imaginasi.
BAGAIMANA hendak terangkan perkara ini kepada anda, ya? Haish, tidak mengapa. Kita pergi perlahan-lahan supaya anda boleh memahaminya dengan baik.
*Menghela nafas berat*
Begini. Saya ialah seorang watak humanoid. Yang mana bererti saya mempunyai bentuk seakan-akan manusia. Namun, saya bukanlah manusia. Saya hanyalah sesuatu yang anda sebut sebagai watak imaginasi.
Tetapi, hakikatnya saya wujud. Saya dan berjuta-juta malah ratusan juta lagi seperti saya berada di sini. Di dalam alam yang anda gelarkan sebagai Alam Minda atau Alam Imaginasi. Mungkin anda menganggap kami tidak lebih daripada sekadar watak halusinasi.
Tetapi, tidak mengapa.
Ia bukan salah anda. Anda selaku manusia telah menepati kemampuan minda anda. Itu sahaja. Sebelum ini, kami telah berjuta kali cuba untuk berkomunikasi dengan anda semua. Tetapi, kami tetap dipinggirkan.
Ada sesetengah daripada anda dirujuk ke pakar psikologi dan psikiatri tetapi mereka telah mengklafikasikan anda sebagai pesakit mental.
Hakikatnya tidak. Kami benar-benar wujud.
Kau tengah cakap apa ni? Baik kau blah sekarang! Blah dari otak aku!
Bersabarlah sebentar. Kami hanya mahu menyedarkan hakikat realiti sebenar alam ini.
Tolonglah keluar… Aku tak faham apa yang kau cakapkan ni…
Baiklah. Kalau begitu, saya akan sampaikan perkara ini dengan sebuah analogi.
Tetapi, sebelum itu. Adakah anda mengetahui konsep ‘kesedaran’?
*Menggeleng kepala*
Baiklah. Begini sebenarnya. Tubuh anda bukanlah anda. Anda hanyalah kesedaran atau lebih am dikenali sebagai roh. Masih tidak faham?
Begini, cuba anda kepalkan tangan anda dan gerakkannya.
Bagaimana? Mudah sahaja, bukan? Tetapi persoalannya, siapakah yang menggerakkan tangan anda sebenarnya? Anda tidak pun mengarahkannya dengan memberi arahan ‘sila bergerak’, bukan? Jadi, siapa yang mengawalnya dan mengarahkan ia bergerak?
Nah, andalah yang menggerakkannya! Atau lebih spesifiknya, kesedaran anda!
*Masih menggeleng tanda tidak faham*
Analoginya begini, anda selaku kesedaran ialah pemandu yang mengawal sebuah robot iaitu tubuh badan anda. Namun, pengawalannya jauh lebih ringkas berbanding yang anda mampu bayangkan. Buktinya, anda tidak perlu pun mencari sebarang butang atau punat untuk menggerakkan otot dan tulang anda, bukan?
Begitulah anda selaku kesedaran manusiawi mengawal tubuh seorang manusia yang diberi nama anda. Justeru, matinya tubuh anda tidak bererti anda sudah mati. Cumanya, tubuh anda sudah melaksanakan tugasnya mengikut aturan daripada Sang Pencipta.
Tinggallah anda selaku kesedaran meneruskan kehidupan anda di alam yang lain. Alam Barzakh misalnya.
Justeru, siapakah pula saya dan kami?
Usah pening memikirkannya. Saya akan menerangkan segala yang termampu kepada anda. Anda masih boleh teruskan atau tidak?
*Menganggukkan kepala*
Yup, teruskan saja.
Bagus. Terima kasih atas kerjasama yang anda berikan itu.
Baiklah, seterusnya saya akan menerangkan tentang konsep alam pula. Seperti yang anda tahu, kita hidup dalam satu konsep lingkungan dimensi yang dinamakan sebagai ‘alam’. Secara umumnya, alam boleh dibahagikan kepada dua sektor iaitu alam duniawi dan alam ukhrawi. Masih tidak faham?
Alam duniawi ialah alam yang kita huni. Contohnya, Alam Masa, Alam Tiga Dimensi, Alam Dua Dimensi dan Alam Jin. Maka, alam ini secara khususnya mampu kita tembusi dan lalui.
Secara amnya, kita hidup di dalam alam duniawi namun di dalam alam yang berbeza.
Maksud kau?
Seperti yang saya terangkan tadi, alam ini terbahagi kepada dua sektor. Namun, di dalam setiap sektor itu pula masih ada pecahan-pecahan lain yang lebih spesifik.
Maka kita berada di dalam sektor major yang sama, namun alamnya masih lain.
Aku tak faham.
Begini analoginya. Katakanlah anda ialah seekor katak dan makhluk itu pula terpecah kepada dua iaitu benda bukan hidup dan benda hidup. Sungguhpun anda tergolong dalam kategori benda hidup, anda masih berbeza jika dibandingkan dengan manusia kerana benda hidup itu sendiri dipecahkan kepada beberapa sektor seperti manusia, haiwan, tumbuhan dan lain-lain.
Maka, begitulah kita. Walaupun kita di dalam alam duniawi, tetapi kami masih menghuni alam yang berbeza dengan alam anda.
Faham?
*Mengangguk kepala perlahan-lahan*
Baiklah. Kita teruskan lagi, ya?
Masihkah anda ingat pada saya? Nama saya ialah Bobo. Nama itu anda yang berikan ketika anda baru berumur 5 tahun. Walaupun nama sebenar saya lain sebenarnya, tetapi tidak mengapalah. Nama Bobo pun bagus juga, kan? Iyalah, nama apa yang anda boleh jangkakan daripada seorang budak manusia berumur lima tahun, kan?
Ingatkah anda akan memori yang kita cipta bersama-sama suatu ketika dahulu? Adakah anda ingat ketika anda menceritakan perihal saya kepada keluarga anda? Sehinggakan mereka berasa begitu cemas dan membawa anda bertemu dengan seorang ustaz.
Mereka menyangkakan bahawa saya ini makhluk halus yang ingin mencederakan anda. Tetapi, realitinya tidak begitu. Bahkan, sayalah yang menghiburkan anda ketika anda sedang bersendirian. Kita bermain bersama sepanjang hari. Malahan, anda juga telah melukis saya di atas sehelai kertas. Indah sekali pada saat itu, ya?
Kau-kau ni Bobo?! Kau buat lawak ke apa!!??
Bertenanglah. Mungkin anda rasa yang kewujudan saya ini sesuatu yang mustahil. Hal ini kerana saya hanyalah seorang teman imaginatif buat anda. Walaupun pada hakikatnya saya bernyawa dan hidup.
Tetapi tidak mengapa. Saya tidak menyalahkan anda untuk melupakan saya. Memang semua manusia begitu. Kehadiran kami sering dianggap sebagai gangguan mental.
Baiklah, kita teruskan penerangan ini. Kami selaku suatu organisma kolektif tetap hidup di dalam alam yang anda gelarkan Alam Minda. Ya, ia benar. Kamilah yang menghuni minda anda dan mewujudkan pelbagai imej pada sebuah layar putih gergasi, sesuai dengan kemahuan anda.
Begini sebenarnya, cuba anda bayangkan sebuah rumah yang besar. Ia kelihatan seperti rumah anda sedikit. Dengan corak pintu yang sama.
Nah, inilah imej yang pihak kami sediakan buat anda. Memang menjadi tugas kami untuk melakukan hal sebegini. Malahan, ketika anda tidur, sebenarnya kesedaran anda telah dibawa untuk menjelajahi alam kami.
Mungkin ia kedengaran agak mengarut dan kebudak-budakan. Namun, inilah realitinya. Kita pernah berhubung suatu masa yang dahulu sebelum takdir menemukan kita kembali di sini.
Kami boleh muncul di alam anda selaku suatu paparan yang tidak boleh disentuh. Kami hanya mampu dilihat oleh mereka yang kami inginkan. Dalam situasi ini, kami telah memilih anda untuk berkomunikasi dengan saya di dalam alam kami. Namun, di alam anda, kami tidak ada. Kita tidak pula berhubung di alam anda ketika ini kerana kita berada di alam saya.
Pendedahan secara total dan drastik terhadap alam kami dalam alam realiti anda boleh menyebabkan anda dianggap gila dan tidak siuman, walau pada hakikatnya kita benar-benar berhubung. Kami juga tidak pernah terfikir untuk muncul di dalam setiap minda secara serentak. Ia mungkin akan mengakibatkan kacau-bilau.
Maksudnya, kau ni makhluk asing?
Ya, itu benar. Kami memang makhluk yang asing berbanding anda. Namun, kami bukanlah makhluk asing seperti yang anda bayangkan sedang menjelajahi angkasa lepas. Kami menghuni minda anda dan mengawalnya sesuai dengan kehendak anda.
Baiklah, saya rasa itu sahaja setakat ini. Walaupun penerangan ini masih tidak dapat memenuhi walau sekadar sebuah pendahuluan terhadap realiti yang saya ingin bawakan, tetapi tidak mengapalah. Saya rasa ini sudah cukup untuk anda. Lain kali kita akan bertemu lagi. Masih ada banyak yang anda perlu tahu tentang alam semesta ini.
Selamat tinggal, buat sekarang.
Aku terbangun dari mimpi aku itu. Aku memerhatikan keadaan sekeliling. Mimpi tadi benar-benar aneh. Aku termimpi bertemu dengan kawan imaginasi aku yang dahulu.
Aku meraup wajah aku. Yang manakah realiti? Dia ataupun aku?
====
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro