makhluk.
AKU merapatkan wajah aku pada jendela kaca itu. Aku tidak mempercayai mata aku. Di luar pintu utama rumah di tingkat bawah ada seorang lelaki sedang berdiri kaku.
Aku tak tahu sama ada aku patut memanggilnya sebagai ‘lelaki’ ataupun tidak.
Sebabnya, ‘lelaki’ itu tidak nampak seperti seorang manusia biasa. Dia mempunyai mulut yang amat luas. Seluas separuh wajahnya! Telinganya tajam dan lebar. Pada wajahnya ada beberapa nanah yang tumbuh merata. Kepalanya pula botak dan tubuhnya diselubungi kain hitam yang amat tebal.
Lelaki itu hanya berdiri di situ dan memandang ke arah pintu. Aku meneguk liur.
Sudahlah sekarang ayah dan mak aku sedang keluar ke bandar. Janganlah pula lelaki aneh itu masuk ke dalam rumah aku…
Aku terus memerhatikan lelaki itu sambil bersembunyi di sebalik langsir. Apa yang dia mahu, ya? Aku terus berteka-teki sendiri.
Lelaki itu hanya berdiri kaku di situ selama beberapa minit. Aku pula terus memerhati dengan harapan dia akan pergi dari sini.
Lelaki itu memalingkan wajahnya ke atas. Mata kami bertembung.
Oh tidak! Dia nampak aku! Aku terus mengundur ke belakang dan duduk di atas katil. Badan aku mula menggeletar ketakutan. Matanya yang kuning dengan anak mata merah yang amat kecil itu merenung terus pada mata aku tadi.
Aku mencapai telefon dan mendail polis.
Aku harus meminta polis uruskan lelaki aneh itu.
Setelah mendail polis, aku keluar dari bilik aku untuk mencari sebarang alatan yang boleh dijadikan sebagai senjata. Ini bukan main-main! Lelaki aneh itu bukanlah kostum atau maskot.
Aku membuka pintu bilik stor dan mencapai parang ayah aku. Aku ingin membawanya ke bilik aku. Laluan ke bilik aku ada tangga yang mengarah ke bawah. Jadi, aku ambil kesempatan untuk mengintai ke bawah, memeriksa sekiranya lelaki itu sudah pergi.
Aku terperanjat apabila mendapati pintu utama tidak tertutup!
Aku segera berlari ke arah bilik aku. Jantungku berdegup laju. Suasana senja terasa begitu sejuk buatku. Aku membuka pintu bilik dan menjerit nyaring.
Lelaki itu sedang bergantung secara terbalik pada siling. Ia membuka mulutnya yang lebar dan menampakkan barisan taring berderetan di dalam mulutnya. Taring-taring itu seolah memenuhi seluruh ruang di dalam mulutnya.
Makhluk itu merenung ke arah aku.
Dia menjerit nyaring dan melompat ke arah aku.
Tangannya yang panjang menangkap tubuh aku…
====
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro