
Bab 7
KAMI ke Langkawi menaiki kapal terbang dari KLIA sempena menghadiri majlis kahwin satu-satunya sahabat yang aku ada. Kehadiran kami disambut oleh Nora sekeluarga dengan ramah. Mereka tetap melayan aku seperti keluarga mereka sendiri. Ayah Nora masih kelakar macam dahulu juga. Mak Nora tetap sama seperti aku kenal sebelum ini. Lebih mengharukan, mereka anggap Humairah sama seperti cucu mereka. Nampak kasih sayang mereka tertumpah buat Humairah. Bertuahnya Humairah.
Penginapan kami juga sudah disediakan. Encik Hazrul buat tempahan awal-awal lagi. Pasti saja kami menginap di chalet yang memberi kenangan kepada kami. Tempat jatuh lagi orang ingat, inikan pula chalet tempat memadu asmara. Haruslah aku ingat.
"Kalau Humairah nak tahu, chalet inilah tempat papa selalu menginap kalau papa rindukan mama..." Encik Hazrul buka kisah dongengnya sebaik sahaja kami masuk bilik. Beg pakaian dia letak di tepi almari. Sementara beg kelengkapan Humairah dia letak di atas meja yang terletak di hujung bilik berhampiran pintu gelangsar. Langsir dia tolak. Dari situ kami nampak ombak bergulung-gulung mendatangi pantai. Cantik dan sangat menenangkan jiwa memandangnya.
"Yek?" Aku buat muka terkejut. Serius aku tidak tahu. Padanlah dulu masa aku ala-ala bawa diri, Encik Hazrul menginap di bilik ni. Ada sejarah rupa-rupanya.
"Mama Humairah saja yang tak sedar. Setiap bulan papa datang sini semata-mata nak mengintai mama." Encik Hazrul datang menghampiri aku.
"Tapi salah papa Humairah juga, kenapa tak nak mengurat mama terang-terang? Ini main intai-intai. Manalah mama tahu..."
"Eleh, papa mengurat terang-terang pun tak faham!" Hidung aku ditarik mesra.
Aku tergelak.
"Melampau!" kata aku sepatah dan cubit lengan Encik Hazrul.
"Mama tu manalah nak faham. Blur tahap gaban. Papa bagi hint pun masih tak faham-faham." Encik Hazrul jeling manja pula. Manalah jantung tak berdebar selalu kalau dia selalu saja buat jelingan begitu.
"Cuba papa berterus terang, mesti mama faham, kan sayang..." Aku cium rambut Humairah. Kemudian letak Humairah di atas katil. Mahu tukar lampin pakai buang.
"Papa dah terlebih berterus terang, sayang. Mama tu memang tak faham apa-apa!"
Hmmm... Dah memang aku tak faham.
"Biar abang buat..." kata Encik Hazrul. Dia duduk di birai katil kemudiannya. Jadi, aku membiarkan Encik Hazrul uruskan Humairah. Memang itu sebahagian tugasnya sebagai seorang bapa.
"Ni yang mama sayang papa... Satu dalam sejuta." Aku peluk bahu Encik Hazrul dari belakang dan aku cium pipi kanannya.
"Mama pun satu dalam sejuta," balas Encik Hazrul.
Aku bergerak tinggal kedua-duanya dan berdiri di hadapan pintu gelangsar. Pandang arah pantai. Lama aku tidak melihat pantai. Terasa sangat rindu.
Humairah mula merengek. Kalau begitu, dia lapar susu.
"Kejap sayang, papa tengah buat ni..." Aku pandang Encik Hazrul yang kalut bancuh susu. Kemudian kembali pandang ke arah pantai. Tiada apa yang pelik pada Encik Hazrul itu. Biasalah bapa bancuh susu untuk anak. Bukan anak orang lain pun.
Tiba-tiba pintu diketuk. Cepat aku berlari ke arah pintu.
"Mai makan. Aku dah siap masak untuk hang," kata Nora sambil curi pandang Encik Hazrul yang kalut bancuh susu.
"Satnilah. Kami nak rehat sat."
"Laki hang bancuh susu ka?" Nora tanya seperti berbisik. Takut Encik Hazrul dengar agaknya.
"Haah. Memang kerja dia pun. Awat?" soal aku pula.
"Mau dia bancuh susu?"
"La, anak dia kan. Dia la bancuh susu. Tak dak masalah kalau pak bancuh. Awat kat Langkawi tak boleh ka?" Aku tanya soalan bodoh.
"Daklah, susah nak tengok pak bancuh susu, mak pula dok goyang kaki."
"Lah, pelik sangat ka?" soal aku.
"Kita sembang nantilah. Mai makan dulu."
"Nanti sat lagi kami mai. Humairah dah meragam."
"Yalah, sat lagi bila senang."
Aku tutup pintu semula. Kembali ke katil untuk menyertai Encik Hazrul dan Humairah.
PETANG itu aku menghabiskan masa berbual dengan Nora di tepi pantai. Tempat di mana aku dan Nora suka lepak dulu. Banyak yang kami bualkan. Tentang kehidupan aku sebagai seorang isteri dan ibu. Cerita-cerita bahagia aku yang tak pernah terimpikan selama ini.
"Dia biasa buat susu ka?" soal Nora. Aku rasa Nora terperanjat apabila melihat Encik Hazrul yang bancuh susu.
"Boleh dikatakan semua kerja dia biasa buat. Kalau dia ada di rumah memang jarang aku buat kerja. Kecuali masak. Sebab dia memang tak tau sangat masak. Kalau dia pandai, mau masak pun dia buat." Orang dah tanya kenalah jawab jujur.
"Beruntungnya hang..."
"Nasib kita tak sama, Nora. Dulu aku hidup menderita. Aku susah. Tuhan tu adil. Dia bagi aku bahagia cara lain."
"Suka tengok hang bahagia. Hang memang patut dapat rasa bahagia tu..." kata Nora perlahan.
"Hang pun berhak dapat bahagia tu."
"Hmmm..." Nora mengeluh panjang. Ada serupa wajah tidak seronok saja yang terpamer. Nora seperti keberatan dengan jodohnya itu. Aku tahu Nora seorang yang sangat cerewet. Dalam semua hal dia mahukan kesempurnaan. Mana boleh lebih kurang saja. Aku kenal benar sahabat baik aku ini. Permintaan dia sangat tinggi.
"Awatnya?" soal aku. Mahu berkongsi rasa dengan Nora. Kalau nanti dia tidak bahagia, pasti aku turut merasakannya. Aku juga yang bakal tumpang tidak senang hati.
"Tak taulah. Rasa semacam saja." Nora tulis sesuatu atas pasir menggunakan ranting kayu. Aku tidak tahu apa yang dia tulis. Sesuatu yang mewakili kecelaruan perasaan Nora.
"Hang kenai dia ka?"
Nora geleng.
"Uiks, biar betul. Duduk satu pulau pun tak kenal?"
"Dia pengurus hotel kat Tanjung Rhu."
"Lah, bukan jauh pun..."
"Memanglah tak jauh, tapi kami masing-masing sibuk."
"Segak dak?"
"Boleh tahan. Biasalah pengurus hotel. Kalau tak banyak mesti segak sikit-sikit." Baru aku nampak Nora senyum. Pasti si jejaka bakal suami Nora itu segak orangnya. Kalau tidak masakan Nora boleh tersenyum begitu.
"Mana handsome dengan laki aku?" Aku sigung bahu Nora dengan bahu aku. Saja mahu bergurau dengan Nora.
"Laki hanglah! Laki hang mana ada tolok bandingan."
"Tau tak apa. Tu yang buat aku tak serupa orang!"
Kami sama-sama gelak. Walau gelak kami sudah tidak serupa zaman anak dara kami, sekurang-kurangnya kami masih boleh ketawa. Entah kenapa aku sangat rindu pada masa lalu. Dulu kami bercakap tentang apa saja, kami akan bertengkar apa saja. Sama-sama ketawa. Seperti tiada yang membebani hidup kami.
Ah! Indahnya masa lalu.
Kami pandang ke arah pantai. Ombak datang dan pergi. Angin pula menderu-deru. Terasa sangat tenang. Walau keadaan tidak sama dengan Bukit Cendana, aku tetap merasakan ketenangannya.
"Habis apa masalah hang sekarang ni? Esok hang dah nikah. Hang jangan macam-macam. Kesian pak dengan mak hang. Aku sanggup bunuh hang, kalau hang buat perangai. Aku dah anggap mak dan pak hang tu macam mak pak aku. Aku tak sanggup tengok depa merana disebabkan perangai hang." Terus terang aku cakap, kalau Nora buat perangai, aku tak teragak bertindak. Aku sayang sangat dengan mak pak Nora. Dah aku anggap macam ibu bapa aku sendiri.
"Daklah sampai macam tu sekali. Cuma aku rasa dia macam terpaksa saja." Nora mengeluh panjang selepas itu. Seperti ada batu besar yang sedang terletak cantik di atas kepalanya. Berat dan nampak sangat terbeban.
"Nora, kalau dia rasa terpaksa, mustahil dia boleh terima hang. Mesti dia tolak mentah-mentah. Hang toksah la fikir macam-macam." Aku cuba memujuk walau skil aku dalam memujuk tidak begitu membanggakan. Setakat pujuk gitu-gitu bolehlah.
"Entahlah!"
Aku paut bahunya. Bahu tempat aku meletakkan segala gundah-gulana aku suatu masa dahulu. Kalau tiada bahu itu, aku juga tidak tahu di mana lagi hendak aku menumpang segalanya.
"Aku pun rasa macam hang rasa sebelum aku nikah dulu. Macam-macam yang aku rasa, tapi aku beri peluang kepada diri aku untuk menerima semua seadanya. Aku berusaha untuk hidup bahagia. Alhamdulillah, aku rasa cukup bahagia sekarang ni."
"Mentua hang macam mana?"
"Pak mentua aku macam boleh terima aku, cuma mak mentua saja tenggelam timbul. Sat suka, sat lagi dia buat perangai. Kadang-kadang aku rasa cemas juga dengan mak mentua aku tu."
"Biasalah, orang tua. Hang kena sabaq la."
"Nasib baik kami tak duduk dekat. Susah sikit dia nak cucuk jarum..."
Nora diam semula. Tangannya masih mengukir sesuatu di atas pasir.
"Bagaimana dengan malam pertama hang?" soalnya tiba-tiba. Dia pandang aku selepas itu. Aku juga pandang Nora. Ke masalah dia ni hanya untuk menghadapi malam pertama? Kenapa aku tidak terfikir langsung persoalan itu?
"Hmmm..." Tangan kanan yang paut bahu Nora sebentar tadi aku letak pada bibir. Fikir Azian, macam mana mahu mengenakan Nora.
"Sangat mengerikan..." kata aku.
"La..." Nora buat muka terkejut.
"Tapi bangun pagi esok senyum sampai telinga!" Aku gelak kuat selepas itu.
"Gatai!" Nora tampar bahu aku. Gelak kami pecah sama-sama. Masa itulah aku nampak Encik Hazrul datang bersama Humairah.
"Hah, dah datang hero hang," kata Nora. Aku dan Nora bangun. Nora minta diri selepas itu. Mungkin mahu membiarkan aku bersama Encik Hazrul.
"Amboi, dapat gelak tak ingat dunia!" tegur Encik Hazrul.
"Cerita orang perempuan, biasalah..."
"Nak tahulah apa yang digosipkan tu. Boleh?"
"Cerita biasa, cerita malam pertama aje..."
"Macam menarik aje tu. Cuba cerita pula kat abang?" Encik Hazrul ajak aku berjalan di tepi pantai. Lengan kanannya aku pegang dengan erat. Humairah juga melekat di dadanya.
"Takkan nak cerita, sebab abang kan sebahagian daripada watak utama malam tu..."
Bibir Encik Hazrul menguntum senyuman. Mungkin mengingati apa yang berlaku pada malam pertama kami. "Malam tu kita kira bintang kan..."
"Hah, ingat pun..."
"Lepas tu abang cakap, saya Hazrul Effendi dengan ini melafazkan ikrar saya, akan menyayangi Azian Yuhanis dengan sepenuh jiwa dan raga saya. Berjanji akan membahagiakan hidup Azian Yuhanis walau dengan apa cara sekalipun dan berharap Azian Yuhanis akan menemani saya, Hazrul Effendi untuk seumur hidupnya."
Seperti kali pertama mendengar lafaz ikrar itu, kali ini aku juga rasa benar-benar terharu. Dia masih ingat rupa-rupanya janjinya dahulu.
Langkah kaki aku terhenti. Encik Hazrul juga. Kami saling berpandangan.
"Ingat lagi sambungannya?" soal Encik Hazrul selepas itu.
Aku geleng. Serius aku tak ingat.
"Walau apa pun yang terjadi kelak, saya merayu sangat-sangat, tolong temani saya. Takkan itu pun sayang tak ingat?" Encik Hazrul berdiri di hadapan aku.
"Itu saja yang abang minta daripada Azian. Temani abang selagi hayat abang dikandung badan."
"Encik Hazrul Effendi..." panggil aku. Aku sudah ingat semula malam pertama kami. Di bawah taburan bintang, aku juga pernah lafazkan ikrar yang sama.
"Ya, saya..." jawab Encik Hazrul sambil tersenyum manis.
"Saya Azian Yuhanis, dengan ini berikrar, akan menjadi isteri yang baik kepada Encik Hazrul Effendi. Akan menyayangi Encik Hazrul dengan sepenuh hati saya, akan membahagiakan hidup Encik Hazrul Effendi dengan segala upaya saya, dan akan menemani Encik Hazrul Effendi, selagi hayat dikandung badan." Pipi Encik Hazrul aku pegang. Kenangan malam pertama datang semula. Tidak ternilai harganya. Akan aku kenang selagi hayat dikandung badan.
"Saya, Hazrul Effendi, terima akur janji isteri saya buat kali kedua ini..." Dia rapatkan wajahnya ke wajahku.
"Terima kasih," ucap aku dengan rasa penuh terharu.
"Sama-sama, sayang. Nampaknya kita dah ada saksi untuk ikrar kita kali ni." Encik Hazrul cium rambut Humairah.
"Dia memang bukti cinta kita, kan..." Aku juga cium rambut Humairah. Watak penting dalam kehidupan kami sekarang ini.
"Hmmm..."
Petang pun menjadi sangat indah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro