Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Usikan Manja

"Apa masalah kau? Dah gila? Bila nak mati? Kerja mengusik anak orang!"

Maira menekup telinga saat soalan itu kembali terngiang-ngiang di telinga. Ngilu hati usah dikata tiap kali teringat soalan tersebut, membuatkan rasa bersalah semakin lama semakin menguasai diri.

Naim.

Hati Maira bagai disiat-siat dengan pisau setiap kali teringatkan sebaris nama itu. Nama yang telah meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.

Siapa yang tak kenal Naim? Pelajar lelaki paling nakal dan selalu masuk bilik guru disiplin mengalahkan ketua pengawas! Kaki mengusik tak kira masa dan antara mangsanya ialah Maira.

Setiap kali Maira berada di hadapannya, pasti akan ada sesuatu yang berlaku. Sama ada dia tarik hujung tudung Maira, atau dia acah nak peluk Maira atau macam-macam lagi.

Kemuncak usikannya ialah bila dia kacau Maira si Bibliophile tengah melayan perasaan sambil membaca novel Tercipta Satu Ikatan nukilan Laydee Amarfi di perpustakaan. Mengamuk sakan Maira sampai nak baling meja dekat si Naim yang tersengih-sengih seperti kerang busuk. Nasib mereka di perpustakaan, kalau tidak dah lama melayang buku, meja dan kerusi ke arah si tinggi lampai yang berkulit sawo matang ini.

Akan tetapi walaupun sering ditengking dan dijerkah oleh Maira, Naim masih setia mengusik si gadis, membuatkan Maira yang sudah tidak tahan bertindak menyembur dia dengan soalan-soalan yang mampu menyiat hati siapa yang mendengarnya.

"Apa masalah kau? Dah gila? Bila nak mati? Kerja mengusik anak orang!"

Naim tidak menjawab bahkan hanya tergelak, menyebabkan hati Maira membara dengan kemarahan. Namun siapa dapat menduga itulah kali terakhir dia melihat wajah seorang Naim.

Sebaik menjejak kaki ke sekolah pada hari berikutnya, Maira telah dikejutkan dengan satu berita Naim telah ditikam oleh ayahnya sendiri. Rupa-rupanya selama ini Naim telah mengalami masalah keluarga. Ibunya lari dari rumah, menyebabkan si ayah yang tertekan bertindak mengambil dadah membuatkan hidup Naim dan adiknya sengsara. Namun tiada seorang pun yang tahu akan hal ini kerana Naim bijak menyorokkan permasalahan keluarganya dengan sikap nakal dia. Hari-hari Naim berlalu dengan derita tanpa ada yang tahu. Dan segalanya berakhir semalam. Naim telah ditikam di bahagian dada berkali-kali oleh ayahnya yang berada di bawah pengaruh dadah demi menyelamatkan si adik yang sudah nyawa-nyawa ikan dek dibelasah oleh ayahnya.

Maira terdiam ketika berita tersebut tersebar di kawasan sekolah. Perasaan bersalah menguasai diri. Dia langsung tak menduga segala perilaku nakal Naim hanyalah sekadar untuk mengaburi kisah dukanya. Dan sekarang, Naim sudah pergi tanpa sempat dia memohon maaf atas soalan-soalan yang tidak patut keluar dari mulutnya.

"Naim..." Maira menyebut perlahan nama jejaka malang sambil merenung ke luar jendela. Suasana bising di waktu rehat tidak mampu untuk membuatkan rasa bersalah menghilang dari jiwa Maira.

"Maafkan aku atas keterlanjuran bicara. Semoga kau ditempatkan di kalangan orang yang beriman."

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro