Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 2

MARYAM pulang ke kondominiumnya dengan tubuh badan yang kian hilang tenaganya. Esok pula kenduri. Letih juga. Tapi kalau dah sebab kawan baik, kau yang mengandung, aku yang rasa perit nak beranak ha!

Maryam memarkirkan keretanya ke dalam kotak kuning. Dia bersandar sebentar di kerusi menghabiskan lagu When We Where Young daripada Adele. Matanya dikatup sebentar. Dia perlukan masa untuk merehatkan tubuhnya sedikit sambil menghayati lagu yang berkumandang di dalam perut keretanya.

Maryam yang hampir tertidur terus tersedar apabila terdengar ketukan dari tingkap cermin keretanya. Matanya terbuka luas dan wajah Mikael merupakan subjek bebola matanya sedang fokus.

Pantas Maryam menurunkan cermin kereta sedikit.

"Ya, saya?" Maryam sebenarnya masih terkejut dengan ketukan itu.

"Bahaya untuk perempuan tidur dekat parking lot macam ni. Baik awak tidur kat rumah," tegur Mikael.

Maryam kelip-kelipkan matanya yang terasa sedikit pedih akibat bangun dalam keadaan terkejut. Terus wanita itu mematikan enjin kereta dan keluar dari perut kereta.

"Thank you. Ingatkan nak habiskan dengar lagu aje tadi. Tak sangka hampir terlelap."

"Lain kali kalau dah parking tu, terus naik rumah aje. Jangan tunggu-tunggu. Kadang-kadang kalau kita leka, orang cepat aje nak ambil kesempatan kat kita," pesan Mikael.

Maryam hanya mendengar tanpa respons. Kakinya hanya melangkah membuntuti Mikael yang turut sama menuju ke lif.

Seminit kemudian, pintu lif terbuka. Kedua-dua mereka masuk ke dalam perut lif tanpa bersuara. Mikael yang berdiri hampir dengan butang nombor menekan nombor 21 dan 15. Maryam hanya melihat perlakuan Mikael.

Dia ingat aku tingkat berapa? Pelik juga bila Mikael boleh ingat tingkat berapa Maryam tinggal.

"Dah lama tinggal sini?" Mikael bersuara tiba-tiba.

"Hm... Lama jugalah."

"Kenapa saya tak pernah nampak awak?" Soalan Mikael membuatkan Maryam garu kepala.

"Resident kat sini mungkin beribu. Probability awak nak terserempak dengan saya macam satu nisbah tujuh ribu. So, memanglah kita tak pernah terserempak," jawab Maryam selamba.

Mikael hanya ketawa kecil. Ada betulnya apa yang diperkatakan Maryam.

"Nama awak?"

"Maryam."

"Just Maryam?"

"Ya. Maryam binti Yusoff." Mikael tersenyum bila mendengar betapa ringkasnya nama wanita tersebut.

"Mikael. Mikael bin Arsyad."

Maryam pandang belakang tubuh Mikael yang berdiri membelakanginya.

"Just Mikael?" tanya Maryam. Mengulang nada Mikael sebentar tadi.

"Yup."

Maryam kemudiannya ketawa kecil. Mikael toleh ke belakang.

"Kelakar?"

Ting! Bunyi lif menandakan sudah sampai ke tingkat 15.

"Bye." Maryam terus keluar dari perut lif. Mikael tidak sempat menghalang apabila pintu lif sudah pun terkatup. Lagipun untuk apa dia halang? Lanjutkan perbualan? Hah. Memang tak la.

"PUSS! Mocoon!" Dua nama yang akan dipanggil Maryam selepas salam diberi. Memang rutinnya. Pantas dua ekor kucing Bengal Marble dan Mix Maine Coon berlari mendapatkan kaki Maryam. Digesek-gesek penuh manja ke kaki tuannya.

"Lapar tak? Akak ada beli Royal tadi. Siapa nak?!" Maryam mengawang-awangkan tin makanan kucing itu di hadapan dua ekor itu. Lagi melompat-lompat mereka dibuatnya. Seakan-akan mengerti itu makanan kegemaran mereka.

"Kejap, ya? Akak tukar baju dulu. Cian dia kena tinggal setengah hari, kan," bebel Maryam. Bunyi meow sedikit pun tidak membingitkan telinga Maryam. Malah bunyi itulah yang dinanti-nanti setiap pagi.

MIKAEL terus meluru ke dapur. Tangannya pantas menuang Nescafe dari coffee-maker. Dia bersandar di bar kabinet sambil memikirkan beberapa perkara. Beberapa saat selepas itu dia menuju ke ruang tamu. Pemandangan luas hasil daripada cermin kaca di ruang tamu membolehkan dia memerhatikan seluruh Kuala Lumpur yang berada di hadapannya kini.

Dia mengambil tempat di atas sofa yang diletakkan berhadapan dengan cermin luas itu. Sambil itu, tangannya leka membelek laman Instagram. Gambar akad nikah Akim tadi sudahpun dimuat naik oleh Farhan ke laman itu lantas akaun Instagramnya ditag sekali.

Matanya terpandang wajah Maryam yang turut sama berada di dalam gambar tersebut. Dia cuba melihat senarai nama yang ditag oleh Farhan tetapi tetap tidak menjumpai akaun Instagram Maryam.

STALKER. Itu yang Mikael rasakan sekarang. Manakan tidak? Habis semua akaun orang lain digodaknya untuk mencari satu nama. Hanya satu nama. Maryam. Hanya Maryam.

@maryamyusoff

Jumpa!!!

Laman Instagram terus hilang dari pandangan. Hanya ada keluar nama Isaac sahaja. Eh dia ni, waktu ni jugalah nak call aku.

"Helo," sapa Mikael.

"AWAK tahu tak yang Mikael dengan Maryam duduk dekat kondo yang sama?" Akim buka perbualan.

"Baru tahu tadi. Sebab Maryam ada tanya. Kenapa, awak?" Myna sibuk mengemas beg bajunya.

"Maryam tanya? Pelik."

"Kenapa pula?"

"Sebab Mikael pun tanya benda yang sama."

"Hmmm. Baguslah kalau macam tu. Kot-kot pintu hati si keras tu nak cair ke." Myna senyum hingga ke telinga. Yalah. 7 tahun dah kut, Maryam masih belum lupakan Aryan.

Akim terdiam. Beberapa saat dia mendiamkan diri.

"Tak payah la dengan Mikael tu. Dia tu pun bukannya betul pun." Akim kemudiannya ketawa.

"Tak betul? Dia ada sakit mental ke?"

Akim ketawa lagi.

"Tak adalah. Cumanya, tak sesuai la Maryam tu dengan Mikael. Saya kenal Mikael macam mana. Maryam bukan taste dia."

"Mana nak tahu kalau jodoh. Kita bukan tahu. Macam kita juga la. Awak ingat saya suka ke awak waktu mula-mula jumpa? Bukan main biadab lagi baling kunci kereta atas meja makan macam tu aje. Macam tak suka pula tu," ungkit Myna.

"Eh, mana ada. Itu memang cara sayalah." Akim geram bila dituduh.

"Yalah tu."

"Betullah!"

"Hah, kalau macam tu biarlah Mikael dengan Maryam."

Akim terdiam lagi.

"Kenapa awak macam tak suka Maryam dengan Mikael?" Soalan Myna membuatkan Akim tersentak.

"Bukan tak suka. Cuma..."

"Cuma apa?"

"Hmmm..."

"Hmmm... Apa awak ni? Kita dah kahwin tau. Awak janganlah berahsia dengan saya," pujuk Myna.

"Hmmm. Bahaya untuk Maryam."

"Hah? Bahaya macam mana pula?"

"Awak tak faham."

"Tak faham apa?"

"Mikael bukan macam apa yang awak fikirkan."

"Apa awak cakap berbelit-belit ni? Bukan macam apa?"

"Hmmm, just cakap dengan Maryam tak payah la terlalu rapat dengan Mikael. Takut nanti dia yang terluka."

"Mikael ni jenis suka permainkan hati orang ke?"

Bebola mata Akim ke kiri dan kanan. Kemudiannya dia mengangguk. Myna baru faham. Patutlah Akim tak nak Mikael rapat dengan Maryam. Sebab Akim pun tahu cerita lama Maryam.

"Nanti saya nasihatkan Maryam. Tapi serius ni kali pertama selepas arwah Aryan meninggal dia tanya pasal lelaki."

"Dia tanya pada orang yang salah la, sayang. Saya pun tak nak dia terluka lagi," balas Akim.

Myna tenung telefon bimbitnya. Nak kena bagi tahu Maryam ke? Tapi karang kalau cakap, dia pula yang dimarahnya sebab fikir jauh sampai ke depan. Mungkin Maryam cuma tanya sebab mereka tak sangka dengan pertemuan pagi tadi.

Haih. Tak perlu lagi kut bagi tahu.

JARUM jam sudah menunjukkan pukul 10 malam. Maryam menyarung tudung bawal dan menjinjit sebuah beg plastik hitam berisi sampah. Sesampainya dia di lobi, dia terus melangkah laju ke arah tong sampah yang disediakan di bawah.

Kelibat Mikael kelihatan. Maryam sedikit terkejut apabila Mikael langsung tidak menegurnya bila lelaki itu lalu bersebelahan dengannya. Maryam toleh ke belakang. Lelaki itu lagaknya macam langsung tak mengenali Maryam.

Ke aku yang fikir lebih? Yalah. Nak sembang pasal apa lagi? Aku dengan dia pun bukannya kenal sangat. Fikir Maryam. Selesai membuang sampah, Maryam kembali ke lobi.

Mikael masih di situ menunggu lif.

Mereka berdua berdiri bersebelahan. Suasana hening. Senyap. Sunyi.

"Er... Awak," tegur Maryam. Terus pintu lif terbuka. Mikael terus masuk. Maryam mengekori.

"Awak," panggil Maryam lagi.

Mikael pandang Maryam yang berdiri di sebelahnya. Maryam terkebelakang apabila melihat kedua-dua anak mata Mikael. Lidahnya jadi kelu.

Ting! Sampai ke tingkat 15. Maryam perlahan-lahan melangkah keluar dari perut lif. Dia sempat menoleh ke belakang melihat sekali lagi wajah Mikael. Pintu lif kemudiannya tertutup. Maryam sentuh dadanya yang dirasakan degupan jantungnya pelik sangat cara berdegup! Bukan-bukan. Ni bukan rasa jatuh cinta. Pandangan mata lelaki itu. Tak sama dengan petang tadi. Langsung tak sama. Rasa macam dua orang yang berbeza! 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro