Bab 1
ARAHAN
- leret ke bawah [ atau ke atas? ] untuk meneruskan permainan
- komen untuk menghentikan permainan sebentar
- undi... untuk apa lagi?
- ikut peraturan
...
"HOI, Naz! Cepatlah!"
Kelam-kabut kau menyarung selipar. Haih... si Idzham pun langsung tidak kenal erti kesabaran! Mentang-mentang esok cuti panjang nak mula, terus bersemangat nak balik dari rumah ustaz.
"Jangan larilah. Nanti kau jatuh, terluka pula." Kawan kau yang berambut putih menegur. Eh, jangan salah faham! Kawan kau ini bukannya seorang atuk tetapi seorang kanak-kanak menghidap penyakit albino. Itu semua rambut-rambut dia warna putih, sampai ke alis mata pun mempunyai warna yang sama!
Kau merungut seketika, meletakkan kesalahan kepada bahu Idzham. Idzham pun apa lagi? Laju sahaja dia menarik muka tidak puas hati.
"Aku pula. Kita kenalah balik cepat. Nanti lewat lewat karang seram pula. Dahlah rumah aku paling jauh," ujar Idzham.
Sememangnya lumrah budak-budak balik daripada kelas mengaji, jalan kaki. Mustahil mahu merempit pula.
Hening malam mula menyeluruhi sedang kau dan kawan-kawan kau masih berjalan kaki. Hanya muzik cengkerik yang bermain sehinggalah Idzham yang mencelah.
"Kau orang tahu tak cerita seram yang kawan sekelas kita dah mula borak tu?"
"Oh... cerita rumah berhantu... dekat sekolah kita tu?" Si Wan berambut putih menambah bicara, sekaligus merancakkan lagi semangat Idzham untuk semakin bercerita.
Kau sudah menayang muka tidak selesa. Suka sangat si Idzham dengan cerita hantu. Ini kalau terserempak dengan pocong, pasti laju ingin meminta tanda tangan. Eh... tapi dia mana ada tangan.
"Ya, rumah berhantulah. Katanya rumah tu dah 20 tahun lebih dekat situ, tak roboh-roboh! Katanya, rumah tu terlalu 'keras' sampai tiada siapa yang berani kacau!" Idzham meletakkan noktah sebentar. Lelah mungkin.
"Kenapa pula?" Wan bertanya, konon-kononnya berminat. Yalah, kalau tidak ditanya, Idzham akan paksa dia orang bertanya pula.
Mendengar respon tersebut, Idzham laju bersemangat untuk menyambung. "Katanya, ada satu keluarga tinggal dekat situ."
Kau memintas penuh sarkistik. Yalah, mestilah ada satu keluarga tinggal dekat situ, tak akan seorang sahaja.
"Eh, diam." Idzham menghiraukan kata-kata kau. "Dan satu keluarga ini hidup bahagia, sampailah ayah dia curang. Tinggallah ibu, adik dan seorang abang. Lepas tu, adik dia seorang tu tiba-tiba bunuh diri."
Angin bertiup membunyikan daun-daun pokok.
"Tapi ada yang pelik... lepas anak bongsu tu bunuh diri. Ibu dia meninggal dan abang dia pula jadi gila." Idzham merendahkan nadanya, sengaja menambahkan efek seram. "Sejak daripada itu, dia orang selalu nampak roh-roh dekat rumah tu..."
"Dahlah!" Wan segera mengangkat tangan, meminta Idzham berhenti. Menyesal pula suruh dia sambung.
Sudahlah mereka akan menghadap simpang tiga. Dan sebelah kanan mereka akan ada pangsapuri berhantu yang dikatakan itu!
"Eh, aku belum habis lagi! Dengar kata, orang yang masuk dalam... takkan dapat keluar. Sama ada dimakan hantu atau ditangkap oleh abang dia yang gila tu." Tersengih-sengih Idzham menjelaskan. Seronok sangat takutkan si Wan itu.
"Lalalalala! Tak dapat dengar!" Wan menekup telinganya seraya kakinya diorakkan pantas mendahului kau dan Idzham.
"Apa kata kita masuk dan siasat?" Idzham memberi cadangan tidak masuk akal.
Pantas Wan menghentikan langkahnya. "Kau dah gila ke? Oh... ke kau cerita macam ni nak suruh kita orang masuk. Memang tak ah." Awal-awal lagi Wan sudah menyangkal.
"Ala, tak salah kan? Lagipun mana tahu kita boleh tewaskan hantu-hantu tu macam Danny Phantom!" Idzham berpaling ke arah kau.
"Lagipun kau boleh nampak hantu, kan?"
Kau terdiam.
"Hei, Izz!" Wan memijak kaki Idzham sehingga anak itu mengaduh kesakitan. Bukan mahu insaf, bahkan dimarahi Wan. "Aduh, sakitlah! Apa?"
"Oh..." Kau perasan suara Idzham mula mengendur.
"Ah... erm, maaf, Nazrul. Tapi kalau kau tak nak masuk, aku boleh masuk pangsapuri tu!" Sekali lagi, sebelah kaki Idzham dihentak Wan. "Mana boleh macam tu!"
Kau tersenyum senget melihat Idzham menggosok kakinya beberapa kali. Jauh dari sudut hati, kau tahu kau tidak boleh salahkan Idzham. Tidak semua faham apa makna hijab terbuka sepertinya.
Kalau dia orang tak teman kau balik seorang diri, kau sendiri akan... takut.
"Yalah, yalah. Nanti esok nak main macam biasa ke?"
Kepala Wan digelengkan. "Rasanya tak bolehlah. Esok ayah aku nak ajak sarapan dekat Paris."
"Erk, yalah."
Kaki kau orang yang terbantut tadi kini mula digerakkan. Tangan kau sibuk meraba-raba permukaan beg, mencari rantai kunci berbentuk lampu suluh tergantung. Namun...
Tiada.
"Kenapa ni, Naz? Ada benda hilang ke?" Suara Idzham menghampiri kau sementara kau menjadi cemas mengenangkan rantai kunci kau yang sudah hilang.
Kau menberitahu kawan-kawan kau.
"Rantai kunci kau hilang? Erm, mesti ada dekat-dekat sini. Tak apa, kita orang boleh tolong carikan." Pelawaan Wan membuatkan hati kau terasa senang sedikit.
Kau dan kawan-kawan kau berpatah balik bagi mencari rantai kunci kau. Bagaimanalah boleh tercicir? - kau merungut di dalam hati. Tertunduk-tunduk kau cuba mengecam rantai kunci sebesar ibu jari kau sendiri. Dan...
Apa benda ni?
Kau mencapai sebuah bola kertas. Rasanya masa lalu tiada pula bola kertas tengah-tengah jalan tadi. Kau membuka bola kertas itu dan kau menemui rantai kunci kau yang hilang sebentar tadi.
"Kau dah jumpa dah rantai kunci kau?" Kedengaran tapak kaki Wan berlari anak menuju ke arah kau. Sementara itu kau sibuk membaca bait merah yang tertulis pada kertas tersebut.
Jangan pergi ke pangsapuri tu. Kalau kau tak mahu terima akibat.
Ayat ugutan apa macam ini?
"Hei, Naz? Kau pegang apa?" Pertanyaan Wan itu menyentakkan kau. Baru kau sedar bahawa kau langsung tidak memegang sebarang kertas. Kau cuba menidakkan lantas wajah kau diangkat.
Nafas kau terasa tersekat.
Susuk bayang seseorang berdiri di belakang Wan. Seluruh tubuhnya gelap dan ciri-ciri yang menonjol pada susuk tersebut adalah bebola mata yang menyeluruhi mukanya.
Bebola mata itu bergerak-gerak seolah-olah mata manusia sebenar! Sampaikan dapat lihat urat-urat merah setiap kali anak mata itu berpusing. Matanya tetap merenung kau. Walaupun tanpa mulut, kau tetap dapat merasakan dia tersenyum melihat engkau.
Bebola itu tidak semena-mena bergerak ke arah sisi kepalanya.
Susuk itu tidak lagi melihat engkau.
Sekejap, bukannya bermaksud dia tidak lagi melihat Nazrul lagi.
Sebaliknya dia memerhatikan KAU, pembaca.
...
Bab 2
-
Akan bersambung
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro