Kali ni abang macam bercakap sendiri.

"Manalah Sya tahu. Hari ni baru jumpa. Takkanlah Sya nak tanya umur pula?"

"Rasanya mama ada cakap yang anak kawan dia ada tiga orang. Tiga puluh something sorang, sama tua dengan abang sorang, tua dua tahun daripada Sya sorang." Abang macam cuba mengingati.

Sama umur dengan abang? Abang baru berumur 27 tahun. Takkanlah Izz berumur 27 tahun juga? Hafiy dah besar. Mesti umur dia dah masuk tiga puluhan. Haaa... Mesti Izz yang umur tiga puluh lebih tu. Tapi, bukan ke Izz cakap dia yang kedua? Takkanlah dia nak menipu mama? Lagipun aku tengok dia pun macam tak sampai tiga puluh lagi. Ke dia kahwin awal masa studi dulu? Aku dah buat andaian sendiri.

Abang cakap ada sorang lagi umur dua tahun lebih tua daripada aku. Takkan Izz kut? Tak logik... Tak logik... Adik Izz? Tapi, kenapa aku tak pernah nampak orang lain pun? Hish... Banyak rahsia betul. Kena korek ni.

Jadi, misi aku bila naik kerja nanti adalah, mengorek rahsia tentang keluarga Aunty Fatmah. Nak korek daripada siapa? Mestilah Bik Santi. Allah... Lupa pula Bik Santi dah balik dah esok. Sepatutnya aku korek lagi awal. Dah terlambat. Kena aturkan plan B pula ni!

Bosannya. Komputer riba di depan mata dah tak menarik. Layan game Facebook pun dah hilang keseronokannya. Nak stalk Wall Facebook orang pun rasa macam tak ada mood. Nak layan Running Man pun malas. Arghhh... Rindu betul nak berkejaran dengan Hafiy. Tiba-tiba aku teringat wajah comel Hafiy. Apalah yang Hafiy tengah buat sekarang ni? Tengah main PSIII agaknya. Rindu betul. Padahal baru tiga hari aje tak jumpa Hafiy.

"Mama... Boringlah pula!" adu aku kepada mama yang sedang mencantas pokok bunga kertas. Aku duduk di atas kerusi di taman. Kaki aku makin sembuh, tapi pergerakan aku masih terhad. Masih rasa sakitnya.

"Habis tu nak buat apa? Nak panjat pokok delima depan rumah tu? Nak seliuhkan kaki sebelah kiri pula?" sindir mama. Muncung aku seketika.

Okey... Dalam rumah aku ni, kalau bab loyar buruk, bagi kat abang. Kalau bab menyindir, mama memang jaguh. Papa? Neutral kut. Tapi, kalau dah datang angin monsun tropika dia, memang menikus semuanya.

"Rendah sangatlah, mama. Tak cukup syarat buat panjat," jawab aku.

Dan di dalam rumah ni, akulah yang paling terror menjawab. Haha.

"Tak syoklah. Nak keluar pun tak boleh," rungut aku. Kalau kaki aku tak sakit ni, memang aku dah ajak Syuk keluar ronda KL. Syuk ialah kawan baik aku. Nama dia Syukriah. Perempuan, okey. Mak su pun tak ada buat teman berbual.

"Awak tu sakit. Cubalah duk diam-diam sikit. Berehat kat rumah." Mama membebel.

Lambatnya kau sembuh, wahai kaki. Aku dengar telefon rumah berbunyi. Dengan kaki yang terhincut-hincut aku ke ruang tamu untuk mengangkat telefon.

"Helo, assalamualaikum," sapa aku.

"Waalaikumussalam, Sya." Aku dengar macam suara mak su. Mak su telefon?

"Nak cakap dengan kakak. Nak cakap dengan kakak. Cepatlah..." Sayup-sayup aku dengar suara Hafiy di sebelah mak su.

"Helo, kakak. Hafiy ni," riang Hafiy menegur aku.

"Helo, Hafiy. Hafiy sihat?" soal aku. Terlerai rindu aku kepadanya.

"Kakak... Bila kakak nak datang? Hafiy boringlah kakak tak ada. Nek su tak best la," rungut Hafiy. Aku ketawa. Kau tu memang semua tak best, Hafiy.

"Kaki kakak sakit lagi. Kakak tak boleh nak main dengan Hafiy. Nanti kaki kakak dah tak sakit, kakak promise akan main dengan Hafiy lagi."

"Kakak... Nanti kita nak main apa? Kita main bola sepak nak?"

Aku ketawa. Kaki kakak belum sembuh lagi, Hafiy oi. Nak kena parang dengan mama kakak ke kalau kakak main bola sepak?

"Ya... Nanti kita main bola sepak." Aku berjanji. Tapi bukan dalam masa terdekat.

"Hafiy jangan nakal-nakal, ya? Kesian nenek dengan nek su." Aku beri nasihat.

"Hafiy tak nakallah, kakak. Hafiy budak baik."

Aku ketawa lagi. Tak nakal sangatlah kan sampai-sampai mak su mengeluh panjang jaga dia semalam. Dengar-dengar pinggan antik Aunty Fatmah pecah apabila Hafiy buat pinggan tu ala-ala piring terbang. Terkejut aku mendengarnya. Entah dari mana pula dia tengok benda tu.

"Yalah tu."

"Bye, kakak. Hafiy nak main PS lepas ni."

"Bye..."

Talian diputuskan. Aku tersenyum sendiri. Sedikit sebanyak hari aku dihiburkan oleh Hafiy. Tak sabarnya aku nak jumpa Hafiy balik.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: