Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 10

AKU menemani Naila seusai sidai kain. Kami duduk di bangku kayu di halaman rumah. Encik Hazrul berbual dengan Mikael di ruang tamu. Secara jujurnya, aku tidak begitu mengenali gadis manis yang saling tak tumpah wajahnya seperti artis Fathia ini. Bertubuh langsing dan berkulit putih kuning. Mungkin itulah ciri-ciri yang membuatkan lelaki seperti Mikael gila bayang dan sanggup lakukan apa saja demi mendapatkan cinta gadis manis ini.

"Humairah mana?" soal Naila.

"Tengah bergurau dengan papa angkat dia," jawab aku.

Baru aku sedar ada perubahan besar pada wajah Naila. Wajah tidak gembira. Satu keluhan kedengaran selepas itu. Aku sudah tersalah cakapkah? Atau isu 'papa' memang tidak boleh langsung disebut?

"Mikael memang suka budak-budak," katanya selepas itu. Pandangan dia halakan ke arah hadapan. Aku tidak tahu Naila sedang pandang apa. Bukit-bukau di hujung sana yang setia memagari Bukit Cendana atau sedang melihat pokok-pokok bunga di halaman rumahku. Aku kurang pasti juga kalau pandangannya serba kosong.

Aku akui juga kebenaran kata-kata Naila. Sejak sampai di sini Mikael seperti tidak mahu melepaskan Humairah. Humairah pula bukan main manja dengan Mikael. Sampai tertidur di atas ribaan Mikael sedangkan kalau orang lain bukan main susah lagi untuk mendekati Humairah. Mahu menangis tak berhenti. Anehnya, dengan Mikael seperti sudah kenal lama. Mungkin Humairah tahu Mikael itu juga sedarah dengan papanya.

"Lelaki yang baik memang sukakan kanak-kanak..." puji aku untuk sedapkan hati Naila. Sesungguhnya aku tidak tahu apa yang tersirat dan tersurat dalam benak Naila. Yang aku nampak Naila hanya pamerkan wajah kedukaan. Isteri mana yang tidak berduka kalau terpaksa melepaskan suami tercinta untuk bersama perempuan lain? Pasti saja hati akan remuk dan hancur.

"Mungkin takdir akak sudah tertulis begini. Dan akak rasa inilah balasan Tuhan terhadap dosa-dosa akak pada masa lalu."

Aku buntu untuk berbicara. Aku bukan ustazah untuk berhujah pasal agama. Jadi, dalam soal balasan Tuhan, aku rasa aku tak layak untuk bersuara. Siapa kita yang hanya manusia biasa hendak menghukum hamba Allah? Bukan kita yang menentukan syurga neraka orang lain. Sedang kita juga belum tentu di mana tempat duduknya kelak.

"Azian tahu kan akak pernah mengandung dulu? Tapi awal-awal lagi akak tidak mahukan anak itu dan akhirnya akak keguguran. Sehingga sekarang akak tidak mengandung. Inilah balasan dosa akak." Sendu di wajah Naila jelas terpamer. Kalau sendu di wajah boleh kelihatan, bagaimana pula sendu dalam hati? Mungkin lebih dalam lagi.

"Bukan sebab tu. Mungkin ada sebab lain. Janganlah akak berputus asa. Belum ada rezeki mungkin." Setakat itu sahaja yang aku mampu untuk berkata-kata.

"Akak memang sudah berputus asa. Sebab itu akak izinkan Mikael nikah dengan sepupu dia. Mungkin nanti Mikael akan ada anak sendiri. Sekurang-kurangnya akak sudah buat satu kebaikan. Biarlah hati akak hancur asalkan akak tidak menghancurkan hati mentua akak." Naila kesat air matanya yang kelihatan jatuh satu-satu ke pipi. Sesungguhnya aku tahu akan kesedihan yang terpaksa dia tanggung.

"Kalau teragak-agak, jangan paksa. Saya tahu Mikael terlalu sayangkan akak."

"Sayang tu tak ke mana, Azian. Hati lelaki macam bongkah air. Cepat benar cairnya. Tapi dengan adanya anak, pasti hubungan suami isteri tu bakal bertahan. Kami tak ada anak. Hidup kami kosong. Ikatan kasih sayang kami menjadi rapuh. Akak tidak sanggup teruskan hidup dengan menanggung rasa menyesal dan serba salah."

"Tapi sekurang-kurangnya akak ada antara satu sama lain. Itupun sudah lebih daripada mencukupi."

Naila geleng. "Akak tak sanggup nak hidup macam ni. Akak rasa biarlah akak berkorban dan izinkan Mikael bina hidup baru dengan orang lain. Itu lebih baik daripada akak rasa menyesal seumur hidup."

"Dulu saya pernah lakukan perkara yang sama. Saya pernah tinggalkan suami saya bila mentua saya minta saya lakukan begitu. Saya fikir itulah cara yang terbaik, tapi saya lupa. Abang Hazrul juga ada perasaan. Perbuatan saya hanya melukakan hati dan perasaan dia. Kali ini saya nekad, walau apa yang bakal terjadi kelak, saya tak akan lepaskan dia lagi. Saya akan bersama dia tidak kira susah ataupun senang." Itu janji aku. Tak akan ulang kesilapan yang serupa. Walau apa pun yang bakal terjadi, aku akan pertahankannya. Melainkan kalau aku tidak diperlukan lagi.

"Keadaan kita tak sama, Azian. Azian beruntung kerana mendapat suami yang sangat tegas. Seorang suami yang tahu apa yang dia mahukan. Berani ambil sebarang risiko. Tapi Mikael bukan suami yang begitu. Dia hanya berani untuk sesetengah perkara, sedangkan sebahagian yang lain dia sangat takut." Sekali lagi Naila hela nafas. Seperti ada yang dia kesalkan.

Aku mengerti kini kenapa sesetengah orang anggap perkahwinan itu seperti satu perjudian. Rupa-rupanya ada kalah dan menang. Pasti saja pertaruhannya bukan sedikit. Pertaruhannya adalah masa depan.

Betapa bertuahnya apabila diberi peluang untuk menikmati rasa bahagia kerana bahagia itu walau dicari, walau dicipta, tidak semua mampu memilikinya. Jadi, aku menolak bahawa bahagia itu dicipta kerana bahagia itu sifatnya kebarangkalian. Siapa yang bernasib baik sahaja memilikinya namun tidak salah kalau mahu mencuba dan berusaha.

"Sebenarnya akak takut." Naila meraup wajah dan kemudian dia toleh pandang aku.

"Sangat takut sebenarnya," kata Naila lagi. Aku balas dengan senyum tawar kerana aku sendiri buntu untuk berbicara. Siapa yang tidak takut bakal berkongsi kasih? Aku sendiri tidak dapat membayangkan kalau terpaksa berkongsi Encik Hazrul. Lebih baik aku beralah daripada berdendam sepanjang masa.

"Isteri mana yang tidak takut, kak..." Aku hela nafas panjang. Aku juga takut. Rasanya untuk mencari satu dalam sejuta pun payah isteri yang rela dimadukan walau sesetengahnya terpaksa reda dengan ketentuan yang sudah tertulis.

Perbualan antara aku dan Naila habis di situ saja. Naila mahu berehat di dalam bilik. Mungkin juga dia merasakan aku langsung tidak dapat membantu apa-apa. Atau tidak mahu berkongsi masalahnya dengan aku. Aku tidak dapat membaca apa yang tersirat dalam hatinya. Biarlah dia tenangkan dirinya.

"Apa sembang lama-lama tu?" soal Encik Hazrul. Dia duduk di tempat Naila duduk tadi.

"Masalah orang perempuan," jawab aku.

"Banyak betul masalah orang perempuan, kan..."

"Sebab orang lelaki yang suka beri masalah kepada kaum perempuan. Sebab itulah kami sentiasa bermasalah!" jawab aku selamba.

"Eh, sebenarnya kaum perempuan sama juga. Suka beri masalah kepada kami. Sikit-sikit merajuk, sikit-sikit buat keputusan yang tidak-tidak."

"Macam tak tahu. Bukankah merajuk itu sifat kaum perempuan? Lagi nak merungut bagai."

"Itulah masalahnya. Sikit-sikit merajuk. Sikit-sikit berjauh hati, kemudian mulalah bawa diri. Yang kami ni sibuklah mencari."

"Hah, kalau tahu begitu jangan nak cari-cari. Kalau hilang, biar hilang terus!" Marah juga aku dengan kenyataan Encik Hazrul itu. Seolah-olah kerja memujuk itu satu yang membebankan buat mereka. Sedangkan siapa yang menyebabkan kaum isteri merajuk?

"Mana boleh tak cari. Nak dapatkan bukannya senang..."

"Hah, tahu pun..."

Encik Hazrul pegang tangan aku. Bahasa memujuk.

"Abang pun tak tahu nak cakap apa sekarang ni. Rasanya tak dapat nak bantu mereka. Jadi, abang fikir biarlah mereka selesaikan sendiri. Sekarang ni abang nak tengok saja apa yang bakal berlaku kelak. Masing-masing sudah dewasa untuk memilih jalan yang terbaik. Abang tak nak masuk campur. Bimbang nanti abang juga yang dipersalahkan." Selesai sahaja berkata-kata, Encik Hazrul tarik nafas panjang.

"Biarlah, bang. Kita bantu setakat yang mampu sahaja. Selebih tu, pandailah mereka tentukan..." Aku beri pendapat aku pula.

"Hmmm..." Encik Hazrul angguk.

"Mak Mikael tu macam mana?" soal aku. Ingin tahu juga. Aku diberitahu mak Mikael itu kakak kepada mama. Apakah perangai adik dan kakak lebih kurang sama saja? Kalau mengikut rentetan kisah Mikael, aku rasa kakak kepada mama itu mungkin sama saja pandangan dengan mama. Kalau tidak, takkan paksa Mikael nikah dengan sepupu mereka.

"Antara ketiga-tiga mereka, mak Mikael lebih warak orangnya berbanding mama dan mak su abang. Tapi pandangan mereka lebih kurang saja. Masing-masing suka menjodohkan anak dengan pilihan sendiri. Takut kononnya harta jatuh ke tangan orang lain. Abang pun tak faham sebenarnya, harta apa yang bakal jatuh ke tangan orang lain." Tangan kiri Encik Hazrul garu kening sementara tangan kanan masih erat pegang tangan kiri aku.

"Takut orang luar akan rampas semuanya, bang."

"Entahlah. Abang pun tak faham."

"Kalau mak Mikael lebih warak, kenapa Mikael boleh jadi macam tu?" soal aku.

Encik Hazrul pusing pandang aku. "Sayang, iman itu tidak diwarisi. Abang sendiri belajar solat dan mengaji melalui pembantu rumah abang, bukan daripada mama dan papa. Mereka dulu sangat jahil. Solat tidak, puasa tidak. Namun, mereka ada seorang anak yang baik. Yang tidak melakukan perkara-perkara mungkar." Kedengarannya seperti masuk bakul angkat sendiri, tapi itulah kebenarannya.

"Silap dia ialah, dia tidak mendengar kata. Itupun bukan pada semua perkara. Hanya dalam soal cinta. Untuk yang lain-lain tu dia memang taat. Selama tiga puluh tahun dia menjadi anak yang taat sehinggalah suatu hari dia berkunjung ke Langkawi. Dia dengan tidak sengajanya sudah terjatuh cinta kepada seorang gadis. Maka, bermulalah kisah cintanya yang sangat indah." Encik Hazrul senyum pula. Pamerkan senyumannya yang sangat menawan.

"Kalau kedua-dua ibu bapa dia merestui hubungannya dengan gadis kesayangannya, pasti dia akan menjadi anak yang lebih taat. Hanya itu saja silapnya..."

Aku menumpang bahu Encik Hazrul.

"Abang tak akan menyesal, kan?" soal aku.

"Sama sekali tidak."

"Insya-Allah, kita akan berusaha untuk memulihkan hubungan kita dengan mereka."

"Insya-Allah."

Harap semuanya akan baik-baik saja nanti. Manusia akan sentiasa berubah. Harap ada perubahan yang bakal membahagiakan semua orang.

"Alahai, jealous aku tengok kau orang berdua ni..."

Terkejut kami disapa begitu. Cepat kami toleh ke arah suara itu. Mikael sudah berdiri di belakang kami. Naila juga ada sama.

"Nak jealous apa pula? Masing-masing dah kahwin, kan..." balas Encik Hazrul, lantas aku dipeluk dengan erat. Aku cuba menolak, kerana rasa kurang selesa begitu. Malu pun sama.

Mikael tak jawab. Naila di belakangnya sekadar tersenyum pahit. Aku sudah membayangkan betapa dia juga mahukan situasi seperti kami.

"Errr, aku nak jalan-jalan kejap," kata Mikael.

"Hmmm..." kata Encik Hazrul.

Kedua-duanya bergerak bersama.

"Weh bro, pegang tanganlah. Masa haram bukan main galak pegang tangan, kenapa masa sudah halal tak nak pula?" kata Encik Hazrul.

Aku nampak Mikael pegang tangan Naila, namun Naila tarik. Mikael pegang lagi, ditarik juga. Kali ketiga, barulah Naila biarkan. Masih sayang rupa-rupanya. Aku senyum sendiri.

"Harap jodoh mereka panjang..." doaku.

"Abang pun harap begitu..."

Kami pandang saja pasangan Mikael dan Naila. Aku tahu masing-masing saling mencintai. Namun, ada sesuatu yang menghalang cinta mereka. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: