❣ Bab 2
YANNIS mengeluh. Buat malu je datang klinik kalau sakit ringan-ringan macam ni. Patutnya dia pergi jumpa tukang urut, bukan doktor dekat klinik.
Ini semua Encik Kutub Ais tu punya pasal lah! Tak pasal-pasal Yannis kena tebalkan muka bila doktor yang merawat dia cakap kaki kirinya cuma terseliuh biasa.
Muka diangkat dan ditoleh ke kiri, memandang Encik Kutub Ais yang duduk selang satu kerusi daripada dia.
"Kan saya dah cakap, kaki saya ni okey. Awak tu je yang over react. Bukan ada patah pun. Buat malu je dalam bilik doktor tadi," bebel Yannis. Geram.
Hayyan buat dengar tak dengar dengan omelan Yannis. Dah lah Yannis tak berterima kasih pun dekat dia sebab dah bawa Yannis ke klinik. Sebaliknya Yannis salahkan dia pula.
"Awak ni dengar ke tak apa saya cakap? Oh, mesti lah awak tak kisah, kan! Sebab bukan awak yang nak kena tebalkan muka dekat depan dok- "
Ternoktah bebelan Yannis apabila ahli farmasi di kaunter memanggil nama dia untuk mengambil ubat.
Hayyan hela nafas lega. Nasib baik pharmacist panggil nama Yannis. Kalau tak, boleh berdesing telinga dia nak dengar mulut Yannis membebel.
Dengar saja Yannis berterima kasih kepada ahli farmasi yang bertugas di kaunter, Hayyan turut bangun dari kerusi. Selamba derk Hayyan melangkah ke arah keretanya yang terparkir di seberang jalan.
Yannis mendengus geram. Berbakul-bakul kutukan yang dihadiahkan buat Hayyan.
"Menonong je dia tinggalkan aku. Tadi bukan main gentleman lagi nak tolong papah aku bagai. Ni, hilang terus gentleman dia tu. Poyo!" kutuk Yannis. Diseret kaki kiri yang beranduh ke kereta Hayyan.
Bila Hayyan turunkan tingkap di bahagian penumpang hadapan, Yannis nampak beberapa kerutan terbias di wajah bengis Hayyan.
"Kau tercegat apa lagi? Masuk cepat," sergah Hayyan.
Dah lah dia nak cepat pulang ke hotel. Tapi Yannis boleh berdiri sambil berpeluk tubuh di tepi kereta dia.
Yannis berdecit. Jerit-jerit dah kenapa. Tak boleh nak cakap elok-elok ke.
"Hah, tengah mengutuk aku lah tu! Masuk sekarang sebelum aku tinggal kau dekat sini," ugut Hayyan.
Sengaja Hayyan menekan pedal minyak beberapa kali. Mengaum enjin kereta Audi A5 Hayyan.
"Eh, bising lah! Tak reti nak sabar ke?" bentak Yannis. Dijeling Hayyan yang sedang merenung dia.
"Masuk." Macam diktator, Hayyan memberi arahan.
"Sabar," tekan Yannis pula.
Perlahan-lahan Yannis melabuhkan duduk. Diangkat sedikit kaki kirinya untuk masuk ke dalam perut kereta.
Tak sempat tangan Yannis nak menarik tali pinggang keledar, badannya dah terhentak ke hadapan. Terhantuk dahi Yannis pada dashboard.
Hayyan ketawa. Lucu pula dia melihat muka cemberut Yannis. Tapi, dia suka. Rasa macam puas sebab dapat balas dendam dekat Yannis.
Bila sedar dia diketawakan, Yannis tegakkan badan. Sepasang tangan kecil dia laju menampar kuat bahu keras Hayyan untuk melepaskan rasa geram yang berbuku.
"Awak ni... Hesy!"
Tamparan di bahu Hayyan semakin lama semakin kuat sehinggakan Hayyan terpaksa menangkap tangan Yannis. Mengherot bibir dia mengejek Yannis.
"Tu balasan sebab kau kutuk aku tadi," bisik Hayyan di tepi telinga Yannis.
Tegak bulu roma Yannis bila suara Hayyan terasa sangat dekat dengan dia. Dikunci rapat mulutnya daripada membalas.
------
SECAWAN kopi hitam yang berasap nipis di hadapan disisip. Bibir Yannis tersenyum kecil apabila mengingatkan peristiwa yang berlaku petang tadi.
Siapa sangka, Encik Kutub Ais yang dingin tu sebenarnya anak kepada pemilik The Grand Vista. Kecil betul dunia ni.
Kalau bukan kerana mereka terjumpa dengan Dato Mikhael, dah tentu Yannis masih belum tahu identiti sebenar Encik Kutub Ais.
Malu bukan kepalang yang dia rasakan apabila bertembung dengan Dato Mikhael dan Datin Jasmine yang menjadi tetamu wawancaranya di tempat parkir hotel lewat petang tadi.
Dah lah masa tu Yannis sedang mengesot keluar dari perut kereta mewah Hayyan. Memang jatuh standard dia betul!
Yannis fikir, Dato Mikhael dan Datin Jasmine akan mengherdik dia apabila ternampak dia keluar dari perut kereta Hayyan. Rupa-rupanya, ramah sungguh pasangan suami isteri itu menegur dia.
Apa yang Yannis boleh simpulkan, lain betul perangai Hayyan dan ibubapa Hayyan.
Kalau Dato Mikhael dan Datin Jasmine ibarat burung murai, Hayyan pula tak ubah seperti ais beku di Kutub Selatan yang mengambil masa bertahun lamanya untuk cair.
"Hah, senyum-senyum apa tu? Tengah angau dekat pewaris Vista Group ke tu?" usik Diya.
Laju tangan Yannis membaling bantal berbentuk segiempat sama yang berada di atas ribanya kepada Diya. Tapi, Diya lebih cekap mengelak.
"Janganlah garang-garang, Yannis! Lari Hayyan nanti," usik Diya lagi.
Seronok bukan main lagi Diya bila wajah Yannis mula berona merah. Lagi bertambah seronok bila dia dapat menatap Hayyan di depan mata tadi.
"Hesy, kau ni! Ni yang aku tak suka cerita dekat kau ni. Suka sangat nak usik aku," rungut Yannis geram.
Kalau diikutkan rasa hati, Yannis memang tak nak ceritakan tentang pertemuan dia dan Hayyan. Tapi, Yannis sendiri tak pandai nak sorokkan rasa teruja dia untuk berkenalan dengan Hayyan.
Petang tadi, Yannis dihantar pulang oleh Hayyan. Mula-mula, Yannis berkeras supaya Hayyan hantar semula dia ke hotel.
Tapi bila mereka bertembung dengan Dato Mikhael dan Datin Jasmine, terus dimarahnya Hayyan bila Hayyan cakap Yannis nak drive sendiri. Berkeras juga Datin Jasmine supaya Hayyan hantarkan dia pulang dan Yannis terpaksa bersetuju.
Masuk saja dalam kereta Hayyan, bernanah jugalah telinga Yannis sebab kena bebel dengan Hayyan.
Kata Hayyan, semuanya salah Yannis sebab degil. Kalau tak, mesti dia tak kena marah dengan Datin Jasmine.
Panjang juga bebelan Hayyan tadi, tapi Yannis malas nak ambil pusing. Last last, dia buat-buat pekak je dengan omelan Hayyan.
Kebetulan pula Diya baru pulang dari pejabat semasa mereka tiba di perkarangan rumah. Jadi, Yannis tak dapat nak rahsiakan pertemuan dia dan Hayyan daripada Diya.
Pada mulanya, Diya tak puas hati. Diya cakap, sampai hati Yannis tak nak ceritakan pasal Hayyan kepada Diya.
Tapi terkenangkan mereka dah berkawan rapat selama 22 tahun, Yannis ceritakan semua yang terjadi dari A sampai Z. Baru lah Diya kembali tersenyum.
"Aku dah agak dah, kau memang termenung sebab teringat muka kacak Hayyan tu. Tapi tak apa... Sebab kau kawan aku, so dengan rela jiwa dan raga aku lepaskan dia untuk kau." Diya berdrama.
Terbang lamunan Yannis pada kisah tadi. Ditumpukan sepenuh perhatian pada Diya.
"Kau ni memandai je lah. Ni kalau Encik Kutub Ais tu tahu, free-free je kau kena maki."
"Tapi, kau memang suka Hayyan, kan? Yannis, aku ni dah kenal kau lama dah. Sejak kita sama-sama terkencing dekat tadika lagi," soal Diya, separa mengusik.
"Eh, kau cakap baik sikit! Aku ni budak baik. Mana ada kencing dekat tadika. Kau tu je, asyik menangis lepas tu terkencing dekat atas kerusi sendiri. Buat malu keturunan Mak Senah je," bidas Yannis.
Sakan Yannis gelakkan Diya. Masih segar di ingatan dia, betapa polosnya Diya masa tu. Maklumlah, Diya tu anak tunggal. Jadi, manja Diya pun lain macam sikit. Semuanya nak berteman.
"Suka hati kau je ungkit-ungkit zaman tok kaduk aku. Hesy, tak apa... Tak apa. Nanti kau dah mad in love dekat Encik Kutub Ais kesayangan kau tu, baru lah kau tahu siapa Diya Zulaika yang lembut tapi garang ni."
Diya menabik dada. Dijeling Yannis yang masih lagi ketawa.
"Apa-apa je lah, Cik Diya oii. Sekarang ni, tuan puteri yang cantik lagikan ayu ni nak masuk beradu dulu. Tata titi tutu. Pergi dulu," balas Yannis. Terhinjut-hinjut dia berjalan ke arah bilik tidurnya.
"Perasan!" kutuk Diya.
Yannis ketawa lagi. Walaupun perangai Diya kadang-kadang macam orang kurang siuman, tapi Yannis tetap bersyukur. Kehadiran Diya dalam hidup dia sangat menceriakan hari-hari dia.
Dalam hati, Yannis berdoa agar persahabatan mereka kekal selamanya. Dia dah sayangkan Diya macam darah daging sendiri. Tak sanggup rasanya dia nak berpisah dengan Diya.
-------
"YA mak, kak tahu." Malas-malas Yannis membalas.
Masuk saja Yannis dalam bilik, terus telefon dia mendendangkan lagu Grenade nyanyian Bruno Mars. Mengeluh Yannis bila perkataan "Mak" tertera di skrin telefon.
Ni tak lain tak bukan mesti emaknya di kampung dah menelefon Diya terlebih dahulu. Sejak dia terjatuh di depan Hayyan, tak sempat Yannis nak check telefon sendiri.
Yannis yakin, mesti Diya dah terlepas cakap pasal kakinya yang terseliuh. Berdesing jugalah telinga dia dengar bebelan Puan Maryam.
"Tau, tau. Hang tu memanjang je 'tau' bila kena tegur. Tapi, dalam banyak-banyak 'tau' yang hang cakap tu, berapa kali ja hang dengar cakap mak ni. Mak ni dah tua dah, kak. Bukannya lama lagi nak hidup. Haih, hang ni buat mak ghisau ja la," bebel Puan Maryam.
Hati ibu mana yang tak risau apabila anak duduk berjauhan? Dah lah anak yang tinggal berjauhan tu pula anak dara, makin risau dia dibuatnya.
Yannis mengeluh perlahan. Dia tahu yang dia dah buat Puan Maryam risau. Tapi dia pun tak minta apa yang jadi petang tadi.
"Mak ni... Janganlah cakap mengarut! Kak minta maaf, kak tahu salah kak. Kak cuai sikit tadi sebab nak cepat punya pasal. Mak jangan lah risau, kak okey ja kat sini," pujuk Yannis.
"Jangan risau hang kata? Hang habaq kat mak la ni... Kalau hang lah jadi mak, hang ghisau dak?"
Menggelegak hati Puan Maryam apabila mendengar ayat Yannis yang acuh tak acuh. Dia bukan apa, dia cuma risaukan Yannis. Nak dihalang ke ibu kota, nanti dikata paranoid pula. Sudahnya, dia cuma merelakan Yannis untuk berhijrah ke Kuala Lumpur.
"Kak tau mak risau. Tapi, kak terseliuh ja ni. Dua tiga hari lagi elok lah kaki ni," balas Yannis sambil mata tertumpu ke arah kaki kiri yang berbalut.
Nampak gayanya, terpaksa lah Yannis berehat untuk beberapa hari ini. Susah juga kalau-kalau ada job yang menanti.
Segera Yannis beristighfar. 'Ingat Yannis, rezeki tu milik Dia. Bila-bila masa je Dia boleh bagi,' pujuk hatinya.
"Hmm kalau dah lagu tu hang kata, takpa lah. Mak ni bukan apa, hang tu dah lah anak dara lagi. Apa-apa jadi satgi, ghenyah (susah) hang tau dak," leter Puan Maryam lagi.
Kadang-kadang, hati tua Puan Maryam terusik sedikit apabila mengenangkan anak-anak yang dah berjauhan dengan mereka suami isteri.
Tapu, apakan daya. Tak mungkin dia tegar nak menghalang anak-anaknya untuk pergi merantau.
"InsyaAllah tak ada apa yang berlaku, mak. Mak doa lah banyak-banyak untuk kak, ya. " pinta Yannis lagi.
"Mak ni selalu doa untuk anak-anak mak. Mak harap hampa semua elok-elok ja lah. Ni mak nak tanya ni..."
Alamak, ni tak lain tak bukan mesti Puan Maryam nak tanya pasal kahwin! Yannis gigit ulas bibir bawah.
"Bila hang nak menikah? Hang tau dak, anak Mak Eton depan rumah tu dah nak menikah hujung bulan ni. Dia tu sebaya hang, kan?" soal Puan Maryam melulu.
Ting! Kan betul telahan Yannis tadi.
"Mak, biar lah kalau Alia nak kahwin pun. Dah jodoh dia sampai, nak buat macam mana lagi, kan?" balas Yannis perlahan.
Jari Yannis menguis cadar katil. Dia baru 27 tahun, tapi Puan Maryam tak habis-habis nak suruh dia kahwin.
"Habis, jodoh hang tu tak sampai-sampai lagi ka? Jodoh-jodoh ni kita kena cari, bukannya tunggu dia mai melangut depan rumah batu mak ni..."
Macam peluru berpandu Puan Maryam membebel. Yannis sengaja menguap kuat, dengan harapan Puan Maryam faham yang dia nak tidur.
Puan Maryam berdecit. Pantang buka topik kahwin, ada saja cara Yannis nak mengelat.
"Hah, tu nak lari lagi lah tu. Hang ni lah, kak... Hang nak jadi andartu ka apa? Mak dok bercakap, dia boleh pula nak tidur."
"Mak, bukan kak yang minta mulut ni menguap. Dah tiba masa mata ni tidur, tu yang dia bagi petanda awal tu." Yannis berloyar buruk.
"Hang ni lah, haih... Tak tau dah mak nak kata apa lagi kat hang. Jangan dok menikah tu lambat sangat. Orang perempuan ni tak elok menikah lambat-lambat. Nanti tak subur baru hang tau," laser mulut Puan Maryam.
Yannis sembam muka ke bantal. Ya Allah, mak aku ni... Sampai ke situ dia fikir. Ni nasib cakap dekat telefon. Kalau berdepan ni, mana nak sorok muka, jah oii.
"Mak ni... Apa cakap benda-benda subur tu. Kak segan lah." Perlahan suara Yannis kedengaran.
"Hang toksah dok malu-malu sangat lah. Mak habaq benda betui tau!"
Yannis rasa muka dia dah berbahang sekarang ni. Lagi sekali, dengan sengaja dia menguap panjang.
"Mak, kak dah mengantuk sangat dah ni. Kak tidur dulu, nah? Mak kirim salam kak untuk ayah, tau! Selamat malam,mak. Kak sayang mak... Muah!" balas Yannis panjang.
Tak tunggu Puan Maryam membalas, terus Yannis matikan talian.
Fuh, nasib baik! Kalau dibiarkan lama lagi, silap-silap sampai esok pun Puan Maryam tak habis cakap pasal "benda" subur-subur tu.
--------
"HAHAHAHA."
Pusing saja kepala ke belakang, Yannis nampak Diya yang sedang gelak di muka pintu. Berair mata Diya disebabkan terlampau banyak ketawa.
Yannis merengus.
"Diam lah kau. Ni, kau punya pasal lah ni. Siapa suruh mulut kau tu celupar sangat nak beritahu mak aku? Tak pasal-pasal aku kena bebel."
Diya tayang sengih. Dua jari diangkat tanda 'peace.'
"Bukan aku tak dengar, mak kau suruh kau kahwin. Kan, kan? Apa susah, kau pinang je lah Hayyan tu jadi suami kau. Settle masalah," balas Diya selamba.
Diya melangkah masuk ke dalam bilik tidur Yannis. Bahagian katil di sebelah kanan dijadikan alas untuk dia berbaring.
"Kau ni... Mulut tu, hesy!"
Jari runcing Yannis laju mengetam isi lengan Diya. Bukan dia cubit betul-betul pun, Yannis cubit-cubit manja je.
"Tak betul ke apa aku cakap ni? Kau jangan lambat-lambat, Yannis. Berputih mata kau nanti," pesan Diya sebelum dia tertawa kecil.
Yannis menjeling Diya. Ditolak badan Diya yang sedap berbaring di atas katil.
"Dah lah kau, pergi balik bilik sana! Menyemak je dalam bilik aku," usir Yannis.
Lambat-lambat Diya pasakkan kaki di lantai bilik Yannis. Berundur dia setapak dua ke belakang.
"Aku tahu, kau halau-halau aku ni sebab kau nak on the phone dengan Hayyan, kan?" Diya mengusik.
"Kau tak payah merepek lah, Diya!"
"Acece... Malu lah tu! Pergi lah calling-calling abang Hayyan kau tu. Jangan lupa cakap I love you dekat dia. Biar Hayyan tu angaukan kau pula nanti," pesan Diya.
Bila Diya nampak Yannis yang berura-ura nak bangun untuk menampar dia, mencicit Diya lari ke biliknya.
"Abang Hayyan, Yannis rindu abang Hayyan," ajuk Diya. Suara dimimikkan seperti suara Yannis.
"Diya Zulaika binti Darius! Kau tunggu esok!" jerit Yannis kuat.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro