misi.
AHAM memulas handle motosikal Kawasaki Neo-Ninjanya. Dia merempuh seorang lelaki berpakaian sut kasual di hadapannya. Brek dipulas. Motosikalnya diberhentikan secara mengejut. Bunyi seretan tayar memecahkan keheningan malam di perkarangan bangunan hemisfera itu. Pangkalan Utama Kumpulan Keluli-32.
Aham turun dari motosikalnya. Helmetnya dibuka dan diletakkan di atas seat motosikalnya. Jaket berwarna hitam yang dipakainya berombak ditiup bayu malam. Aham mengenakan hud dan sarung mulut untuk melindungi wajahnya. Ada sebilah pedang yang runcing disandang di belakang pemuda itu. Di pinggangnya pula ada sepasang pistol berkembar model Destruk-7F.
Lelaki itu melangkah ke pintu hadapan bangunan hemisfera itu dengan tenang. Bunyi derapan tapak kasut Conversenya terdengar halus. Seorang lelaki berpakaian kasual lengkap dengan blazer mendekatinya. Di tangan lelaki itu ada sebuah baton besi. Lelaki itu berlari mendekati Aham sambil menghayunkan baton.
Aham dengan tenang menunduk sedikit. Baton itu hanya menjamah angin. Aham menggerakkan bahunya ke perut lelaki itu. Dia terundur ke belakang. Aham menumbuk perut lelaki itu. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Lelaki itu rebah. Darah tersembur dari mulutnya.
Aham terus menapak ke dalam bangunan itu. Ada tiga orang lelaki sedang menunggunya di sebalik pintu kaca. Pintu automatik itu terbuka dan mereka bertiga pantas menghalakan muncung raifal masing-masing ke arah pemuda itu.
Peluru raifal dimuntahkan dengan laju. Aham menggulingkan tubuhnya dan bersandar di sebalik tiang. Beberapa peluru menghentam tiang tempatnya berlindung.
“Tiga orang. Tiga peluru. Tiga puluh saat,” bisik Aham sendiri. Dia menekan suis pada jam tangannya untuk memulakan kiraan masa.
Beep! Pemuda itu menarik pistolnya dan menembak ke belakang tanpa memusingkan kepalanya. Kedengaran suara orang menjerit kesakitan.
Dua puluh empat saat lagi. Aham mengangkat pistol kembarnya dan berdiri di sebalik tiang. Dia keluar dari persembunyiannya dan pantas menembak seorang lelaki yang berada di sebelah kanan. Darah memancut deras dari dahi lelaki itu.
Seorang lagi terus memuntahkan peluru raifal ke arahnya. Aham memecut laju. Semua peluru dielaknya dengan penuh tangkas. Aham melompat dan menghentam kepala lelaki itu dengan lututnya.
Tiga belas saat lagi. Lelaki itu jatuh rebah. Dia mengaduh kesakitan. Raifal di pegangannya terlepas. Aham bangun dan memijak perut lelaki itu dengan kuat. Dia menghalakan muncung pistol Destruk-7F ke arah lelaki itu.
“Tolong jangan bunuh say-“ tutur lelaki itu terputus apabila picu ditarik. Aham masih berwajah serius. Dia menekan butang pada jam tangannya.
Beep! Masa yang tercatat masih berbaki enam saat. Aham mengatur langkahnya ke arah lif. Dia menekan butang ‘atas’. Pistol kembarnya dihalakan ke hadapan. Sebaik sahaja pintu lif terbuka, Aham pantas melepaskan beberapa tembakan. Setitis darah mengenai hidung pemuda itu. Namun, dia hanya membiarkannya. Lima susuk tubuh terbaring kaku di dalam lif. Darah merah pekat membasahi lantai lif.
Aham melangkah masuk. Dia tahu bahawa ada yang sedang menunggu di dalam lif untuk menghalang kemaraannya. Pintu lif tertutup. Aham menghalakan pistolnya ke atas dan menembak kamera litar tertutup yang tergantung pada siling lif itu. Dia menunggu lif itu ke tingkat atas sekali bangunan itu. Setelah itu pistolnya disarung kembali di pinggangnya.
Mindanya ligat berfikir. Mengapakah hanya sedikit sahaja orang yang menyerangnya tadi? Apakah Carlos si ketua hanya memandang rendah pada kemampuannya? Atau dia sedang menyiapkan sesuatu kejutan yang lebih besar untuknya? Biarlah, Aham memang sukakan kejutan.
Tingg!! Pintu lif terbuka. Aham melangkah keluar. Ada sebuah kerusi di tengah ruangan itu. Seorang wanita sedang duduk santai sambil menyilangkan kakinya di atas kerusi itu. Lampu hanya dibuka di tempat kerusi itu terbuka. Wanita itu memakai sut tempur dengan ciri futuristik. Rambut perangnya diikat ekor kuda. Di atas dahinya ada sepasang gogal. Tangannya menggenggam hulu sebilah pedang.
“Selamat bertemu, Aham. Atau lebih dikenali sebagai Ejen 139, dan juga Sang Kilat, betul? Sayangnya, pertemuan ini hanya sementara memandangkan kau akan pergi buat selama-lamanya nanti, benar?” kata wanita itu penuh angkuh. Bibirnya mengukir senyuman sinis.
Aham hanya mendiamkan bicaranya. Dia cuba mengagak siapakah itu. Hebat sangatkah perempuan itu sehingga Carlos berani untuk meletakknya di situ, mencabar abiliti Aham secara satu-dengan-satu? Aham masih berdiri tegak di situ menanti perempuan itu memulakan langkah.
Perempuan itu bangun dan menyepak kerusi itu ke arah Aham. Baiklah, pertarungan sudah bermula. Aham menekan punat pada jam tangannya. Dia akan merekodkan waktu pertarungan ini berakhir.
Kerusi itu melayang menghampirinya. Aham membuka langkah ke hadapan. Dia menapak di atas kerusi itu dan melayangkan tubuhnya di udara. Perempuan itu segera melibas pedangnya ke atas. Aham mengambil impak yang masih berbaki untuk memutarkan tubuhnya di udara dan mengelak serangan itu.
Dia mendarat dengan kedua belah kakinya di belakang wanita itu. Tubuh Aham berputar ke belakang dengan pantas. Kakinya diangkat menujah belakang perempuan itu. Wanita itu terdorong ke hadapan. Serangan pertama yang tidak diduga sehingga perempuan itu tidak sempat berbuat apa-apa.
Wanita itu jatuh terduduk. Dia ketawa kecil dan bangun perlahan. Serangan Aham sebentar tadi berlaku dalam waktu yang singkat.
“Wah, nampaknya aku benar-benar akan terhibur hari ini, Aham,” tutur wanita itu. Dia memecut ke hadapan dengan muncung pedang menghala ke belakang. Bilah pedang itu dilibas ke hadapan dengan pantas. Aham dengan tenang menyendengkan sedikit tubuhnya. Dia mengangkat kakinya dan menujah perut wanita itu. Wanita itu sedikit tercampak ke udara, sebelum Aham memegang tangannya. Tubuhnya terus dipusing dan dilemparkan ke tepi. Tubuh wanita itu menghentam dinding dengan keras. Pedang di tangannya sudah tercampak entah ke mana.
“Baiklah, ujian telah tamat. Segala info tentang kepantasan dan kekuatan kau telah aku rekodkan. Masa untuk memulakan permainan,” kata wanita itu. Rupa-rupanya, dua serangannya sebelum ini hanya untuk menguji kemampuan Aham.
Wanita itu mengeluarkan sepucuk pistol. Gogal di atas dahinya dipakai. Muncung pistol itu dihalakan ke arah Aham. Picu ditarik. Aham bergerak ke tepi untuk menjauhi peluru itu.
Pishhh!! Bunyi kaca berderaian. Suasana gelap tiba-tiba. Peluru itu memecahkan satu-satunya lampu yang terpasang di ruangan itu. Aham merengus kasar. Peluru itu memang sengaja dilepaskan untuk memadamkan sumber cahaya di situ. Gogal itu. Ya, pasti itu gogal penglihatan malam, getus Aham.
Dia memandang sekeliling. Semuanya gelap dan kelam. Aham dapat mendengar bunyi desupan angin. Dia segera menunduk. Sebilah pedang menjamah hujung rambutnya. Tiba-tiba, tubuhnya dihentam oleh sedas tendangan. Aham terundur beberapa langkah ke belakang. Dia masih berdiri dengan kakinya. Tendangan tadi tidak cukup untuk merebahkannya.
“Hei, kau main tipu, ya?” Aham bersuara. Matanya melilau ke sekeliling. Tiada apa-apa yang menjengah dalam matanya.
“Hahahaha, aku tahu tentang kau, Aham. Semuanya. Aku tahu betapa hebatnya engkau bertempur walau dengan tangan kosong. Tapi, itu di tempat yang terbuka dan cerah. Bagaimana jikalau di dalam kegelapan? Nyawa kau sedang tamat, Sang Kilat!” suara itu memasuki ruang telinga Aham. Baiklah, kalau begitu. Aham meningkatkan fokus pendengarannya. Dia akan mengagak kedudukan musuhnya dengan bunyi yang dihasilkan oleh perempuan itu.
Matanya terkatup rapat. Dia sedang fokus mendengar. Tiba-tiba, kening Aham bergerak sedikit. Pedang di sandangnya pantas ditarik dan dihayun ke hadapan.
Ktingg! Bilah pedang itu menyentuh sesuatu. Aham merendahkan tubuhnya dan menyapu lantai. Namun, kakinya tidak menyentuh apa-apa. Aham pantas meluruskan tangan kirinya ke hadapan. Tumbukan itu menujah sesuatu. Bunyi mengaduh terdengar. Aham segera memecut ke hadapan. Pedangnya dilibas secara semberono. Sekali lagi, pedang tirusnya menyentuh sebilah besi. Percikan api terhasil. Aham dapat melihat wanita itu sedang memampan serangannya dengan pedang milik wanita itu daripada percikan api itu. Aham melepaskan sebuah tendangan ke hadapannya. Wanita itu terundur ke belakang dan menghilang dalam kegelapan.
“Bagaimana, kaget?” soal Aham. Dia masih fokus mendengar.
Baangg!! Sebuah tembakan dilepaskan ke arah Aham. Lelaki itu tersenyum sinis. Dia melibas pedangnya ke hadapan. Peluru itu terpesong apabila pedang Aham menyentuhnya dengan laju! Wanita itu membuntangkan matanya. Nampaknya, lelaki itu memang layak digelar Sang Kilat.
Beberapa tembakan dilepaskan lagi. Aham dapat melihat dari mana tembakan itu datang berdasarkan percikan api yang terhasil dari muncung pistol. Dia memecut ke hadapan sambil menghayunkan bilah pedangnya ke hadapan, membelah setiap butir peluru yang sedang melayang di udara. Dia kemudian kembali menyandang pedang runcingnya.
Kaki Aham menendang sesuatu. Ianya ialah tangan wanita itu. Ada bunyi besi berlaga tidak jauh dari kedudukanya. Pasti pistol itu sudah tercampak jauh. Aham memegang kepala wanita dengan tangan kirinya. Dia merentap kasar rambut wanita itu. Tangan kanan Aham memegang tangan wanita itu yang cuba untuk menghayunkan pedang. Dia mencengkamnya dengan keras sehingga hulu pedang terlepas dari genggaman perempuan itu.
Wanita itu mengaduh kesakitan. Aham masih tidak berhenti. Dia melepaskan tumbukan tepat pada wajah wanita itu. Kemudian tangannya melepaskan perempuan itu. Wanita itu terundur ke belakang sambil memegang wajahnya yang sakit. Darah mengalir dari hidungnya. Sudah patah barangkali.
“Bagaimana? Adil bukan? Aku tetap menang walau pun kau main tipu,” sindir Aham.
“Celaka! Bagaimana kau masih mampu bertempur walau di dalam kegelapan?” soal wanita itu. Kesakitan menjalar di seluruh tubuhnya setelah puas dihentam oleh pemuda itu. Aham mendekati wanita itu dan merentap gogalnya. Dia kemudian menyepak wanita itu sehingga dia jatuh kesakitan.
Gogal itu dipakainya. Semuanya berubah sekelip mata. Dia dapat melihat keadaan sebenar ruangan itu. Wanita itu sedang merengkot lemah di atas lantai. Mata Aham melilau cuba mencari suis lampu. Dia berlari ke suatu arah.
Klikk! Suis lampu diketik. Cahaya lampu menyimbah menerangi ruangan itu. Aham berjalan mendekati perempuan itu.
“Kau sudah kalah,” kata Aham. Punat pada jam tangannya ditekan. Enam minit empat puluh lapan saat. Aham mengeluarkan sepucuk pistol Destruk-7F miliknya. Muncung ditalakan ke arah kepala lawannya itu.
“Kau mahu bunuh seorang perempuan?” soal wanita itu seakan memujuk Aham untuk tidak menarik picu pistol. Aham tersenyum sinis.
Dia tidak menganggap musuhnya itu tidak lebih daripada seorang penjahat yang harus dihukum. Jari telunjuknya mendekati picu pistol.
Baaamm!! Sebuah peluru melayang di udara cuba untuk menjamah tubuh Aham. Pemuda itu pantas membuat lompatan balik kuang ke belakang apabila beberapa peluru turut menyusuli tembakan pertama itu. Langkahnya untuk membunuh wanita itu terhenti.
Aham memperbetulkan posisinya dan memandang ke arah penembak tadi. Dia sedang tenang menuruni tangga. Seorang lelaki berusia 40-an. Rambutnya diwarnakan kelabu pada hujungnya. Aham mengenali lelaki itu. Ketua Kumpulan Keluli-32. Carlos.
Lelaki itu memakai kot berwarna merah dengan seluar berwarna putih. Sepucuk pistol tersisip kemas di pinggang lelaki itu.
“Tuan…” wanita itu bersuara. Dia mengengsot mendekati Carlos.
“Maaf, Natasaya. Kau tiada gunanya lagi buat aku,” kata Carlos sambil melepaskan sebuah tembakan. Peluru itu menembusi dahi Natasaya. Aham masih berlagak tenang. Situasi ini normal bagi sebuah kumpulan kongsi gelap. Di belakang Carlos ada lapan orang lelaki berpakaian kasual, dan blazer mereka berwarna kelabu. Tidak seperti penyerang yang lain. Pasti mereka ini orang kanan Carlos atau penjaga keselamatan Carlos. Lelaki itu melabuhkan diri di atas sebuah anak tangga.
“Hmm.. Tak sangka pula kau boleh sampai di sini, Aham. Aku sengaja aturkan benteng pertahanan yang agak lemah di bawah untuk memberikan kamu kejutan dengan kehadiran Natasaya. Tapi, malangnya Natasaya sepertinya sudah ‘rosak’. Maklumlah, orang lama, cepat mati,” beritahu Carlos. Dia tertawa kecil.
“Hei, Aham. Apa kata kita selesaikannya secara peribadi. Aku tahu Pasukan Inteligen Kerajaan yang menghantar kamu ke sini untuk menghapuskan aku. Oops! Maafkan aku, kamu cuma ditugaskan sebagai bahan uji kaji untuk mengkaji struktur bangunan hemisfera ini. Oh ya, kau sebagai Ejen 139 juga dihantar ke sini supaya Pasukan Inteligen Kerajaan dapat memporak-perandakan suasana di sini. Aku akuinya, Aham. Kau mungkin dapat menumbangkan beberapa orang bawahan aku. Tapi, aku tidak sedikit pun menggeletar melihat kau. Lihat ini, penjaga aku pun sudah berpeluh ketakutan,” sambungnya lagi. Pistol diacukan ke belakang lalu picu ditarik. Seorang lelaki di belakangnya jatuh menyembah lantai. Darah mengalir laju.
“Aku tidak mahu ada ‘tikus’ di dalam kumpulan ini. Kau lain, Aham. Kau memang berani. Sebab itulah, kau bersendirian,” Carlos menarik nafas perlahan. Dia mengeluarkan sebatang rokok dan meletakkannya di bibirnya. Pemetik api dikeluarkan juga. Muncung rokok itu dinyalakan. Dia menyedutnya penuh nikmat sebelum kembali menghembuskannya keluar. Asap putih keluar berkepul-kepul dari mulutnya.
“Adakah kau mahu pulang ke rumah atau sekadar berkubur di sini sahaja? Aku akan sediakan liang lahad yang indah buat kau. Sebagai penghargaan kerana bisa sampai ke sini. Sampai ke level boss. Hahahaha!” Carlos ketawa sinis. Dia bangun dan mendekati Aham. Puntung rokoknya dilempar ke tepi. Aham segera mencapai hulu pedang di belakangnya.
Bamm! Baammm! Baamm! Beberapa peluru menghentam tubuh lelaki di belakang Carlos. Pemimpin Kumpulan Keluli-32 itu membunuh semua penjaga keselamatannya tanpa tersisa walau seorang pun.
Aham meneguk liur. Gilakah lelaki ini? Aura membunuh tersembur keluar dari tubuh lelaki itu. Aham dapat merasakan betapa bahayanya Carlos ini. Kerana itulah, Tuan Pengarah memberi jaminan bahawa dia akan memastikan keluarganya dijaga dengan baik oleh kerajaan sekiranya misi itu gagal. Aham tahu yang risikonya memang tinggi. Berseorangan di markas penjenayah berbahaya seperti Carlos. Kerana itulah, sebelum bertolak ke sini Aham meluangkan masa seminggunya dengan isteri dan anak lelakinya. Bimbang itu kali terakhir dia akan bersama mutiara kehidupannya itu.
“Abah elok-elok tau. Abah kan dah janji nak bawak Ammar dekat kedai mainan nanti?” suara comel anak lelakinya Ammar menerjah mindanya. Aham menarik nafas. Apa-apa pun kesudahannya hari ini, dia sudah mencuba yang terbaik.
“Kenapa tu? Terkejut ke? Kan aku dah kata nak lawan dengan kau secara peribadi?” tutur Carlos menghentikan lamunannya. Aham memasang kekuda. Pedangnya dihunus ke hadapan. Fokusnya dipertingkatkan. Nafasnya diatur.
Carlos melemparkan pistolnya ke tepi. Lelaki itu memilih untuk bertempur dengan tangan kosong. Aham pula masih setia dengan pedang runcingnya. Dia tidak akan tergugat dengan cabaran mental dari lelaki itu. Dia harus menamatkannya dengan pantas.
Aham mengatur langkah ke hadapan. Dia memecut dengan laju. Pedangnya dilibas ke hadapan. Carlos membongkok sedikit dan memampan serangan itu dengan lengannya. Aham membuntangkan matanya. Bagaimana?
“Jangan terkejut, aku pakai pelindung keluli di tangan,” tutur Carlos menghilangkan kekeliruan Aham. Carlos menumbuk ke hadapan. Aham pantas mengundurkan diri ke belakang. Pemuda itu menghunus pedangnya ke atas. Dia mengatur nafas dan memecut ke arah Carlos. Aham menundukkan tubuhnya dan menyapu kaki Carlos. Lelaki itu pantas melompat di udara untuk mengelakkan diri daripada disapu kaki Aham.
Zuuuppp!! Pedang Aham dilibas ke atas dan melukakan sedikit kaki Carlos. Lelaki itu seperti tidak terkesan dengan libasan itu. Malahan, kakinya bertindak menujah kepala Aham sehingga pemuda itu jatuh bergolek ke hadapan. Carlos jatuh melutut di atas lantai.
“Bagaimana? Sakit?” tanya Carlos sedikit menyindir. Aham memegang kepalanya. Dia kepeningan. Tendangan Carlos begitu padu sehingga hulu pedangnya terlepas dari genggamannya. Dia mengoncangkan sedikit kepalanya. Pandangannya kabur.
Sebaik sahaja pandangan Aham kembali jelas, sedas lagi tendangan hinggap di dagunya. Aham tercampak ke belakang. Darah tersembur dari mulutnya. Dia jatuh terbaring ditarik graviti. Kepalanya menghentam lantai. Membuatkan ruang kepalanya seperti berdesing. Aham cuba bangun namun dia hanya mampu duduk melunjur. Sebelah tangannya menopang tubuhnya manakala sebelah lagi memegang kepalanya. Aham menyeka darah pada bibirnya.
Darah pertama hari ini.
Dia dapat melihat dengan samar kelibat Carlos mendekatinya. Bajunya direntap kasar. Aham dipaksa berdiri. Bunyi bingit masih mengganggu mindanya. Dia nampak bibir Carlos bergerak namun dia tidak dapat menangkap butiran percakapannya. Tubuh Aham ditolak ke belakang.
Aham menghentam dinding. Kepalanya terhantuk pada dinding. Bunyi bingit itu hilang. Pandangannya juga kembali jelas. Kesakitan menjalar di seluruh tubuhnya. Baru dua serangan dan dia sudah lemah sebegini.
Aham berdiri perlahan. Dia masih tidak mampu berdiri dengan elok. Pergerakannya sedikit terhuyung-hayang. Rasa pening menyengat otaknya.
“Sakit bukan? Maklumlah tapak kasut aku ni dari keluli,” kata Carlos dengan nada sinis. Aham menggoncangkan kepalanya. Patutlah rasanya begitu sakit. Aham mengatur kembali tenaganya. Dia cuba untuk mengambil pistol di pinggangnya namun Carlos pantas menarik tubuh Aham. Lelaki itu menghentam perut pemuda itu dengan lututnya. Darah pekat tersembur keluar dari mulutnya. Carlos masih tidak berhenti. Dia menyiku belakang Aham sehingga pemuda itu jatuh melutut. Kakinya pantas dihayun ke arah kepala Aham.
Aham pantas memampan tendangan itu dengan tangan kirinya. Kesakitan merajai lengannya. Tapi, itu lebih baik berbanding jatuh pengsan. Aham bangun sedikit dan menumbuk perut lelaki itu dengan tangan kanannya. Carlos terundur ke belakang. Aham mengitai-itaikan tangan kirinya yang mulai kebas. Dia mengumpul semangat. Staminanya sudah mulai luntur. Sekali lagi kepalanya dihentam, dia akan rebah pengsan.
“Hebat ya kau, Aham. Dua kali kepala dihentam besi keluli tapi masih boleh bertarung. Kalau orang lain pasti sudah jatuh,” puji Carlos. Lelaki itu memecut ke arah Aham. Dia menghayunkan tangannya ke hadapan. Aham pantas melutut. Ketika tubuh Carlos mendekatinya, dia meluruskan tangan kanannya ke atas, menghentam perut lelaki itu. Lelaki itu mengaduh kesakitan. Dia terundur beberapa langkah, namun masih berdiri gagah.
“Hei, Carlos. Kalau hari ini penamat untuk aku dalam kisah hidup kau, kau jangan risau. Ada banyak lagi ‘aku’ yang akan datang,” kata Aham penuh berani.
“Kau pun jangan risau, aku masih ada cerita dengan keluarga kau, Nur dan Ammar. Heh! Jangan ingat aku akan lepaskan kau macam tu aje. Aku cuma akan berhenti bila kau orang semua lenyap dari muka bumi ini! Dari dunia aku!!” teriak Carlos pernuh angkuh. Dia menapak ke hadapan dengan laju. Buku limanya menghentam wajah Aham.
Lelaki itu jatuh terlentang. Matanya tertutup perlahan. Aham mula merasakan semua kesakitannya seperti menghilang. Gelap. Infiniti.
“Awak, awak janji eh balik nanti. Awak jangan tinggal saya tau. Nanti awak balik, saya akan masak semua yang awak suka,” suara lembut isterinya itu menjentik pendengarannya. Aham tersenyum tawar. Dia hendak beredar ke pejabat utamanya di Kuala Lumpur. Masih ada urusan perlu diuruskan di sana. Termasuklah mengambil senjatanya.
“Abah, abah nak pergi lawan orang jahat, eh? Nanti kalau abah dah menang, abah balik cepat-cepat, tau. Jangan tinggal Ammar dengan ibu aje. Nanti ibu kuat berleter,” ulah anak kecilnya mencuit hatinya. Nur mencuit hidung Ammar.
“Ada pulak macam tu. Kalau tak nak duduk dengan ibu tak payah,” Nur buat-buat merajuk. Ammar pantas memeluk kaki ibunya itu.
“Saya bergurau sahaja,” tutur Ammar dengan nada bahasa baku. Aham dan Nur ketawa mendengar telatah anak tunggal mereka itu. Mereka sekeluarga berpelukan penuh erat. Tanpa disedari, air mata Aham menitis. Dia harap yang mereka dapat bersama lagi. Di rumah banglo kecil di Kuala Kangsar ini.
Air matanya mengalir perlahan. Aham membuka matanya. Segala rasa perit kembali menjalar di tubuhnya. Aham bangkit perlahan-lahan. Air matanya dikesat lembut. Dia harus pulang ke rumah.
Carlos ketawa terbahak-bahak melihat pemuda itu berusaha untuk bangkit. Dalam diam, dia mengagumi kekuatan Aham yang masih boleh bangun walau sudah berkali-kali dihentam.
“Wira kita bangun baliklah..” sindir Carlos. Dia mencapai pedang runcing Aham yang berada di atas lantai. Aham mengumpul tenaga akhirnya. Dia memecut ke hadapan, tidak memberikan ruang untuk Carlos memulakan serangan. Carlos melibas pedang ke arah Aham. Pemuda itu pantas mengangkat pistolnya. Tubuh pistol itu menahan bilah pedang daripada menjamahnya.
Keadaan senyap-sunyi.
Mata Carlos membuntang. Dahinya berkerut. Dia memandang ke bawah. Tangan Aham sedang menyentuh perutnya. Atau lebih tepat, muncung Destruk-7F. Beberapa peluru telah menembusi tubuh Carlos. Aham menolak tubuh Carlos sehingga dia jatuh terlentang. Darah mengalir laju dari perutnya. Aham menghalakan pistolnya ke arah dahi lelaki itu.
“Hahahahahahaha! Nampaknya, kisah aku akan berakhir hari ini. Tapi, aku bangga aku jatuh di tangan orang yang hebat seperti kau. Syabas, Aham!” tutur Carlos. Picu ditarik. Sebutir peluru menembusi dahi Carlos. Lelaki itu terdiam kaku tanpa tanda akan bangun semula.
Aham mengesat darah pada bibirnya. Dia duduk di sebelah Carlos dengan lutut kanannya terangkat. Dia kemudian menyelongkar kocek Carlos. Sebiji telefon pintar dibawa keluar. Dia mengaktifkan telefon itu tetapi peranti itu memerlukan cap jari untuk mengaktifkannya. Aham menarik ibu jari Carlos dan meletakkannya pada bahagian belakang telefon itu.
Aham menekan nombor pada skrin telefon dan mendailnya.
“Helo, ini Ejen 139. Nama kod, Sang Kilat. Datang ke sini. Ambil aku. Aku dah tak larat ni. Cepat sikit,” beritahu Aham. Pemuda itu membaringkan tubuhnya. Malam ini akan diingatinya sampai bila-bila. Selagi masih termampu. Aham melepaskan keluhan syukur. Semoga malam ini akan menjadi malam yang terakhir dia berada di sini.
Mahu teruskan kerjanya sebagai perisik? Ya, tanpa ragu-ragu. Kebolehan luar biasanya akan disumbangkan demi agama, negara dan bangsa.
Sampai mati.
====
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro