Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 1

Kunyahan mi goreng di dalam mulut terhenti. Garpu ferum pun dah membeku di tengah-tengah jalan. Hampir terlopong aku mendengarnya. Abang Qairul pula memang dah sakan terguling ketawa. Lawak sangat agaknya sampai nak roboh meja makan kayu ni dihentaknya. Sekali dengar dah macam pasukan kompang yang tengah menyambut pengantin. Hih... Abang ni! Melampau... Kalau bab gelakkan orang, tiga hari tiga malam pun sanggup!

"Qairul Afham bin Khalid." Suara mama dah bergetar amaran. Membara agaknya apabila abang gelak dengan 'titah' dia.

Aku jelir lidah kat abang. Padan muka kena marah. Tapi, emosi tengah nak memberontak, mana ada nafsu nak bersuka ria ejek abang. Sekarang ni hanya fikirkan macam mana nak jayakan misi selamatkan diri.

"Sorry, mama. Serius lawak tahap dewa." Abang Qairul tarik sengih. Dah tak hentak-hentak meja lagi.

"Orang tengah membara ni. Sekecik cicit kuman pun tak lawak, tahu tak?" marah aku. Ada ke patut dia gelakkan aku? Bukannya nak tolong adinda dia yang dalam kesusahan ni. Harulah kakanda aku sorang ni.

"Sebab lawaklah orang gelak. Ingat abang ni sewel macam Sya ke nak gelak tak bersebab?" balas abang balik. Siap sindir aku pula tu. Dia tu pantang orang tanya, mesti mulut tu nak menjawab aje kerjanya. Agaknya macam inilah kalau mulut loyar. Patut aku staplerkan aje mulut dia awal-awal kalau nak bertikam lidah dengan Abang Qairul.

"Tak ada apa yang lawak. So, macam mana, Sya? Setuju tak?" desak mama lagi. Abang Qairul tak dipedulikan.

Lagi sekali tawa Abang Qairul meletus. Hih... Abang ni. Karang tak pasal-pasal ada juga yang sampai bilik gara-gara sepakan penalti aku. Kali ni aku dan mama sama-sama bagi jelingan maut. Abang Qairul angkat kedua-dua belah tangan macam mengaku bersalah.

"Sorry again. Tak boleh nak tahan gelak la. Benda lawak, selagi boleh gelak kena gelak sampai puas." Abang Qairul menjawab lagi.

"Apa yang lawak? Pelangkung karang." Aku dan mama berkata serentak.

Dalam hati yang membara, sempat aku tersengih. Kelakar pula bila mama cakap macam tu. Sejak bila pula mama faham bahasa aku ni? Siap aplikasi lagi! Jangan main ya mama sekarang. Silap-silap jumpa aku nanti nak kena highfive pula!

"Lawaklah. Tanya mak su. Mak su pun sengih tadi. Kan, mak su?" Abang Qairul heret nama mak su. Mak su ialah gelaran untuk orang gaji aku. Aku anggap dia macam mak kandung aku dah.

"Eh, mana ada." Mak su menafikannya. Cepat-cepat mak su keluar dari dapur. Aku tahu. Memang mak su pun sengih tadi. Kelakar sangat agaknya dengan kata-kata mama.

"Ma... Tak naklah. Tak sangguplah Sya." Aku menolak. Waaa... Ni rasa nak nangis ni. Lepas ni confirm mama paksa.

"Tolonglah kawan mama tu. Lagipun cuti sem ni bukannya Sya ada buat apa-apa pun. Tolonglah mama. Dua bulan aje," pujuk mama.

Aku garu kepala. Sempat aku bagi isyarat mata kat Abang Qairul. Abang... Help me! Tapi abang sengaja buat-buat tak faham. Suka sangat agaknya tengok aku kena paksa macam ni. Abang ni tak sayang adik betullah!

"Mama... Nak tolong tu memanglah boleh. Tapi ada ke patut suruh Sya jadi orang gaji rumah dia? Waaa... Mama, Sya goreng telur pun boleh terbelah lima kuali, tahu tak?" Dengan bersungguh-sungguh aku berkata. Nak cakap betapa aku tak reti memasak.

"Hiperbolalah tu."

Aku capai kain buruk yang dekat dengan kabinet dapur sebelum campak kat abang. Menyibuk betullah! Terjerit dia. Nasib baik tak masuk dalam mi goreng dia aje.

"Qisya!" Mama memang pantang kalau main baling barang.

"Abang tu. Suka sangat menyampuk." Aku salahkan abang.

"Apa dia? Ma... Abang memang setuju dengan idea mama tu. Biar rajin sikit budak ni. Kalau cuti memang bangun lambat. Anak dara jenis apa pun tak tahu. Mama paksa aje dia, mama. Biar dia belajar sikit cara nak uruskan rumah tangga." Abang Qairul dah keluarkan hujah loyar dia. Jadi setan pula dia hari ni nak hasut mama.

Aku besarkan mata kat abang. Aku cekik juga dia ni! Jangan mama setuju dengan idea abang sudah! Biasanya memang mama suka sangat pakai idea abang yang tak berapa nak memihak kepada aku.

"Abang betul. Sya memang kena ikut cakap mama." Mama mengangguk sambil memikirkan kebenaran kata-kata Abang Qairul.

Haaa... Kan dah cakap! Abang ni kalau bab menghasut orang bagi ajelah kat dia. Kejap aje mama boleh terus setuju.

"Mama... Orang tak retilah. Kalau kawan mama suruh masak, macam mana? Nanti mama juga yang malu sebab anak dia tak tahu masak." Memang memasaklah 'kepakaran' aku paling terbaik.

"Masa nilah nak belajar masak." Abang menyampuk lagi. Dia pula yang lebih-lebih. Ya Allah... Tolonglah bisukan abang aku ni untuk sekejap aje! Sumbat mulut dengan garpu kat tangan ni karang. Barulah Kak Hanum kejar aku dengan parang sebab buat pakwe dia macam tu.

"Bukan masak aje, sayang. Kawan mama ni lebih kepada nak cari orang jaga cucu dia."

Waaa... Mama. Nak suruh aku jadi baby-sitter pula ke? Apa kena dengan mama ni? Tak sayang aku ke? Belajar tinggi-tinggi untuk jadi bibik?

"Sya tak pernah jaga baby la, mama. Karang mati pula budak tu tercekik susu sebab Sya."

"Cucu dia umur dah lima tahun. Dah besar dah."

Dah besar rupa-rupanya! Apalah mama ni. Bukannya dia tak tahu aku dengan budak ni macam mana! Garang nak mampus. Lebih-lebih lagi yang jenis tak faham bahasa. Aku ni bukannya jenis penyabar sangat. Tak pasal-pasal terselam budak tu dalam kolam renang kalau tak dengar cakap aku.

"Hantarlah pergi tadika," kata aku pula. Betul tu. Dah besar panjang, pergi hantar ajelah budak tu ke tadika. Bijak pun bijak. Aku pun senang hati. Kata kaya. Setakat nak hantar sekolah tu, apalah sangat.

"Hih, budak ni, orang tanya ada aje yang dia jawab." Mama geleng kepala. Aku sengih. Belajar daripada papa dan abang, mama. Hehe.

"Ma... Dia tak ada orang gaji ke? Carilah yang baru." Aku tak faham betul dengan kawan mama ni. Entah kawan yang mana aku pun tak tahu. Rasa-rasa yang ni kawan mama yang dah lama lost contact sejak tingkatan lima. Best friend lamalah katakan.

"Sebab tak ada la mama suruh kamu tolong kawan mama. Orang gaji dia minta cuti dua bulan sebab anak dia nak buat operation. Dia tak nak cari orang baru sebab cucu dia tu rapat dengan orang gaji dia tu. Cucu dia tu pelik sikit.

"Kenapa dengan cucu dia, mama?" Abang berminat nak tahu. Haah... Aku pun nak tahu. Cacat ke budak tu?

"Cucu dia tu degil sikit. Biasalah, budak. Cucu tunggal pula tu. Dia macam susah nak dekat dengan orang. Selain ahli keluarga, dengan orang gaji tu aje yang dia rapat," cerita mama.

"So, apa kaitan dengan Sya? Budak tu punyalah degil. Mati kena cekik juga kalau nak cari gaduh dengan Sya. Kenapa nak suruh Sya? Muka Sya sama dengan orang gaji kawan mama ke?" soal aku tak puas hati. Masih memikirkan rasional mama nak aku jadi orang gaji rumah kawan dia.

Haiya... Betullah mama ni tak sayang aku. Sanggup dia korbankan aku nak dijadikan hamba budak degil tu. Sob... Sob... Sob...

"Tak adalah macam tu. Sya kan tak ada buat apa-apa. Daripada buat tahi mata, baik belajar macam mana nak mengasuh anak, kemas rumah, masak. Manalah tahu kot-kot jodoh Sya sampai awal nanti."

Aku terlopong. Hah? Weh... Tak lawaklah. Aku muda lagilah. I'm just twenty-two. Kenapalah nak kena belajar cara uruskan rumah tangga bagai ni? Tahun depan pun boleh belajar. Tiga bulan sebelum nikah nanti, aku belajarlah. Tak pun, kalau tak nak susah-susah upah bibik aje. Kan senang?

"Betul, mama. Abang setuju. Kalau nak terus jadi suri rumah sepenuh masa pun abang setuju." Mama nampak gayanya sudah mendapat satu undian!

Aku pula terdiam. Jadi suri rumah sepenuh masa? Huh, no way! Ini Qisyalah. Aku ada cita-cita yang nak dikejar. Belajar tinggi-tinggi tapi jadi suri rumah buat apa?

"Papa pun setuju. Dah tiba masanya Sya belajar macam mana nak jadi wanita dewasa." Entah dari mana papa datang menyampuk.

Dah dua undian! Argh... Tidak! Semua mata pandang tepat ke arah aku. Mama menyilang tangan di dada sambil mengukir senyuman kejayaan.

"So?"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: