BAB 6
PINTU rumah Mikael diketuk kuat apabila loceng rumah yang sudah ditekan berkali-kali masih tidak terbuka.
Dua tiga kali juga pintu itu diketuk. Maryam merengus. Dia ni buat apa maghrib-maghrib macam ni? Tidur ke apa?
"Mikael!" Maryam berbisik rapat dengan pintu sambil pintu diketuk-ketuk.
Beberapa saat kemudian, pintu dibuka kasar dan Maryam hampir terjatuh menyembah lantai. Nasib sahaja Mikael sempat menyambut tubuh itu dari tersembam.
Cepat-cepat Maryam berdiri semula. Dia berdehem sedikit.
"Ni telefon awak. Bagi balik telefon saya," pinta Maryam. Dia langsung tak pandang wajah Mikael. Segan.
Tubuh lelaki itu hanya memandang kepala Maryam yang menunduk ke bawah.
"Hoi." Suara itu sedikit kasar daripada biasa walaupun ia rendah. Maryam pelik. Dia mendongak sedikit ke atas.
Wajah Mikael kelihatan selamba dengan T-shirt kelabu cair kosong dan seluar track. Tangan sebelah lelaki itu berada di dalam poket seluar.
Hoi? Maryam geram.
"Hoi? Saya ada nama, okey. Maryam. Maryam. Bukan hoi!" jawab Maryam.
"Macam mana kau boleh pegang phone aku?" soal lelaki itu.
Kejap-kejap-kejap. Aku?
"Tadi balik kenduri saya terambil phone awak. Awak terambil my phone kut."
"Macam mana kau boleh pergi kenduri dengan aku? Kau siapa?" Suara dia selamba.
"Saya siapa?" Maryam hembus nafas berat.
"Never mind. Pulangkan balik phone saya. Saya tak access phone awak pun, jangan risau." Maryam jadi menyampah.
Hafez ke ruang tamu dan mencapai telefon bimbit Maryam. Telefon itu diselongkar sambil jalan ke pintu utama.
"Wow. Siapa ni? Cantik." Hafez tunjuk gambar yang ada di dalam telefon bimbit Maryam. Gambarnya bersama Meen.
"Hei! Sesuka hati buka phone orang kenapa?!" Maryam jadi berang.
"Kau yang tak lock phone, kenapa? Tak fikir pula kalau hilang, orang lain boleh access data kau sesuka hati."
"Suka hati sayalah nak lock ke tidak. Bak balik phone saya!" Maryam hulur tangan.
Hafez makin ligat menyelak satu per satu gambar Maryam yang diambil ketika berada di kenduri Myna. Bibirnya tersengih-sengih.
"Seriously, she's hot. Dia kawan kau ke? Cantik doh." Hafez sengih sambil menjamu matanya dengan wajah-wajah Meen.
"Bak balik la!" jerit Maryam.
"No. Aku rasa macam nak simpan phone ni sehari. You can have mine." Pintu rumah ditutup.
Maryam terpinga-pinga di hadapan pintu yang sudah tertutup rapat.
"IBU!" Muaz mencari-cari kelibat Puan Misha di dalam rumah. Tidak kelihatan.
"Ibuuu..." panggil Muaz lagi dengan senyuman yang tak lekang dari bibir.
"Ibu." Muaz tolak pintu bilik stor dan tubuh wanita tua separa abad itu kelihatan. Senyumannya mati apabila sang ibu cepat-cepat menyeka air mata.
Wajah lelaki itu bertukar bengis apabila gambar yang cuba disorokkan si ibu ditemui.
"Abang dah suruh ibu buang semua gambar-gambar ni, kan!" jerkah Muaz kuat membuatkan Puan Misha menggeletar.
"Maafkan ibu, Muaz. Ibu tengah berkemas, ibu terjumpa gambar lama," tangis wanita itu.
"Bak sini gambar tu. Ibu bagi sini gambar tu!" Muaz cuba merampas kepingan-kepingan foto yang berada di tangan Puan Misha. Jenuh wanita tua itu cuba memegang erat gambar itu tapi dia tidak berdaya apabila tenaga lelaki Muaz lebih kuat daripadanya.
"Hei! Sekali lagi abang nampak ibu simpan muka dua orang ni lagi, ibu tengok apa abang buat dengan Syira," ugut Muaz.
Dia lantas keluar dari bilik stor dan pergi ke halaman belakang untuk membakar foto-foto tersebut.
Puan Misha cuba menahan tangisannya dalam keterpaksaan. Matanya merah menyala.
"Assalamualaikum!" Lembut suara itu menyapa telinga Muaz dan Puan Misha.
"Waalaikumussalam," jawab Muaz yang masuk semula ke dalam rumah.
"Eh, abang ada kat rumah? Ingatkan kat ofis lagi." Syira letak beg tangannya di atas sofa.
"Baru balik aje. Adik dah makan ke?" Muaz kembali senyum seakan tiada apa-apa yang berlaku.
"Belum! Adik balik ni nak makan la. Terlanjur abang ada kat rumah ni, abang masakkanlah untuk adik! Hari tu abang buat Spaghetti Aglio Olio tu sedap sangat! Buatkan lagi untuk adik." Syira sengih manja.
"Eee... Dah besar pun minta abang masakkan lagi. Kau tu dah boleh jadi mak orang tau. Cubalah belajar memasak. Kasi abang dengan ibu pula yang rasa masakan kau."
"Ala, abang ni. Kalau tak nak masak tu cakap ajelah. Perli-perli kita pula." Syira tarik muka masam.
"Eleh, merajuk pula dia. Pergilah naik atas, mandi. Kejap lagi abang dah sudah masak, abang panggil kau turun. Pergi mandi! Busuk ah!" Ketawa Muaz. Hilang terus wajah bengisnya.
"Wangi okey. Adik pakai perfume tau." Syira menjelir dan pantas berlari naik ke biliknya.
Puan Misha yang baru keluar dari bilik stor memandang Muaz dengan takut-takut.
"Ibu pergilah naik atas, mandi. Kejap lagi abang dah sudah masak, abang panggil ibu turun," kata Muaz dengan nada yang rendah. Hilang sudah marahnya.
Puan Misha melangkah tanpa bunyi.
MARYAM ketuk pintu rumah Mikael sekali lagi. Bertalu-talu sebelum pintu itu dibuka sedikit. Rantai besi di balik pintu dibiarkan tidak terbuka supaya Maryam tidak boleh menolak untuk masuk ke dalam rumah. Manalah tahu dia buat gila, kan.
"Hoi!" Maryam hilang sabar.
"Hoi? Kau hoikan aku? Aku ada nama okey. Nama aku bukan hoi. Hafez. H-a-f-e-z. Hafez."
"Mikael, tak payah nak main-mainlah! Siang tadi awak tak buat perangai macam ni pun." Maryam tolak pintu rumah tetapi tidak boleh terbuka luas dek rantai besi itu.
"Look! Another Meen!" Hafez tunjuk gambar yang berada di dalam telefon bimbit Maryam.
"Mikael!" tegas Maryam. Dia cuba capai telefon bimbit itu. Tetapi tangannya sahaja yang mampu melepasi ruangan pintu yang terbuka itu.
"Hafez!"
"Mikael!"
"Aku Hafez!" jerit Hafez kuat. Maryam terkedu.
Rantai besi itu diselak dan lengan Maryam ditarik masuk ke dalam rumah yang gelap tidak dihidupkan lampunya. Pintu rumah ditutup rapat. Maryam terkesima bila tubuhnya ditolak di belakang pintu.
Cahaya dari balkoni di ruang tamu memberi ruang untuk Maryam dan Hafez berpandangan sesama sendiri.
"Bila kau mula kenal Mikael?" soal Hafez.
"Apa maksud awak ni?"
"Okey tak nak jawab? Fine. Siapa ni?" Dari muka garang, reaksi muka itu bertukar nakal.
"Dia kawan saya, Meen. Awak dah jumpa kan dekat kenduri tadi."
"Oh..." Hafez dengan sebelah tangan masih menyelak gambar-gambar itu. Sebelah tangan lagi menolak bahu Maryam ke belakang pintu.
Telefon yang berada di tangan Maryam kemudiannya bergetar. Kepala wanita itu menoleh ke arah telefon bimbit itu.
Maryam.
Namanya keluar di skrin telefon bimbit dari aplikasi WhatsApp.
"Awak hantar apa?" soal Maryam.
"Nak balik tak phone kau?" tanya Hafez.
"Bak sini!" Maryam tepis tangan lelaki itu dari bahunya.
"Nah. Bagi phone aku." Telefon bertukar tangan.
Segera pintu rumah dibuka semula dan tubuh Maryam ditolak dari belakang untuk segera keluar dari rumahnya.
"Thanks," kata Hafez sebelum pintu ditutup dan dikunci.
Maryam sugul. Kakinya menggeletar. Dia terduduk di lantai. Telefonnya dibuka.
Semua gambar yang ada Meen terpampang di dalam aplikasi WhatsApp yang dituju kepada Mikael. Semua dah bluetick!
Maryam ketap gigi. Pantas dia bangun semula dan menendang pintu rumah lelaki itu.
"Aw!" Menyeringai kesakitan dia dibuatnya.
Aku ingat dia baik dengan aku, sebab dia baik. Tapi dia baik dengan aku sebab Meen! So, betullah tadi dia senyum kat Meen!
Maryam hentak kaki hingga masuk ke dalam perut lif.
Maryam buka pintu rumah dengan kasar dan mencampak selendangnya ke bahu sofa. Punggungnya dihenyak di atas sofa empuk itu. Televisyen dihidupkan.
Suara dari televisyen langsung tidak menenteramkan jiwanya. Azan maghrib sudah 20 minit berlalu. Telefonnya berdering.
"Assalamualaikum, baby!" sapa Meen dari hujung talian. Maryam merengus perlahan.
"Waalaikumussalam. Kenapa?" jawab Maryam.
"Amboi garangnya kau. Tak ada mood ke? Datang bulan, eh?" Ketawa Meen di hujung talian.
Maryam makin geram dengan lawak tak bodoh Meen. Entah kenapa perlu dia marahkan Meen sedangkan Si Mikael tu yang menyakitkan hati dia?
"Hm, aku tak ada mood sangat. Kenapa?"
"Aku nak tidur rumah kau malam ni boleh?" tanya Meen.
"Hah? Kenapa?" Maryam terus duduk tegak.
"Eh, kau ni. Macam tak biasa pula aku tidur rumah kau. Aku bosan. Irsyad fly malam ni sampai minggu depan."
"Pergi mana kali ni?"
"Entah. Aku malas nak ambil tahu dah. Travel merata boleh pula. Ajak kahwin bukan main liat. Biarlah dia. Dah masanya aku move on daripada dia. Buang masa, tambah dosa aje aku tunggu dia," bebel Meen.
"Kau ada suka sesiapa ke?" Maryam tanya terus.
"Hah? Gila kau ni. Kau ni dah kenapa? Boleh tak aku nak tidur sana?"
"Er... Okey. Nanti kau dah sampai basement, kau call aku. Aku ambil kau kat bawah," beritahu Maryam.
"Hei, perempuan gila. Selalunya aku boleh aje naik sendiri. Ni dah kenapa nak dijemput-jemput segala?" Meen ketawa.
"Beritahu ajelah. Sekarang ni banyak kes culik. Kau nak ke kena culik? Dah. Aku nak solat. Dah sampai call aku." Talian dimatikan Maryam.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro