Bab 11
MEREKA pulang petangnya. Selepas makan tengah hari, Mikael bawa Naila keluar bersiar-siar melihat Bukit Cendana. Sebelum itu, Encik Hazrul berbual panjang dengan Mikael secara persendirian. Aku rasa Encik Hazrul basuh habis-habisan sepupunya itu. Inilah peluang Encik Hazrul. Banyak kali juga Encik Hazrul merungut tentang ketidakpuasan hati tentang sikap sepupunya itu. Peluang yang ada tidak dilepaskan, dihamburkan semuanya. Bagus juga begitu, mana tahu mampu mengubah keputusan Mikael.
Kami hantar pasangan itu hingga pintu pagar. Aku sekadar iringi doa agar semuanya akan baik-baik sahaja. Semoga mereka akan berjaya menempuh dugaan yang mendatang. Mereka sudah sama-sama lalui suka dan duka, pasti mereka akan dapat harungi semuanya nanti.
Encik Hazrul paut bahu aku sambil perhatikan kereta Mikael bergerak perlahan.
"Sedihlah tengok mereka tu..." ujar aku perlahan.
"Entahlah. Susah abang nak cakap. Abang lebih banyak menyalahkan Mikael sebab tidak berani berterus terang. Seharusnya jadi suami kena lebih berani sebab seorang isteri hanya bergantung harap kepada suaminya."
Aku pandang wajah Encik Hazrul dan satu kucupan singgah di dahi aku.
"Seorang suami harus menjadi pelindung. Walau apa keadaan sekalipun, dia mesti mempertahankan orang yang dia sayang," katanya lagi dan mata aku hanya melihat bibir itu berkata-kata.
"Bukan susah pun. Hanya beritahu keadaan sebenar. Terima atau tidak itu belakang kira. Yang penting kena umumkan orang yang kita sayang kepada semua. Kalau setakat nak cakap aku sayang kepadamu, semua orang boleh cakap. Tapi buktikan yang kita benar-benar sayang. Itu baru namanya suami." Nada suara Encik Hazrul seperti marah saja.
"Abang marah?" soal aku.
"Mestilah abang marah. Abang kenal sepupu abang tu. Sanggup buat perangai gila-gila untuk dapatkan perempuan yang dia suka, tapi tak sanggup untuk pertahankannya. Yang abang kesalkan sangat, dia dah buat Naila mengandung dan sampai keguguran. Langsung dia tak ingat semua tu. Geram betul. Abang rasa nak belasah saja dia."
Aku senyum. Kemudian pegang pipi Encik Hazrul dengan kedua-dua belah tangan. Mujur dia tidak begitu. Mujur dia tahu batas-batas kami sebelum bergelar suami isteri yang sah.
"Sayang abang..." ucap aku perlahan.
"Baru nak sayang?" Encik Hazrul kecilkan matanya dan buat reaksi geram.
"Dari dulu dah sayang. Sayang sepenuh hati..."
"Kalau sayang, jangan cuba buat perangai yang boleh buat abang susah hati!"
"Janji!" Aku angkat tangan kanan sebagai ikrar. Encik Hazrul balas dengan senyuman. Kemudian kami sama-sama pandang ke hadapan. Nampak pasangan Syed Imran dan Nad sedang berjalan berpegangan tangan. Pasti saja mahu menemani anak-anak mereka bermain layang-layang.
"Humairah mana?" soal Nad ketika melintasi kami. Dia kini menanti masa untuk bersalin saja. Suka aku melihat isteri pengurus resort Bukit Cendana ini. Makin comel sejak berbadan dua.
"Terlelap. Penat sangat," jawab aku sambil tersenyum.
"Sikit hari lagi dah boleh main layang-layang," kata Syed Imran pula. Mesra dia pegang tangan Nad. Nampak sangat bahagia. Melihat pasangan itu bahagia, aku turut sama rasa bahagia.
"Tunggulah sikit hari lagi..." kata Encik Hazrul pula.
"Mahu mamanya tak terkejar." Nad menokok.
Aku senyum saja. Kemudian pasangan itu sambung atur langkah untuk menyertai kedua-dua anak mereka bermain layang-layang di taman yang terletak tidak jauh dari kediaman kami.
"Hmmm, tak sabar tunggu Humairah besar. Nak main layang-layang dengan dia," bisik Encik Hazrul perlahan. Sedang membayangkan betapa tidak sabarnya dia menantikan Humairah besar.
Sebenarnya aku juga tidak sabar menantikan detik itu. Namun masa akan berlalu dengan pantas tanpa aku sedari. Tahu-tahu nanti Humairah akan berlari di hadapan mata kami.
"Bila Nad tu akan bersalin?" soal Encik Hazrul.
"Dijangka dalam minggu depan."
"Emmm..."
Aku menantikan kalau-kalau Encik Hazrul bercakap lagi pasal kandungan Nad, tapi dia tidak bercakap apa-apa selepas itu. Aku juga menyedari Encik Hazrul kurang bercakap tentang rancangan untuk menambah anak. Walhal dulu dia juga yang mahukan anak ramai. Paling kurang enam orang. Selepas Humairah lahir, langsung dia tidak berbunyi apa-apa tentang anak. Kenapa agaknya dia tiada ura-ura ke arah itu?
"Comel aje Nad tu bila mengandung, kan?" Aku cuba memancing Encik Hazrul dengan soalan begitu. Mana tahu aku bakal temui jawapan lanjut.
"Isteri abang pun comel juga. Lebih comel daripada isteri orang lain."
"Eh, isteri abang mestilah abang puji. Kalau puji isteri orang lain nak lebam biji mata?" Aku ketawa.
"Hah, tahu pun..."
"Bilalah nak rasa comel macam tu lagi..." Aku jeling Encik Hazrul sekali. Harap dia faham maksud yang tersirat.
"Hmmm, tak mengandung pun isteri abang ni tetap comel. Comel selalu..." Encik Hazrul cium pipi kanan. Sebenarnya aku tidak mengharapkan jawapan begitu. Aku mahukan jawapan yang lebih menggembirakan hati aku.
"Tapi kalau mengandung lagi comel, kan." Aku masih memancing.
"Memanglah..." Nak tak nak aje dia jawab. Bosan pula aku dibuatnya. Dulu sebelum Humairah lahir, galak sungguh bercerita pasal anak. Sekarang langsung tidak. Sudahnya aku malas nak cakap apa-apa lagi.
"Kalau semata-mata mahu melihat isteri bertambah comel dengan mengandung, abang tak sanggup. Melihat Azian tanggung kesakitan untuk melahirkan Humairah buat abang rasa sangat serik."
"Itu biasalah, bang. Mana ada beranak tak sakit? Kelebihan yang diberikan kepada seorang ibu ialah kesakitan begitu. Sakit daripada segala sakit. Saya rasa sangat berbangga sebab merasa kesakitan itu. Ramai wanita yang tidak diberi peluang untuk merasa kesakitannya. Sebab itu saya rasa biasa saja. Kalau untuk sepuluh kali rasa sakit yang sama, saya sanggup. Sebab melihat wajah anak kita selepas lahir adalah satu nikmat yang tidak terhingga. Sakit boleh hilang sekelip mata."
"Hmmm..."
Hmmm saja? Punyalah panjang lebar aku bercakap, dia boleh cakap hmmm saja. Eh, sakitlah hati macam ni. Seperti tidak faham apa yang aku cuba sampaikan. Selalunya mudah saja dia membaca fikiran aku. Kali ni susah pula. Ke sengaja buat-buat tidak faham?
"Apa-apa pun, kita tunggu Humairah tiga tahun ke, empat tahun dulu. Baru kita bagi dia adik, ya?"
Dan itulah keputusannya. Tak payahlah aku pancing-pancing lagi. Kalau si ayah sudah beri kata laluan sedemikian rupa, tiada siapa yang boleh merubahnya. Simpanlah niat nak mengandung lagi, Azian.
MALAM melabuhkan tirai. Terasa semakin dingin. Encik Hazrul dan Humairah sedang bergurau di atas katil. Tiba-tiba aku teringat Nora. Aku bawa telefon bimbit ke sofa yang terletak di hujung bilik. Mahu kacau pengantin baharu. Lepas kahwin ni langsung dia lupakan aku. Tak guna punya kawan.
"Nak call siapa pula tu?" soal Encik Hazrul.
"Pakwe baru..." selorohku.
"Yalah, orang dah ada pakwe baru kan..." Nada rendah dan kedengarannya seperti berjauh hati. Aku sekadar ketawa kecil.
"Assalamualaikum, pengantin baru." Aku usik Nora sebaik sahaja panggilan aku dijawab.
"Waalaikumussalam," jawab Nora dengan suara yang agak ceria.
"Dah ke belum ni?" soal aku. Aku kemudian pandang Encik Hazrul. Encik Hazrul bulatkan matanya. Kemudian dia geleng.
"Sibuk tanya dah ke belum," kata Encik Hazrul selepas itu.
"Apa yang dah?" soal Nora. Polos saja soalan, tapi bukan aku tak tahu. Ibarat kura-kura dalam perahu. Nora pasti saja faham makna soalan aku itu.
"Ehem-ehem..." Aku ketawa.
"Woit, lucah!" Nora sudah menjerit.
"Eleh, lucah konon!" Ketawa aku bersisa.
"Ni Azian Yuhanis sahabat baik aku ka? Awat tanya soalan lagu tu? Azian yang aku kenai bersih fikiran dia. Cakap lemah lembut saja. Mana pernah cakap benda yang tak senonoh. Awat dah kahwin jadi lagu ni. Kalau mak dengan pak aku dengaq, mau ketaq kepala lutut depa." Nora di sana ketawa. Uiks, sukanya dia. Macam dah lupa saja kes sebelum nikah dulu.
"Anak dah sorang, nak bersih apa lagi?"
"Teruknya hang ni..."
Nora ketawa lagi di hujung talian. Tak pernah aku dengar Nora ketawa begitu sekali. Jelas seperti orang sedang menikmati bahagia. Suka aku mendengarnya. Alhamdulillah. Dia tidak apa-apa.
"Hmmm, macam mana dengan orang tu? Okey?" Aku tanya.
"Okey tang mana? Siang ka malam?"
"Melampau! Ni dah melebih. Tadi kata aku lucah. Hang pun apa kurangnya, boleh tahan." Aku sambung ketawa. Pelik Humairah tengok aku. Gamaknya tak pernah tengok mama ketawa macam ni. Mama suka hatilah, Humairah. Kawan baik mama dah jumpa bahagia dia.
"Dah tu tanya soalan tak lengkap."
"Aku tak teringin nak tanya dia okey ka waktu malam, tu hang punya. Hang sendiri rasa. Buat apa nak bagi tau kat orang? Yang aku tanya ni, hang dah boleh terima dia ka belum?" Kuat suara aku. Kalau ajak pusing cakap, mau satu Langkawi kami sampai nanti. Bukan aku tak kenal Si Nora tu. Selorohnya boleh tahan.
"Humairah jangan dengar. 18SX tu," kata Encik Hazrul sambil tutup telinga Humairah. Lawak pula Encik Hazrul ni.
"Alhamdulillah. Dia tidak seperti yang aku bayangkan. Aku dah boleh terima dia dan dia pun boleh terima aku. Sekarang ni masa untuk kami mengenali hati budi masing-masing. Dia pun baik layan aku. Tak sombong, tak ego, tapi keras hati sikit. Nak kita ni setujukan saja apa dia cakap."
"Itu memang perangai orang lelakilah. Memang aku tak nafikan. Sebab mereka fikir mereka suami. Isteri wajib dengar cakap suami, jadi ego depa tinggilah. Kita cakap selalu tak betui, depa sajalah yang betui!"
Encik Hazrul kecilkan matanya. "Mengumpat?" soalnya. Aku balas dengan angkat kedua-dua belah kening.
"Tu aku setuju. Memang ya. Sebab depa rasa depa suami, jadi kita kena ikut saja arahan depa."
"Betui, tapi selagi depa sayang kita, tak curang kat kita, bertimbang rasa, aku rasa tak dak masalah. Bukankah taat kepada suami tu memang kewajipan kita?"
"Betul tu..."
"Hah, tahu pun..." Encik Hazrul pula menokok. Harap Nora tak dengarlah suara Encik Hazrul itu.
"Eh, aku lupa. Aku call hang ni kacau hang ka? Tak apalah. Aku call waktu siang sajalah. Sorry, sorry, aku tak ingat." Aku senyum.
"Taik kucing sungguhlah sahabat aku sorang ni..."
"Serius ni. Aku tak ingat. Aku rasa hang macam belum kahwin saja. Aku lupa hang tu dah jadi bini orang. Ada kerja lebih masa waktu malam."
"Ah! Teruknya!"
"Okey Nora, aku call hang lain kali. Aku harap hang hidup bahagia macam aku. Kita berhak untuk memiliki bahagia tu."
"Insya-Allah. Aku memang dah selalu sangat doakan untuk hang. Semoga bahagia itu milik kita selamanya."
"Insya-Allah. Assalamualaikum."
"Waalaikumussalam..." Suara Nora hilang.
"Alhamdulillah..." Aku panjatkan rasa syukur. Tumpang gembira mendengar sahabat aku mula menikmati bahagianya alam rumah tangga.
"Kenapa?" soal Encik Hazrul ketika aku berjalan menuju ke katil kemudian terbaring di sisi Humairah yang masih segar matanya.
"Nora dah boleh terima suami dia. Suami dia pun dah boleh terima Nora. Saya tumpang gembira mendengarnya. Mulanya risau juga. Bukan semua perkahwinan pilihan keluarga ni akan berakhir dengan bahagia. Ada juga yang tidak serasi. Jalan terakhir, berpisah. Saya memang risau kalau terjadi macam tu kepada Nora."
"Hidup kita ni mudah saja. Memberi dan menerima. Memahami dan difahami. Simple. Kalau kita rasa mahu bahagia, kita bahagia. Kalau kita pilih untuk mengusutkan keadaan, pilihan kita juga. Terpulang." Encik Hazrul letak kepala di atas bantal aku. Sudah terbiasa berkongsi bantal.
"Cinta tu memang sifatnya buta, kan? Sesiapa saja boleh memiliki rasa cinta. Dua orang yang saling tidak mengenali, boleh berkongsi hidup dengan kasih sayang. Betul abang cakap, hidup ini memberi dan menerima. Tapi saya tak pasti, apa yang sudah saya beri kepada abang. Sedangkan saya sudah terlalu lama menerima." Aku mengiring. Pandang Encik Hazrul.
"Ni, yang sedang tergolek inilah bukti Azian sudah menjadi pihak yang memberi. Tidak ternilai. Kalau hendak dibandingkan dengan apa yang abang beri, apalah sangat. Terima kasih, sayang..." Dahi aku dia kucup.
"Dah banyak kali abang ucap terima kasih..."
"Kalau perlu ucap sampai sejuta kali, abang akan ucap juga. Betapa abang sangat-sangat menghargai apa yang sudah Azian lakukan."
Terharunya...
"Abang, itu adalah tanggungjawab saya sebagai seorang isteri. Melahirkan sebanyak mana anak abang, adalah kewajipan saya. Saya rasa sangat berbangga kalau dapat melahirkan anak-anak abang." Aku pancing lagi Encik Hazrul dengan soal anak walau aku sudah sedia maklum akan jawapannya.
"Sebab itu abang benar-benar rasa terharu. Abang terhutang budi dengan Azian kerana Azian sanggup bergadai nyawa demi melahirkan zuriat abang."
"Kalau betul abang menghargai saya, tolonglah setia. Kekallah menjadi suami yang baik dan ayah yang baik buat Humairah. Kami tak tahu nak bawa diri ke mana lagi andai suatu hari nanti abang berubah hati."
"Insya-Allah. Takkan abang nak musnahkan istana abang sendiri? Bukan senang untuk abang memiliki bahagia seperti sekarang." Dahi aku dikucup lagi.
Lega perasaan.
"Eh, tadi kita cakap pasal Nora, kan?" Aku baru teringat, tajuk utamanya ialah Nora. Dah meleret-leret pasal lain.
"Bukan ke kita selalu saja bercakap lari dari tajuk?!"
Aku ketawa. "Memang ya pun."
Selalunya begitulah. Suka lari dari topik utama.
"Yang Azian layan cakap abang tu kenapa?"
"Boleh ke kalau tak nak layan? Karang kalau tak layan, mulalah abang buat drama sebabak. Kalau senang pujuk tak apalah juga."
"Habis tu, tugas isteri kan layan suami. Layan bercakap pun termasuk dalam layanan. Kenalah layan abang bercakap."
"Tengok tu, abang dah pusing cakap. Berbelit."
"Mana ada, abang cakap yang betullah."
Aku pandang siling. Dalam kehidupan aku sekarang, aku melihat ada tiga buah rumah tangga yang hampir dengan aku. Rumah tangga pasangan Mikael Naila, pasangan Nora dan suaminya, juga pasangan Syed Imran Nad. Rumah tangga Mikael di ambang kehancuran kerana sikapnya sendiri. Nad bahagia, walau pada awal perkahwinannya berombak sama seperti yang aku alami. Dan sekarang, sahabat aku pula mengharungi alam rumah tangga. Cerita masing-masing berbeza. Asasnya tetap sama, mahu bahagia. Hanya jalan yang dilalui itu mungkin tidak sama. Tiada apa yang rumit di alam rumah tangga.
"Kenapa senyap?"
Aku geleng. "Sedang cari topik menarik untuk dibincangkan malam ni sementara menunggu Humairah tidur."
"Errr, cari topik menarik, ya?" soal Encik Hazrul.
"Abang tak payah cari. Karang tak pasal saya kena goreng aje..."
Encik Hazrul ketawa. "Takut betul dia."
"Memang takutlah. Abang tu pantang saya leka. Mulalah."
"Tapi sekarang tak berapa boleh nak goreng dah. Isteri abang ni boleh tahan sekarang ni. Semakin bijak."
"Isteri siapa?" Aku senyum.
"Isteri abanglah..." Dia juga senyum.
"Tahu tak apa..."
"Tahu dah..." Dia jeling manja.
"Abang tahu tak, saya tak boleh tengok abang jeling saya macam tu."
"Kenapa?" Dia jeling lagi.
"Nampak seksi..."
"Oh, ya?" Encik Hazrul rapatkan badannya.
"Abang, janganlah. Humairah tak tidur lagi." Aku tolak badan Encik Hazrul.
"Hah, tahu takut..." Encik Hazrul ketawa. Pandai betul dia bergurau. Saja suka buat jantung aku berdegup laju.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro