Bab 3
Aku tenung kertas bersaiz A4 di atas meja studiku sambil mengetuk-ngetuk pen biru. Masa untuk menganalisis jadual kerja.
6.30 pagi - Sediakan breakfast.
Yang ni memang aku dah dikecualikan sebab aku tak tidur situ. Aunty Fatmah dah cakap yang ni adalah tugasnya sendiri untuk sediakan keluarga dia makan.
8.00 pagi - Kemas bilik tidur. Kalau ada laundry, basuh dulu.
Yang ni Bik Santi cakap aku kena kemas bilik Hafiy aje. Sebab mengikut apa yang Bik Santi cakap, hanya tiga bilik aje yang selalu digunakan. Bilik Aunty Fatmah dan Uncle Manaf, bilik Hafiy dan juga bilik daddy Hafiy. Mengikut apa yang dikata Bik Santi lagi, Aunty Fatmah biasanya mengemas sendiri kamarnya. Daddy Hafiy pun sama.
Apalah... Seharian duk dengan Bik Santi, dah jadi minah Indon dah aku. Haha. Jadi maknanya aku cuma kena kemaskan bilik budak nakal tu aje. Awal pula budak tu bangun. Aku sambung menganalisis.
8.30 pagi - Kemas rumah dan dapur.
Kemas rumah bermaksud sapu lantai, mop lantai, lap semua perkakas di dalam rumah. Ada masa kena vakum. Letak dalam bracket sikit. Kalau rajin. Haha. Masa ni kalau Aunty Fatmah larat, mesti dia tolong sebab dia pagi-pagi dah berperang dengan cucunya. Sebenarnya inilah part agak penat sebab rumah Aunty Fatmah besar.
10.00 pagi- siram pokok bunga.
Yang ni wajib. Sebab Aunty Fatmah sayang sangat dengan taman dia tu. Mengikut cerita Bik Santi tadi, Aunty Fatmah pernah menangis senyap-senyap bila dulu Hafiy karate pokok bonsai kesayangannya. Tinggal akar aje yang selamat di dalam pasu. Macam mana Bik Santi boleh tahu? Wallahualam... Tapi, kalau mengikut cerita ni, aku boleh nampak yang Aunty Fatmah tak nak cucu dia tahu dia sedih dengan perangai cucunya.
10.30 pagi - Masa rehat.
Yang ni pula, kata aje rehat. Tapi, sebenarnya masa inilah kena jadi bodyguard Hafiy. Kena kejar Hafiy ke mana dia pergi sebab Hafiy ni suka buat kerja yang menyusahkan orang. Dah banyak benda yang ranap gara-gara Hafiy. Kalau sehari tak ada barang jahanam, maksudnya ada sesuatu yang tak kena dengan Hafiy. Jadi, mendengar barang pecah adalah salah satu petanda yang Hafiy dalam keadaan normal.
11.30 pagi - Masak untuk makan tengah hari.
Haaa... Ini yang aku lemah. Tengah hari tadi adalah pengalaman pertama aku memasak. Waaa... Terkial-kial aku. Nak siang ikan naik loya tekak aku. Nasib baik berjaya juga misi aku. Bik Santi dah seronok gelakkan aku. Aunty Fatmah juga yang sabar menolongku. Ahhh... Malu gila aku! Apa punya perempuanlah tak reti kerja-kerja dapur macam tu? Tak boleh jadi ni. Aku mesti belajar.
1.00 petang - Hidangkan makan tengah hari.
Kata Bik Santi, kalau makan tengah hari biasanya Uncle Manaf dan anaknya akan pulang untuk makan tengah hari. Tapi petang tadi, hanya Uncle Manaf yang pulang. Anaknya kena melawat tempat projek. Baru aku kenal siapa Uncle Manaf. Sikapnya sama dengan Aunty Fatmah. Peramah. Dan betullah tanggapan aku. Rupa-rupanya Hafiy mewarisi mata biru-hijau daripada datuknya. Uncle Manaf seorang mualaf rupa-rupanya (hasil daripada cerita yang aku korek daripada Bik Santi).
1.30 petang sampai masa nak balik rumah - Layan kerenah Hafiy, tidurkan Hafiy, bila petang masak untuk dinner.
Yang ni paling mencabar stamina. Sebab dekat rumah tiada orang lain. Hanya ada aku dan Hafiy. Aunty Fatmah ke butiknya lepas zohor dan lusa pula Bik Santi dah nak balik ke kampung halamannya. Kalau tadi, Hafiy mengamuk nak ikut Aunty Fatmah ke butiknya. Resah betul Aunty Fatmah sebab takut cucunya buat hal kat butik. Akhirnya, Aunty Fatmah mengalah tapi aku ikut sama.
Melayan perangai budak tu, betul-betul buat aku rasa macam nak humban aje budak tu ke dalam lombong. Tak pernah nak dengar cakap. Semua cakap aku dia buat tak endah aje. Sepak-menyepak aku tu dah biasa dah. Nasib baiklah aku dah belajar tae kwan do. Tahu juga macam mana nak mengelak.
Sebelum maghrib, Aunty Fatmah menghantar aku pulang. Hari pertama pun dah penat. Macam manalah esok dan seterusnya? Tugas aku ni bukannya susah sangat sebenarnya kalau tak perlu layan kerenah Hafiy. Jadi, secara kesimpulannya semua masalah adalah berpunca daripada Hafiy. Kalau aku baik dengan Hafiy, semuanya selesai.
Hmmm... Jadi sekarang ni, tugas aku adalah mencari cara macam mana nak dekat dengan Hafiy. Kena buat strategi ni. Cara-cara nak mengeratkan hubungan dengan Hafiy. Mesti boleh punya sebab Mak Mah boleh aje rapat dengan Hafiy. Mesti boleh punya. Kena yakin! Aku mengangguk-angguk sendiri.
"Angguk-angguk macam burung belatuk nak tebuk pokok ni apa hal?" Tanpa salam Abang Qairul menegur. Terkejut beruk aku. Aku mengurut dada.
"Abang ni! Masuk bilik orang bukannya reti nak cakap assalamualaikum. Tak lumpuh mulut tu kalau bagi salam," marah aku geram. Abang gelak sebelum duduk di atas katil aku.
"Apa ni?" soal Abang Qairul. Aku terkejut apabila kertas di tangan aku ditarik. Sepanjang-panjang alam abang gelakkan aku selepas dia membacanya. Gelak lagi. Gelak.
"Oh... Jadual kerja rupa-rupanya. Ecehhh... Dah macam jadual lecture dah." Abang serahkan balik kertas aku.
"Dah puas gelak?" sindir aku.
"Dah." Abang pula jawab dengan selamba.
"Macam mana first day?" soal abang pula.
"Penat. Tak senang nak buat kerja ni. Sya lebih rela berkurung dalam bilik studi untuk dapat four flat daripada jadi orang gaji. Penatlah bang layan cucu Aunty Fatmah," adu aku.
"Apa yang budak tu dah buat?"
"Dia nakal sangat. Nakal sangat-sangat. No wonder la bibik sekarang ni nak berhenti." Aku bercerita.
"Nakal budak apalah sangat."
"Tak sangat ke kalau hari-hari ada barang pecah?" Kali ni kening abang terangkat.
"Mungkin bila dah pecah semua barang dia duduk diam?" Abang sengih. Di samping kariernya sebagai loyar sedang nak naik, loyar buruk pun turut sama naiknya.
"Abang!" Dia gelak.
"Dia bosan kut. Sebab tak ada orang nak main dengan dia?" Abang buat andaian.
"Entahlah, bang. Maybe kut. Tapi bila Sya nak main dengan dia, dia asyik nak menyepak Sya aje kerjanya. Ni... Betis ni. Dah nak naik biru dah. Susah nak didekatilah budak tu. Entah doktor manalah yang bagi ubat alergi manusia kat budak tu."
"Dia kurang kasih sayang mak dan ayah dia?" Abang mengutarakan andaiannya yang kedua.
"Wallahualam. Sya baru first day. Kalau ikut mama cakap, Hafiy tu tak ada mak. Ayahnya pula Sya tak kenal lagi." Memang aku tak kenal siapa ayah Hafiy. Namanya pun aku tak tahu.
"Budak sedang membesar ni memang banyak dugaannya. Apatah lagi dia sekarang ni dah boleh nak fikir tentang sedih, disayangi dan menyayangi. Sya tak tahu ke mak dia ke mana? Sya kan jaguh kalau bab-bab mengorek rahsia orang."
"Tak berkesempatan. Melampaulah kalau Sya dah menyibuk masa hari first. Nanti-nantilah Sya korek."
"Oh... Dah ada niatlah ni nak jadi kaki sibuk?"
Aku sengih. "Niat tu memang ada. Sya tak bolehlah kalau dalam tertanya-tanya ni. Tak tenang selagi tak tahu semua benda."
"Huh... Memang itulah Sya yang abang kenal. Mana pernah makan saman dengan curiosity kills the cat," sindir abang. Aku sengih.
"Ala... Demi kebaikan semua orang. Bang... Kalau abang jadi Sya, what should you do?" soal aku.
"I come with a conclusion, 'Hafiy feels abandoned'. Then, I'll ask myself, 'what should I do to cope this problem?'. Jadi, kalau abang jadi Sya, abang cuma perlu lakukan sesuatu untuk jawab soalan tu." Aku hanya mendengar.
"Kalau nak kawan dengan kucing, kita mesti pandai mengiau. Kalau kita tahu kucing suka ikan, kita kena bagi ikan, baru kucing sayangkan kita. Kalau kita tak nak kucing kencing merata, kita kena ajar dia macam mana nak kencing dalam toilet. Baru kucing tu belajar."
Aku ternganga sebelum ketawa. Falsampah dia dah keluar dah. Entah apa yang dia membebel. Ada ke bagi nasihat macam tu? Mengarut tak habislah abang ni!
Abang betul. Idea abang memang boleh dipakai apabila aku perlukannya. Aku pun rasa sesuatu yang sama. Hafiy sebenarnya kesunyian. Dia selalu berkelakuan macam tu sebab dia sunyi dan perlukan kawan. Dia nak orang lain beri perhatian kepada dia. Kalau dia nak kawan, kenapa Hafiy tak pergi sekolah? Kalau nak kawan, kenapa aku ke, orang lain ke, nak dekat semeter pun asyik nak naik penyepak aje? Tak faham betul aku.
Ke macam ni? Sebenarnya Hafiy ni kena penyakit keturunan. Penyakit hiperaktif yang diwarisi. Entah-entah perangai daddy Hafiy sama masa dia kecik-kecik dulu. Sebab tu Aunty Fatmah imun dah. Aku buat kesimpulan sendiri. Tak baik betul. Selamba iguana aje nak tuduh daddy Hafiy. Kenal pun tak.
Senang cerita macam ni. Esok aku cuba dekati Hafiy. Okey... Misi kita esok hari adalah Mencari Peribadi Hafiy.
"Hafiy, Hafiy nak coklat tak? Kakak ada bawa ni." Aku melancarkan misi. Ketika itu Hafiy sedang berperang dengan PSIII miliknya. Nak melayang aku tengok joystick di tangannya. Mentang-mentang wireless, sampai berdiri-diri main game Yakuza. Agaknya sebab tu la perangai ganas. Terpengaruh dengan game.
Hafiy buat tak endah dengan kata-kata aku.
"Hafiy!" Aku panggil kuat. Kesabaran cuba ditebalkan lagi. Sejak kenal spesies bernama Hafiy ni, aku dah jadi makin penyabar.
"Bisinglah kakak ni. Hafiy nak lawan game la!" Hafiy marah aku. Eee... Aku tutup juga game tu baru tahu. Sabar... Sabar...
"Kakak bawa coklat ni. Sedap tau. Nak tak?" umpan aku lagi.
"Daddy cakap kalau makan coklat, nanti gigi kena makan dengan ulat. Nanti gigi rosak. Cikgu dulu pun cakap macam tu. Kakak ni tak pergi sekolah ke?"
Grrr... Nak cekik aje rasanya Si Hafiy ni! Mulut menjawab boleh tahan. Selamba aje kutuk aku tak pergi sekolah. Dalam rasa geram yang membara, aku rasa gembira. Sekurang-kurangnya ada respons juga daripada dia buat aku ni macam bercakap dengan lantai.
Budak ni... Cakap daddy dia boleh pula dia ikut. Jadi anak yang patuh pula. Entah-entah Hafiy takut dengan daddy dia sebab daddy dia garang. Aku terus terbayangkan daddy Hafiy bermuka ketat dengan misai bergulung tiga lapis. Hih... Ngerinya! Tak sanggup aku nak apa-apakan Hafiy kalau macam ni.
Aku tertarik dengan ayat kedua terakhir Hafiy. Cikgu dulu pun cakap macam tu? Hmmm... Maksudnya dia pernah pergi sekolah. Tapi, kenapa dia tak nak sekolah sekarang ni? Aura misteri betul budak ni.
"Siapa cakap kakak tak sekolah? Kakak sekolah, okey. Sebab tu kakak bijak." Aku dah berlagak sebelum ketawa.
"Not funny." Selamba dia bidas. Terus aku terdiam.
"Sedapnya coklat ni. Emmm... Yummy!" Aku sambung makan coklat dengan penuh nikmat sambil cuba memancingnya. Manalah tahu kot-kot dia jeling aku. Kononnya jual mahal. Tapi gagal!
"Betul tak nak ni? Kakak habiskan, ya?" soal aku sambil memegang coklat sebesar ibu jari aku. Sekali ngap, memang terus hilang di dalam mulut.
Dia tak jawab. Aku rasa aku dah macam halimunan di depan Hafiy. Nampak gayanya usaha aku sia-sia. Dia betul-betul tak berminat dengan coklat. Padahal coklatlah paling diminati kanak-kanak.
Usaha pertama, gagal dengan sedikit perkembangan. Keputusannya kali ini, Hafiy tak sukakan coklat.
Selepas zohor, macam biasa Aunty Fatmah mahu keluar ke butiknya. Seperti hari semalam, Hafiy mengamuk lagi. Meronta-ronta dia nak ikut neneknya. Aunty Fatmah resah sendiri. Dia tak boleh bawa Hafiy kerana dia ingin berjumpa dengan klien pentingnya. Masakan mahu dibawa Hafiy yang tak kenal erti tak tu? Nak bawa aku sekali? Macam semalamlah jadinya. Berkejar-kejaran dengan Hafiy depan pelanggannya. Dah macam nak buka pusat maraton pun ada.
"Hafiy duduk dengan Kak Sya, ya? Nenek keluar kejap aje," pujuk Aunty Fatmah lagi.
"Tak nak... Hafiy nak ikut. Hafiy boring duk rumah. Hafiy tak suka." Hafiy mengamuk lagi.
"Hafiy..."
"Semua tak sayang Hafiy. Daddy pun sama. Daddy promise nak balik temankan Hafiy makan tadi. Daddy tipu." Hafiy dah mula menangis. Pertama kali aku tengok Hafiy menangis.
Ooo... Baru aku tahu kenapa muka Hafiy masam mencuka masa makan tengah hari tadi. Semua makanan dia tak nak. Rupa-rupanya tengah marahkan daddynya yang memungkiri janji.
Haish! Si daddy ni pun satu. Dah janji dengan anak tu, pandai-pandailah tepati. Tengok... Dah menyusahkan aku nak jaga anak dia ni!
"Hafiy, nenek sayang Hafiy. Semua sayang Hafiy. Nenek keluar kejap aje. Nenek janji nenek balik awal." Aunty Fatmah tak habis-habis memujuk cucunya.
"Hafiy, Hafiy tinggal dengan kakak, ya?" pujuk aku pula. Tak reti sungguh kalau bab pujuk anak orang ni. Silap hari bulan, naik juga tangan aku kat budak ni!
"Tak nak. Hafiy tak nak tinggal dengan kakak. Kakak tak best. Kakak tak seronok macam Nek Mah."
Apalah cara aku nak pujuk budak ni? Aku mencari akal. Kalau budak lain, boleh juga aku sogok dengan gula-gula atau mainan. Masalahnya budak Hafiy ni lain sikit. Hafiy budak ganas. Aku pandang sekeliling rumah.
"Tak best duduk dengan kakak kat rumah. Kakak tak reti main," kutuk Hafiy lagi.
Tiba-tiba aku teringat kata-kata abang semalam.
"Kalau nak kawan dengan kucing, kita mesti pandai mengiau..." Aku rasa aku faham apa abang nak cakap. Kalau aku nak kawan dengan Hafiy, aku mesti ikut kepala dia.
Masa itulah idea gila datang!
"Siapa cakap tak best duduk dengan kakak? Kalau Hafiy duduk dengan kakak, kakak boleh ajar Hafiy macam mana nak panjat pokok jambu depan rumah tu," kata aku selamba.
Kalau kita tahu kucing suka ikan, kita kena bagi ikan. Baru kucing sayangkan kita. Apa yang abang maksudkan, kalau Hafiy suka sesuatu yang mencabar, aku mesti bagi dia rasa sesuatu yang mencabar juga. Baru kena dengan jiwa Hafiy.
Thanks, abang. Abang selalu aje jadi penyelamat. Kata-kata abang memang berguna.
Aunty Fatmah tak percaya dengan apa yang aku cakap. Aku cuma tenang. Aku tahu apa yang aku lakukan. Kali ni, Hafiy memandangku dengan pandangan berminat.
"Tipu... Kakak tak reti panjat pokok."
"Kakak retilah. Kalau nak tengok kakak panjat pokok, kenalah duduk dengan kakak kat rumah," umpan aku lagi.
"Kalau Hafiy duduk rumah, kakak promise ajar Hafiy panjat pokok?" Umpan dah mengena.
"Ya, kakak promise."
Berjaya juga akhirnya aku memujuk Hafiy untuk tinggal di rumah. Beginilah perangai budak-budak. Tadi bukan main mengamuk nak ikut Aunty Fatmah. Tapi sebab nak memanjat punya pasal, begitu seronok dia melambai-lambai neneknya supaya cepat pergi. Nak tergelak aku.
Aku menghantar Aunty Fatmah ke keretanya.
"Biar betul Sya ni?" Aunty Fatmah masih tak percaya.
"Don't worry, aunty. Sya tahu nak buat apa. Takkanlah Sya ni gila sangat nak ajar budak lima tahun panjat pokok."
Hehe... Sebenarnya aku ada strategi sendiri.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro