Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

SNAP #1

Seorang murid perempuan kelihatan memanjat pintu pagar bilik darjah. Semua murid yang lain hanya memandangnya hairan. Ada yang memikirkan dirinya sudah gila. Namun, murid perempuan itu langsung tidak mengambil pusing pandangan serong rakan sebayanya. Ada perkara yang lebih menggamit perhatiannya. Sesuatu yang lebih besar maknanya dalam kehidupannya. Sesuatu yang akan pergi tak lama lagi.

Dia hanya melihat lenggok pinggul pemergian seseorang yang amat disayanginya. Seseorang yang bergelar ibu dalam hidupnya. Juga guru Bahasa Malaysia yang baik budinya. Meski di muka terpancar kepenatan menghadapi liku hidup dengan kedutan seribu di wajah. Romannya sentiasa manis dan menenangkan dirinya. Meskipun senyuman itu datangnya daripada seorang ibu angkat. Mahu sahaja dia menitiskan air matanya menyaksikan pinggang ibunya dipeluk tangan sasa yang mengeluarkan asap hitam. Figura si pemeluk benar-benar menjadi mimpi ngerinya.

Masih jelas lagi di tubir ingatan, kematian kedua-dua ibu bapanya bersaksikan figura itu. Figura yang membawa dan menyaksikan kematian dengan senyuman sinisnya. Seumpama menghina kehidupan manusia yang sering mengabaikan tanggungjawab hakikinya selaku hamba. Masih jelas dalam ingatan, kali pertama hijabnya dibuka melihat figura itu. Saat maut menjemput ibu bapa kandungnya pergi sambil mementaskan kemalangan jalan raya ngeri. Yang secara anehnya dia yang baru berusia 9 tahun ketika itu terselamat. Namun sebagai bayarannya, dia mampu melihat sendiri bagaimana roh kedua-dua ibu bapanya ditarik keluar oleh figura itu. Setelah figura itu enak menelan roh mangsanya, pandangan mereka bertaut. Seorang figura yang tidak jelas rupa wajahnya serta seorang budak perempuan yang keliru. Senyuman sinis dan tangisan penuh keliru saling berbalas.

Kemudian, sakit yang mencucuk di kepala meragut kesedarannya pergi. Meninggalkan dirinya terpinga-pinga atas katil hospital dengan kepala yang masih utuh balutannya. Serta kata-kata terakhir figura mengerikan itu.

"Masa kau akan tiba suatu hari nanti... Kita bakal bertemu kembali... Cuba jangan jadikannya sesuatu yang menyakitkan, boleh?"pesanan terakhir figura itu sebelum tubuhnya menjadi wasap yang mula melarut ke persekitaran. Membawa sama kesedarannya. Serta keupayaannya untuk membesar seperti teman sebayanya.

Oleh sebab itu, walaupun umurnya telah mencecah 12 tahun, tubuhnya masih kenit seakan-akan dia masih berumur 9 tahun. Kemalangan itu telah meragut hampir segalanya. Meninggalkan dirinya di rumah kebajikan sebelum diberikan kepada sepasang pasangan guru yang tidak pernah mempunyai cahaya mata. Menjadikannya seorang anak angkat yang diberikan kehidupan baru setelah kehilangan kehidupan lampaunya. Menjadikan hidupnya sering dibayangi bahagianya senyuman.

Pintu pagar yang tidak berkunci itu dibukanya perlahan-lahan. Memandangkan dia bakal menghadapi tahun peperiksaan tanpa insan tersayang, dia merasakan sudah tiba masanya buat dia mempersiapkan dirinya. Kaki dibawa melangkah terus ke surau sekolah. Mengambil jalan yang berbeza berbanding ibu angkatnya. Dia telah menanamkan tekad untuk berjaya dengan cemerlang dalam UPSR. Sebagai hadiahnya buat bakal arwah ibunya. Namun kini ada sesuatu yang lebih penting perlu dilakukannya.

Kasut dibuka sebelum melangkah masuk ke dalam surau sebagai tanda hormatnya. Kaki terus melangkah membawa diri ke tempat mengambil wuduk. Wuduk diambil sementara bahu masih menggalas beg sandang. Memikirkan ada buku latihan Bahasa Malaysia di dalamnya mengundang air mata. Tidak sempat nampaknya buat dia menunjukkan karangannya yang dinukilkan khas buat ibunya. Karangan yang bertajuk Ibuku Sayang.

Surau dimasuki penuh tertib. Telekung diambil lalu disarungkan ke tubuh. Air mata dikesat lembut. Cuba untuk membulatkan reda di hati membiarkan insan tersayang pergi. Niat solat sunat hajat dilafazkan meniti di bibir dan hati. Takbir diangkat. Solat dimulakan.

Sujud terakhir dibiarkan kepalanya menyembah tanah dengan lebih lama. Memanjatkan doa agar nyawa ibu angkatnya ditarik pergi dengan lembut, berharap agar ibunya sentiasa dilimpahkan rahmat serta menggantung harap agar mereka dipertemukan semula di syurga.

Sujud dan doa masih berjalan meskipun badannya tersedu-sedu menahan tangis. Dalam kesamaran pandangan mata berair, kelihatan tapak kaki figura pembawa maut itu. Senyuman diukir di bibir.

Shahadah dibaca penuh penghayatan. Kesedaran kemudiannya diragut perlahan.

Meninggalkan senyuman manis lekat di wajah.

612 pp. :)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro