❣ Bab 13
Sembilan tahun lepas...
"TERIMA kasih," ucap Yannis malu-malu.
Seorang lelaki yang memakai baju berkolar berwarna hitam dan seluar slack berwarna khaki tersenyum ke arah Yannis. Dibetulkan letak duduk topi di atas kepalanya.
"Terima kasih sebab?" tanya lelaki yang berdiri bertentangan dengan Yannis.
Yannis langutkan muka. Berbalas pandang dia dan lelaki tersebut. "Untuk teh ais semalam."
"Oh, benda kecil je! Lagipun, semalam tu... saya belanja yang lain juga. Bukan ke Sir Saiful yang minta saya belanja semua classmate kita?"
Yannis angguk, mengiakan soalan si teruna. "Saya tahu, tapi saya tetap rasa bersalah kalau saya tak berterima kasih pada awak."
Kedengaran tawa halus terbit dari ulas lelaki tersebut. Yannis rasa badan dia semakin mengecil. Apatah lagi bila mereka menjadi tumpuan pelajar yang lalu lalang di koridor kelas.
"Kasih awak dah diterima. Jadi, awak jangan rasa bersalah lagi dah."
"Okey lah, saya pergi dulu. Kawan saya dah tunggu dekat kafe," pamit Yannis.
Baru dua tapak Yannis melangkah, kedengaran namanya diseru.
"Kayla! Nanti dulu."
"Kenapa, Taufiq?"
Kayla; nama akhirnya cuma digunakan di sini. Di kolej tempat dia belajar.
Agak pelik juga pada pendengaran Yannis apabila rakan sekelasnya memanggil dia sebagai Kayla. Bukan Yannis.
Tapi, Yannis tak kisah. Memandangkan ada seorang pelajar perempuan bernama Anis, dan mereka sering keliru, Yannis dengan sukarela memperkenalkan dirinya sebagai Kayla.
"Kayla, awak sudi tak jadi kawan perempuan saya yang pertama dekat kampus ni?"
Yannis terkedu. Belum pernah ada lelaki yang berani mendekati dia seperti Taufiq. Dan kala ini, terasa ada rama-rama yang berterbangan dalam perut Yannis.
"Err... Boleh." Yannis sedapkan hati sendiri. Rasanya, tak menjadi masalah kalau mereka berkawan biasa.
"Terima kasih, Kayla. Awaklah kawan perempuan saya yang pertama dekat kampus ni. Bye, saya pergi dulu!"
Yannis sekadar memandang kelibat Taufiq yang melambai dia. Hilang saja kelibat Taufiq, diurut lembut dada dia.
"Hesy! Yang aku berdebar semacam ni dah kenapa? Relaks lah, dia ajak kawan je."
-------
BERKERUT dahi Sofea memandang Yannis. Sedari tadi, Yannis cuma diam. Tapi dia perasan, ada masa Yannis tersenyum seorang diri.
"Kayla! Kau okey tak ni?" Rimas melihat Yannis yang masih khayal dalam dunia sendiri, Sofea menegur.
Bahu Yannis terangkat ke atas dek terkejut. Dipanggung muka untuk melihat Sofea.
"Hah? Err... Kau cakap apa tadi, Fea?"
Entah macam mana, boleh pula Yannis teringatkan pertemuan dia dan Taufiq tiga hari lepas.
"Aku tanya, kau okey ke tak?" ulang Sofea.
"Aku okey je lah. Kau nampak aku macam tak okey ke?"
Yannis memandang Sofea pelik. Rasanya, dia normal je. Tak ada pula dia buat perkara yang pelik-pelik hari ni.
"Hmm. Aku perasan kau asyik termenung je lately ni. Lepas tu, senyum sorang-sorang. Kau ada masalah ke Yannis?" Prihatin Sofea menyoal.
Disebabkan keduanya mengambil jurusan Business Administration, mereka mula rapat walaupun baru sebulan semester bermula.
Tambahan pula, Sofea dan Yannis merupakan pelajar Tahun Satu. Jadi, belum ramai pelajar lain yang dikenali. Ini pun, mujur mereka satu rumah di asrama.
"Tak ada lah. Aku tak ada masalah apa-apa pun. Err... Fea..." panggil Yannis.
Dalam hati, Yannis berkira-kira sama ada perlu atau tak dia ceritakan tentang persahabatan dia dan Taufiq. Tapi kalau tak cerita, Yannis rasa seperti dia belakangkan Sofea sebagai kawan rapat dia di kampus.
Sofea sekadar berdehem sebagai balasan. Langsung tak berkalih sepasang mata dia dari menonton drama Korea di iPad.
"Kau kenal Taufiq tak?" Yannis bermukadimah.
"Taufiq classmate kita tu ke?" tanya Sofea.
Yannis jatuhkan kepala sekali.
"Kenapa dengan Taufiq tu? Kau suka dia ke?" Sofea cuba korek rahsia Yannis.
Ditutup iPad dan diletakkan di tepi katil. Dari berbaring di atas katil sendiri, Sofea duduk di birai katil Yannis.
"Hesy, mana ada! Aku tak suka Taufiq tu lah," nafi Yannis. Ditepuk lengan Sofea sekali.
Sofea senyum senget. Nakal riak wajah yang ditayang. "Betul ke ni?"
"Betul lah! Aku kawan je dengan dia. Lagipun Taufiq tu tak move on lagi dari ex girlfriend dia masa sekolah dulu," cerita Yannis.
"Taufiq cerita dekat kau ke? Dia cerita tak sebab apa dia putus dengan bekas teman wanita dia tu?" soal Sofea, penuh minat.
Yannis ketuk bawah dagu, cuba ingat semula kalau-kalau Taufiq pernah beritahu sebab dia putus dengan teman wanitanya.
"Rasa macam tak ada. Taufiq cuma cakap, ex dia minta break masa Form 5. Bila aku tanya kenapa, katanya, ex dia nak fokus SPM."
Seperti burung belatuk Sofea mengangguk. Bila dia tersedar sesuatu, ditampar belakang tangan Yannis perlahan.
"Eh! Tapi kan, dah lama ke kau dan Taufiq berkawan?"
Yannis geleng. "Baru tiga hari."
Tiga hari? Dahi Sofea berlapis. Baru sangat. Tapi macam mana Yannis dan Taufiq boleh berkawan rapat? Sampai Taufiq boleh ceritakan kisah cinta dia lagi.
Dan yang lebih menjadi tanya, sejak bila Yannis bertegur sapa dengan Taufiq? Dia dan Yannis jarang berenggang. Ke mana-mana pasti bersama.
"Siapa yang tegur siapa dulu? Bila pula korang start bersembang ni?"
Yannis garu belakang kepala. Segan pula nak mengaku dia yang tegur Taufiq dulu.
"Err... Aku tegur dia dulu. Tu pun sebab nak ucap terima kasih pasal teh ais tu je," jawab Yannis.
"Lepas tu...?"
"Dia cakap sama-sama. Masa aku nak pergi kafe tu, dia tiba-tiba panggil aku. Taufiq tanya aku nak tak jadi kawan perempuan dia yang pertama dekat kampus ni."
"Lepas tu, kau setuju?"
Lambat-lambat Yannis mengangguk.
"Aku kesian pula bila dia tanya macam tu. Lagipun, aku rasa tak salah pun kalau aku jadi kawan dia. Bukan dia ajak aku jadi teman wanita dia pun."
Lebar senyuman Sofea. Yannis, Yannis... Polos sangat.
"Tak apa lah, aku doakan yang terbaik untuk kau dan dia. Long lasting, Kayla."
"Thank you, Fea. Kau doakan ya," gurau Yannis.
------
HARI ini, Yannis akan pulang ke rumah Encik Yusri di Kedah. Memandangkan Encik Yusri tak dapat mengambil dia, Yannis putuskan untuk menaiki bas persiaran.
Taufiq
Dah naik bas ke?
Kiriman mesej daripada Taufiq dibaca. Yannis cuba mengawal debar di dada.
Ya, Taufiq tahu dia akan pulang ke Kedah dengan menaiki bas. Semalam, sempat Taufiq tanyakan pada Yannis sama ada dia dijemput oleh keluarga atau dia pulang sendiri ke Kedah.
Bila dijawab dia akan pulang dengan bas, terus Taufiq tanya jam berapa tiket yang diambil.
Yannis
Ya, saya baru je naik bas.
Taufiq
Bas dah gerak ke?
Yannis
Dah. Baru gerak.
Taufiq
Nak saya teman awak tak?
Yannis tertawa kecil. Merepek betul Taufiq ni. Nak teman apa bendanya kalau bas pun dah gerak.
Yannis
Awak lambat.
Bas dah gerak dah pun.
Tak sampai lima minit, getaran dari telefon buatkan Yannis kembali mengubah tumpuan dari memandang bukit-bukit yang menghijau.
Taufiq
Takpa, hati saya selalu bersama awak.
Kiranya hati saya dah temankan awak.
Yannis tahan bibir dari senyum. Taufiq sangat manis mulutnya.
Yannis
Hesy, merepek!
Taufiq
Saya tak merepek, saya serius ni.
Awak nak saya teman awak tak?
Lama Yannis diam. Berfikir ayat yang sesuai untuk menolak tawaran Taufiq. Dia bukan sombong. Dia cuma mahu meletak 'jurang' antara mereka.
-------
"H- HELLO?"
Bunyi telefon yang menjerit buatkan Yannis kalut-kalut menjawab. Risau juga dia kalau menganggu penumpang yang lain memandangkan ada di antara mereka yang nyenyak diulit tidur.
"Taufiq?" tegur Yannis lagi bila Taufiq sekadar ketawa.
Terkejut. Itu yang Yannis rasakan apabila Taufiq tiba-tiba sahaja menelefon dia. Mesej Taufiq dibiarkan tak berbalas.
"You sound so shocked, Kayla." Sekali lagi Taufiq ketawa.
Yannis garu pipi yang tak gatal. Jelas sangat ke nada terkejut dia tadi.
"Sorry, saya tak terfikir pun awak akan call."
"Saya tahu. I waited for your messages but it's been 10 minutes," balas Taufiq.
Taufiq sekadar mencuba nasib. Langsung tak ditaruh harapan sama ada Yannis mahu mengangkat atau tak panggilannya.
"Err, sorry. Saya ralit sangat tengok pemandangan tadi. By the way, kenapa awak call?" Yannis tipu sunat.
Melebar senyuman Taufiq dengan soalan Yannis.
"Kan saya dah janji nak teman awak sepanjang awak ada dalam bas."
"Oh! Tapi saya okey je kalau awak tak teman pun. Saya dah biasa naik bas sorang-sorang," balas Yannis.
Taufiq kedengaran terkejut. Apa yang buatkan Taufiq terkejut pun Yannis tak pasti. Namun, setelah mendengar soalan yang keluar dari bibir Taufiq, barulah Yannis faham.
"Seriously?! Awak naik bas sorang-sorang?"
"Ya, saya naik bas sorang-sorang. Kenapa awak terkejut sangat ni?"
"Saya terkejutlah. Awak kan perempuan, Kayla. Tak bahaya ke naik bas sorang-sorang?"
Berkerut dahi Taufiq. Kuala Lumpur nak ke Kedah bukannya dekat. Jauh. Berani betul Yannis naik bas seorang diri tanpa teman.
"Nak bahaya apa? Dalam bas ni, ada 27 seats. Driver pun ada dekat depan. Bukannya saya seorang je dalam ni." Menggeleng Yannis dengan soalan Taufiq.
"Tapi bahayalah, Kayla. Hesy, risau saya ni!" Taufiq masih dengan hujahnya.
"Saya dah biasalah, Taufiq. Dari sekolah menengah lagi saya naik bas sorang-sorang macam ni."
"Oh! Awak boarding school ke dulu?" tanya Taufiq penuh minat.
"Ya. Sampai Tingkatan Lima."
"Cuba cerita kenangan awak dekat boarding school dulu. Mesti best, kan?"
Yannis serba salah. Dia mahu menghentikan perbualan mereka secepat yang mungkin, tapi Taufiq seperti berminat dengan kisah zaman persekolahannya.
Sedar tak sedar, hampir separuh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kedah Yannis berbual dengan Taufiq.
Mujur saja bateri telefon Taufiq mahu habis waktu itu. Kalau tak, barangkali sehingga Encik Yusri menjemput dia, barulah tamat perbualan mereka.
------
SUDAH dua bulan berlalu sejak kejadian Yannis dan Taufiq bergayut di telefon. Selama dua bulan ini, persahabatan antara Yannis dan Taufiq menjadi lebih akrab.
Dan pagi ini, sewaktu menaiki shuttle yang disediakan oleh pihak asrama untuk ke kampus, Yannis terdengar perbualan antara seorang rakan sekelasnya dan seorang perempuan dari kelas sebelah.
"Kau dah tanya Taufiq tu ke, dia dah ada girlfriend ke belum?"
Oh! Kalau tak silap Yannis, ini suara Mawar; pelajar perempuan dari kelas sebelah.
"Belum. Aku tak sempat lagi nak tanya Taufiq tu. Dia macam busy je lately ni."
Dan ini suara Arisya, rakan sekelasnya.
"Kau serius ke suka Taufiq tu?"
Kali ini, soalan itu terbit dari Arisya. Yannis cuba buat tak endah dengan soalan Arisya walaupun pada hakikatnya, dada dia diasak untuk mendengar jawapan Mawar.
"Serius. Aku memang sukakan Taufiq tu. Dia handsome. Lepas tu, dia baik sangat dengan perempuan. Nampak gentleman."
Dada Yannis rasa sesak. Ada perempuan lain yang minat Taufiq. Ada perempuan lain yang rasa Taufiq ni gentleman macam apa yang dia rasa selama ni.
-------
SANGKA Yannis, rasa kusut pasal Taufiq akan berakhir pagi tadi. Tapi, sangkaan dia meleset sama sekali.
Hari ini, sudah seminggu berlalu sejak Yannis terdengar perbualan Arisya dan Mawar. Dan selama seminggu ini juga, otak dia tak henti-henti berfikir soal Taufiq.
"Hoi, termenung!" sergah Sofea.
Bila bahu Yannis terjungkit ke atas, tawa Sofea meletus. Nampak sangat Yannis langsung tak sedar akan kehadiran dia di sisi Yannis. Sedangkan, dah 30 minit dia duduk di tepi Yannis.
"Kau ni... salam mana salam?" Cemberut muka Yannis.
Sofea angkat peace. "Salam tak ada."
Puk! Yannis tampar kuat tepi bahu Sofea. Bila Sofea mengaduh, lidah dijelir.
"Kau fikir apa ni, Kayla? Aku nampak kau macam serabut je seminggu ni," tanya Sofea.
Bukan Sofea seorang yang perasan akan perubahan Yannis. Rakan serumah yang lain turut sama perasan akan perubahan Yannis itu.
Yannis geleng. Selagi boleh dipendam, dia mahu pendam. Lagipun, apa pula yang Sofea akan fikir nanti kalau Sofea tahu otak dia serabut pasal Taufiq.
"Pasal Taufiq ke?"
Sofea rasa tekaan dia mengena apabila Yannis laju memandang dia. Terus dipetik jari di depan muka Yannis.
"Aku dah agak dah! Kau mesti fikir pasal si Taufiq tu."
Hairan. Seingat Yannis belum pernah lagi dia ceritakan apa yang terbuku di dada kepada Sofea.
"Macam mana kau tahu?" tanya Yannis.
Sofea mendabik dada. "Ni Sofea lah, Kayla. Kau tu kalau kusut mesti pasal Taufiq. Betul kan, kau memang kusut pasal Taufiq tu?"
Mahu tak mahu Yannis mengangguk. Diceritakan apa yang berlaku pagi tadi kepada Sofea.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro