Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

sakti.


PAWAKA menembak tubuh Alam Sakti dengan bola apinya. Alam Sakti pantas mengelakkan diri daripada disentuh api panas Pawaka. Sebenarnya, tenaganya sudah mulai surut.

Pawaka mencapai tangan Alam Sakti dan menariknya. Tubuh Alam Sakti dicampakkan ke hadapan. Alam Sakti menghentam dinding bangunan. Dia terdiam kaku di situ. Alam Sakti melemparkan pandangannya ke atas. Bulan sedang mengambang penuh.

Pawaka menghampirinya dengan perlahan. Bandar Petaling Jaya sudah hancur musnah. Malam itu menjadi saksi wujudnya makhluk ajaib dari alam lain.

Alam Sakti menghela nafas. Kesakitan menjalar di seluruh tubuhnya. Dia memandang ke arah jasad kembar lelakinya, Alam Satria yang sedang terbaring kaku di atas lantai. 

Mungkin waktunya sudah berakhir. 

Pawaka menghentikan langkahnya. Dia ketawa penuh sinis.

“Kau tunggu di situ,” katanya. Dia berjalan mendekati Alam Satria. Tubuh lelaki itu dipegangnya. Pawaka mengheret tubuh Alam Satria mendekati Alam Sakti. Dia kemudian menjulangnya.

“Satria…” bisik Alam Sakti perlahan. Pawaka merangkul kolar baju Alam Satria dan menggoncangkan tubuh Alam Satria. Kedengaran suara Alam Satria mengerang kesakitan. 

“Kau belum mati?” bisik Alam Sakti. Tenaganya sudah sirna.

“Jangan risau, dia akan mati,” kata Pawaka. Dia memegang tangan kiri Alam Satria dan mengangkatnya. Alam Satria memandang ke arah kembarnya. Mata mereka bertembung.

Alam Satria tersenyum kecil. Alam Sakti pula hanya mampu menangis. Untuk bergerak pun dia sudah tidak mampu. Air matanya terus membasahi pipi.

“Ergghhhh!!! Hahahaha!!” teriak Pawaka. Dia menarik tangan Alam Satria sehingga terputus. Darah pemuda itu terpercik pada wajah Alam Sakti. Pemuda itu terus menangis. Wajah Alam Satria berkerut menahan kesakitan.

“Pawaka, berhenti,” ucap Alam Sakti berbisik. Pawaka membalasnya dengan ketawa penuh kepuasan. Dia menggelengkan kepalanya.

“Kalau kau mahu tahu, bondamu telah aku bakar hidup-hidup. Sehingga dia mati menjadi abu, hahahahah!!” teriak Pawaka cuba mengapi-apikan Alam Sakti.

“Ayahanda kau pula aku ceraikan setiap anggotanya seperti anaknya Alam Satria!” tangan kanan Alam Satria pula diceraikan daripada tubuh. Alam Satria meraung kesakitan. Darahnya terpercik merata-rata.

Pawaka mencampakkan tubuh Alam Satria di atas tanah, di hadapan Alam Sakti. Dia mencapai parang Alam Satria dan meletakkan mata parang itu pada leher Alam Satria.

Alam Sakti terus menangis dan menangis. Dia tidak mampu berbuat apa-apa.

Pawaka menjulang parang itu dan menghayunkannya ke arah leher Alam Satria.

“Aku kata berhenti!!!” teriak Alam Sakti. Dia bangun dan menerpa ke arah Pawaka. Tubuh lelaki itu ditolak sekuat hati.

Tubuh Pawaka melayang dan menghentam dinding bangunan sehingga retak. Pawaka mengerutkan kening. 

“Bagaimana kau…” bicara Pawaka terputus. Matanya membuntang.

Alam Sakti sedang berdiri penuh gagah di hadapannya. Dadanya berombak menahan amarah. Alam Sakti menjegilkan matanya. Dia merenung tajam ke arah Pawaka. 

Matanya bernyala emas.

“Kau… tapi bagaimana??” soal Pawaka terketar. Alam Sakti terus memecut ke hadapan dengan kelajuan maksima dan merempuh tubuh Pawaka sehingga menembusi dinding itu.

Alam Sakti menggenggam bahu Pawaka. Matanya bernyala emas. Dia mengepal buku lima dan mengangkatnya tinggi.

Kaki Pawaka terus hinggap pada tengkuk Alam Sakti. Pemuda itu jatuh tergolek di sisi Pawaka. Lelaki itu pantas mengambil peluang untuk bangun. Tangannya ditalakan ke hadapan.

Matanya bernyala merah. 

Api panas keluar menjulang dari tangannya. Pawaka berteriak nyaring.

Alam Sakti pula masih mengunci bicara. Dia mengangkat tangannya dan bangun perlahan-lahan.

Matanya bernyala biru. Sebuah benteng air berbentuk hemisfera keluar dari tangannya.

Alam Sakti terus berjalan ke hadapan seolah tiada beban untuk menahan api Pawaka.

“Ergggghhh!!” Pawaka terus menjerit sambil menyemburkan apinya. Dalam kepalanya, dia masih memikirkan logik bagaimana Alam Sakti boleh mempunyai kuasa.

Alam Sakti mendekatinya setapak demi setapak. Api Pawaka sedikit pun tidak membuatkannya berganjak ke belakang, malah dia terus mara ke hadapan.

Alam Sakti menarik penumbuknya dan menolaknya ke hadapan. Pawaka pantas berguling ke tepi. Tumbukan Alam Sakti tersasar daripada menghentamnya.

Pawaka tersenyum sinis.

“Ini aku, Dewa Api Maut,” katanya penuh bangga.

Alam Sakti pula masih diam. Matanya bernyala perang.

Duuummm!!! Sebongkah tanah berbentuk tangan keluar dari tanah dan menghentam tubuh Pawaka sehingga lelaki itu tercampak melanggar dinding bangunan dan merobohkannya.

Alam Sakti berjalan mendekati Pawaka. Lelaki itu mulai gentar. Dia mengundur ke belakang. Pawaka melemparkan bebola api.

Mata Alam Sakti bernyala putih. Sebuah sfera angin muncul dan melesapkan bola api Pawaka.

Pawaka bangun dan merempuh Alam Sakti sekuat hatinya.

Namun, Alam Sakti tidak berganjak walau setapak. Pawaka memandang ke bawah.

Ada segumpal tanah keras menahan kaki pemuda itu daripada bergerak.

Alam Sakti mengepal tangannya dan menumbuk rusuk Pawaka. Lelaki itu tercampak jauh ke belakang. Alam Sakti pula terus berjalan ke hadapan. Wajahnya kekal kosong tanpa ekspresi.

Anak matanya sudah tidak kelihatan. Hanyalah bebola mata dengan warna elemen yang sedang dia gunakan. Alam Sakti melangkah mendekati Pawaka.

Pawaka mengumpulkan tenaganya. Dia akan mengeluarkan gelombang bahang panasnya.

“Arggghhhh!!” teriak Pawaka sepenuh hati. Gelombang api yang panas keluar dari tubuh lelaki itu. Namun, Alam Sakti masih kekal berjalan. Dia tidak terkesan walau sedikit pun.

Alam Sakti mengangkat tangannya. Air berbentuk hemisfera terbit dari telapak tangannya. Ia merapat dan menajam membentuk sebilah cerucuk tajam. 

Bilah tajam air itu terus meluncur ke hadapan dan menembusi bahu Pawaka.

Lelaki itu mengerang kesakitan namun tidak lama. Lukanya kembali pulih.

“Siapa kau sebenarnya, celaka?” soal Pawaka apabila Alam Sakti mencapai parangnya.

“Aku Alam. Alam Sakti,” balasnya. Parang itu dijulang tinggi. Bilah parang itu bercahaya dan mempamerkan ukiran khas padanya. Alam Sakti melemparkan parang itu ke arah Pawaka. Lelaki itu pantas menyambutnya. Dia ketawa penuh sinis.

“Itu sahaja?” soalnya. Tubuh Alam Sakti mula terapung di udara. Rambut pendeknya menggerbang di udara. Alam Sakti mengangkat tangannya dan menghalakannya ke arah Pawaka.

“Hmm?” ucap Pawaka hairan.

“Arggghhhh!!!” Pawaka menjerit kesakitan apabila parang itu memancarkan elektrik ke arahnya. Elektrik itu merenjat tubuh Pawaka tanpa henti. 

“Itu belum cukup untuk kalahkan aku,” Pawaka bersuara perlahan apabila Alam Sakti berhenti merenjat Pawaka. 

Mata Pawaka bernyala merah.

Mata Alam Sakti bernyala putih.

Api marak keluar bersemburan dari mulut Pawaka. Alam Sakti pula mengeluarkan pusaran angin di hadapannya dan menyerap api Pawaka.

Pawaka terus menyembur tanpa henti.

Alam Sakti mengangkat tangannya dan mengangkat pusaran angin itu. Api Pawaka turut bergerak mengikutinya. Alam Sakti tersenyum sinis.

Matanya bernyala perang.

Berpuluhan cerucuk duri terbit dari tanah dan menikam tubuh Pawaka sehingga dia terangkat ditusuk bilah tajam itu.

Darahnya bersemburan.

“Aku masih belum mati…” Pawaka bersuara penuh payah.

“Jangan risau. Kau akan mati,” ucapnya perlahan. 

Serentak dengan itu, cerucuk tanah itu bergerak menjauhi antara satu sama lain, terus menceraikan bahagian-bahagian tubuh Pawaka. Darah lelaki itu terpercik ke merata tempat.

Alam Sakti jatuh berdiri di atas tanah. Cerucuk duri itu turut kembali ke dalam tanah.

Yang tinggal hanyalah bahagian tubuh Pawaka bersepaian di atas tanah.

Alam Sakti masih belum berhenti.

Matanya bernyala biru. Gumpalan air keluar dari tanah membawa cebisan tubuh Pawaka dan mengumpulkannya menjadi sebuah sfera air gergasi.

Mata Alam Sakti bersinar terang dan membentuk warna cyan.

Sfera air itu memampat dan membeku sehinggalah,

Spishhhhh!! Sfera ais itu pecah. Tubuh Pawaka lenyap secara total.

Alam Sakti menghela nafas. Anak matanya kembali. Dia jatuh melutut. Darah pekat keluar bersemburan dari mulutnya. Dia jatuh terbaring di atas tanah. Matanya memandang ke arah cahaya mentari yang mulai timbul. Siang mula merangkak naik menggantikan malam.

Alam Sakti menutup matanya.

====

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: