curi.
SINARAN mentari pagi menerangi langit seperti hari-hari sebelumnya. Kawasan Bandaraya Kosmik kelihatan sibuk dengan kenderaan-kenderaan yang melintasi jalan. Orang ramai pula lalu-lalang di sekitar laluan pejalan kaki. Masing-masing kelihatan fokus dalam urusan mereka.
Di suatu sudut kelihatan seorang remaja lelaki berusia kira-kira tiga belas tahun sedang bersandar pada tiang lampu. Dia melilau sekeliling seolah-olah sedang mencari sesuatu.
Selepas beberapa minit, pemuda itu memulakan langkahnya. Dia berjalan dengan laju dalam kerumunan orang ramai. Tangannya diangkat paras pinggang dan,
Tap! Tangannya digenggam kuat oleh seorang lelaki bertubuh sasa. Remaja lelaki itu memalingkan wajahnya ke belakang. Lelaki sasa itu memandangnya dengan bengis.
Remaja itu menarik tangannya dan mula memecut laju. Lelaki tadi pula terus menyusun langkah mengejarnya. Mereka terus berkejaran dalam lautan manusia itu.
Remaja itu terus berlari selaju yang dia boleh. Dia menoleh ke belakang. Lelaki itu masih mengejarnya. Remaja itu menyeluk beg selempangnya dan menggenggam sesuatu.
Dia meneruskan larian tanpa henti.
Remaja itu melilau sekeliling cuba mencari tempat persembunyian. Retinanya menangkap sebatang lorong kecil di sebelah laluan pejalan kaki. Dia mengubah haluannya menuju ke lorong antara bangunan itu.
Remaja itu masuk ke dalam lorong itu dan bersandar pada dinding. Dia tercungap-cungap kepenatan. Manik-manik peluh bercucuran pada dahinya. Remaja itu mengeluh berat.
Dia mengeluarkan sesuatu dari beg selempangnya.
Sebuah beg dompet berisi wang.
Dia tersenyum sehingga menampakkan deretan giginya yang putih.
“Hoi! Bak balik dompet aku!” teriak suatu suara garau dari hujung lorong itu. Remaja itu menolehkan kepalanya. Dia membuntangkan mata.
Lelaki bertubuh sasa itu sedang menghampirinya. Remaja itu memasukkan dompet itu ke dalam begnya dan mula menghayunkan kaki meninggalkan tempat itu. Lelaki itu pantas mengejar dan memintas pergerakannya.
Tubuhnya ditolak kasar membelakangi dinding. Lelaki itu merentap kolar baju remaja itu.
“Kau bagi balik cepat!” ugutnya. Remaja itu mengangkat tangannya tanda menyerah kalah.
“Okey-okey, bang. Aku bagi balik. Nah!” kata remaja itu sambil menyerahkan dompet kulit itu. Lelaki sasa itu melepaskan genggamannya dan merampas dompet itu.
“Kau ni memang tak guna! Dasar pencuri! Perosak negara! Orang macam kau tak layak hiduplah! Boleh pergi mati!” tempik lelaki itu berang apabila mendapati duitnya berkurangan.
Remaja itu ditumbuk sekuat hati. Dia jatuh terduduk di atas tanah. Lelaki bertubuh sasa itu melepaskan geramnya dengan menendang tubuh remaja itu beberapa kali.
Remaja itu tidak mampu melawan kerana lelaki itu jauh lebih besar daripadanya. Dia terpaksa merelakan sahaja tubuhnya dibelasah dengan teruk. Bibirnya pecah dan berdarah.
“Hei! Berhenti! Kau buat apa tu?” jerit seorang pemuda. Dia berlari mendekati mereka berdua. Pemuda itu menarik tubuh lelaki sasa itu dan meleraikan ‘pergaduhan’ itu.
“Budak ni pencuri! Memang patut pun dia kena belasah macam ni!” teriak lelaki sasa itu mempertahankan perlakuannya.
“Okey. Rileks. Berapa dia curi? Aku bayar semula,” tawar pemuda berkulit sawo matang itu. Lelaki sasa itu menggelengkan kepalanya.
“Tak payah! Ptuihh!!” ludah dia pada remaja yang sedang meringkuk kesakitan itu.
Seketika kemudian, lelaki sasa tersebut berlalu meninggalkan pemuda dengan remaja itu.
Pemuda itu menyentuh bahu remaja itu.
“Kau okey, budak?” soal pemuda itu lembut. Remaja itu memeluk lututnya sendiri.
“Kau pergi! Tak payah kisah pasal aku! Aku ni sampah! Pergi!!” raung remaja itu penuh emosi. Wajahnya ditekup dengan lengan. Kelihatan lengan bajunya basah dengan air mata dan darah. Pemuda itu menghela nafas dan melepaskannya.
“Kau bangun dulu. Kita pergi rawat kau. Lepas tu baru kita bercakap semula,” pujuk pemuda itu. Dia mengusap bahu remaja itu.
“Pergi aku kata!” tempik remaja itu. Air matanya berhamburan. Dia menepis tangan pemuda itu.
“Budak, dengar cakap aku. Kau teruk kena belasah tu. Bangun dulu, ikut aku,” pemuda itu masih terus memujuk.
Remaja itu terus menangis teresak-esak.
Pemuda itu duduk mencangkung di sebelahnya. Dia menarik lengan remaja itu.
“Sudahlah menangis. Ikut aku, budak,” pujuknya lagi.
Tidak semena-mena, remaja itu menerpa ke arahnya dan mendakap tubuh pemuda itu. Dia terus menangis pada bahu pemuda itu.
Pemuda itu terdiam sebentar.
Tangannya turut bergerak merangkul remaja itu. Mereka berdakapan.
“Jom, budak. Ikut aku,” ajak pemuda itu. Remaja itu meleraikan pelukan dan mengesat matanya. Dia memandang ke arah pemuda itu.
Rambut pemuda itu disikat terpacak namun kemas. Wajahnya agak tampan dengan jambang yang nipis. Pemuda itu mengulum senyuman mesra.
Dia bangun dan menarik tangan remaja itu.
Mereka berjalan beriringan ke arah sebuah kereta.
====
“ADUH, sakitnya!” teriak remaja itu kesakitan apabila gadis yang sedang merawatnya itu menyapu luka pada sikunya.
“Tahanlah sikit,” ujar gadis itu. Dia terus fokus merawat luka pada tubuh remaja itu selepas dibelasah teruk tadi.
Dia kini berada di ruang tamu rumah pemuda yang menyelamatkannya tadi dan sedang terbaring kesakitan di atas sofa.
“Kesian dekat kau. Kecik-kecik dah kena belasah,” kata pemuda berkulit sawo matang tadi. Dia sedang duduk di atas sebuah kerusi berdekatan dengan mereka.
“Apa nama kau, budak?” soal pemuda itu. Remaja itu berkerut menahan kesakitan apabila gadis yang sedang merawatnya itu membalut luka pada lengannya.
“Nama aku… Emm… Akim,” jawab remaja itu. Gadis itu melekatkan plaster pada lengan remaja itu dan berdiri.
“Dah siap, Akim,” katanya sambil menyimpan kembali kit rawatan.
“Te-terima kasih, Kak. Abang,” ucap Akim. Dia menukar posisi dan duduk di atas sofa itu.
“Sama-sama. Kau tak payah nak terima kasih sangat pun dekat aku. Kebetulan aje tadi aku lalu dekat lorong tu,” balas pemuda itu.
“Tak. Terima kasih sebab bawak aku dekat sini, Abang…??” bicara Akim terputus kerana dia tidak tahu nama pemuda itu.
“Am. Panggil aje Abang Am,” sambung pemuda itu. Am mengukir senyuman manis dengan lesung pipitnya yang hanya sebelah.
Akim membalas dengan senyuman yang teragak-agak.
Gadis itu kembali dan duduk di atas sofa di hadapan Akim.
“Oh ya, kakak comel ni nama dia Zya,” ujar Am memperkenalkan gadis itu. Zya menjeling ke arah Am. Pipinya merona merah.
“Oh… Kak Zya, eh? Emm… Kau orang berdua ni suami isteri ke?” soal Akim perlahan. Am mengerutkan keningnya.
Dia ketawa terbahak-bahak mendengar soalan Akim itu.
“Hahahaha! Mana adalah! Kita orang kawan ajelah,” jawab Am. Dia menghabiskan sisa tawanya. Zya pula kelihatan bingung.
“Oh, ya ke? Sorry, sorry,” ucap Akim. Dia tersalah soalan nampaknya.
“Emm… Am. Aku balik dulu, eh? Aku nak pergi ambik adik aku dekat sekolah. Petang nanti aku datang balik, nak rawat luka si Akim ni sikit lagi,” tutur Zya meminta diri. Dia terus bangun dan berjalan keluar tanpa menoleh ke belakang. Am memerhatikan langkah gadis itu penuh hairan. Dia kemudian menoleh ke arah Akim semula.
“Okey, Akim. Aku nak tanya kau satu benda. Tapi, sebelum tu kita pergi keluar makan dulu,” kata Am. Dia bangun dan mencapai kunci keretanya.
====
SUASANA di kafe itu agak lengang. Hanya ada beberapa pelanggan sahaja yang makan di situ, termasuklah Am dan Akim.
“Rumah kau dekat mana, Akim?” soal Am sambil menyuapkan makanannya ke dalam mulut.
Akim menggelengkan kepalanya.
“Kau tak ingat? Kau amnesia ke, budak?” soal Am melihat respons remaja itu.
“Tak. Aku cuma tak ada rumah…” jawab Akim sambil menurunkan wajahnya. Dia memandang ke arah lantai.
“Ya Allah, lepas tu kau duduk dekat mana selama ni, budak?” tanya Am penuh simpati.
“Duduk dekat rumah ayah aku…” jawab Akim perlahan.
Am mengetap bibirnya. Dia memutarkan bebola matanya. Ingin sahaja dia ‘mencepuk’ kepala budak itu dengan pinggan di hadapannya.
“Aku gurau ajelah, Abang Am,” kata Akim sambil tersengih.
Am terdiam. Dia ketawa kecil. Nampaknya, Akim sudah kelihatan ceria.
“Kau jangan… Kang nanti ada pulak yang kena belasah lagi,” gurau Am. Akim menyambut gurauan Am dengan ketawa terkekeh-kekeh.
“Tapi, kenapa kau… Em, em?” soal Am dengan nada berhati-hati kerana bimbang dia mengguris hati Akim.
“Apa? Mencuri ke? Tanya ajelah, aku tak kisah pun,” balas Akim. Dia memotong isi ayam dalam pinggannya.
“Hm, kenapa?” soal Am lagi. Akim menghembuskan nafasnya perlahan.
“Ayah sakit. Dia dah tak boleh bekerja. Mak aje yang kerja untuk sara aku dengan dua orang adik aku. Tu pun, duit selalu tak cukup. Jadi, aku pun ambik keputusan untuk berhenti sekolah dan cari kerja. Tapi, itulah. Tak ada orang nak ambik aku bekerja sebab aku kecik lagi. Jadi, aku pun buat keputusan untuk jadi penyeluk saku. Supaya aku boleh tolong mak aku. Tapi, jangan salah sangka, aku ni mencuri pun ada prinsip, tau?” jelas Akim. Am mengerutkan dahi.
“Prinsip?”
“Ha’ah. Contohnya, aku tak curi duit budak-budak. Target aku cuma orang yang nampak jahat. Macam orang tua sado tadi,” sambung Akim dengan selamba. Dia mengunyah ayamnya. Am menganggukkan kepalanya.
“Tapi, cara kau salah. Kau tak boleh nilai seseorang tu hanya daripada luaran aje. Kau kenalah tengok perangai dia yang sebenar,” nasihat Am. Akim tersengih sebelah.
“Mencuri kan dah memang salah dari awal lagi?” soal Akim menduga Am.
Am terdiam. Akim betul juga. Mencuri memang salah, walaupun dia mencuri daripada orang jahat sekali pun.
“Sedaplah wei chicken chop ni, aku nak tambah boleh?” pinta Akim. Am tersenyum kecil.
“Ikut kaulah, budak…”
“Terima kasih, Abang Am.”
“Tak sakit ke bibir kau makan banyak-banyak?”
“E-em. Tak. Aku laparlah. Tak rasa pun sakit tu.”
====
"ABANG Am kerja apa, eh?” soal Akim di dalam kereta. Am sedang fokus memandu.
“Aku tak ada kerja lagi. Aku baru aje keluar U. Kiranya macam lepasan U yang masih ‘hangat’lah gitu…” seloroh Am. Akim ketawa kecil.
“Kau ni macam-macamlah. Suka buat lawak, kan?” kata Akim. Dia memandang ke hadapan.
“Hmm. Semua kawan aku cakap macam tu,” sambung Am lagi.
“Kak Zya pun?”
“Yup. Kenapa? Kau tak percaya ke?” tanya Am. Dia menarik brek kerana lampu isyarat sedang bernyala merah. Am menoleh ke arah Akim.
“Taklah. Aku percayalah,” balas Akim. Dia menyilangkan tangannya.
“Hmm… Iyalah tu…”
“Hei, Abang Am…”
Am mengangkat kening.
“Agak-agak kaulah, kalau ayah tahu yang aku ni pencuri… Dia nak halang aku tak? Mesti dia akan benci aku, kan?” soal Akim tidak semena-mena. Suasana hening tiba-tiba.
“Mestilah dia akan halang kau. Tapi, tak kanlah dia nak benci kau? Kita benci pada perangai, bukan orangnya. Kalau ikut akulah…” balas Am. Akim menghembus nafas berat.
“Harap-harapnya macam tulah. Sebab, aku tak nak ayah benci aku. Aku ni anak dia kut… Aku akan buat apa-apa aje demi dia,” sambung Akim penuh semangat.
Am mengukir senyuman kecil.
Pemuda itu membawa keretanya pulang ke rumah. Zya sudah menelefonnya dan menyuruh Am membawa Akim pulang supaya gadis itu boleh memeriksa keadaan remaja lelaki itu.
====
“TERIMA kasih sebab sudi layan aku dengan baik, Kak Zya, Abang Am,” ucap Akim. Ibunya telah tiba dengan keretanya di halaman rumah. Am telah menelefon ibu Akim agar membawa remaja itu pulang.
“Yup. Sama-sama. Ingat, eh? Berhenti buat benda tak elok. Kalau kau nak cari kerja, helo aje aku. Ambik nombor telefon dengan ibu kau, Akim,” pesan Am. Akim menganggukkan kepalanya. Dia tersenyum penuh girang.
“Bai, Akim. Nanti jumpa lagi, eh?” ucap Zya. Dia melambai ke arah kereta hitam yang sedang beransur pergi itu.
“Abang Am jaga Kak Zya elok-elok tau? Hahaha! Bai!!” laung Akim. Kereta hitam itu terus bergerak meninggalkan mereka berdua.
Zya menoleh ke arah Am.
Mata mereka bertaut seketika.
“Astaga… Dosa, dosa,” ucap Am melarikan pandangannya. Dia beraksi seperti sedang memutarkan tali tasbih.
Zya ketawa kecil. Dia menutup mulut dengan tapak tangannya, tabiatnya sedari dulu lagi.
“Dahlah, aku balik dulu, eh?” Zya meminta diri. Am menganggukkan kepala. Entah mengapa, dia rasa seperti terlupa sesuatu.
“Em,” balas Am ringkas. Pemuda itu melangkah masuk ke dalam rumahnya.
====
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro