Bab 14
DEMI menghormati seorang sepupu, aku dan Encik Hazrul hadir juga ke majlis pernikahan Mikael dengan sepupu mereka, Nur Jannah walaupun insiden semalam masih menggores perasaan aku. Melihat mama yang hadir bersama Puteri Zahra seperti hati aku dihiris-hiris dengan pisau yang amat tajam. Sakitnya tak terhingga. Aku juga tidak tahu kenapa hati aku boleh jadi sakit sebegini rupa.
Apatah lagi dengan wajah masamnya begitu, buat aku lagi tidak keruan rasa. Aku tahu akan kecewa dalam hati mama, tapi pernahkah mama mahu melihat luka dalam hati aku? Rasanya mama memang tak ingin tahu apa yang aku rasa. Buang masa mama sahaja.
Apa pun aku tetap berserah. Semuanya masih di tangan Tuhan.
"Sayang, jangan tengok mama macam tu..." bisik Encik Hazrul. Cepat aku kalih pandang ke tempat lain. Rupa-rupanya Encik Hazrul perhatikan aku.
"Jangan ingat apa-apa lagi. Anggap saja mama sudah tua. Selagi abang masih boleh berfikir dengan baik, abang tidak akan mudah membuat keputusan yang membuatkan kita bertiga menderita," bisik Encik Hazrul lagi.
Sangat terharu aku mendengar kata-kata Encik Hazrul.
"Terima kasih, bang..." ucap aku perlahan.
"Sama-sama, sayang. Dah, jangan fikir apa-apa. Selagi tidak menyusahkan hidup kita, kita tengokkan saja." Dia senyum cantik. Sejuk kembali perasaan aku. Aku pandang semula ke arah mama. Mama tak pandang aku langsung. Hanya Puteri Zahra yang merenung aku tajam. Jelas nampak ketidakpuasan hatinya.
"Masalah mamat ni lagi berat!" kata Encik Hazrul.
Terus aku pandang Mikael yang sudah duduk di hadapan jurunikah. Ya, masalah Mikael dan Naila aku rasa lagi berat berbanding dengan masalah yang aku hadapi tapi masalah pasangan itu tidak ada kena-mengena dengan hidup aku. Seberat mana pun masalah mereka, langsung tidak menjejaskan kehidupan aku.
Aku pandang pula gadis yang tersenyum manis memakai baju sedondon dengan Mikael. Ceh! Seribu kali cantik Naila. Mungkin rasa marah yang masih menguasai perasaan aku terhadap perempuan yang merosakkan kebahagiaan orang, aku tidak dapat menerima kenyataan. Walau secantik mana pun dia, di mata aku tetap tidak cantik.
Menurut Encik Hazrul, Nur Jannah sebaya dengan aku dan lulusan USM. Macam-macam aku rasa ketika ini sebaik sahaja terpandang wajah Nur Jannah. Sebenarnya aku lebih mengingati Naila. Betapa sedihnya dia apabila terpaksa merelakan suami menikah lagi satu. Mungkin itulah rasa yang bakal aku alami seandainya nanti Puteri Zahra berjaya dengan rancangannya. Tidak dapat kubayangkan apa-apa. Mungkin seperti langit telah runtuh menghempap kepala.
"Sayang, apa pasal?" soal Encik Hazrul yang sedang pangku Humairah. Mungkin menyedari akan perubahan wajah aku.
"Sedih sangat..."
"Hesy, janganlah macam tu. Karang pecah pula rahsia Mikael," bisik Encik Hazrul.
"Sedih sangat. Kalau betul sayang, kenapa buat Kak Naila macam ni..." Hampir saja air mata aku jatuh. Nampak dengan jelas Mikael tak begitu ikhlas terhadap cintanya. Kalau dia betul sayang, dia akan lakukan apa saja demi mempertahankan cintanya. Bukan menyerah kalah dengan begitu mudah. Kenapalah Mikael boleh jadi terlalu lemah?
"Dia serba salah sebenarnya..." Bunyi suara Encik Hazrul itu seperti sebelahkan Mikael. Yalah, lelaki memang begitu. Sebelum dapat tak pula rasa serba salah. Bersekedudukan lagi. Sampai kawan tu keguguran. Mujur Encik Hazrul tidak perlakukan aku begitu walau kami pernah tinggal serumah tanpa ikatan yang sah. Sekadar olok-olok jadi suami isteri. Mujur dia menjaga aku dengan ikhlas dan jujur. Kalau Encik Hazrul juga seperti sepupunya, entah apalah yang bakal menimpa diri aku.
"Orang lelaki sama saja. Dah bosan, baru ingat serba salah. Masa belum dapat kenapa tak ingat pun nak rasa serba salah bagai?" Sebaknya aku rasa. Walau bukan aku yang berada di tempat Naila, kenapa aku rasa sakitnya?
"Tak semua lelaki akan ambil tindakan yang sama seperti Mikael. Lain orang lain caranya. Mungkin dia rasa inilah yang terbaik buat mereka berdua. Mungkin ada hikmah di sebaliknya semua ni."
Makin sedih aku jadinya. Kata-kata Encik Hazrul langsung tidak dapat memujuk perasaan aku sebaliknya lebih menghangatkan lagi perasaan. Senang sungguh lelaki bercakap. Mudah lepas tangan. Mudah lupa janji yang diikrar. Konon mahu menjaga hingga ke akhir hayat. Belum sampai mana, sudah mengaku kalah.
"Saya tak dapat bayangkan kalau saya berada di tempat Kak Naila. Macam mana agaknya keadaan saya dan kesian sangat Humairah." Jatuh juga air mata aku apabila mengenangkan perkara tersebut.
"Hesy, kenapa fikir sampai macam tu sekali? Takkan tergamak abang nak buat macam tu..."
"Masa masih sayang, semua orang boleh berjanji yang bukan-bukan. Tunggulah bila masa tak sayang nanti."
"Insya-Allah, abang akan sayang Azian sampai akhir hayat nanti. Janganlah Azian bimbang. Kesat air mata tu. Nanti orang ingat apa pula."
Namun aku tetap rasa sedih. Entahlah, di majlis yang serba indah ini aku rasa seperti ada yang tidak kena. Apalah ertinya, kalau ikatan itu dibina atas air mata si isteri yang setia? Mikael, tolong jangan buat kesilapan.
Aku pandang saja Mikael. Mencari wajah serba salah yang Encik Hazrul katakan. Tak ada. Tak ada langsung wajah serba salah itu. Yang aku pandang hanya wajah lelaki kemaruk cinta baru. Dasar!
Pandangan berkalih semula kepada Nur Jannah yang sedang tersimpuh sopan. Perempuan yang dikatakan perempuan baik-baik. Punya ilmu agama yang tinggi. Daripada keturunan yang baik-baik juga.
Tapi kenapa aku marahkan Nur Jannah? Nur Jannah tidak bersalah sebenarnya. Dia tidak tahu pun yang dirinya itu sudah ditipu hidup-hidup oleh Mikael. Tiada siapa yang bersalah melainkan Mikael sendiri. Mikael yang punya angkara. Masing-masing mangsa Mikael. Jahatnya lelaki itu. Bukan hati Naila saja yang dia koyak, bahkan dia bakal mengoyakkan hati ramai orang sekiranya rahsia terbongkar.
"Sayang..." Encik Hazrul pegang tangan aku. Seakan-akan mengerti kemelut yang sedang melanda perasaan aku. Maaf Kak Naila, aku tak mampu untuk membantu apa-apa. Yang mampu aku lakukan hanyalah berdoa agar pernikahan ini dibatalkan. Walau permintaan aku itu sangat kejam, aku tetap mahu berdoa begitu. Naila bukan sesiapa buat aku, tetapi dia juga seorang isteri. Sebagai isteri, aku tetap tumpang sama merasakan retak hatinya. Semoga akak baik-baik sahaja nanti.
"Sekejap!" Tiba-tiba saja Mikael bersuara. Suasana yang tadinya agak bising menjadi sunyi sepi. Mata masing-masing tertumpu kepada Mikael.
Tiba-tiba detak jantung aku menjadi sangat laju. Seperti ada yang tidak kena saja. Mikael mahu tukar fikiran? Tolonglah, Mikael. Tolong katakan tidak untuk majlis nikah ni.
"Saya rasa ini tak betul..." kata Mikael lagi. Baru sekarang rasa tak betul? Kenapalah lelaki lambat benar bertindak?
"Mikael?" Hajah Kalsom, mak long Encik Hazrul bersuara.
"Ini semua tak betul, umi," kata Mikael. Nampak ada kekeliruan pada wajah lelaki itu. Baru tersedarkah, Mikael? Atau baru tahu yang awak tu benar-benar sayangkan Naila?
"Apanya yang tak betul?" soal Hajah Kalsom lagi.
"Saya sudah berkahwin, umi. Saya sudah mempunyai seorang isteri."
Akhirnya!
"Apa Mikael?"
"Saya sudah ada isteri." Mikael bangun. Seperti baru saja terjaga daripada sebuah mimpi yang sangat menakutkan. Tanpa menghiraukan orang lain, Mikael menghampiri Encik Hazrul.
"Hazrul, kau tolong jelaskan semuanya. Aku takut aku terlambat. Kalau Naila pergi, aku mati!"
Aku tak tahu nak cakap apa lagi. Kalau aku diberi peluang sekali seumur hidup mahu lempang siapa, pasti aku pilih Mikael. Senang-senang dia buat masalah, senang-senang juga dia letak ke atas bahu orang lain.
"Mikael!" Hajah Kalsom menjerit dan dia seperti hilang pertimbangan diri selepas itu. Mujur sempat ditangkap oleh kaum keluarga lain.
"Apa maknanya semua ni, Hazrul?" Papa datang tanya Encik Hazrul. Garang saja bunyinya.
"Nanti saya ceritakan semuanya selepas tetamu beredar. Baik papa jemput tetamu lain menjamu selera terlebih dahulu," jawab Encik Hazrul dan serahkan Humairah kepada aku. Dia bangun selepas itu dan dapatkan Hajah Kalsom yang sudah teresak-esak. Aku tahu sekarang ini Encik Hazrul menggalas satu lagi tanggungjawab yang sangat besar.
RUANG TAMU kediaman keluarga Nur Jannah sepi. Semua tetamu sudah pulang. Yang tinggal hanya kaum keluarga terdekat. Semua sudah berkumpul untuk mendengar penjelasan daripada Encik Hazrul. Aku melihat mereka dalam keadaan yang masih terperanjat dengan keputusan yang Mikael ambil. Memutuskan tidak meneruskan pernikahan pada saat tangan sudah mahu dipegang untuk dinikahkan. Lelaki itu memang suka membuat keputusan drastik. Mujur tiada siapa yang sakit jantung. Kalau tidak, satu masalah pula.
"Sebenarnya saya tak tahu untuk mulakan dari mana, dan saya akan cuba ceritakan seringkas mungkin untuk menjelaskan keadaan sebenar Mikael." Encik Hazrul memulakan bicara setelah didesak berkali-kali oleh Hajah Kalsom.
Tangisan Hajah Kalsom bermula semula.
"Mikael sudah bernikah di sempadan lebih kurang empat bulan macam tu."
Aku yang meminta Encik Hazrul tidak bercerita tentang Mikael bersekedudukan dengan Naila. Ini akan lebih menjatuhkan maruah mereka berdua. Cukup mereka berdosa di hadapan Tuhan. Aku tidak mahu dosa mereka terpamer di mata kaum keluarga lain. Mereka pernah buat kesilapan, dan mereka yang akan menjawab di sana nanti. Sebagai manusia biasa, tidak selayaknya menghukum sesama hamba.
Nur Jannah teresak-esak di hujung ruang tamu. Perlukah aku tepuk tangan melihat dia di dalam keadaan begitu? Tak perlu rasanya kerana dia juga tidak tahu apa-apa. Entahlah, perasaan manusia itu sangat aneh. Mudah benar membenci orang tanpa alasan yang kukuh sedang kenal dia pun tidak. Cepatnya aku membenci orang hanya kerana aku kurang senang. Jadi, apa bezanya aku dengan Hilda?
"Kenapa Hazrul tak bagi tau mak long? Kenapa nak rahsiakan daripada kami semua?" rengek Hajah Kalsom.
"Itu urusan Mikael, tak ada kena-mengena dengan saya. Jadi, tak perlulah saya masuk campur," jawab Encik Hazrul.
"Kamu berdua ni sama saja. Cucu-cucu lelaki keturunan Haji Sulaiman memang tak berguna semuanya!" Datin Zainah, ibu kepada Nur Jannah yang kami panggil sebagai mak su bersuara. Nada suaranya seperti menyindir Encik Hazrul sama. Maklum cucu lelaki hanya mereka berdua. Selebihnya semua cucu perempuan.
"Bukan kami tidak berguna, kami lakukan demi orang yang kami cintai. Hanya kami saja yang tahu siapa yang layak untuk hidup bersama kami. Siapa suruh suka benar aturkan jodoh kami? Seolah-olah kami tiada hak untuk menentukan siapa pilihan kami sendiri," tegas Encik Hazrul. Nada marah.
Datin Zainah tidak membalas namun aku lihat dia mencebik. Reaksi begitu sudah cukup buat aku terasa.
"Siapa gadis tu?" soal Nur Jannah bersama esakan.
"Pekerja Nazim," jawab Encik Hazrul.
"Bagaimana keturunan dia? Daripada keturunan baik-baik?" soal Nur Jannah lagi. Menampakkan wajah sebenarnya. Aku rasa aku sudah ada jawapan kenapa aku tidak sukakan Nur Jannah. Gerak hati aku selalunya tepat. Nur Jannah juga bukanlah baik benar.
"Untuk hidup bahagia bersama seseorang, tidak diperlukan sebarang kriteria. Cukup dengan perasaan cinta. Siapa dia, siapa keturunan dia, semua tu tak penting. Kalau sudah suka, tak penting semua tu." Mata Encik Hazrul merenung aku dan dia lemparkan senyuman cantik. Aku membalasnya dengan rasa terharu. Memang betul, untuk hidup bahagia bersama seseorang, jangan ditanya kelayakannya. Mata jadi buta disebabkan cinta, pasti saja tidak nampak keburukan dan kelemahan. Yang terlihat semua yang baik-baik sahaja.
"Cantik?" soal Nur Jannah lagi. Mungkin tidak mahu ada yang lebih cantik daripada dia.
"Cantik itu sifatnya berbeza-beza. Kalau tidak, takkan orang cakap hitam itu menawan."
"Inilah kalau hidup berlandaskan nafsu. Tak ada asas agama yang kukuh. Main rembat sesedap nafsu. Sepatutnya pilih pasangan hidup itu mengikut cara agama. Pilih perempuan baik-baik. Pilih perempuan yang ada agama." Nur Jannah bersuara lagi. Inilah sifat yang aku tidak suka tentang Nur Jannah. Lidahnya lebih tajam daripada belati. Ringan saja mulut aku mahu menjawab, tapi Encik Hazrul buat muka yang meminta aku tutup mulut.
Aku tahu dia daripada keturunan baik-baik, perempuan yang kuat agama. Perempuan macam aku, macam Naila, mahu jadi perempuan yang baik-baik juga. Kami sedar kami bukan daripada keturunan yang baik-baik, tapi kami tetap berusaha untuk menjadi yang lebih baik. Mahu membahagiakan pasangan kami. Mahu mencari syurga yang dijanjikan oleh Allah.
Aku diam dan sabar menantikan jawapan daripada Encik Hazrul.
"Pilihan masing-masing, Nur Jannah. Ada sebab kenapa Mikael pilih Naila. Mungkin dia rasa hanya Naila dapat membahagiakan hidupnya. Kita tidak boleh menghina orang lain berdasarkan keturunannya. Jangan fikir kita daripada keturunan baik-baik sudah mendapat tiket masuk syurga. Itu bukan jaminannya. Belajarlah terima kenyataan. Menolak ketentuan Tuhan sama juga mempertikai apa yang sudah tertulis. Awak tak percaya qadak dan qadar, Nur Jannah?"
Nur Jannah seperti mahu menjawab lagi, namun aku rasa dia sendiri terpukul dengan soalan Encik Hazrul. Dia orang warak, mustahil orang warak tidak boleh terima qadak dan qadar.
"Saya rasa, tak perlulah saya cakap lebih-lebih. Saya bimbang bakal mendatangkan fitnah nanti. Untuk jawapan yang lebih lanjut, tanyalah Mikael sendiri. Tapi saya berharap, kita semua dapat menerima pilihan Mikael dan kita doakan agar dia bahagia. Itu lebih baik daripada kita saling mengungkit. Yang terjadi tetap terjadi. Berdosa besar kalau kita mempertikaikan kehendak takdir."
Selesai saja berkata-kata, Encik Hazrul ajak aku pulang. Kata Encik Hazrul, tugasnya sudah selesai. Selepas ini terserah kepada Mikael untuk menyelesaikan masalahnya. Kami sudah tidak ada apa-apa masalah lagi dengan Mikael.
Masa kami sampai ke kereta, papa dan mama juga sampai.
"Hazrul, tak nak singgah rumah dulu?" tanya papa.
"Kami nak terus pulang ke Bukit Cendana," jawab Encik Hazrul.
"Oh, begitu." Papa ambil Humairah dari pangkuan Encik Hazrul.
Aku pula sekadar memerhatikan mama. Kemudian Encik Hazrul. Semacam ada yang tidak kena saja dengan dua beranak ini. Serba salah aku jadinya. Aku sama sekali tidak mengharapkan Encik Hazrul jadi anak derhaka disebabkan aku. Encik Hazrul bakal memikul beban dosa yang tidak terhitung. Aku sendiri tidak mampu untuk mengubah sikap Encik Hazrul itu. Semula jadi begitu.
Apabila memikirkan kami juga ada anak, kebimbangan itu tetap ada. Bimbang anak kami akan menuruti jejak Encik Hazrul. Betapa sakitnya hati kami nanti. Aku hanya bermohon agar dijauhkan dari itu semua. Namun andai kata ada balasan Tuhan terhadap dosa kami, aku akan terima kerana kami sesungguhnya sudah melukakan hati seorang ibu.
Aku sebenarnya tahu di mana punca silapnya. Semuanya berpunca daripada diri aku. Kerana aku bukanlah menantu pilihan hati mama, jadi sewajarnya aku menerima layanan sedemikian. Jauh di sudut hati aku, aku tidak mahu keadaan menjadi begini.
Namun apa pilihan yang aku ada?
"Kami balik dulu..." kata Encik Hazrul. Dia menyalami papa dan mama. Aku juga berbuat demikian. Mama tetap tarik tangannya. Seperti tidak mahu aku menyalaminya. Tak mengapa, kalau aku berjauh hati tidak melihatkan beban dosa sesiapa, tapi kalau mama yang berjauh hati, pasti saja akan menyebabkan kami berdua berdosa besar.
Sabar, wahai hati.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro