EPISODE 1: OH MY BOOK!
"WHAT THE WHAT?!"
Telinganya tidak salah dengarkan? Ibu dan ayahnya mahu...
"Sita semua buku Ana?!" Mata melirik pada ibunya, kemudian beralih pula pada ayahnya. Mereka berdua sedang duduk di atas sofa panjang.
Farhana cuba untuk meminta simpati dari ayah kesayangannya tetapi malah diberi amaran daripada ibunya.
Puan Fatimah berdehem kecil sebelum berkata; "Ya, betul. Mulai sekarang, semua buku Ana akan kami sita!"
Mata Farhana membulat luas. Tidak! Dia tidak mahu!
"Tapi kenapa? Apa salah Ana sampai ibu nak ambil semua buku Ana?"
Beberapa helai kertas Puan Fatimah hulurkan pada anak gadisnya. "Nah, tengok ni. Apa nak jadi dengan kamu ni Nur Farhana Insyirah? Macam mana semua markah boleh turun sangat sampai macam ni?" Soal Puan Fatimah dengan nada marah.
Terkulat-kulat Farhana memandang kertas ditangannya. Kertas penilaian ujian pertengahan tahunnya! Tapi macam mana ibu boleh jumpa? Setahunya, dia sudah menyembunyikan kertas itu dari pengetahuan ibu bapanya.
Farhana masih lagi tidak mahu mengalah. Gadis itu bangun dari duduk bersila di atas karpet berbulu. "Ibu tak boleh buat Ana macam ni. Buku-buku tu semua dah macam separuh daripada nyawa Ana!"
Puan Fatimah semakin marah. "Ibu tak kira! Kalau kamu masih berdegil tak nak dengar cakap ibu, sekali dengan gadget kamu ibu sita!" Ugutnya.
Encik Basri yang duduk disamping Puan Fatimah menenangkan isterinya yang sudah mahu meletus bagaikan gunung berapi itu.
Farhana tergamam seketika. Air matanya sudah mahu mengalir keluar tapi ditahan. Bibir dicebikkan.
"Ayah..." Panggilnya perlahan.
Mata bulatnya yang berair berkedip-kedip meminta pertolongan daripada ayahnya. Tapi Encik Basri pula hanya memandang ke arah lain. Tidak mahu menolongnya buat kali ni.
Huaaa! Sampai hati ayah!
Encik Basri tidak mampu berbuat apa-apa apabila kedua-dua isteri dan anak perempuan kesayangannya bergaduh mulut. Jadi dia hanya memerhati dan menenangkan keadaan yang tegang.
"Ana... Ana dengar ya cakap ibu tu? Semua keputusan ibu tu untuk kebaikan Ana." Pujuk ayahnya.
Akibat terlalu geram, Farhana terus melangkah pergi dari ruang tamu yang menjadi tempat perbincangan. Tidak berpuas hati dengan sikap ibunya yang suka mengatur dan ayahnya yang asyik membela ibu.
Gadis itu kemudian menutup pintu biliknya sekuat yang mungkin. Sebagai tanda protes terhadap ibu bapanya.
BAM!
Tangan mengurut-urut pelipis apabila terasa berdenyut dibahagian tersebut. "Awak tengoklah tu anak perempuan kesayangannya awak tu! Manjakan sangat dia kan dah jadi keras kepala macam tu." Ujar Puan Fatimah kepada suami yang berada disampingnya.
Dahi Encik Basri berkerut. "Aik, saya pulak yang disalahkannya? Bukan keras kepala dia tu ikut perangai awak ke?" Pandangan tertumpu pada isterinya.
Puan Fatimah hanya berdiam diri. Merajuklah tu bila suaminya salahkan dia balik.
Encik Basri menarik rapat Puan Fatimah kedalam dakapannya. "Sayang... saya tahu awak risaukan tentang masa depan anak-anak kita. Saya faham dengan tindakan yang awak buat tu untuk kebaikan mereka. Tapi kita tak boleh terlalu berkeras dengan mereka. Bagi mereka betul-betul faham sebab kita buat semua ni. Nanti lama-lama dia akan faham la tu." Ucap Encik Basri dengan nada suara yang lembut memujuk.
"Ya sayang, ya?"
"Hmm."
Kepala disandarkan pada dada bidang suaminya. Mata dipejam kejap mencari ketenangan dalam diri sambil mencerna ucapan suaminya.
📚📚📚📚📚
Keesokan paginya, Farhana terus ke sekolah tanpa mengambil sebarang sarapan mahupun bekal ke sekolah.
Itu merupakan salah satu cara untuk menunjukkan bahawa dia protes dengan keputusan ibu bapanya.
Rela berlapar demi buku-buku tercinta. Sungguh kebudak-budakan!
Rancangannya mahu menggunakan wang saku hari sebelumnya yang tersisa untuk membeli makanan. Namun nasib tidak menyebelahinya, Farhana tertinggal dompetnya dirumah!
Itulah yang terjadi apabila berniat mahu bermasam muka dengan ibu bapanya. Kan sudah dibayar langsung oleh Tuhan.
Apa-apa pun tak dapat. Yang dia dapat hanya kelaparan dan pedih kerana gastrik. Sudah tahu dirinya ada gastrik, masih lagi berdegil mahu mogok makan!
Aduhai, Farhana oh Farhana.
Namun gadis itu masih dapat bertahan berkat bantuan air minuman percuma dari water dispenser yang disediakan oleh pihak sekolah. Mahu ataupun tidak, dia hanya boleh minum air sampai waktu persekolahan habis pada hari itu untuk bertahan.
Sebenarnya boleh sahaja dia meminta sedikit duit dari kembarnya. Tetapi Farhana tahu jikalau dia berbuat demikian, pasti si mulut murai itu akan mengadu kepada ibu dan ayahnya!
Dan dia, tak mahu itu berlaku. Kerana Farhana pasti, kalau ibunya dapat tahu dia tidak makan seharian di sekolah gara-gara pelan mogok makannya, pasti dia akan dibebel sehingga bernanah telinganya!
Jadi Farhana lebih memilih untuk minum air kosong seharian di sekolah. Lebih selamat dan percuma. Walaupun kesan buruknya dia akan ke tandas setiap 15 minit. Malu pun dapat sekali!
Aduhai, Fahana oh Farhana!
📚📚📚📚📚
Kring!
Loceng berbunyi menandakan tiba waktu pulang. Pelajar yang lain bersiap-siap untuk pulang. Dan Farhana dengan lemahnya menyimpan alat tulisnya ke dalam beg.
Selesai mengemas barang, Farhana mengatur langkah keluar kelas. Memandangkan dia orang yang terakhir di dalam kelas, sudah tentunya dia harus menutup semua kipas yang terpasang.
Buk!
Bunyi seperti benda yang terjatuh menarik perhatian gadis itu. Dirinya tertanya-tanya darimanakah bunyi tersebut terhasil. Farhana menoleh ke kiri dan ke kanan. Hmm, tak ada apa-apa pun?
Aneh.
Tetapi Farhana tidak berfikir yang bukan-bukan. Gadis itu terus mengatur langkah menuju ke tangga.
Tiba-tiba angin dingin bertiup lembut. Meremang bulu romanya apabila melintasi satu bilik yang terkunci rapat. Bilik Muzik.
Setahunya, bilik muzik itu sudah lama tidak digunakan. Banyak yang bercerita tentang bilik itu. Ada yang kata bilik itu berhantu kerana telah lama tidak digunakan. Ada juga yang kata bilik itu pernah menjadi tempat berlakunya bunuh diri seorang pelajar di situ. Pelbagai teori dan gosip yang beredar di udara tentang bilik muzik tersebut. Namun Farhana tidak terlalu memikirkan tentang perkara itu kerana dia lebih tertarik kepada buku.
Tetapi entah kenapa, hari ini suasana berasa begitu aneh baginya. Tidak seperti hari-hari sebelumnya ketika dia lalu di situ. Mungkin kerana selalu berkepit dengan buku, membuatkan perhatiannya tertumpu sepenuhnya pada buku.
Akibat rasa takut dan tidak sedap hati, Farhana membuat keputusan untuk meninggalkan aras itu secepat mungkin. Langkah kaki dilajukan. Termengah-mengah gadis itu turun ke lantai satu. Peluh yang mengalir di seka menggunakan hujung lengan baju.
Seram betul bilik tu!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro