
SNAP #2
Aku menghabiskan titisan terakhir kopi tongkat ali yang telah dibancuh. Kehangatan tongkat ali yang menuruni tekak terasa begitu menghangatkan kala dingin malam mengapit tubuh. Bunyi titisan air hujan yang lebat di luar menjadi halwa telinga. Suasana agak sunyi dan menyeramkan. Guruh dan kilat di luar rumah saling bertingkah. Menggetarkan gegendang telinga. Kemudian, dengan satu panahan kilat,
Lampu terpadam.
Kalau bukan disebabkan kemalasan yang melampau, sudah tentu aku berlalu ke kotak kuasa. Menghidupkan semula tenaga elektrik di rumah ini. Selepas aku berkira-kira, menggunakan kedinginan malam dan aktiviti yang bakal ku lakukan sebagai pembolehubah, aku berfikir mungkin lebih baik jika aku membiarkan sahaja keadaan rumah ini berkekalan buat seketika.
Kaki dibawa melangkah ke arah tangga. Sedikit demi sedikit anak tangga didaki. Kedinginan diabaikan buat sementara. Agar sesuatu yang panas berjaya dicapai. Langkah kaki mendaki masih lagi diteruskan. Aku mula memandang ke hadapan.
Aku terbejat kaku.
Malam yang dingin membawa semilir terus ke tulang. Wajahku hanya kaku meski disimbahi peluh yang menitis ke dagu. Otak yang ligat berfikir diabaikan. Kejadian ini bukan mainan logik akal. Melihat arwah adik kandung sendiri di penghujung tangga memang meremangkan. Memikirkan tiada apa yang logik dan ini bukan kali pertama, perlakuan arwah lebih diberi perhatian. Dia seakan-akan cuba untuk bersembunyi. Sembunyi daripada sesuatu yang berada di belakangku. Aku tahu memang ada sesuatu di belakang apabila leherku merasai dinginnya hembusan nafas.
Aku kaku. Adikku juga kaku. Wajahnya yang ditutup oleh telapak kecilnya mengundang senyum di bibir. Buat apa aku perlu takut. Aku sudah tahu kebenarannya. Cuma tinggal mengungkapkan agar yang tidak berapa jelas menjadi nyata. Adikku takut akan kebenarannya. Cuba bersembunyi daripada pandangan ayahnya. Aku berpaling. Melihat tampang ayahku yang kini terkopak sedikit lehernya.
Aku berjalan menuruni tangga perlahan-lahan. Cuba mendapatkan ayahku. Namun apakan daya apabila ayahku terlebih dahulu berlari mendapatkan anak bongsunya. Meninggalkanku dengan pandangan penuh ketakutan. Adikku masih lagi mengintai daripada celahan jari. Masih lagi tidak mempercayai kebenarannya.
Aku kini hanya mampu tersenyum melihat mereka terseksa. Aku tahu apa yang aku lakukan ini salah. Namun aku terus berlalu melepasi ayah dan adik comelku. Mendapatkan ibuku di dalam bilik utama.
"Jom sayang..."aku memeluk pinggang ramping ibu mudaku. Membawanya masuk ke dalam bilik tidur.
Meninggalkan ayah dan adikku yang telah dibunuh. Kerana tidak mempercayai cintaku terhadap ibuku. Ibu mudaku.
Ya, aku masih muda. Baru 22 tahun hidup.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro